Sunday, December 30, 2007

2008



Tahun 2008 bakal menjelang tiba. Gerabak 2007 bakal kita tinggalkan. Dengan pelbagai cerita suka-duka yang berlaku seputar kehidupan kita. Sejarah selalu menoleh kesetiap sisi kehidupan, apa iktibar yang kita dapat setahun yang lalu. Namun adakalanya sejarah itu kita lupakan begitu sahaja.
2007 penuh dengan tragedi. Bayang-bayang Osama yang menghantui masyarakat dunia, Iraq yang sudah lelah kita impikan sebuah arca keamanan, palestin yang selamanya jadi mainan yahudi dan amerika, isu nuklear Iran dan korea utara, krisis Darfur yang meruncing, Politik Pakistan yang bergolak pasca kematian Benazir,. Pastinya 2008 depan, momen-momen ini akan ada kesinambungannya. Sejarah yang kita lupakan.
Aku.
Resolusi tahun baru 2008?. Blog ini rasanya sudah wujud lebih 2 tahun. Memuatkan tulisan-tulisan yang sebahagian besarnya bersifat peribadi, puisi-puisi tentang nyalarasa, rebiu filem-filem seusai ditonton. Entri mungkin telah bertambah. Namun rasa aku masih ada yang kurang. Macam mi segera tanpa perencah. Ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.
Yang lain.
Aku mahu tukar kerja (harap bos aku tak baca entri ini). Bertukar angin. Angin di sini nampaknya sudah tak serasi lagi. Semacam sudah jadi siklon. Nak cari angin yang sepoi-sepoi bahasa pula.
Lagi.
Kahwin. Kahwin? Dengan siapa? Ada. Tunggu sahaja. Akan ada bunga yang akan aku sunting nanti.
Ada lagi?
Ada. Nak kumpul duit. Bukan untuk kaya. Tapi untuk hidup senang. Tambah pelaburan dalam tabung amanah dan perbagaikan portfolio pelaburan. Minat dengan bisnes internet tapi tiada kaki. Ada siapa-siapa yang nak berkongsi?
Akhir
Dekatkan diri dengan Khaliq. Hendak kembalikan semula zaman-zaman masa di ehya’ dan ma’ahad dulu.

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran:8)

Saturday, December 29, 2007

Balasungsawa Benazir













Mungkin si pengebom berani mati itu menyangka bidadari syurga sedang menunggunya di pintu syurga. Dan tuhan meredhoi pengorbanannya, dari setiap cebisan-cebisan daging yang hancur dari tubuhnya. saya bukan pengkagum benazir. Tapi cara benazir dibunuh itu amat kejam dan tuhan sama sekali tidak merestuinya. Eksrimis agama ada merata-rata yang membunuh atas nama tuhan.
Bapa benazir, zulfikar yang dihukum mati oleh kerajaan Jeneral Zia ul-Haq atas tuduhan membunuh pada 1979, adik lelaki Benazir, Murtaza dan Shahnawaz yang juga terkorban akibat keganasan.
Dan berkata-katalah penyokong benazir "Bunuhlah berapa banyak Bhutto yang kamu mahu bunuh, seorang Bhutto akan muncul dari setiap rumah."

Wednesday, December 26, 2007

Basah

Langit bagai sudah ditebuk. Lalu segala apa yang dikantungnya mulai turun mencurah-curah. Hujan petang ini luar biasa lebatnya. Jarak penglihatan 100 metar dihadapan kian kabur. Mobil dan motorsikal memperlahankan kelajuan masing-masing, dan ia buat keadaan trafik jadi macet. Lopak-lopak ditakungi air, aliran sungai mengalir deras dan mulai mencecah tebing. Ibu kota kuala lumpur aku tak tahu keadaannya sekarang ini. Mungkin terowong smart bertukar fungsi jadi longkang besar. Shah alam, terutamanya kawasan TTDI dan batu 3 entah apa keadaannya pula. Basah seusai pulang dari kantor memang jadi kebiasaan. Alang-alang sudah hujan, redah saja. Basah tetap basah. Jangan kena tangkap basah sudah. Itu cerita lain pula.

Tuesday, December 25, 2007

bunga-bunga musim rontok
dihembus pawana yang nyaring
saat jiwa rasa mengelus lembut
dan jemari dalam erat meramas
ruang-ruang ini
jauhnya beribu batu
dekatnya dipangkal halkum

ada arah yang menunjuk
ada sepi yang menghurung
ada rindu yang mengbungkam
ada cinta yang menyambut
ada kata yang menunggu

Sunday, December 23, 2007

Kata-kata terpilih

Kata-kata ini yang aku pilih
Dari sekalian banyak aksara
Yang terupam dari pangkal lidah
Terus berlingkar memenuhi ruang batini
Untuk menyatakan dengan keindahan

Benarkah engkau?
Atau bermimpikah aku?
Sukarnya kuberitahu
Mimpi dari kebenaran
Dalam rajuk yang panjang
Ratib setiap malam
Yang ada cuma kesunyian panjang

Kata-kata ini yang aku pilih
Hanya aku seorang
Yang mengerti bait2nya

Saturday, December 22, 2007

dapat gaji. bayar hutang mobil, hutang kad, hutang ptptn, sewa rumah, bla.bla.bla. yang tinggal?

Friday, December 21, 2007

Jatuh

Perlahan-lahan ia jatuh
menyembah ke lantai
menyapu saat-saat purba

terlalu banyak cerita
waktu ia jatuh
ada mata yang merenung
redup
dan gerimis mulai jatuh
bersama melodi
berlagu sendu
menyanyi rindu

Thursday, December 20, 2007

Salam Iduladha

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. iduladha datang lagi dan kemudian nanti akan pergi. ketika ini umat islam yang berpegian kemakkah sedang menunaikan rukun islam ke 5. Dan buat umat islam yang lainnya ada yang melakukan amalan berkorban selepas solat sunat iduladha. selamat hari raya buat seluruh umat islam serata dunia. hari ini aku masih di shah alam. Tak balik kampung. Semalam ada temuduga spa. apapun selamat menyambut iduladha. dan selamat menjalankan ibadah korban.

