Setiap kota besar dunia pasti ada sisi gelapnya. Ada gelandangan berpelesiran, sang cacat yang meminta, pelacur mencari teman berahi dan wang, politisi yang rakus kuasa. Setiap kota besar dunia punya corak dan warnanya sendiri. Mencipta grafik dan CGInya sendiri. Animator-animator ini sesetengahnya bukan orang besar, bukan aristocrat, bukan korporat, eksekutif atau CEO. Mereka adalah marhean kota yang memang asal dari kota ini ataupun datang entah dari mana, yang mahu mencari rezeki. Halal atau haram. Noktah.
Filem anak halal menelanjangkan setiap kebobrokan anak muda ibu kota yang hidup di tengah kosmopolitan yang berbau hanyir, hamis, kotor dan jijik. Status ibukota bukan lambang kemulukan dengan terang lampu neonnya. Susuk gelap ini membuatkan penghuninya lapar dalam berahi, dan anak-anak muda membesar dalam nanar. Noktah.
Filem ini ialah cerita tentang anak muda dengan keghairahanya. Kegilaan merempit, khayal dengan dadah, gaduh sampai berbunuhan, lintah darat. Plot-plot ini digarap oleh sutradara Osman Ali dengan baik. Dengan mengambil latar kawasan flat murah ditengah ibukota, membelakangkan KLCC dan Times Square anak-anak muda ini membesar dan mencari rezeki. Memang semua anak muda ini gila, tapi mereka juga ada otak. Dan kadangkala ia buat mereka jadi lebih kretif. Noktah
Kenapa perlu tonton:
1. Farid kamil memang pelakon yang bagus cuma lepas ni dia perlu bijak memilih watak. Watak adiputra menyerlahkan bakatnya berbanding filem 7 perhentian dan filem2 komedi mentah lakonannya. Zulhuzaimi, Fauzi Nawawi, watak antagonis mereka memang menjadi. Betul2 jahanam. Maya Karin tanpa make up tapi lebih menyerlahkan keberkesanan lakonannya. Begitu juga pelakon2 lain. Masing2 memberikan impak yang tersendiri. Cuma fasha sandha. Macam ada yang tak kena. Mungkin susah nak buang imej natasyanya.
2. Kerja kemera yang cantik, suntingan yang kemas, dialog yang bersahaja menjadikan filem ini menarik untuk ditonton. Latar di atas bumbung flat persis dalam filem ungu violet.
3. Pernah nonton transporting? Ini filem trainspoting versi melayu. Cuma ia tak ada adegan ranjang.
4. Masih ada filem Malaysia yang bagus untuk anjung tahun ini. Tahun lepas ditutup dengan filem cinta sebagai filem terbaik. Siapa kata pengarah kita tak boleh buat filem komersial yang bagus?
5. Akhir sekali. Mungkin penonton lain tak perasan. Tapi aku perasan. Aku perasan ada novel faisal tehrani ‘perempuan politikus melayu’ atas bangku dalam rumah Erzan(adi putra) dan Milya(raja farah). Apa motif osman agaknya? Ataupun memang dah ada kat rumah tu?