Sunday, July 17, 2011

Floria Putrajaya 2011 - siri 2

Floria Putrajaya 2011


Bunga selalu punya cerita-cerita indah. Dipuja kerana kecantikan, yang kadang memukau ruang mata. Similariti ini akan selalu ada. Selagi ada bumi yang subur, di situ juga bunga-bungaan yang akan sentiasa mewangi, atau jika tidak membaunya, cukup dengan melihat keindahannya pancawarna. 
Koma.
Saya, suri dan si kecil berkunjung ke Floria Putrajaya siang semalam. Asyik ditelan keindahan yang mewangi. Cuaca amat baik. Pengunjungpun belum ramai, jadi tidaklah rimas sangat. Si kecil Alyapun nampak teruja. Bondanya apatah lagi. Banyak juga gambar yang dirakam (kamera barulah katakan). Nanti akan saya kongsikan dalam 'catatan anjung' ini.
Noktah.

Thursday, July 14, 2011

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita
demokrasi luka;
lama duka kita
demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

Julai. Selain bulan ulang tahun kelahiran saya tiada apa-apa yang istimewa. Namun julai tahun ini satu catatan penting tercipta dalam lembaran sejarah nusa. Nada gelora jiwa rakyat yang dahagakan sebuah demokrasi yang luhur. Segalanya di coretkan Pak Samad dalam puisi di atas. Hayati baitnya. Selami gelodak nyalarasa insan atas nama demokrasi ini. Unggun sakti. Kuning membara.


Sunday, June 26, 2011

Si kucing dengan Alya


Rakaman di hari minggu. Sabtu siang yang pijar ini saya membawa si kecil Alya keluar menghirup angin petang. Di luar ini penuh dengan pengalaman. Belajar melihat dunia dari dari lensa retinanya. Sungguh Alya agak obses dengan kucing. Kucing yang kadangkala jinak, namun sifatnya juga mencakar. Itu yang buat intuisinya kian membuak. Masih banyak rahsia kehidupan yang perlu diterokai dan dipelajari. Dan tanggungjawab saya adalah untuk memandunya. Mana yang baik dan mana yang buruk.


Thursday, June 16, 2011

renung dan menung

Sayup merenung ke bawah. Luas ujana mata. Simpang-siurnya kadangkala buat kita takut. Dari tempat yang tinggi ini langit dan awan terasa akrab. Pawana juga kadang-kadang menyapa lembut. Itulah yang selalu dirasai beburung waktu berterbangan di angkasa. Namun engkau tidak merasa hampirnya awan dan langit itu. Tiada dingin angin bertiup melainkan rasa sejuk penghawa dingin yang kadangkala menikam reseptor-reseptor di celah-celah kulit. Engkau cuma penonton ragam manusia dari tempat yang tinggi. Mobil-mobil yang berselerak. Membawa bersamanya debu dan karbon monoksida yang menyesakkan peparu. Engkau cuma ibarat mesin. Tanpa henti memikir untuk menyelesaikan masalah manusia yang tidak pernah selesai. Ada saja. 
Koma
Esoknya engkau sekali lagi merenung ke bawah. Rutin itu akan engkau ulang buat beberapa ratus hari lagi. Dan setiap kali engkau merenung, setiap kali itu juga engkau termenung. Ah! belakang sana masih orang sedang menunggu giliran ketemu engkau. Dan rutin itulah yang akan engkau ulang buat beberapa ratus hari lagi.
Noktah

Monday, June 13, 2011

Hening

Pagi ini mengheret rasa dingin. Mengundang hening. Sedikit-sedikit cahaya dhuha keluar dari persembunyian. Di jalanan pula trafik mulai menyinga taringnya. Al-maklum, hari pertama persekolahan setelah dua minggu bercuti. 
Koma
Merenung dari balik cermin ini, dipangkal hari, kejap-kejap menghadirkan rasa diri yang kosong. Seperti gelas yang kosong. Kemudian di isi dengan air perlahan-lahan. Langsung penuh. Kadang melimpah. Tak terhempang lagi. Ibarat begitulah. Paginya saya masih tenang. Namun masa berjalan membawa bersamanya sekalian tanggungjawab. Begitulah rutin sehingga saya melelapkan mata di malam hari. Mengisi tanggungjawab. Itu kerja saya, kerja kalian semua. Ada yang senang , ada yang ruwet. Tanggaungjawab itu akan kita isi dalam kantung amalan kita. Hingga hujung nyawa nanti.
Noktah


Saturday, June 04, 2011

LOMO | Menjelang malam



Senja membalut siang
Di hujung hari
Setelah mengumpul lelah
Akhirnya pulang ke pangku
Segalanya kian gelap
Dan neon di sisi jalanan mulai bersinar
Kemudiannya rembulan mengambil tempat
Dunia sepi seketika

p/s: Foto di atas ditangkap menggunakan kamera i-phone saya. Keluar sebentar cari makanan untuk malam takkan nak bawa DSLRkan. Jadi manfaatkan apa yang ada dari i-phone saya. Saya 'touch up' dengan aplikasi LOMO yang saya muaturun.

Tuesday, May 31, 2011

MASKARA 28.05.2011 | part 2

Maskot rasmi Sindiket Sol-jah

Khalayak yang sudah mengambil tempat sebelum program bermula
 Rakaman peribadi

Sessi baca naskah

MASKARA | Persembahan seni pelbagai genre dalam bentuk deklamasi sajak dan puisi, teater mini, monolog, baca petikan naskah dari novel, cerpen atau blog, persembahan nyanyian atau apa saja jenis persembahan seni yang dirasakan sesuai. Aktiviti ini dianjurkan oleh Sindiket Sol-Jah. 

