Tuesday, March 10, 2015

Mereka ku namakan Cinta


Perempuan-perempuan ini
Jadi obor pembakar diri
Agar lebih kuat
Mendepani hari depan
Dengan segala lautan duga
Sela masa yang panjang
Bawa diri terbang tinggi
ke langit biru lazuardi

Mereka ini ku namakan cinta
Mekar di hati
Senyum di bibir
Tiada sesal dan lelah

Bersama cinta-cinta ini
Memungkinkan segala kemungkinan
Menzahirkan segala keindahan
Mengumpul sejuta impian


Sunday, March 01, 2015

Sawan



Ujian Allah, juga kaffarah. Syukur tuhan masih belum minggir dari batang tubuh ini. 
Ujian Allah, juga kaffarah.Ujian Allah, juga kaffarah Istighfar. Istighfar.
Ujian Allah, juga kaffarah. Hadir buat sebagai ingatan buat si pendosa ini.
Ujian Allah, juga kaffarah. Buat kita sedar betapa berharganya insan-insan kesayangan ini.

Hari ini Rania hampir-hampir di serang sawan. Syukur sang kakak tidak leka dengan mainannya. Menjerit memanggil kami berdua. Dari laman dan dapur kami berkejar ke arah Rania. Tubuhnya hampir saja tidak bergerak. Namun masih ada hembusan dari nonsilnya. Gegas kami semua ke rumah sakit. Demamnya sudah cecah 39 selsius ujar doktor. MasyaAllah. Lalu dimasukkan ubat ke anusnya, yang biasa diberikan doktor bagi demam yang sebegini panas. Namun Alhamdulillah tiada simpton-simpton lain.

Sedikit info untuk tatapan bersama berkenaan sawan tarik:-

APAKAH itu sawan tarik? Apakah puncanya? Adakah ia berpunca daripada keturunan atau daripada penyakit lain?Bagaimana cara mengubati atau mengatasinya daripada terus berlaku?

SAWAN tarik atau sawan demam (febrile fit) kerap berlaku pada kanak-kanak berusia antara enam bulan dengan enam tahun.Ia boleh berlaku jika kanak-kanak mengalami demam panas melebihi 38.5 darjah Celsius yang memuncak secara mendadak. Dipercayai demam sawan berlaku kerana pembentukan otak kanak-kanak yang belum lagi matang. Demam panas yang tinggi boleh mencetuskan isyarat elektrik dalam litaran otak yang menyebabkan berlakunya sawan. Demam itu sendiri selalunya berpunca daripada jangkitan kuman virus seperti demam flu, demam yang beruam dan kadangkala ekoran jangkitan air kencing. Pada amnya, jangkitan ini adalah ringan dan tidak berpunca daripada jangkitan selaput otak (meningitis). Sawan tarik bukan penyakit keturunan. Namun kanak-kanak yang mengalami sawan tarik ada di antara mereka yang mempunyai anggota keluarga yang mengalami sawan tarik juga.

Apakah langkah-langkah yang anda boleh lakukan di rumah apabila berlaku sawan tarik?
  • Mengawal demam panas seberapa boleh. Kadangkala, demam panas akan berterusan meskipun langkah-langkah sewajarnya telah diambil. Usah gementar jika sawan berlaku di hadapan mata. Ambil nafas panjang dan bertenang dahulu.
  • Letakkan anak di atas lantai atau permukaan yang rata dan miringkan badan dan kepalanya ke kanan agar air liurnya mengalir ke luar.
  • Usah memaksa masuk sudu atau bahan keras mahupun jari anda sendiri ke dalam mulut si anak. Ini tidak secara langsung boleh menyekat saluran pernafasan dan tambah membahayakan anak anda.
  • Usah cuba mengawal pergerakan anak itu sewaktu dia sawan kerana ini boleh mencederakan otot atau tulangnya.
  • Usah berikan si anak minuman kecuali setelah dia sedar.
  • Dapatkan bantuan dan bergegas ke doktor untuk pemeriksaan lanjut.


