Sudah hampir di hujung bulan mac 2011. Baru muncul entri pertama bulan ini. Desakan kerja buat rangsangan untuk mem'blog' kian terbatas. Kursus, mesyuarat, tugas-tugas di kantor yang penuh ruwet. Pelbagai karenah. Aneka masalah. Belum dicampur dengan urusan rumah yang masih belum selesai di pihak peguam, bahagian pinjaman perumahan dan jabatan penilaian harta. Lelah juga rasanya waktu didera fizikal mental ini. Namun alhamdulillah, waktu sulit begini juga kita hampir dengan pencipta. Memohon dipermudahkan segala urusan. Percayalah setiap yang datang pasti turut serta bersamanya hikmah yang tersembunyi.
Noktah.
Bulan ini juga jepun dilanggar tsunami besar. Angka korban mencecah ribuan. Namun tiada siapa yang dapat melawan takdir Tuhan. Alam yang sentiasa patuh kepada penciptanya. Betapa kita ini kerdil disisi-Nya. Di nusa, tsunami politik tak pernah surut. Drama politik ini makin panjang plotnya, sudah jadi telenovela. Muncul pula video seks terbaru dikaitkan dengan Dato' Sri Anwar. Politik nusa kita kian menjijikkan dan memualkan. Tidak berani berlawan secara berdepan, berhujah dengan berlapang dada. Jalan kotor yang dipilih. Rakyat sudah pandai menilai.