Monday, December 17, 2012

Debar Hari Pertama


Menghantar Alya pertama kali ke sekolah (waima baru bertaraf pra-sekolah) terasa debarnya. Risau takut ada lakonannya di pagi hari. Alhamdulillah tidak sukar memujuknya tadi kerana sebelum ini hasrat untuk kesekolah sudah membuak-buak di dadanya. Walaubagaimanapun pagi tadi diturutkan juga segala kehendaknya. Dari baju apa yang mahu dipakainya sehingga menu sarapan paginya. Apa-apa sahajalah.
Usai 2 jam orientasi tampak riak gembira diwajah Alya. Ada ramai kawan kata Alya. Saya diberitahu cikgu di situ hari ini cuma sesi pengenalan diri dan membentuk disiplin diri sewaktu di sekolah. Belum lagi masuk sesi pembelajaran di kelas.




Riak wajah Alya memulakan diari baru dalam kehidupan. Waima masih lagi kecil, saya harap Alya betah menyesuaikan diri di alam persekolahan. Ini langkah pertama. Kelananya masih jauh. Saya tidak memaksa Alya. Namun cuba saya selami nuraninya. Kemahuan anak kecil yang penuh dengan jiwa besar. Saya tidak mengharapkan Alya jadi orang besar, masuk ke universiti yang bagus dan punya status yang tinggi di alam pekerjaan (waima di sudut hati saya turut mahu anak berjaya dalam lapangan kerjaya), cukuplah saya titipkan doa buat dia agar jadi ahli syurga. Karekter ahli syurga salah satunya adalah taat kepada ayah dan bondanya. Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...