Sawan ini akan berlaku bukan untuk jangka masa yang lama. Kadangkala ia tidak melebihi seminit.Seseorang kanak-kanak boleh mendapat sawan kembali dengan kadar 30 peratus sebelum usianya meningkat ke enam tahun.Sekiranya anak anda mengalami demam panas, ambil langkah proaktif untuk menurunkannya suhu badannya secara perlahan-lahan seperti kerap meminum air putih dan memberinya ubat demam seperti paracetamol atau supplement-supplement yang dipercayai...Sebab-sebab utama berlakunya kematian pada bayi dan kanak-kanak di negara ini ialah kerana serangan penyakit-penyakit sawan akibat demam panas. Penyakit sawan atau 'fits' ataupun tarik-tarik ini terjadi apabila kanak-kanak diserang demam panas yang terlalu tinggi. Penyakit ini hanya boleh dicegah sekiranya anda bertindak segera. 

Sawan terjadi akibat dari beberapa sebab;

1. Akibat demam panas.
2. Kerana kerosakan otak semasa bayi masih dalam kandungan ataupun ketikadilahirkan.
3. Tetanus (berlaku akibat memotong tali pusat bayi dengan alat-alat kotor atau karat).
4. Atau sebab-sebab lain.

1. Akibat demam panas.

Sebab-sebab berlakunya demam panas kepada bayi ini biasanya disebabkan oleh:
1. jangkitan kuman virus
2. jangkitan kuman bakteria
3. sebab-sebab yang tidak dikesan

Contoh-contoh demam akibat jangkitan kuman virus ini ialah selsema dan campak. Contoh-contoh bagi demam akibat jangkitan bakteria ialah jangkitan kerongkong, jangkitan saluran kencing, paru-paru bronchitis (sejuk paru-paru) dan lain-lain.Sekiranya demam ini tidak dikawal sawan akan menyerang. Bagaimana demam panas yang tidak terkawal mengakibatkan sawan dan akhirnya membawa kecacatan atau kemungkinan besar maut? Bila demam tidak dikawal atau tidak dirawat segera, anak itu akan diserang sawan atau 'tarik-tarik'.Ketika sawan menyerang, kesesakan nafas akan berlaku. Sesak nafas ini mengakibatkan kurangnya penyaluran oksigen ke otak. Apabila ini terjadi otak akan rosak. Inilah yang mengakibatkan cacat otak seumur hidup kepada bayi.Sekiranya segala usaha untuk menyelamatkan bayi ini gagal maka bayi akan menjadi biru dan akhirnya maut.Tanda-tanda demam yang terlalu tinggi ialah apabila mata kanak-kanak itu mula liar dan bergerak-gerak tidak tentu haluan ataupun jari-jari tangan atau kaki juga bergerak-gerak. Ini adalah juga tanda-tanda awalan bahawa kemungkinan besar anak itu akan diserang sawan. 

Langkah-langkah penting yang perlu diambil apabila anak-anak demam panas untuk mengelakkan sawan berlaku:

1.   Tanggalkan semua pakaian anak itu.
2.  Ambil tuala, basahkan dengan air sejuk dan demah badan kanak-kanak itu - khasnya di bawah ketiak, peha, lengan, kepala dan seluruh badan supaya suhu panasnya turun.Sekiranya anak itu menunjukkan tanda-tanda akan kena sawan seperti yang telah disebutkan tadi, apa yang ibu-ibu harus lakukan ialah mandikan anak itu dengan segera supaya demamnya turun.Suhu badan yang bahaya ialah 102 atau 39 darjah Celsius ke atas. Apabila saja suhu badan anak yang demam naik ke paras 100 darjah F. atau 38 darjah Celsius segeralah mendemahnya tubuhnya dengan air sejuk.
3.  Pastikan anak itu selain dari demam juga kena sakit sampingan. Pastikan sama ada dia batuk,susah kencing, kudis badan, tali pusat bernanah dll. Ibu-ibu perlu memeriksa keadaan anak-anak itu sendiri.
4.   Cepatlah bawa anak itu berjumpa doktor.
5. Sekiranya sawan menyerang anak itu, ambil sudu dan sengkangkan ke mulutnya untuk mengelakkan anak itu dari menggigit lidahnya.

Cara-cara mencegah sawan dan demam. 