Sunday, December 16, 2007

Setiap kota besar dunia pasti ada sisi gelapnya. Ada gelandangan berpelesiran, sang cacat yang meminta, pelacur mencari teman berahi dan wang, politisi yang rakus kuasa. Setiap kota besar dunia punya corak dan warnanya sendiri. Mencipta grafik dan CGInya sendiri. Animator-animator ini sesetengahnya bukan orang besar, bukan aristocrat, bukan korporat, eksekutif atau CEO. Mereka adalah marhean kota yang memang asal dari kota ini ataupun datang entah dari mana, yang mahu mencari rezeki. Halal atau haram. Noktah.
Filem anak halal menelanjangkan setiap kebobrokan anak muda ibu kota yang hidup di tengah kosmopolitan yang berbau hanyir, hamis, kotor dan jijik. Status ibukota bukan lambang kemulukan dengan terang lampu neonnya. Susuk gelap ini membuatkan penghuninya lapar dalam berahi, dan anak-anak muda membesar dalam nanar. Noktah.
Filem ini ialah cerita tentang anak muda dengan keghairahanya. Kegilaan merempit, khayal dengan dadah, gaduh sampai berbunuhan, lintah darat. Plot-plot ini digarap oleh sutradara Osman Ali dengan baik. Dengan mengambil latar kawasan flat murah ditengah ibukota, membelakangkan KLCC dan Times Square anak-anak muda ini membesar dan mencari rezeki. Memang semua anak muda ini gila, tapi mereka juga ada otak. Dan kadangkala ia buat mereka jadi lebih kretif. Noktah

Kenapa perlu tonton:

1. Farid kamil memang pelakon yang bagus cuma lepas ni dia perlu bijak memilih watak. Watak adiputra menyerlahkan bakatnya berbanding filem 7 perhentian dan filem2 komedi mentah lakonannya. Zulhuzaimi, Fauzi Nawawi, watak antagonis mereka memang menjadi. Betul2 jahanam. Maya Karin tanpa make up tapi lebih menyerlahkan keberkesanan lakonannya. Begitu juga pelakon2 lain. Masing2 memberikan impak yang tersendiri. Cuma fasha sandha. Macam ada yang tak kena. Mungkin susah nak buang imej natasyanya.

2. Kerja kemera yang cantik, suntingan yang kemas, dialog yang bersahaja menjadikan filem ini menarik untuk ditonton. Latar di atas bumbung flat persis dalam filem ungu violet.

3. Pernah nonton transporting? Ini filem trainspoting versi melayu. Cuma ia tak ada adegan ranjang.

4. Masih ada filem Malaysia yang bagus untuk anjung tahun ini. Tahun lepas ditutup dengan filem cinta sebagai filem terbaik. Siapa kata pengarah kita tak boleh buat filem komersial yang bagus?

5. Akhir sekali. Mungkin penonton lain tak perasan. Tapi aku perasan. Aku perasan ada novel faisal tehrani ‘perempuan politikus melayu’ atas bangku dalam rumah Erzan(adi putra) dan Milya(raja farah). Apa motif osman agaknya? Ataupun memang dah ada kat rumah tu?

Sunday, December 09, 2007

Rasional

Ramai yang hilang pertimbangan akhir-akhir ini. Dengan berbagai isu yang berputar-putar keliling kita. Dari isu pemanasan global di sidang kemuncak alam sekitar bali, perseteruan iran-as yang tanpa sudah, suara lantang hindraf yang masih bergaung di dinding koklea kita hingga aksi membosankan skuad bola kita di korat.
Rasional. Kata Nietzsche yang ethis itu, 'tuhan sudah mati.Dan kita telah membunuhnya'. Rasional nietzsche? Penolakan kepada hukum moral, lantaran tuhan tidak lagi mampu untuk sebagai peran kepada sumber dari semua aturan moral. Jawapannya ialah membentuk pemikiran nihilisme yang lebih idealistik dan menemukan titik moral manusia yang menolak sistem nilai yang sedia ada.
Rasional kita. Apa jawapan kepada permasalahan yang menebak dunia hari ini. Tuhan sudah mati kata nietzsche? Biarkan dia. dia sudah mati bersama tuhannya. Tuhan itu Baqa' sifatnya. Yang mati adalah kita. Tuhan sudah mati dalam hati kita.
Mencari rasional dalam setiap isu yang bersawang seputar kita. Jawapan ada. Ada dalam Kitab suci. Dan dalam sunnah nabawi. Baca dan ambil intinya, praktik apa yang ada di dalamnya.

Sunday, December 02, 2007

Disember

Disember ini penuh dengan harapan membuhul. Langkah akhir perjalanan untuk satu permulaan baru. Disember ini bulan penuh rencam. Terlorong sisi yang entah sekian kali banyaknya datang, untuk membuka atau menutup lubang-lubang binasa dari setiap rona-rona yang berjalan siang dan malam. 31 hari bermula dari semalam adalah satu pertandingan. Pemenang ditentukan dihari terakhir. Kepura-puraan dan hipokrasi. Dan masa depan yang tak pasti. Meneroka makna Disember ini yang kemaruk dengan pesta dan keraian yang berahi, adalah perjalanan yang ruwet. Namun harapan tetap di situ. Masih di situ. Sebelum kotak Pandora dibuka. Dan segala rahsia januari akan terungkai.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...