Monday, December 31, 2012

Ambang 2013


Malam tahun baru saya sama seperti malam-malam yang lain. Saya on unifi dan meluncur ke laman-laman web kegemaran saya. (yang baik-baik saja ya). Namun sejak selangor berwajah baru ini malam tahun baru saya terisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Siaran 'live streaming' Ust Azhar Idrus yang tersohor melalui laman web selangorku dipancarkan dari dataran shah alam (amat hampir dengan kantor saya). Di i-city, dataran merdeka dan putrajaya macam biasa program tipikal sambutan malam tahun baru sama seperti sambutan di kota-kota besar dunia. 
Noktah
Ketika ini Ust Azhar sedang bersiaran. Jom isikan malam tahun baru ini dengan sesuatu yang bermanfaat.

Sunday, December 30, 2012

Selamat Ulang Tahun Kelahiran Pertama | Raudhah di hati Kami








Mungkin sedikit terlewat. Sudah lewat 5 hari. Raudhah lahir kala umat kristian menyambut hari natal; 25 Disember tahun lalu. Mungkin ingatan pada tarikh ini agak kuat lantaran setiap dari kita mengetahuinya. Apapun Raudhah sudah melewati setahun. Kelatah dan telatahnya kian pelbagai. Waima dengan tubuh yang kecil (tidak padan dengan usianya), tingkahnya kadang sukar diramal. Semakin laju dan pantas kedepan. Semalam kami membawa Raudhah untuk melengkapkan suntikan imunisasinya di klnik pediatrik. Tuan doktor nyata sedikit hairan dengan bentuk fizikalnya yang kecil. Tidak banyak perkembangan fizikalnya berbanding kali terakhir dibawa ke klinik yang sama 6 bulan sebelum ini. Namun Raudhah ternyata sihat. Jarang ditimpa penyakit. Syukur Alhamdulillah. 
Raudhah tautan cinta dan kasih kami. Raudhah penawar duka kami kala gundah. Raudhah bawa cahaya keceriaan di hati kami. 

Thursday, December 27, 2012

25 Disember 2012 | Genap setahun Raudhah di hati kami


tiada ucapan selamat hari natal kerna saya tidak punya teman katolik, protestan, ortodok, koptik, mormon etc.. namun setiap 25 disember pasti kami raikan si mata bulat ini..selamat ulangtahun kelahiran pertama buat raudhah..sesungguhnya Raudhah di hati kami.

Sunday, December 23, 2012

Menjelang Ulang Tahun Pertama



Hari natal ini genap satu tahun usia putri kedua saya. Senyuman kian menguntum seribu makna. Telatahnya bersulam ragam yang kadang kala mencuit hati. Syukur Allah sepanjang satu tahun ini Irdina Raudhah jarang diserang penyakit. Berkat konsistensi susu badan yang diberi, waima suri saya acapkali mengeluh jumlah susu yang kadangkala mengecewakan. Namun dalam susah payah itu tanpa sedar sudah satu tahun Irdina Raudhah membesar di depan mata kami. 

Monday, December 17, 2012

Debar Hari Pertama


Menghantar Alya pertama kali ke sekolah (waima baru bertaraf pra-sekolah) terasa debarnya. Risau takut ada lakonannya di pagi hari. Alhamdulillah tidak sukar memujuknya tadi kerana sebelum ini hasrat untuk kesekolah sudah membuak-buak di dadanya. Walaubagaimanapun pagi tadi diturutkan juga segala kehendaknya. Dari baju apa yang mahu dipakainya sehingga menu sarapan paginya. Apa-apa sahajalah.
Usai 2 jam orientasi tampak riak gembira diwajah Alya. Ada ramai kawan kata Alya. Saya diberitahu cikgu di situ hari ini cuma sesi pengenalan diri dan membentuk disiplin diri sewaktu di sekolah. Belum lagi masuk sesi pembelajaran di kelas.




Riak wajah Alya memulakan diari baru dalam kehidupan. Waima masih lagi kecil, saya harap Alya betah menyesuaikan diri di alam persekolahan. Ini langkah pertama. Kelananya masih jauh. Saya tidak memaksa Alya. Namun cuba saya selami nuraninya. Kemahuan anak kecil yang penuh dengan jiwa besar. Saya tidak mengharapkan Alya jadi orang besar, masuk ke universiti yang bagus dan punya status yang tinggi di alam pekerjaan (waima di sudut hati saya turut mahu anak berjaya dalam lapangan kerjaya), cukuplah saya titipkan doa buat dia agar jadi ahli syurga. Karekter ahli syurga salah satunya adalah taat kepada ayah dan bondanya. Amin.

