Selamat Tahun Baru Hijrah. Waima Muharram bagi kebanyakan ulama sirah menyatakan bukanlah bulan hijrah pertama Rasulullah.
"Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166)."
Amalan membaca doa akhir dan awal tahun juga bukan sabit dari Nabi. Bukannya satu kesalahan pula untuk membacanya. Doa pada asasnya semuanya baik selagi ia tidak meletakkan ia satu amalan yang langsung dari Rasulullah s.a.w. Baca atau tidak jangan pula jadi perbalahan umat. Namun yang sahih dari Rasulullah adalah digalakkan untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Itu kemuliaan Muharram di sisi Islam. Wallahualam.