Tuesday, September 30, 2008

malam sebelum lebaran diri ini memohon ampun atas kekhilafan diri

pagi sebelum lebaran. trafik sedikit macet. ramai warga kota yang telah pulang ke leluhur desa. sebuk mencari sesuatu untuk lebaran esok. daging, tulang, ayam, beras pulut, daun palas, lemang, serai, rempah-ratus, ikan keli, tongsan dan patin, santan, kordial, etc.
noktah
lebaran ini mungkin kali terakhir aku tiada masalah untuk membuat pilihan pulang ke kampung. insyaAllah tahu depan kena ikut giliran pula untuk memilih kampung mana mahu pulang dahulu. proses transisi yang berlaku dalam kehidupan aku dan mungkin anda juga. masa yang menentukan sahaja. sampai atau tidak. semua itu kerja Tuhan.
noktah
buat anda semua. aku memohon gapura kemaafan andai ada terkhilaf dalam mencoret setiap kata, mengguris setiap hati, dan tersasul setiap madah. yang baik itu semua datang dari Tuhan, dan yang lemah datang dari kelemahan diri.

Monday, September 29, 2008

balik kampung dari selatan menuju utara tanah air

trafik nampak tenang. perjalanan sejauh hampir 450 km dari selatan ke utara tanah air berjalan lancar. pulang ke kampung berhari raya adalah ritual warga malaysia berbilang bangsa. tidak kira apa jua perayaan yang disambut. kerajaan hadiahkan sebulan bonus kepada warga perkhimatan awam. juga penurunan 10 sen petrol. dalam keadaan inflasi mencanak sehingga 8 % ini entah sama ada dapat mengurangkan bebanan rakyat massa atau tidak. relung ekonomi kian menyempit. nafas yang sudah sekian sesak ini, makin menyesakkan peparu. 51 tahun kepercayaan sudah diberi. entah releven lagi, entah tidak. kita yang memilih. kita yang wajar menjawabnya. malam sebelum pulang kekampung aku dan teman keluar minum kopi. bersembang tentang resah kami, marhaen kota yang libang-libu dengan kondisi siasah dan ekonomi negara yang bingung dan ruwet ini. masalah sub prima di amerika menyebabkan beberapa institusi kewangan runtuh, merebak macam virus pada negara kecil seperti malaysia. syarikat2 gergasi ini telah wujud hampir seratus tahun. runtuh dalam jangka masa pendek. ini sistem kapitalis yang mendominasi ekonomi dunia sekian lama. entah. kami cuma marhaen kota. dan kami-kami ini majoritinya adalah kelas pengguna bukan pembekal. apa pilihan yang kami ada. kami makan nasi dan itulah makanan ruji kami turun-temurun. dan untuk menukar nasi kepada gandum adalah mustahil. sudahlah politik porak-peranda. penuh retorik.
noktah
di radio berputar lagu balik kampung nyanyia allahyarham sudirman. dia di sebelah sudah lama lena. mungkin bermimpi biskut raya cukup atau tidak dan baju yang mana dulu hendak di pakai di satu syawal.

Tuesday, September 23, 2008

ingat. pelajaran bukan menjamin kamu menjadi bijaksana.

apa yang kamu maksudkan....tidak menjadikan kamu bijaksana?

satu perkara biasa.

jadi apa yang jadikan kamu bijak?

kehidupan.....itulah yang sebenar

-petikan dari novel 'cancer ward' karya alexander solzhenitsyn-

Sunday, September 21, 2008

tempat: MPH bookstore mid valley
masa: 5 jam lagi menuju waktu berbuka

gadis 'twenty something' jalan bergeselan dengan teman lelaki 'twenty something'nya. "i dah lama tak baca novel melayu, tak urbanlah". ditangannya terkepit novel pop inggeris berilustrasi lelaki perempuan dengan 'pose' berahi sedang menuju ke kaunter. tak jauh dari kaunter seorang amoi sedang tekun menguliti adikarya harper lee, to kill a mockingbird. si gadis 'twenty something' singgah menempek sebelah si amoi. dia tersenyum lalu beredar pergi. si teman lelaki 'twenty something'nya jalan bersiulan keluar.

Friday, September 19, 2008

kamu

kamu datang memberi harapan muluk. tentang keluar dari gubuk gelandangan. dari jadi bangsa peminta kepada bangsa pemuka. entah kenapa retorika kamu kini sudah jadi doktrin. entah betul. entah sesat. entah masih ada gentanyangan kebenaran di balik kebobrakan yang ibarat ike yang melanda negara uncle sam baru-baru ini, tidak termasuk dengan batuk selsema ekonominya. minggu-minggu ini ada sahaja yang berlaku. politik kata kamu makin meloyakan. ganggrel mulai memakan isi. dan kata kamu, kamu mahu mencari solusinya. entah betul. entah sesat.

