Suatu yang tipikal, ibubapa akan sentiasa memilih yang terbaik untuk anak-anak. Ekspetasi anak-anak zaman ini cukup tinggi. Kami punya beberapa pilihan sebenarnya untuk Nur Alya. Kemudian disenarai pendek, dan akhirnya kami memilih Children Islamic Centre. Setelah melihat sendiri tempatnya, modul dan silibus, serta guru-gurunya kami rasa ini yang terbaik. Lokasinya pula hampir dengan kediaman kami. Kos yuran bulanan agak mahal untuk sesi pagi sampai petang (pakej zamrud). Namun bukanlah duit soalnya jika mahu berikan yang terbaik. Anak-anak bukan bebanan, bukan juga aset untuk mengaut keuntungan, dengan alasan boleh beri ibubapa kekayaan jika berjaya kemudian hari nanti. Anak adalah tanggungjawab. Anak adalah pencen kubur kita. Kami mahu, seperti kata Dr Muhaya mendidik anak supaya jadi ahli syurga. Matlamat hidup untuk mendapat redho Allah, bukan redho manusia.
Noktah
Tanpa sedar, betapa pantas masa berjalan. Alya kian membesar, kami pula kian dikunyah usia. Alya akan meniti usia seperti kami. Pergilah berkelana atas nama Allah. Cuma pesan kami, jangan lupa titipkan secangkir doa buat kami kelak.