Siapa sebenarnya Sindiket Sol-jah? | Sindiket Sol-jah ditubuhkan sekitar tahun 2006. Sindiket Sol-jah adalah sebuah kumpulan lelaki urban yang gemar bersembang di kedai kopi sambil berkomplot menyuntik 'pop' ke dalam seni & sastera. Sol-jah dalam group ini merupakan pasukan simpanan kawan-kawan yang kita suka kepada Sindiket Sol-Jah barisan hadapan di http://sol-jah.blogspot.com/
Perang kami adalah perang seni! Kami lelaki urban yang gemar bersembang di kedai kopi sambil berkomplot menyuntik 'pop' ke dalam seni. Kami tidak hisap ganja, minum arak dan amalkan seks sejenis. Tapi kami memang suka pada benda-benda cantik. Tapak Sulaiman, misalnya.

-dipetik dari blog rasmi sindiket soljah-

Kali kedua saya hadir ke MASKARA. Kali pertama sewaktu MASKARA Shorties (Festival tayangan filem pendek) pada tahun lepas. Aktiviti ini bersifat santai, 'relax', tidak serabut dan terlalu protokol. Saya tidak berminat dengan suasana yang sesak, macam program sejuta belia contohnya (contoh sahaja ya). Saya lebih senang dengan aktiviti dalam skala yang kecil. Sebetulnya saya hadir ke MASKARA malam itu untuk mendapatkan 2 naskah buku Saharil Hasrin Sanin (terbitan Sindiket Sol-jah). Saya mengenali penulis melalui blognya dan antologi cerpen-cerpen 'underground', secara duet bersama Faisal Tehrani. Ingin juga membeli beberapa lagi buah buku, tapi saya tangguhkan dahulu sehingga ke MASKARA berikutnya. Takut-takut tak terbaca pula nanti.

Sunday, May 29, 2011

MASKARA 28.05.2011 | part 1

Kugiran ini menamakan diri mereka Paradoks!. Membuat persembahan pertama di MASKARA malam semalam. Tidak banyak yang saya tahu dengan kugiran ini. Pernah ketemu di laman sosial facebook namun tidak pernah mendengar lagu-lagu dendangan mereka. Kali pertama saya dibuai dengan alunan serunai sebagai pembuka persembahan mereka. Kemudian diteruskan dengan lagu-lagu yang bagi saya sedap didengar. Tidak membingitkan gegandang telinga saya. Hanyut dengan bait-bait lirik yang indah. Kudos pada Paradoks!


Kugiran kedua malam ini. Menamakan diri mereka Society. Seperti namanya, begitulah alunan lagunya yang penuh manusiwi. Bercerita tentang masyarakat. Marhean khususnya. Dari rakyat kepada rakyat. Mendapat sambutan hangat pada malam itu. Apatah lagi yang melontarkan vokalnya adalah seorang gadis yang bukan semata-mata berbekalkan wajah yang ayu, tapi punya suara yang lunak.

Noktah

Kedua-dua kugiran ini hadir tanpa label yang besar. Bergerak sebebas angin. Menyanyikan lagu-lagu sendiri. Dan kebanyakan lagu-lagu mereka dekat dengan masyarakat. Cerita tentang dunia dari lenca kaca seorang marhaen. Seni yang datang bukan dipaksa-paksa, tapi tulus menyatakan nyalarasa.


Sunday, May 22, 2011

Work in progress 1

Keadaan ruang tamu usai dicat. Kami memilih warna coklat yang lembut sebagai warna utama. Nampak cantik di mata kami.

Wajah alya yang serius. Sedang mencari apa-apa yang tak kena. 'Kenapa banyak sampah ni ayah'.

Suri sedang khusyuk memikirkan apa yang mahu di buat dengan bilik yang kosong ini. Kombinasi warna macam tak kena saja.

2 bilik berhadapan dengan bilik utama dengan tema hijau. Suri tidak puas hati dengan warna hijau yang sangat terang. Sakit mata ujarnya.

Menjengah ke rumah baru kami di Taman Tasik Prima, Puchong. Masih dalam renovasi. Proses mengecat sudah selesai. Namun masih terbit sedikit rasa tidak puas di hati kami. Warna-warna yang kami pilih dari katalog tidak seperti yang kami mahukan selepas di cat. Mungkin dalam gambar lain, hasilnya pula lain. Apa boleh buat. Mungkin sebab ruang masih kosong membuatkan mata kami terasa ada yang tidak kena. InsyaAllah segalanya akan berubah nanti. Selepas ini kerja memasang 'grill', lampu dan pendawaian elektrik. Kemudian 'wardrobe', langsir dan kerja penambahan ruang belakang dapur (dapur basah). Banyak lagi kerja-kerja perlu dilakukan. Kosnya makan ribuan ringgit. Mohon Tuhan permudahkan segala urusan kami.

Bola itu bulat

Wednesday, May 18, 2011

Setiap kali membutir senyuman


suria menyampaikan sinarnya
dari luhur yang indah
tiada dendam maupun hasad
cahaya yang membutir senyum
wajahmu dalam tiga rangkap
setiap satunya membuhul riang
mencipta bahagia
apa lagi mahu dititip
selain membilang syukur pada-Nya

- Sg. Besi. 18.05.2011 -


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...