Thursday, October 27, 2011

Momen


Melihat dari binar mata
Mengungkap kata dari riak wajah
Suci sakral menyala api cinta
Tajam dalam polos wajah suci
Tidakkan terucap dari ruang jiwa
Mencipta momen terindah

Sunday, October 23, 2011

Sedang menikmati hidup ini dengan senyuman


Sambung bahagian dapur selesai. Unifi, selesai. Almari dan meja, selesai. Penghawa dingin, selesai. Sekarang sedang menikmati hidup ini dengan rasa syukur pada Allah. Seterusnya pula menanti saat kehadiran ahli baru dalam keluarga saya. Sudah minggu yang ke-28, dan masih belum berhenti membilang hari. Moga segalanya berjalan lancar dan walafiat.


Thursday, October 20, 2011

Friday, October 14, 2011

Work in progress 3


Rakaman di atas ini dibuat kurang dua minggu yang lepas. Kini kami usai berpindah dari rumah sewa di Sungai Besi ke Tasik Prima. Dua minggu yang lepas ini juga benar-benar menuntut kesabaran, serta mengerah tenaga sedaya mungkin agar proses perpindahan ini berjalan lancar. Sudah ribuan ringgit di tabur untuk membina kehidupan yang sedikit selesa. Syukur tuhan transisi ini diatur dengan baik. Tanggal 29 September 2011 yang lalu kami mula merasa hasilnya, waima ada beberapa perkara yang masih belum selesai. Sememangnya melengkapinya secara total perlukan masa, sementelah lagi soal ringgit yang kian menyusut. Ah..bukan sehari-dua, bukan juga setahun dua, namun, InsyaAllah inilah mandala yang kami akan huni dalam batas waktu yang panjang. Mungkin sehingga bersara nanti. Tapi itu semuanya kerja Tuhan. Siapa yang tahu.


Tuesday, September 20, 2011

Work in progress 2

Sebelum...
 ...dan sebelum...

Selepas

Gambar di atas adalah ruang dapur yang telah diubahsuai, dari mula hingga akhir. Tidaklah mewah sangat. Cuma cukuplah ia memenuhi kehendak saya dan suri, dengan bajet yang ala kadar sahaja. Kabinetnya mungkin kemudian hari nanti bergantung pada keadaan kewangan semasa kami.Tapi jika ada sesiapa yang ingin menaja (Signature Kichen misalnya) amatlah saya alu-alukan. Biarpun biasa-biasa saja rupanya, namun banyak peringkat yang saya dan suri laksanakan. Bermula dari mencari buah fikir dan idea, melihat majalah-majalah deko, berkunjung ke rumah-rumah jiran yang siap dan sedang direnovasi, memilih kontraktor dan sebutharga. Setelah mengambil kira pro dan kontra, projek ini berjalan. Terima kasih Hj Robuan, kontraktor yang kami beri tanggungjawab.

 Sebelum

 ...dan sebelum...

Selepas

Kamar mandi di tingkat bawah kami henjakkan kebelakang untuk memberikan keluasan ruang kepada bilik utiliti. Jadi bilik utiliti di tingkat bawah kami lebih luas daripada plan asal. Puas hati bila melihat hasilnya.

P/s : Entri sebelum ini Work in progress 1


Sunday, September 18, 2011

Hitam | Putih


Usai sahaja Ramadhan cuaca mulai berubah. Hujan saban hari terutamanya waktu petang. Seakan awan yang tiris, tanpa hempangan.



Monday, September 05, 2011

Syawal 1432H


Sudah 2 tahun saya berhari raya pertama di rumah mertua. Suasananya membuatkan laut ingatan saya terkenang pada waktu saya menyambut lebaran takkala arwah bapak masih ada. Segalanya indah jika mahu mengimbau kembali saat-saat itu. Sementelah lagi usia saya masih kanak-kanak ketika itu.(arwah bapak pergi sewaktu saya awal remaja). Kini semua anak-anaknya sudah semakin digigit usia. Yang(abang sulung) mengikut jejak arwah bapak dengan preskripsi ubat yang tidak pernah putus (darah tinggi). Begitu juga Nyah dan Kak Ina. Abang Ya sayup-sayup di Kota Tinggi Johor. Kak Ani terus mengharungi kehidupan sebagai ibu tunggal kepada 3 anak lelakinya yang lasak-lasak. Sekarang sebuk dengan sarjananya di UPM. Saya pula sedang berlawan dengan berat badan yang semakin naik. Mak pula semakin renta. Usai 3 syawal badannya mulai sakit-sakit. Panahan sebab sebuk sangat memasak dan melayan karenah cucu-cucu. Tapi alhamdulillah tubuh mak masih belum dihurung darah tinggi dan kencing manis (seperti arwah bapak). Saranan doktor cuma bawa berehat.