Wednesday, September 17, 2008

menanti transisi

semalam 16 september. hari tertubuhnya malaysia. kalau tiada gembar-gembur dari bang nuar pasti tiada siapa yang ingat lagi pada tarikh bersejarah ini. kata bang nuar akan ada transisi tampuk pemerintahan dalam masa terdekat mulai dari tempoh ini. entah benar atau retorik politik bang nuar. tapi ramai yang sedang menunggu dan memerhati. nuansa politik nusa telah berubah. rakyat makin celik. tambah lagi dengan ledakan teknologi maklumat. media alternatif telah mengambil tempat saluran konvensional yang kian lapuk buletinnya. aku cuma rakyat biasa. marhaen kota yang hidup sederhana. pergi kerja, balik kerja. cari rezeki halal. kadangkala ingin berlibur bersama rakan-rakan. nonton bola dan dvd. ke masjid atau surau. dengar ceramah agama atau ceramah motivasi. menguliti novel-novel pop pilihan. ecetra. biarlah politik untuk yang ahli. aku cuma mahu yang terbaik dan cuma mahu hidup tenang. itu sahaja. kalau bang nuar janji nak turun harga minyak 70 sen, siapa tak mahukan. kalau jadipun biarlah secara aman. dan aku boleh buat kerja aku macam biasa. tak jadipun biarlah rakyat yang untung. dapat manfaat mana yang patut. harga barang kian mencanak naik. inflasi tinggi. aidilfitri dah dekat. peritnya dihujung halkum. tok wan, tok nenek kat kampung tak tahu fasal keluk ekonomi. yang mereka nak cuma harga makan pakai yang mampu milik. untuk anak cucu. pulang ke kampung di lebaran nanti.
noktah

Sunday, September 14, 2008

sekali-sekala nak juga berbuka puasa di luar. dan sekali-sekala juga lima puluh ringgit malaysia habis untuk seketul stik dan air ais berkarbonat. balik rumah perut mengadu tak kenyang lagi. tahanlah. berapa jam lagi nak sahur.

Tuesday, September 09, 2008

baru kebah

hari ini baru kebah dari demam. semalam nak angkat kepalapun rasa berat sangat. rasa macam bangkai titanic nak hempap serebrum aku. usai dapat ubat + MC dari klinik panel anis seksyen 2, sebelah kedai photostat berhadapan dengan medan selera yang entah bila nak siap, aku langsung balik ke rumah. si doktor india yang rawat aku beritahu yang aku tak demam. tapi aku rasa ngeletar macam tinggal dalam iglu bertemankan beruang kutub, pinguin dan ikan paus biru. aku syak termometer yang misi tu bagi rosak @ dah 'expired'. si dia tak sudah-sudah nasihatkan aku; minum air masak banyak-banyak, selimut badan tebal-tebal, jangan buka kipas, jangan minum ais, jangan itu, jangan ini. aku meng'iya'kan saja nasihatnya waima tak semuanya aku turuti.
noktah.
berbuka puasa bersama rakan-rakan sekantor di pak engku catering. berhadapan dengan hotel gelombang biru (bluewave) shah alam. makan buffet memang untuk mereka yang kaki lantak. lantak koranglah. entah-entah semuanya lauk tesco. (ish...tak baik wei). tapi masakannya memang sedap.
noktah.
hari ini 9...congak-congak tinggal 7 hari lagi. jadi tak bang nuar....

Sunday, September 07, 2008

suara basah mencurah di luar. menyapa bumi dengan dingin. sedingin hati yang sayu.

Saturday, September 06, 2008

terkadang yang rindu

dalam binar kata
bernada rindu
mencari dewi
tak sepenuh maksudnya
dalam hati yang rela
berdiri cinta
tanpa ragu

Thursday, September 04, 2008

bajet

aku kemaskinikan bajet untuk majlis nanti. kedudukan kewangan masih dalam kawalan. namun ada juga beberapa perbelanjaan yang perlu dipotong. aku letakkan perbelanjaan mana yang lebih aula di atas. (belanja untuk ber 'hua' sana sini kena tangguh dulu). kalau ada 'surplus' baru fikir kemudian.

p/s: semalam aku perbaharui insuran + cukai jalan. makan ribu juga. cek saman polis di laman sesawang pdrm. 'clear'. harap tiada masalah. nak balik raya yob...

Tuesday, September 02, 2008

pindah

hari ini melapor diri ke lhdnm cawangan shah alam. setelah dipindahkan dari pusat penyiasatan dan perisikan. mungkin sebab masih baru dan perlukan pengalaman di cawangan terlebih dahulu. sebagai orang baru. aku terima sahaja keputusan dari pihak pentadbiran. ada hikmahnya.
noktah

Monday, September 01, 2008

ogos 2008

kursus memang membosankan. cuma di sini segalanya percuma. makan, minum, utiliti ecetra. teman-teman sekursus sudah pulang ke destinasi masing-masing. utara, selatan, timur, barat, dan ada juga yang menyeberang laut cina selatan menuju ke pulau borneo, sabah dan sarawak. selamat bertugas semula rakan-rakan. cuma ingat. kursus belum habis lagi. lepas idul fitri ketemu semula.
noktah
banyak yang berlaku di anjung ogos yang lepas. ya. kita menyambut hari kemerdekaan negara yang ke-51. suram nampaknya. tak banyak mahu diperkatakan.
olimpik beijing. chong wei bawa balik pingat perak. biasa-biasa saja. tak menarik pun.
bajet 2009. rakan aku mengeluh panjang rokok naik lagi. aku dah pesan dari dulu lagi suruh berhenti merokok. kakitangan awam dapat bonus sebulan gaji. aku?
permatang pauh. anwar menang dengan majoriti besar. perang dah bermula. aku suka....
persiapan. letih rasanya. tengok baju mana yang sesuai. warna. khemah. katerer dan macam-macam lagi persiapan. semua kena cepat. takut nanti sudah ditempah orang lain.
noktah
ramadhan datang lagi. datang bersama barakah yang tak terhempang rahmatnya. bulan keampunan, bulan dilipat ganda segala amalan, dimakbulkan segala permintaan. ramadhan datang dan kemudiannya nanti akan pergi. tapi tarbiahnya akan di bawa sepanjang tahun. namun ramai yang lupa. akhirnya ramadhan sekadar memenuhi kalendar didinding-dinding. mencukupkan 12 bulan. dan puasa cuma sekadar diet untuk kuruskan badan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...