Saturday, May 31, 2008

Bila durian luruh 2 - finale

80an. Zaman ini tiada lagi measat dan soyuz. Yang ada Cuma buruj-buruj dan bulan di langit. Bersawang di waktu malam. Itulah neon kami waktu itu.

Noktah

Dulu bila mak suruh meloceh isi durian untuk dibuat tempoyak aku selalu lari. Bagi aku kerja meloceh isi durian bukan kerja orang lelaki dan mencabar kemaskulinan aku. Kakak-kakak aku bising ya amat. Dulu gerakan feminis masih belum muncul (yang ada cuma kumpulan penyanyi wanita feminin) menuntut emansipasi gender. Tapi realitinya aku memang suka tempoyak. Terutamanya gulai tempoyak ikan tongsan dari hasil tangan mak. Memang cukup-cukup berahi. Macam makan sup ekor. Kakak-kakak aku bukannya reti masak. hahahaha. Sori ya nyah, kak ina, kak ani.

Noktah

Gemulah bapak dulu ada selaras senapang patah. Bila dia tak ada aku selalu curi-curi main senapangnya. Berlagak macam dalam cerita combat kat tivi tengah lawan nazi jerman. Senapang tu gunanya nak tembak biawak hidup atau tupai. Biawak hidup selalu makan telur ayam kampung mak kat reban belakang rumah dan tupai suka robek buah durian kat baruh. Aku dulu selalu ikut gemulah bapak pergi menembak kat dusun baruh. Kadang-kadang usop limbah ada, lan botak ada, mail sepatpun ada. Gemulah bapak tak bagi ramai-ramai takut tupai lari. Aku pernah melahirkan hasrat aku nak belajar menembak dari gemulah bapak. Apa yang aku dapat. Dia halakan muncung senapang tu kekepala aku. Selepas tu aku tak berani minta permisi lagi. Yang aku anginnya abang sulung aku dibaginya pula. Mungkin abang dah besar, dan aku kecil bocah lagi.

Noktah

Zaman millennium. Masa bergerak cukup pantas. Pokok-pokok durian kesayangan kami masih terpacak lagi di situ. Daunnya yang kekuningan masih merimbun. Masih retro. Macam kereta vintaj. Tapi ya. Usianya sudah renta. Dan semenjak gemulah bapak, gemulah tuk, gemulah pak usop, gemulah pak din, serta gemulah-gemulah yang seangkatan dengan bapak pergi meninggalkan kami, pokok-pokok durian itu seakan bersedih. Tidak banyak buah-buah yang bergentayangan. Kalau adapun tidak sebesar dahulu. Dunia sudah berengsot. Makin maju. Makin canggih. Dan kita larut dalam semua itu. Kenangan itu masih berbalam-balam dalam ingatan aku. Pada dusun baruh, pada Honda c70 dan senapang patah gemulah bapak, pada pawang malik, usop limbah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...