Saturday, September 03, 2011

Fitrah


Untuk kembali kepada fitrah tidak semudah ucapan kata. Kadangkala lupa itu sentiasa membuat jauh daripada fitrah. Tangan ini cuba menghulur. Agar ada yang memandu. Mengingati fitrah asal, dari mana usulnya. Mungkin ada yang terpesong jauh dari menemui fitrah sebenar. Jalan mana yang dipilih. Dari sekalian jalan yang ada. 


Thursday, August 18, 2011

Sabah 2011 | Moga ketemu lagi

Cukuplah cerita wisata ke negeri di bawah bayu ini. Ramadhan sudah hampir-hampir di hujung. Masa untuk tingkatkan amalan pula.


Wednesday, August 17, 2011

Sabah 2011 | Mari-Mari Cultural Park Siri 2


Setiap etnik ada identiti budaya dan ritual mereka. Membezakan mereka dari etnik yang lain, waima warna kulit yang tidak jauh bezanya. Dahulu ada yang memenggal kepala musuhnya yang tewas. Tapi yang pasti itu tidak akan berlaku pada hari ini. Bahkan hari ini juga ramai yang tidak lagi menyembah tuhan pagan. Mereka mendekati agama langit, Islam maupun kristian. Namun dari pandangan saya kristian berkembang agak pesat di Sabah jika dilihat dari jumlah geraja yang ada di sini. Nyatanya misioneri kristian di sabah memang aktif berdakwah. Ini diperkuatkan dengan kenyataan teman saya asal sabah bahawa jumlah gereja melebihi jumlah masjid dan surau di sini.

Sabah 2011 | Mari-Mari Cultural Park Siri 1

Ke Inanam mengikuti program suri saya yang di bawa penganjur. Tentatif program ini pastinya menarik lantaran partisipasinya adalah dikalangan orang-orang besar setiap organisasi, CEO,CFO. Pengurus, Ketua etc. Suri saya ada mengeluh malu untuk hadir ke sini sebenarnya. Mari-Mari Cultural Park, terletak jauh di Inanam. Menyelusuri tebing-tebing bukit untuk sampai. Di sini kami disambut oleh Adam sebagai pemandu kami di situ. Adam, orang tempatan ini, petah berkata-kata dalam dwibahasa, melayu dan inggeris. 
Kembali kepada asas. Namun aku rasa etnik-etnik di Sabah ini semakin moden. Tidak terikat kepada tradisi lama. Rumah merekapun sudah banyak piring-piring Astro. 


Sabah 2011 | Bukit Kokol, Menggatal


Sore di Bukit Kokol, Menggatal. Matahari terik. Namun panasnya berbaur dengan rasa dingin. Kinabalu kelihatan sayup-sayup. Antara nampak dan tidak nampak. Bersembunyi di balik awan dan kabus. Kami menunggu malam di sini. Dan pabila malam mengambil posisinya, Kota Kinabalu nun sana diterangi dengan neon malam. Dari tanah tinggi ini kami memerhati keindahan, mentaddabur melalui deria.

Sabah 2011 | Malam di Kota Kinabalu


Pasar malam berhadapan Le Meredian ini, di sisi jeti Sinsuran adalah syurga makanan laut. Aneka santapan malam hari. Muak sudah dengan resepi makanan di hotel, saya turun mencari makanan tempatan. Segalanya segar di sini. Lalu saya membeli beberapa makanan laut yang di bakar, yang saya tidak tahu apa namanya, lantaran pengetahuan marin saya yang amat terbatas. Santai malam di Kota Kinabalu, menghirup bayu, berselang-seli hanyir ikan dari jeti.


Friday, August 12, 2011

Sabah 2011 | Wisata 2


Jeti Sinsuran Kota Kinabalu, berhadapan dengan Le Meridien tempat kami menginap. Saya berdua bersama alya petang itu. Lantaran suri perlu pula menghadiri bengkel, kesempatan ini kami gunakan melihat panaroma indah Jeti Sinsuran ketika hari menuju ke senja. Cantik, namun bau hanyir pinggir pantai yang kotor menganggu deria. Sini tempat nelayan memungah hasil laut. Bot-bot besar berderetan di jeti. Di sisi jeti sebentar lagi pasar malam Sinsuran akan menjelma. Nanti akan saya ceritakan. 


Wednesday, August 10, 2011

Sabah 2011 | Wisata 1


Kenapa Sabah digelar negeri di bawah bayu. Belum saya selami maknanya. Wisata kali pertama ke negeri ini. Mandala yang asing buat saya, namun di balik itu saya teruja untuk sampai ke mari.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...