Ramadhan yang datang
Datang dengan barakah tujuh lautan
Mencari cinta hakiki
Menyuci badan dari kotoran
Daki dosa setahun lalu
Amal dilipat ganda
Waima sedekah sebiji tamar
Menanti kucupan kasih-Mu
Memohon marghfirah dari-Mu
Titipan doa teleku qiam malam
Agar temui al-Qadar mulia seribu bulan
Ku temui lagi Ramadhan ini
Dan aku datang dalam pasrah redho-Mu.
1 Ramadhan 1428. Ramadhan datang lagi. silih berganti. Tahun demi tahun. Ia datang dan kemudiannya nanti akan pergi. Sebahagian dari kita tidak berkesempatan menyambutnya sekali lagi. Ramadhan yang lepas adalah yang terakhir. Ini Ramadhan yang baru. Gemulah tuk dan bapak sudah lama meninggalkan Ramadhan. Bersemadi di alam barzah. Aku, kita, bakal menyusul kemudian. Ini Ramadhan yang terakhir atau tidak. Kita tidak tahu. Selepas Ramadhan, ada 11 rakannya lagi akan menyusul, Syawal hingga Syabban. Kita tidak tahu. Tapi nasihat aku, pada aku, pada kita, hargailah Ramadhan kali ini. Kita tidak tahu. Semalam pulau sumatra dilanda gempa 7 skala richter. Kita cuma terkena tempiasnya. Memang kita tidak tahu. Tapi ALLAH maha tahu. Tahu segala-galanya.