Thursday, June 19, 2008

Improvisasi

Di kantor suasana masih suram dan sunyi. Yang hingar cuma suara-suara kami yang seramai tujuh orang yang baru melapor diri ke sini. Masih belum ada bilik dan tugasan melainkan mengisi sejumlah borang yang perlu dihantar kepada bahagian khidmat pengurusan jabatan.

Noktah .

LHDN. Setiap graduan perakuanan pasti mengimpikan posisi sebagai pegawai gred 7 di sini. Mana mungkin peroleh gaji yang tinggi berbanding di jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Hari ini di dalam suratkhabar nusa tersiar berita kemasukan seramai lebih 40 ribu orang calon ke IPTA. 40 ribu orang ini akan bergelumang dengan segala macam rencam alam universiti. Tempat memupuk daya tahan mental fizikal. Menggali seberapa banyak ilmu yang kelak bakal menyuluh masa depan. 5-6 tahun kemudian mereka akan keluar (atau mungkin juga keluar awal lantaran kandas di tengah jalan). Suasana ekonomi, sosial dan politik nusa kita mungkin akan berubah. Saat mencari kerja adalah saat yang paling ruwet sekali selepas bergelar graduan. Tidak cukup sekadar segulung ijazah yang digenggam. Di luar cabarannya lebih besar dan realis. Bukan utopia di bilik kuliah atau berlingkar dengan teori-teori kalkulus maupun keluk-keluk naik turun pasaran. Saingan kian luas dan empirikal. Dunia luar sana bergerak cukup pantas. Perlu ada nilai tambah lain.

Noktah

Laut fikir aku mengimbas 5 tahun sudah. Waktu kerja firma audit. Gaji RM600. Tinggal lembah klang. Alhamdulillah boleh bertahan. Dari situ aku menimba pengalaman. Sedikit-sedikit. Hingga saat ini. Memang perit jika mengimbau kembali waktu itu. Zaman-zaman susah dahulu. Kini aku tidak lagi menoleh kebelakang. Di depan masih ada lompong-lompong yang perlu di isi.

Noktah

Dunia kian berubah. Etos dan patos. Begitu jua isinya. Manusia seputar sedang mencari eskapisme sendiri. Sebahagian menjadi narsisis. Dan aku. Di atas sfera bumi. Cuma mencari damai hakiki.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...