Troy. Filem ini mungkin telah basi. Ditayangkan kalau tidak silap aku dua tiga tahun lepas. Namun baru semalam pertama kali aku menonton filem ini, pastinya dari DVD lanun cetak rompak yang aku beli di Summit USJ.(baca: persetankan dengan slogan beli yang original).
Troy ialah kisah perang. Itulah yang didendangkan oleh penyair buta Homer, merentas masa beribu tahun dahulu. Homer si penyair melagukan syair perang ini bersama watak-watak adiwiranya, Archilles, Hector, Agamemon, Oddysseus, Menelaus dan sebagainya. Sejak dahulu perang berkisar soal kekuasaan, keagungan, maruah bangsa, dan juga seputar soal cinta. Dan segalanya terangkum menjadi satu oleh Homer dalam The Illiad.
Cinta memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menuntut jiwa sebagai galang gantinya. Cinta Paris putera Priam dari Troy, dan Helen, perempuan tercantik yang berkahwin dengan raja Menelaus dari Sparta. Cinta yang akhirnya bertukar perang, setelah Paris melarikan Helen dengan rela hati ke Troy. Maka dari itu bermulanya perang trojan, perang antara Greek dan Troy. Menelaus bukan setakat mahu mengembalikan maruah yang tercalar oleh tindakan Paris putera Priam melarikan permasurinya, tetapi menjadikan alasan untuk menakluk Troy yang sekian lama diidamnya. Troy memang cukup ampuh dengan kotanya, dengan pasukan pemanahnya yang diberkati dewa Apollo. Dan itu Menelaus memerlukan Archilles wira separa dewa untuk memenuhi cita-citanya
Archilles putera Peleus. Namanya cukup tenar serata Greek. Manusia separa dewa ini tidak pernah tumpas dalam apa-apa perang sekalipun. Archillis memang dilahirkan untuk berperang. Namun tidak dibawah telunjuk raja-raja Greek yang gila kuasa. Archilles berperang untuk Greek, bukan untuk raja-rajanya. Archilles mahu diingati sebagai pahlawan agung, dan perginya ke troy bukan setelah dibujuk Oddysseus tetapi untuk diingati sebagai pahlawan agung dalam sejarah. Ibunya dewi thetis mengingatkan archillis, dia boleh tinggal di greek, berkahwin dan beranak-cucu di sini, atau ke troy dan mati sebagai pahlawan agung.
Setelah Archilles membunuh Hektor, sang wira dan jeneral troy, pertahanan kota menjadi lemah. Lalu dalam satu malam kota troy habis dilanggar bala tentera Greek. Troy ditawan Sparta. Namun takkala perang sudah di penghujung, putera Paris mencabut busurnya lalu memanah tepat ke tumit Achilles. Archilles gugur di situ. Memang benar namanya tidak akan putus disebut orang. Hingga kini.
p/s: setelah Arcilles dilahirkan ibunya, dewi Thetis, mencelupkannya ke dalam sungai Styx. Kerana takut Archilles hanyut di bawa arus, Thetis memegang tumit dan pergelangan kaki takkala membenam archilles ke dalam sungai. Seluruh tubuh Archilles yang dibasahi air sungai Styx akan menjadi kebal, melainkan tumit Archilles.