Sunday, December 16, 2012

Terang siang


Siang Ahad ini sirna mentari memacar dari balik tirai. Petang nanti mungkin hujan pula. Itulah kebiasaannya pada musim-musim sekarang ini. Alya baru beransur sembuh dari demam. Waima tidaklah sepenuhnya. Masih lagi diberi ubat. 
Siang Ahad ini kami panjatkan syukur pada Ilahi. Atas cahaya ini. Moga iman di hati ini turut jua bercahaya. Amin....

Saturday, December 15, 2012

spongebob


Hari ini Alya sudah seperti sediakala. Demamnya sudah hilang ditelan antibodi dari ubat homeopati yang diambil. Sudah ada selera makan, sudah kembali mengusik adik Raudhah nya. Keadaan kembali normal buat Alya. Hari ini Alya kembali mengulang iqra nya, sudah masuk ke mukasurat 4.  Sudah 4 huruf kini khatam ditubir bibirnya. Minggu hadapan pula bermula orientasi pra-sekolah Alya di CIC. Saya hantar Alya ke pra-sekolah adalah dengan tujuan untuk dia bermain. Di rumah Alya tak cukup tempat dan permainan untuk dia bermain. Lebih baik dia main bersama rakan-rakan sebaya. Itu tujuan sebenar saya. Bermain sesuatu yang bermanfaat untuk mindanya. Usah bebankan anak-anak dengan sistem pendidikan berorientasikan peperiksaan. Beberapa saringan telah dibuat, dan CIC yang terpilih.

Tuesday, December 11, 2012

Lari


Kakak masih belum kebah demamnya. Namun dalam keadaan badan yang kadang lemah, Alya masih tidak betah duduk diam. Hari ini suhu badannya kian panas. Ubat-ubat klinik langsung fobia di matanya. Alya sedari kecil amat payah menelan apa jua ubat. Dulu boleh juga dicampur dengan susu. Namun kini Alya sudah pintar meneka antara susu sahaja dan susu yang telah bercampur ubat. Kemudian saya mencuba ubat-ubat alternatif dari homeopati. Ubat homeopati manis, tidak seperti ubat konvensional yang lain, dan ia cuma dikumam seperti gula-gula. Ini vitamin bukan ubat, ujar saya pada Alya. Waima vitamin dan ubat tidaklah jauh sangat konotasinya. 
Malam ini Alya awal tidurnya. Kadangkala dia merengek-rengek, kadangkala ada igau datang; 'tak nak ubat! tak nak ubat!. Saya tampal 'Kool Fever' didahi kecilnya. Saya lapkan tubuhnya dengan tuala basah agar hilang panas di badannya. Segera sembuh duhai kakak. 
Ya Allah aku mohon pada-Mu agar diberi kesihatan pada Nur Alya Insyirah. Agar aku boleh melihat dia berlari. semula. Sungguh ya Allah dihatiku amat mencintai dan sayang padanya.
Amin Ya Rabbal Alamin....

Hadiah Dari Bumi koala


Monday, December 10, 2012

Gigi


Lihat gigiku. Mungkin itu yang mahu diberitahu Raudhah. Raudhah sudah tumbuh gigi. Dua di atas, dua di bawah. Besar tawanya selepas ini. Memberitahu dunia bahawa Raudhah kian berdikit-dikit membesar.

Sunday, December 02, 2012

Spoiler: Ini bukan Wardina





Nur Irdina punya rambut yang cantik. Lurus panjang. Hitam dan lebat. Namun saya didik Nur Alya seawal usia mudanya tentang kewajipan menutup aurat. Tidak dibungkus. Tidak saya paksa secara keras. Sedikit-sedikit saya bukakan hatinya agar seikhlas mungkin kewajipan bagi seorang muslimah tentang aurat. Insya Allah mohon diberikan kekuatan hati dan jiwa. Tegas bersulam hikmah. 

Tuesday, November 27, 2012

Kembali


Syukur Alhamdulillah. Dengan tips dari rakan blogger lensanurrkasih saya akhirnya berjaya selesaikan masalah storan picasa saya yang sudah penuh sebelum ini. Ruang ini akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk berkongsi rakaman lensa saya yang tidak seberapa. gapuradiri akhirnya kembali bernafas semula. 

