Sunday, November 26, 2006

Revolusi 1

Revolusi. Ia cetusan pembaharuan. Tofler pernah merumuskan dalam adikaryanya ‘The Third Wave’ bahwa gelombang ketiga yang melanda dunia hari ini selepas revolusi pertanian dan revolusi industri adalah revolusi maklumat. Maka dalam milieu ini, mereka yang lambat memperoleh maklumat bermakna akan ketinggalan ke belakang. Mengapa maklumat? Maklumat itu hadir dalam bentuk pengetahuan. Bermakna mereka yang ketinggalan mendapatkan maklumat terkini akan ketinggalan dalam konteks ilmu. Kuasa ilmu mengatasi segalanya. Tanpa ilmu maka tiadalah daya intelektualisme.

Revolusi intelektual bukan suatu yang baru. Nun jauh di Perancis, revolusi meledak dengan didahului pemikir-pemikir pencerahan seperti Mostesquieu, voltaire dan Rousseau. Renaissance akhirnya meruntuhkan monarki beraja Perancis, Bastile ditawan dan rakyat mencabut kepala raja Louis XVI dengan gilotin tanggal 14 Julai 1789. Revolusi perancis ini akan sentiasa kekal dalam ingatan, bahkan akan sentiasa memberikan dimensi baru kepada asosiasi antara peristiwa tersebut dengan intelektualisme.

Casino Royale

Aku bukan peminat fanatik filem francais agen perisik 007. Aku tak kisah siapa yang memerankan watak Bond tersebut, Sean Connery, George lazenby, Roger Moore, Timothy Dalton, Pierce Brosnan hatta Daniel Craig sekalipun. Aku juga tak kisah apa warna rambut Bond sama ada hitam atau perang (rambutpun boleh jadi isu sebab bond-bond sebelum ini semuanya rambut hitam). Semua filem Bond stereotype. Orang jahat lawan orang baik, dan kita tahu orang baikkan selalunya menang. Filem-filem anti hero dan anti klimaks bukannya penonton suka tengok, tambah lagi kalau nonton filem-filem ‘mind blowing’, ada unsur-unsur falsafah sikit mulalah berdengkur di panggung. Aku tak mahu komen panjang fasal jalan cerita Casino Royale, tapi aku rasa macam ada yang tak cukup. Mungkin dalam siri prequel novel Ian Fleming itu begitulah ceritanya. Malas nak fikir panjang habis cerita aku terus keluar panggung. Sekadar eskapisme. Kerja di pejabat memeningkan kepala aku. Sekali-sekali keluar menonton hilang jugak segala penat di kepala ini.

P/S: aku lebih suka tengok Daniel Craig jadi gangster dalam Layer Cake.

Tuesday, November 21, 2006

Anak Kecil Tepi Lorong














Anak kecil tepi lorong

bergelombang airmata

tangisan ratapan hidup -jangan diseka

Kiri & kanan menebarkan mimpi, cinta, derita

Dan selepas itu?

terpencil dari warna-warni dunia


Anak kecil tepi lorong

terang dimakamkan oleh kegelapan

kepiluan & kesedihan tegas membatu

berguguran di kolong langit


Hapuskan segera airmatamu si Anak kecil

jangan ditangisi di lorong

bisukan dunia dengan semangat

Kiranya angin bertiup kencang

tebarkan sayap - terbanglah bebas

Sambil beburung berdendang

Meniupkan serulingnya.

Wednesday, November 15, 2006

Singgah-Sana














Singgah sebentar menemani kau

Waktu hari ini menyusung sejuta hari-hari kemudian

Rindu membawaku ke sana


Tiba-tiba kau berlari

Dan kemudian singgah sebentar di pohon luka ini

Merawat hati rawan

Yang memeritkan

Yang memedihkan


Singgahsana yang kau bina

Tidak lebih hanya gema

Sebuah syurga impian

Sunday, November 12, 2006

TAKDIR

Jika takdir membuatmu merana, pohonlah kepada Tuhan agar Dia mengurniaimu takdir yang lain. Tidak terlarang bagimu meminta takdir yang lain, kerana takdir yang berada dalam perbendaharaan Tuhan tidak terbilang banyaknya.

-IQBAL-

Monday, November 06, 2006

Bahasa Terindah

Yang diucap dalam bahasa terindah.
jawapan yang bertanya didengar nabi.
antara kagum dan khusuk setiap ayatnya.
lereng gunung menjadi amat sunyi.
suara saja tegas bergema.
disampai arah berkias maksud serentak,
tapi jelas intinya.


tidak sedetikpun Allah menghindar.

atau mencemuh nabi disisi segala didoa.
dipenuhi segala yang dipinta tulus dan,
penuh baraqah.
yatim ia tak berlindung,
tidakkah tersedia juga bumbung baginya.
awal begitu bergantung,
kini tidakkah merdeka,
bebas hidupnya.

lirik : Dato' A Samad Said
lagu : Ramli Sarip
Penyanyi: Ramli Sarip

Ciuman Syawal

Kucium Syawal-Mu
Dalam dakapan akrab
Waktu-waktu ini
Kala muslim bertakbir
Tanda kasih syukur
Selepas rahmat sebulan Ramadan

Namun kala ini
Ada yang sulit meraikan
Palestin dan Iraq
Satu Syawal disambut dengan peluru dan mortar
bersilih ganti
Tiada ibu-bapa untuk dicium ampun tangan
Tiada ganti baju dan santapan enak di pagi mulia
Lebaran kosong hingga dinihari

Namun kita di sini mewah serba-serbi
Walaupun ada yang miskin
Namun tetap menghela udara kebebasan

Ramadan sudah berlalu
Biarlah ia pergi 11 purnama
Dengan harapan tahun hadapan
Kita masih dapat mengucup kasihnya

Moga-moga ciuman Syawal ini
akan berbekas dalam hati memberi cahaya
Cahaya yang pastikan bersinar

Dari paksina dan daksina

P/S: Puisi ini pertama kalinya tersiar di Majalah Tunas Cipta November 2006.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...