Lima kisah cinta, satu cerita - mengenai Harris dengan isterinya Airin; hubungan Dyan dengan adiknya, Dhani; cinta Elyas seorang pesara guru dengan pemilik gerai, Rubiah; hubungan Azlan & Azura, dan hubungan Arianna & Taufiq - di mana semuanya saling berkait dan berlatar kota metropolitan Kuala Lumpur.
Lama sudah tidak menonton sebuah cerita berbahasa melayu yang cantik pada layar retina aku. Sebuah resepi baru untuk filem malaysia dalam mileau ini. Terima kasih buat pengarah Kabir Bhatia, skrip yang matang dan hampir sempurna dari Mira Mustafa dan Abdul Rahman Ahmad, sinematografi yang indah dari Madnoor Kassim dan runut bunyi yang sedap dari Pacai.
Lupakan saja kisah tarik rambut Rita Rudaini dengan Lisdawati, mahupun ungkapan ‘i’m look stupid when i speak in malay’ Sharifah Amani masa FFM lalu. Dalam filem ini Dato’ Rahim Razali bukan pengulas sukan olimpik, Fatimah Abu Bakar bukan cikgu bahasa inggeris bebudak AF, dan Rashidee dah lama keluar dari kugiran 'Dead Mushroom'. Cinta datang dalam lanskap sebuah strata masyarakat Malaysia yang datang dalam pelbagai kelas sosial. Dari kisah pelukis jalanan dan buskers di central market, seorang bekas guru yang menghidap Alzheimer di Abdullah Hukum hingga kisah ego seorang penerbit majalah tersohor di metro kl.
Kuala lumpur menjadi latar filem cinta, seperti kita tahu yang menara berkembar Petronas itu terpacak di Kuala Lumpur dan tidak di tempat2 lain di dunia ini. Namun susuk menara itu cuma sayup dari jauh, dari Kampung Baru, dari Abdullah Hukum, dan entah mana-mana lagi mandala seputar pinggir kotaraya (rasa macam mengunjungi deretan kedai-kedai lama di Ipoh). Lokasinya sekitar kuala lumpur. Mungkin tempat2 yang biasa kita kunjungi, yang hampir dengan kita, tapi kita tak ambil kisahpun. Namun figura dan latarnya seakan dekat dan begitu mesra dengan kita.
Filem ini memang ada persamaan dengan filem barat Love actually atau magnolia. Hanya persamaan saja, bukan latar cerita. Jika filem ini bagus, peduli apa sama ada sama atau tidak. Yang penting bila keluar panggung penonton rasa puas. Dan itulah yang aku rasa usai durasi sejam setengah menonton cinta. Cinta sebuah cerita tentang manusia, tentang kita, waima kita sedar atau tidak. Segalanya berjalan menelusuri arus dunia yang penuh kemajuan dan serba pantas ini. Cinta sebuah filem kita yang hampir sempurna sebagai menutup tirai untuk tahun ini.