Sunday, November 25, 2012

Kuota


8 tahun saya bersiaran di ruang kecil ini. Waima tanpa pengunjung yang ramai. Namun ia adalah satu eskapisme buat saya. Ruang untuk saya cuba keluar dari segala macam rencam duniawi. Sejak saya mula berjinak-jinak dengan dunia fotografi, sebahagian besar 'content' di sini adalah dari gambar-gambar yang saya rakamkan (dan sebahagian besarnya pula adalah potret anak-anak saya). Namun hari ini ruang itu sudah tiada. Rupanya storan picasa saya sudah penuh, dan untuk menambah storan perlu membayar mengikut pakej yang ditawarkan. Tidak berbaloi rasa saya. Jadi inilah perjalanan akhirnya. Ataupun mengorak langkah dengan mulakan langkah baru dengan wordpress. Entahlah. Saya rasa perlu ambil cuti sabatikal dalam mem'blog'.

Tuesday, November 13, 2012

Alya meniti usia 3 tahun


Seminggu sudah berlalu hari lahir si putri sulung saya. 3 tahun sudah usianya. Tahun hadapan dia bakal memasuki pra-sekolah. Semangatnya untuk kesekolah kian membuak-buak. Mungkin di laut fikirnya ke sekolah adalah untuk mengisi keseronokan meniti usia kanak-kanak. Melihat dia membesar di hadapan mata, sihat dan bijak, adalah nikmat Allah yang maha besar. Inilah juga perasaan setiap ibubapa. Membuhul sejuta keindahan. Kadangkala habis juga idea meledani rasa ingin tahu dia. Namun saya jawab jua setiap persoalannya dengan gaya bahasa yang sesuai dengan level dirinya. 
Selamat membesar putriku. Selamat hari lahir ke-3. Depani dunia dengan berani, penuh ilmu dan hikmah.
  

Sunday, November 04, 2012

Merenung Cinta


Merenung cinta yang hampir ini.
Mengugah nyala hati.
Kedepannya mengirim kepastian
Yang belum tentu lagi untuk hadir

Merenung cinta yang hampir ini
Tiada kata yang terucap

Wednesday, October 17, 2012

Konvo Cikgu Rohani








Hadir ke majlis konvokesyen saudara perempuan saya di UPM 15 Oktober 2012. Menerima 'master'nya, 'master pendidikan bahasa melayu sebagai bahasa pertama'. Cuaca mulanya pijar, kemudian beransur mendung. Lewat petang baru majlis di dewan usai. Saya dan suri menunggu di khemah luar, menonton dari layar besar yang dipasang. Tahniah buat cikgu Rohani. Sudah boleh kumpul input-input untuk sambung ijazah kedoktoran pula lepas ini.
Melihat wajah-wajah ceria ini, mengingatkan saya di tahun-tahun akhir bergelar graduan dahulu. Cukup jerih untuk mendapatkan segulung ijazah. Kekangan wang ringgit, perlu berjimat cermat sebelum sampai cuti semester. Untuk menyambung semula ke peringkat master belum ada dalam kotak fikiran saya. Saya masih belum betah untuk membahagikan masa sebagai seorang suami dan ayah, pekerja dan pelajar. Sungguh saya belum diberikan kekuatan untuk itu. Ada orang kata, mahu mudah ambil MBA, daripada kursus-kursus 'super' susah. Mahu sambung sarjana perakaunan? Amat berat bagi saya. Mungkin saya perlu cari kursus yang di luar kotak bidang kerja saya. Sejarah peradaban dan tamadun contohnya, sains sosial lainnya, atau pun sastera. Subjek-subjek yang ramai orang kata tiada masa depan dan susah cari makan. Paling-paling pun keluar nanti jadi cikgu, atau terkehadapan sikit jadi pensyarah. Tak perlulah saya berceramah soal sistem pendidikan pula. Pokoknya kita perlu ada kuasa untuk memilih antara yang terbaik buat diri kita. Tidak orang lain yang menentukan tatacara hidup kita.
Saya lihat sekarang jumlah pelajar master kian bertambah. Beberapa tahun akan datang statusnya mungkin sama dengan bachelor sekarang. Ada yang langsung sambung master usai sahaja bachelor. Setiapnya ada alasan masing-masing. Ada yang ditawarkan oleh pihak 'Uni', atau atas pilihan sendiri lantaran sukarnya memasuki pasaran kerja. Suatu hari nanti mungkin master akan jadi syarat utama dan bukan kelebihan.
Noktah. 

Wednesday, October 10, 2012

Lilin merah dengan nyala hati


Lilin merah 
dengan nyala hati
menyimpan gelap
dengan api kuning
nanti sampai waktunya 
cuma tinggal sumbu 
gelita memburu

ingat dengan nama cinta
cinta yang tidak cair
dalam bekas nurani

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...