Penyakit sawan dan juga demam memang susah hendak dicegah kecuali para ibu menjaga kesihatan anak-anak dengan rapi serta memberi anak-anak makanan yang berzat lagi sempurna. Hanya dengan penjagaan kesihatan secara rapi dan juga pemakanan yang berzat sahaja anak-anak boleh beroleh daya tahan yang tinggi untuk melawan sebarang jangkitan penyakit. 
Kedua, ibu-ibu dinasihatkan supaya jangan membawa anak-anak kecil ke tempat-tempat keramaian atau di mana ada ramai orang kerana di tempat-tempat tersebut bayi atau kanak-kanak terbuka kepada berbagai jenis jangkitan dan penyakit. 
Langkah yang ketiga yang paling penting ialah, anak-anak haruslah diberi suntikan pelalian untuk mencegah penyakit-penyakit yang boleh dikawal seperti campak, tetanus dan lain-lain. 
Cara keempat, pastikan apabila anak itu demam panas, suhu badannya dikawal dengan cara mendemah tubuh dengan air sejuk. Bahaya utama bukanlah demam itu tetapi sawan yang bakal menyerang apabila suhu meningkat ke paras yang tinggi. 
Kelima, bersalinlah dengan bidan-bidan yang terlatih untuk mengelakkan sebarang kemungkinan kecuaian ketika menyambut bayi atau ketika mengendalikan potong tali pusat.

2. Sawan akibat dari kecacatan otak 
Kerosakan otak terjadi oleh beberapa sebab seperti jangkitan otak yang digelar 'Encephalatis' ataupun 'meningitis' ataupun kecederaan otak yang berlaku ketika bayi dilahirkan - misalnya ketika melahirkan anak songsang, 'forceps' atau akibat - jangkitan tertentu.

3. Sawan akibat lain-lain sebab. 
Yakni sebab-sebab berlakunya sawan tidak diketahui seperti keadaan 'idiopathic' atau sawan babi atau 'epilepsi'.

4. Sawan akibat tetanusIni boleh berteku akibat jangkitan kuman tetanus - yakni kuman yang menyerang luka. 
Sawan ini juga boleh berlaku kepada bayi apabila tali pusatnya dipotong dengan menggunakan alat-alat seperti gunting dan sebagainya yang tidak bersih.Sawan akibat tetanus ini sangat merbahaya dan boleh membawa kepada cacat otak seumur hidup. Jangkitan tetanus ini boleh dicegah sejak bayi itu masih berada dalam kandungan. Untuk melindungi bayi dari diserang sawan tetanus ini ibu-ibu dinasihatkan supaya mengambil suntikan tetanus sebaik sahaja bayi dalam kandungan mula bergerak. 

Tindakan doktor untuk mengatasi demam dan sawan. 

Para doktor akan periksa seluruh anggota anak itu termasuk tekak dan sebagainya. Ujian makmal ke atas darah dan air kencing juga dibuat untuk memastikan sekira ada penyakit sampingan.Sekiranya terdapat penyakit sampingan doktor akan memberi antibiotik untuk diambil oleh kanak-kanak itu. Sekiranya tiada didapati sebarang jangkitan maka doktor akan bertanya akan riwayat ibu ketika melahirkan anak itu. Untuk memastikan sama ada anak itu ada mengalami sebarang kecederaan ketika dilahirkan ataupun memang dilahirkan begitu.Sekiranya didapati anak itu dijangkiti sawan tetanus maka anak itu akan diberi rawatan khas. Dan kalau sawan yang menyerang itu sawan babi, doktor akan memastikan latar belakang keluarga anak itu.

Peringatan:
1. Demam panas yang mengakibatkan sawan adalah penyakit yang serius dan merupakan pembunuh kanak-kanak yang utama.
2. Jangan pakaikan anak anda pakaian yang terlalu tebal. Pakai pakaian yang ringan yang mudah serap peluh seperti yang dibuat dari kain kapas. Jangan bedung anak anda atau menyelimutkan anak anda ketika anak itu demam.
3. Anda perlu bertindak cepat. Demahlah tubuh dan seluruh tubuh dan kepala anak anda dengan air sejuk apabila demam panas menyerang. Segera bawa berjumpa doktor.Ingatlah tindakan awal dapat menyelamatkan nyawa anak anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...