Friday, August 26, 2011
Thursday, August 18, 2011
Sabah 2011 | Moga ketemu lagi
Cukuplah cerita wisata ke negeri di bawah bayu ini. Ramadhan sudah hampir-hampir di hujung. Masa untuk tingkatkan amalan pula.
Wednesday, August 17, 2011
Sabah 2011 | Mari-Mari Cultural Park Siri 2
Setiap etnik ada identiti budaya dan ritual mereka. Membezakan mereka dari etnik yang lain, waima warna kulit yang tidak jauh bezanya. Dahulu ada yang memenggal kepala musuhnya yang tewas. Tapi yang pasti itu tidak akan berlaku pada hari ini. Bahkan hari ini juga ramai yang tidak lagi menyembah tuhan pagan. Mereka mendekati agama langit, Islam maupun kristian. Namun dari pandangan saya kristian berkembang agak pesat di Sabah jika dilihat dari jumlah geraja yang ada di sini. Nyatanya misioneri kristian di sabah memang aktif berdakwah. Ini diperkuatkan dengan kenyataan teman saya asal sabah bahawa jumlah gereja melebihi jumlah masjid dan surau di sini.
Sabah 2011 | Mari-Mari Cultural Park Siri 1
Ke Inanam mengikuti program suri saya yang di bawa penganjur. Tentatif program ini pastinya menarik lantaran partisipasinya adalah dikalangan orang-orang besar setiap organisasi, CEO,CFO. Pengurus, Ketua etc. Suri saya ada mengeluh malu untuk hadir ke sini sebenarnya. Mari-Mari Cultural Park, terletak jauh di Inanam. Menyelusuri tebing-tebing bukit untuk sampai. Di sini kami disambut oleh Adam sebagai pemandu kami di situ. Adam, orang tempatan ini, petah berkata-kata dalam dwibahasa, melayu dan inggeris.
Kembali kepada asas. Namun aku rasa etnik-etnik di Sabah ini semakin moden. Tidak terikat kepada tradisi lama. Rumah merekapun sudah banyak piring-piring Astro.
Sabah 2011 | Bukit Kokol, Menggatal
Sore di Bukit Kokol, Menggatal. Matahari terik. Namun panasnya berbaur dengan rasa dingin. Kinabalu kelihatan sayup-sayup. Antara nampak dan tidak nampak. Bersembunyi di balik awan dan kabus. Kami menunggu malam di sini. Dan pabila malam mengambil posisinya, Kota Kinabalu nun sana diterangi dengan neon malam. Dari tanah tinggi ini kami memerhati keindahan, mentaddabur melalui deria.
Sabah 2011 | Malam di Kota Kinabalu
Pasar malam berhadapan Le Meredian ini, di sisi jeti Sinsuran adalah syurga makanan laut. Aneka santapan malam hari. Muak sudah dengan resepi makanan di hotel, saya turun mencari makanan tempatan. Segalanya segar di sini. Lalu saya membeli beberapa makanan laut yang di bakar, yang saya tidak tahu apa namanya, lantaran pengetahuan marin saya yang amat terbatas. Santai malam di Kota Kinabalu, menghirup bayu, berselang-seli hanyir ikan dari jeti.
Friday, August 12, 2011
Sabah 2011 | Wisata 2
Jeti Sinsuran Kota Kinabalu, berhadapan dengan Le Meridien tempat kami menginap. Saya berdua bersama alya petang itu. Lantaran suri perlu pula menghadiri bengkel, kesempatan ini kami gunakan melihat panaroma indah Jeti Sinsuran ketika hari menuju ke senja. Cantik, namun bau hanyir pinggir pantai yang kotor menganggu deria. Sini tempat nelayan memungah hasil laut. Bot-bot besar berderetan di jeti. Di sisi jeti sebentar lagi pasar malam Sinsuran akan menjelma. Nanti akan saya ceritakan.
Wednesday, August 10, 2011
Sabah 2011 | Wisata 1
Kenapa Sabah digelar negeri di bawah bayu. Belum saya selami maknanya. Wisata kali pertama ke negeri ini. Mandala yang asing buat saya, namun di balik itu saya teruja untuk sampai ke mari.
Sunday, August 07, 2011
Sabah 2011 | menggamit senja
Senja mengamit kedatangan kami ke bumi dibawah bayu ini dengan keindahan yang tidak tergambar di ruang mata. Subhanallah. Maha suci Allah yang menjadikan siang dan malam. Petanda kekuasaan Azzawajalla.
Saturday, August 06, 2011
Sabah 2011
Sebelum kedatangan Ramadhan, Sabah memanggil kami dahulu. 3 hari lagi menuju Ramadhan. Penerbangan hampir 2 jam setengah cukup memenatkan. Tempat duduk yang sempit. Apatah lagi membawa bersama kami si kecil Alya. Tetapi kepenatan itu hilang bila ia berbaur dengan rasa teruja kala menyeberang laut cina selatan buat pertama kali ke negeri di bawah bayu ini. Kepenatan bertukar dengan nyala gembira. Banyak cerita dari rangkuman foto-foto yang sempat saya rakamkan. Negeri yang cantik, aneka makanan laut, namun citarasa makanannya seakan tidak kena dengan selera.
Koma
Kemudian nanti akan saya masukkan beberapa rakaman lensa saya di sini. Masjid di atas saya rakamkan dalam perjalanan menuju ke Inanam, mengikuti program Suri saya.
Subscribe to:
Posts (Atom)