Saturday, November 26, 2011

Meniti Muharram yang sekian kalinya | 1433H

Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

Kita menyambut Muharram untuk kesian kalinya. entah berapa banyak perarakan yang kita sertai, atau ceramah, forum yang kita hadiri. Muharram masih jadi tarikh yang asing. Kalendar yang kita lupa. Untuk sebahagian, waimapun tidak semua dari kita. Masa terus berjalan. Bulan demi bulan. Hari demi hari. Masih lagi insan yang sama. 


Wednesday, November 09, 2011

Mencari erti pengorbanan


Aidiladha 1432 hijrah. Saya pulang ke rumah mertua di Taiping, kampung suri saya. Ada lembu akan dikorbankan oleh bapa mertua. Bonda saya pula berkongsi korban satu dari tujuh bahagian yang dilakukan di Ipoh. Dalam musim-musim hujan begini ibadah suci ini tetap dijalankan oleh mereka yang berkemampuan. Korban punya definisi yang subjektif. Membentuk jiwa hamba. Membina peribadi melangkau batas bangsa. tungjangnya masih satu. Berpaksi atas nama Laillahaillallah. Makna inilah menyatukan jiwa, tautan akidah yang satu. 
Noktah
Di Makkatul al-mukarramah jutaan umat Islam berkumpul. Atas nama Tuhan yang satu. Bukan mencari nama. Tiada makna pangkat dan harta. Semuanya sama di sisi Tuhan. Semoga mereka di sana mendapat haji yang mabrur. Amin.
Noktah




Monday, November 07, 2011

Puisi ingatan pada hari ulangtahunmu yang ke 2


Anakku
Sudah dua tahun rupanya
Kamu melihat dunia
Dengan segala sisinya
Masih banyak perlumu pelajari
Hitam putih itulah kehidupan
Memikul amanah sebagai hamba
Yang kadangkala tak terpikul olehmu
Anakku
Fikirkan dengan nama Tuhan dahulu
Sebelum kamu mengatakan sesuatu
Dan sebelum kamu mengotakan sesuatu
Anakku
Dirimu lahir bersama cinta
Jangan sekali dibunuh cinta itu
Kerana kamu adalah segalanya buat kami
Kebahagiaanmu adalah kebahagiaan kami
Tawamu adalah tawa kami
Tangismu adalah air mata kami
Dan cintamu adalah cinta kami



Thursday, November 03, 2011

Mata


Sudah dua tahun saya tidak 'check' tahap kuasa cermin mata saya. Rupanya dalam tempoh dua tahun ini mata saya semakin kabur. Kedua-dua belah. Jadi, mahu atau tidak terpaksalah saya menukarnya, bersekali bingkainya. Saya memakai kaca mata usai sahaja tamat universiti. Rutin kerja yang bertemankan skrin komputer saban hari antara faktor penyumbang. Permulaan rasa juga rimas namun lama kelamaan ia semakin menyatu dengan retina saya. 


Tuesday, November 01, 2011

merah | putih

Ambil keduanya. Dikupas dan digoreng hingga garing. Atau digiling, atau dikisar selumatnya. 
Noktah.
Merah dan putih, juga warna-warna lainnya punya sisi yang berbeza. Setiap orang punya deskripsi yang tidak sama. Seperti si bawang merah dan bawang putih. Merah, tanda amarah penuh dendam dan nyalanista, sedang putih lambang pada suci dan tulus.
Noktah.
Merah dan putih. jika kita ambil, dan satukan ia. Jadikan warna ketiga, lalu bermutasi. Mungkinkah ia jadi lebih baik?
Noktah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...