Sunday, April 29, 2007

Cuti

i.
Aku ambil cuti seminggu bermula esok. Dan esok malam aku akan pulang ke kampung. Berjumpa bonda tercinta yang lama tidak ketemu. Sesungguhnya menatap wajah, mencium pipi dan tangan bonda memberi sejuta rahmat tak terbilang. Biarkan segala batu yang menghempap diri dan beban dunia yang penuh momokan, namun kasih cinta aku pada bonda tidak akan sama sekali terhijab.

ii.
Cuti ini akan aku isikan dengan mengkhatam buku-buku yang kubeli semalam, menghabiskan menonton DVD Prison Break musim kedua yang baru aku beli secara online, menulis seberapa banyak puisi dan merayau dengan teman lama. Ini semua cuma rancangan. Entah-entah lebih banyak masa terisi dengan 'meroloh'. Zzzzz

iii.
Seminggu ini aku cuti dari blogging. Jumpa lagi bila aku pulang semula ke shah alam.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2007


Di sini adalah surga buat pencinta buku. Dan buat seorang pencinta buku peluang ini amat dinantikan. Aneka jenis bahan bacaan, pelbagai genre dan ada juga yang terselit naskah yang pada pandanganku agak kontroversi (terpandang aku pada buku bertajuk Inside The Gender Jihad karya imam wanita Amina Wadud). Menjelajah ke setiap booth pameran adalah satu eskapisme, melepaskan segala tekanan. Akhirnya tercopet juga beberapa buah buku. Antaranya novel terjemahan Hermann Hesse (pemenang hadiah nobel sastera 1946 dari Jerman) bertajuk Siddhartha, antologi cerpen Dr Anwar Ridhwan, Gerakan Freemason Sedunia tulisan Harun Yahya dan beberapa buah lagi. Memang banyak duit aku yang bertukar tangan. Ah! untuk buku aku sanggup bergolok gadai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...