Sunday, July 18, 2010

Hari-hari tipikal

Hari-hari tipikal berlangsung seperti biasa. Kerja dikantor yang rigid. Politik nusa masih lagi memualkan. 5 item bersubsidi diselaraskan, seperti yang dilaporkan kerajaan dilidah-lidah media(baca: itu maknanya harga barang nak naiklah bodoh!!!). Rakyat sudah lali dengan kenaikan itu dan ini. Ini dapatlah dilihat stesen-stesen minyak masih lagi 'cool' seperti biasa. Tiada yang beratur panjang. Jadi tiada apa yang baru dalam hidup saya sekarang ini.  Cuma yang bertransformasi dalam kehidupan saya hanya sikecil alya yang kian hantap (dalam loghat perak bermaksud berisi). Hatta opahnya sudah tidak larat mendukungnya dalam tempoh yang lama. Tingkahnya mula pelbagai. Matanya melihat setiap sisi dunia dengan rasa kuiri yang amat. Waima masih belum boleh menutur butir-butir perkataan. Reseptor-reseptornya cukup laju menyentuh apa sahaja yang baru muncul di bebola retinanya. Kini segala barang penting dan bahaya saya letakkan di tempat yang tidak mampu dijangkaunya. Kadangkala lelah juga menjaganya. Namun nyalahati saya tetap merasakan kepuasan dan keseronokan. Ya. Anak kecil yang innocent ini sudah cukup buat hati saya girang. Perasaan seorang ayah amat seni untuk dimengertikan. Itulah yang saya rasai kini. Mungkin lain ayah lain konsepnya. Arwah bapak dulu tegas dan garang orangnya. Arwah adalah pesara polis. Jadi tidaklah jadi kehairanan jika anak-anaknya dididik seperti merekrut pegawai polis. Susah mahu melihat arwah tersenyum. Namun jauh disudut hatinya, kami adik-beradik sedar yang arwah amat menyayangi kami sekeluarga. Tak pernah kami keputusan makanan, belanja sekolah, buku-buku, pakaian. Segalanya cukup dalam kesederhanan. Gaji pegawai polis pangkat rendah berapalah sangat waktu itu berbanding sekarang yang bermacam-macam elaun (tak termasuk elaun kopi saman). Pistolpun berkarat sebab jarang guna. Sekarang ini polis boleh juga main tembak-tembak dengan budak-budak sekolah yang memandu tanpa lesen. Itu cara didikan arwah untuk kami. Berkesan untuk kami, tapi mungkin tidak untuk alya dan adik-adik alya nanti. Mendidik anak di zaman blog, twitter dan facebook ini penuh dengan cabaran. Ditambah lagi seperti saya yang tinggal di metrokota. Sebab itu ramai pakar-pakar motivasi yang muncul untuk merawat penyakit-penyakit sosial yang bercambah. Alya memang masih kecil. Tapi mekanisme didikan yang bagaimana mahu saya terapkan? Kiri atau kanan. Liberal atau pluralis. Mungkin dalam dengkur saya malam ini akan saya perolehi ilham. Ah! kantuk menyerang biji mata saya. Jika tiada ilham dalam dengkur saya, esok seusai solat subuh akan saya fikirkan kembali.

P/S: kami merancang untuk ke i city malam tadi. Bawa alya jalan-jalan tengok lampu lip-lap. Namun apa yang dirancang tidak kesampaian. Suri pula tidak berapa sihat badannya. Jadi program ke i city bertukar kepada program membawa suri ke klinik. Suami mana yang tak sayang isteri. Badrul Muhayat saja yang sanggup pukul bini. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...