Tuesday, May 13, 2008

Di sini menyemai semangat, membuhul harapan, memetik rindu, menguntum kasih

Stigma sentiasa menyelubungi takkala berkunjung ke biro tata Negara. Laksana awan gelap yang mengiringi hingga ke pintu masuk kem. Mungkin itu tentatifnya masa ia diwujudkan dahulu. Menanamkan semangat patriotik pada para peserta, khususnya penjawat awam yang masih baru di mandala ini. Susah mahu ditafsirkan objektifnya, dan juga kadangkala buat diri keliru. Adakah ia sebuah program yang berbau politik cauvinis ataupun satu usaha murni menyemai benih cintakan tanahair yang tercinta ini? aku tidak seratus persen konformis dengan isi, modul, isu, yang terdapat dalam kursus ini. ia memerlukan satu cerakinan idea, sumbangseran, penilaian dari pihak kedua, untuk menilai setiap perkara yang dibangkitkan. Ia mesti berbentuk emperikal, bukan sekadar cuba-cuba.
Noktah
Bangsa melayu adalah bangsa yang besar, bangsa pelayar, bangsa pengembara. Bahasa melayu pernah jadi lingua franca di nusaraya ini, namun kenapa bahasa melayu hari ini tidak mampu berdiri sendiri. Lebih molek kita mengkoreksi diri kita dari menyalahkan orang lain. Maju atau mundurnya melayu bukannya atas frasa melayu itu. Jika nama melayu yang menjadi alasan kemunduran melayu hari ini maka tidaklah Melaka yang disebut oleh tom pires sebagai jelmaan kota venice di timur.
Noktah
Cubalah merenung kembali pada sejarah. Melaka. Suvarnabumi ini suatu ketika dahulu dicemburui oleh bangsat-bangsat dari portugis, inggeris dan belanda. Melaka lebih maju dari Malaysia kita hari ini. Melaka dahulu satu dominasi yang kuat dari segi ekonomi dan politik. Apa kekuatan Melaka suatu ketika dahulu?. Aku percaya kekuatan ini datang dari Islam. Islam membawa kemakmuran ke Melaka sebagai ‘baldatun toiyibah’. Islamlah yang memangkin kegemilangan Melaka. Dipayungi dengan rahmat tuhan yang tak terhempang. Namun apabila islam terpinggir di Melaka, maka saat itulah gerhana mulai muncul dan akhirnya lenyap ditelan kuasa barat. Maka sekali-sekala kita kena menoleh sebelakang. Melihat sejarah yang kini telah jadi sesawang.
Noktah
Usai sudah 5 hari. Macam yang aku beritahu tadi bahawa aku bukan seratus persen konformis. Tapi aku melihat dari sisi yang molek. Ada ilmu dan pengalaman yang bercambah di sini. Juga menambah koleksi-koleksi teman di peti e-mail (entah mereka mengenali aku atau tidak). Dan yang pentingnya aku kena buka dan menelaah perlembagaan Malaysia lepas ini. Banyak yang kena di perhatikan.
Noktah
Waima fikrah aku kadangakala kontradik dengan manusia seputar aku, namun tak perlulah pertikaikan rasa patriotik aku pada Malaysia yang satu ini. Cuma aku memilih ideologi yang ruas pandangnya lebih jagat. Dan tiada yang lebih adil dari keadilan Islam. Dan tiada perlembagaan yang lengkap selain dari al-quran dan hadis. Itulah dustur Ilahi.
Noktah
Aku rangkumkan segala kenangan ini melalui gambar dan puisi di bawah. Ia segugus memori terindah yang tak terucap di tubir bibir.

Usai waktu berlalu
Setelah kita lakar memori
Yang jadi buak-buak ceria
Akhirnya hati bertaut di sini
Rindu menguntum di sini
Kasih terbentur di sini
Lalu mesra kian bertaut
Dan kita mula bina seloka tawa
Akhirnya menguntum bunga cinta
Yang mengayam di tubir bibir

Dan kembara ini di anjung akhirnya
Pada semua
Diam-diam kusyukuri pertemuan ini
Tak terbayar olehku
Ku serahkan kembali pada yang Esa

Moga-moga ketemu lagi


Kursus Kenegaraan
Biro Tatanegara
Kem Bumi Jati Shah Alam
08-12 Mei 2008

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...