Sunday, July 27, 2008

lelah

anjung minggu di shah alam dengan masa yang sangat cemburu. sabtu, ahad menghadiri kursus. di tambah dengan latihan kerja yang perlu di lunaskan. teman rumah aku menegur keliling mataku yang lebam. tidak cukup tidur mungkin. minggu ini yang cukup melelahkan. hilang nikmat hujung minggu menenangkan fikiran.

Sunday, July 20, 2008

waktu yang jadi perkakas terindah

ku bawa seberkas cinta
dan jalan meluru padamu
melurut lenggok bicara terindah
perkakas di lorong nubari ini
waktu kasih disemai
rindu yang bertunjang
cinta yang berkembang
dianjung waktu yang sentiasa cemburu

Saturday, July 19, 2008

seminggu

seminggu berlalu lagi. dan minggu-minggu seterusnya akan berlangsung lagi. semalam adalah sejarah. esok adalah harapan. harapan untuk terus hidup dan berkelana mencari segugus bintang di langit malam. ada manusia yang mencari harapan dalam mimpi. ada juga yang empirikal dan realistik. terpulanglah.
noktah
minggu lepas debat anwar dengan ahmad shabery. debat yang penuh dramatik dan ternyata anwar menguasai segalanya meninggalkan shabery dengan fakta-fakta mentah atau separuh mentahnya. anwar bilang harga minyak akan turun 50 sen esok jika pakatan rakyat memerintah hari ini. harga minyak mahu turun? apa lagi yang rakyat marhean mahu. retorik? tunggu 16 september nanti.

Sunday, July 13, 2008

berpergian

mendengar bahasa jiwa
yang lembut dan tulus
terupam di tubir bibir
tiada sesal dari gelombang resah
terbang aku
dari sayap-sayap cenderawasih
suara nyaring sang pencinta
bersiulan dari bicara
dan hati menengadah
pada detaknya
berlimpah cahaya indah

aku akan berpergian seminggu lagi. entah apa lagi rencamnya. gapura ini juga terhenti sementara untuk seminggu ini. insyaAllah gapura ini akan aku buka semula nanti.

Friday, July 11, 2008

di sini bermula susur perjalanan

ada meja kecil di tepi tingkap. ada suara cicip beburung di dahan luar. pawana menghembus dingin. sayup dikejauhan menghijau belantara. ruas pandang saya tertancap pada keindahan ini. lari dari hiruk-pikuk manusia dan seputarnya yang pelbagai rencam.
noktah
berada di akademi percukaian malaysia kala saya sedang sebuk mempersiapkan segala macam untuk majlis walimah di anjung tahun nanti. rancangan telah dibuat dan disenaraikan apa yang perlu untuk keperluan majlis tersebut. tapi nampaknya yang paling sebuk adalah 'dia'. saya yakin 'dia' tahu mana yang terbaik. saya di sini pula bergelumang kembali dengan kuliah, ujian dan tugasan, memang payah rasanya untuk mengembalikan momentum untuk menelaah semula seperti di kampus dahulu. namun perjalanan ini perlu diteruskan juga. antara susur perjalanan-perjalanan yang perlu saya lalui dalam kehidupan yang singkat ini.
noktah
sore beranjak senja. peserta kursus asas perkhidmatan pegawai gred 7 lhdnm bergerak keluar dari auditorium seusai mendengar taklimat dari pihak penyelaras. suasana hingar sebentar sebelum beredar ke kamar masing-masing

Sunday, July 06, 2008

Akedemi Percukaian Malaysia

Bicara seputar senario terkini Negara kadang buat aku lelah dan penat. Politik nusa yang kian membingungkan dan harga barang yang mencanak naik. Namun dalam keributan yang jelas melanda ini, tautan mesra semakin terkapuk kukuh di hati. Mesra yang jadi eskapisme buat diri lari dari suasana yang tidak keruan ini.

Noktah

Hari ini aku akan mula melapor diri untuk kursus awalan lembaga hasil dalam negeri. Bertempat di Akademi Percukaian Malaysia, Bangi. Kursus ini akan berlanjutan hingga penghujung bulan ogos nanti. Buka semula silibus cukai yang sudah lama aku tinggalkan. Harap aku boleh fokus waima dalam kesebukan mempersiapkan majlis nanti.

Thursday, July 03, 2008

mungkin suatu hari nanti
masa akan menjadi mesra
dan pagi akan sentiasa disinari sinar
tiada lagi jentaka yang mampir
semuanya indah belaka

mungkinkah segalanya?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...