Friday, October 27, 2006
Selamat Hari Raya Idul Fitri
Buat keluarga yang tidak pernah surut kolam cinta. Guru-guru yang dulunya tidak pernah lelah mendidik hingga sebesar ini. Rakan-rakan tempat berkongsi waktu-waktu senang dan sulit. Selamat Hari Raya. Maaf zahir batin...
Thursday, October 26, 2006
1 Syawal 1427H
Suara Idul fitri tegas bergema melintasi segenap pelusuk buana. Segalanya dipenuhi barakah. Yakinlah kita pada janji tuhan, serta tunduk pasrah di sisi segala doa dan dipenuhi segala yang dipinta. Sebulan penuh rahmah dan keampunan, khusyuk setia pada ayat-Nya. Maha suci Allah, tuhan Muhammad, tuhanku, tuhan pelusuk alam. Usai Ramadan. Lorong-lorong bukit menjadi sangat sunyi. Tafakur dan ratip kini silih berganti dengan bisikan syaitan. Mana arahnya mahuku tuju. Sedang sore kian menutup tabir satu syawal.
Buat gemulah bapak, Hj Alias dan gemulah tuk, Hj Osman, serta leluhurku yang bersemadi di tanah perkuburan islam Kg Sedingka, Bota Kanan Perak. Aku titipkan al-fatihah untuk mereka. Dilapangkan segala kesulitan di alam barzakh, sebelum yaumul masyar menutup usia dunia. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali…
Wednesday, October 18, 2006
Wasiat
Bukan niat ini untuk bicara soal nyalarasa
Bukan niat ini untuk menyimpan segala api rindu
Segalanya telah lama bersarang dihati
Hingga ia jadi tumor
Menunggu masa untuk operasi
Dan doktor beritahu yang hidupku cuma ada 24 jam
Mahu ku beritahumu
Bukan dengan petah tutur kata
Tapi percayalah setiap helai nafasku
Bahawa cinta itu kata sumpah
Bicara dari dalam
Tidak dari luar
Itu mudah buatku
Aku cuma ada 12 jam lagi
Dan berbahagialah dengan hidupmu
Cumbuilah dengan rasa syukur pada Tuhan
Tuesday, October 10, 2006
CINTA
Apabila cintamu tidak berhasil, bebaskanlah dirimu. Biarkanlah hatimu kembali melebarkan sayapnya dan terbang kealam bebas lagi. Ingatlah, kamu mungkin menemukan cinta dan kehilangannya, tatapi saat cinta itu dimatikan, kamu tidak perlu mati bersamanya.
Walaupun dalam urusan cinta kita sangat jarang menang namun, ketika cinta itu tulus meskipun mungkin kelihatannya kamu kalah, kamu sebenarnya menang kerana kamu berbahagia sewaktu kamu dapat mencintai seseorang lebih dari kamu mencintai diri kamu sendiri…..
Monday, October 09, 2006
Beritahuku
Cerita sebenar di balik kelambu itu
Dari setiap helaian-helaian sumpah
Yang menggomol malumu
Mana perginya kamu
Menghilang tanpa seucap baris kata
Beritahuku
Waima siang tak kunjung-kunjung
Dan malam larut dalam ghairah kasmaran
Beritahuku
Susuk tubuhmu untuk siapa
Di ratah hingga renta
Lunyai dihenyak kuasa
Sekujur tubuh lena
Mahu kuberitahumu
Mereka membuka kutangmu dengan rakus
Berahi membuatmu hidup yang meminta
Dahulu hingga sekarang
Manusia buas takkan pupus
Dari politisi hingga insan kemacar
Mahu kuberitahumu
Rasa empatiku
Bahawa dalam remang-remang lorongmu
Masih ada kandil yang bersinar
Matahati reformasi
Keluar dari dunia mahingmu
26 mac 2006
p/s: lorong-lorong gelap itu seumpama sebuah dunia lain. Sisi dunia dengan peraturannya, penguasanya. Kamu tak bisa memilih dan tidak diberi pilihan. Semua telah ditetapkan. Suaranya adalah kebisuan. Sebuah dunia libur. Dunia noda. Jangan salahkan mereka kerana kita hidup dalam milieu ini.
Sunday, October 08, 2006
SECAWAN KOPI
Secawan kopi waktu pagi
Di kopitiam tepi jalan besar
Waktu keliling macet dengan motokar
Membawa asap hitam ke ruang udara lepas
Namun mana terlawan aroma kopi pagi
Yang buat setiap belulang dan sendi segera bangun
Secawan kopi panas
Hangatnya laksana suria pagi
Sambil meminjam angan-angan Mat jenin
Yang sedang meninggi memahut dahan nyiur
Sedang buahnya masih belum tercapai dek tangan
Secawan kopi pekat
Dihidang oleh dara mungil desa kepayang
Kopi yang kelatpun boleh jadi manis
Bukan saja yang belia
Yang bertongkat pun terangkat
Secawan kopi
Bukan sekadar sarapan pagi
Tapi eskapisme marhean desa kota
Sebelum Ahmad kembali ke sawah
Raju kembali ke estet
Manjit kembali ke ladang
Ah Seng kembali ke gudang
Sambil menyusung impian
Agar hari ini di murahkan rezeki anak-bini
p/s: aku tak minum kopi, aku lebih suka minum teh O. Arwah tok aku dulu cukup suka minum kopi pekat dan kelat, sambil hisap rokok daun. Aku rasa orang minum kopi sebab mahu lepaskan tekanan. Kopi boleh jadi bahan stimulen. Sebab tu orang campur tongkat ali atau kacip fatimah dalam kopi tidak dalam teh. Kalau ada tak tahu pula aku, Bahan asasnya kan kafein, yang buat orang ketagih. Tapi ketagih kopi takpala dari ketagih ganja, marijuana, pil khayal, ubat batuk ataupun daun ketum.
MERAWAT SUNYI
merawat kesunyian
yang melayang tanpa arah
Kosong ujana mata
betapa jiwa ini meronta
sesat dalam bustan rindu
kemana mahu dicari damai itu
Cuma tinggal puing-puing resah
Cinta
ibarat pelangi waktu
Juga arak didalam gelas kaca
Kala ia datang
Anginpun berpuput dingin
Dan jika ia pergi
Membawa nanar penuh luka
Cinta yang sunyi
cuma menyanyi dlm hati
TULISKAN APA SAHAJA
Tuliskan apa sahaja
Dengan mata penamu
Atau dengan bingit mesin taipmu
Tuliskan apa sahaja
Tentang nyalarasa
Yang terbungkam dalam benak hatimu
Biar berdetak jantung selama itu
Tuliskan apa sahaja
Dalam khali ini
Waima dirimu diulit sepi