Wednesday, December 23, 2009

serabut

Esok petang saya akan pulang ke kampung isteri di taiping. Kesempatan cuti hari natal pada keesokan harinya dimanfaatkan dengan mengadakan majlis aqiqah untuk putri saya nur alya. Baik juga dapat pulang ke kampung saat kepala ini amat serabut dengan kerja-kerja di kantor. Di tambah lagi dengan penyusunan semula setiap unit di cawangan, dan saya sebahagian daripada projek 'reshuffle' yang sedang rancak di laksanakan pengarah cawangan. Rela atau tidak, keputusan di tangan pengarah. Kita tidak selamanya akan berada dalam keadaan yang selesa. Namun kehidupan kena terus.

Saturday, December 19, 2009

ulangtahun pertama


Tahun yang pertama selalu jadi kayu ukur untuk tahun-tahun mendatang. Masih jauh dan berbalam-balam lagi perjalanannya. Namun syukur pada tuhan kerana dalam setahun ini, dengan segala kekurangan yang ada, kami hadapi dengan baik, toleransi dan diplomasi serta tolak-ansur. Segala rencah ini perlu dikekalkan untuk tahun-tahun yang seterusnya.

Tahun pertama perkahwinan kami. Perjalanan masih panjang. Masih banyak lompang-lompang kosong yang perlu diisi.Untuk Alya. Untuk keluarga.

Friday, December 18, 2009

selamat menyambut tahun baru 1431 hijriah.

lafaz cinta dari anjung seorang ayah (buat putriku nur alya insyirah)

i
dingin pagi itu memberikan titis-titis embun
menjadi mawar yang harum
menjadi mutiara terindah
seberkas cinta yang lahir
dari roda-roda yang kian menokok
desah hati yang pergi

sedang aku seorang ayah
yang hatinya menggelepar di dada pagi
direngkuh airmata syukur
ku titipkan iqamah ketelinganya
ini inti kembara mu di kebun hayat
terlalu banyak ranjau melingkar
untuk mengenal hakikat diri
mengajarmu akal dan fikir

ii
putriku
kukucup halus dahimu
ku elus lembut jemarimu
dan dengan tangismu
ku ukir senyuman manis
yang melimpah kasih dan sayang
berseri ke anjung hidup

putriku nur alya insyirah
pelihara tutur katamu
agar aksaramu bersulam hikmah
jaga peribadimu
agar luhur tegar di sukma

iii
syukur Tuhan
dengan izin-mu
ku jadi seorang ayah


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Tuesday, December 08, 2009

kaffarah

Jumaat malam saya mendapat berita dari suri yang Alya dimasukkan ke hospital akibat alahan teruk pada muka. Saya terima MMS dari suri. Wajah Alya nampak sakit. Hinggakan kedua-dua matanya tidak dapat dibuka akibat bengkak. Kata doktor ia mungkin akibat radang kulit ataupun jangkitan kuman. Sebagai ayah, tuhan sahaja yang tahu perasaan saya saat itu. Ingin sahaja saya pulang segera, namun mertua menasihati saya untuk bertolak esok pagi sahaja khuatir terjadi perkara yang buruk pula nanti. Maklumlah dengan hati yang sedang libang-libu macam-macam boleh terjadi. Saya tabahkan hati. Sambil mohon ampun pada Allah jika ini kafarah atas dosa-dosa yang saya lakukan.

Koma

Sabtu pagi, seusai subuh saya bergegas pulang. Perasaan gundah dari semalam masih bergolak. Suri di hospital sudah tidak keruan. Setiap kali telefon cuma tangisan yang didengari. Saya nasihatinya agar bersabar dan beristighfar sebanyak mungkin.

Koma

4 hari di hospital. Saya habiskan 2/3 masa saya menemani suri dan alya di wad. Pergi awal pagi dan pulang pada pukul 10.30 malam iaitu tempoh akhir si suami untuk datang melawat. Ubat homeopathy yang saya ambil untuk alya tidak putus saya berikan. Itupun diberi diluar pengetahuan doktor dan misi. Alya nampak semakin sembuh kesan ubat yang diberikan. Memang sedih apabila melihat raungan alya yang acapkali disuntik antibiotik hampir 5 kali sehari. Alhamdulillah, hari ke-4 alya dibenarkan pulang selepas komplikasi pada muka kian sembuh. Air mata di wajah suri akhirnya terseka jua.

Koma

Ini ujian awal yang Allah berikan pada saya dan suri. Kemudian hari masih berbalam-balam lagi perjalanannya. Namun setiap yang baik dan buruk itu datang dari-Nya. Kehidupan ini mesti diteruskan. Waima apa jua ujian yang Allah berikan. Setiap musibah yang berlaku terselindung hikmah yang tersembunyi. Buat kita kuat. Dan sedar akan diri ini yang amat-amat kerdil di sisi Allah. Hari ini sebelum pulang ke ibu kota, saya ingatkan pada suri agar menerima setiap ujian yang datang dengan sabar. Ia mungkin kafarah atas dosa-dosa kita yang lalu. Agar kita sentiasa ingat dan acapkali muhasabah diri selalu.

Noktah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...