Monday, March 17, 2008

SMS

Semalam aku terima sistem pesanan ringkas dari anak buah aku saidah. 'angah nak blk esok. doakan angah slmt N b'jaya hafaz quran bye3 assalamualaikum'.

Pendek pesanannya. Entah kenapa. Aku berasa begitu terkesan dengan pesanan yang aku terima itu. Betul. Manusia punya impian. Manusia yang tidak punya impian umpama pohon tanpa buah. Cuma mengugurkan daunan kering ke lantai bumi. Dan setiap impian seseorang berlainan dari yang lainnya.

Saidah baru 13 tahun. Dia dalam proses transisi menjadi seorang gadis sunti. Seorang pelajar cemerlang di sekolahnya dahulu. Cantik dan santun akhlaknya. Aku lihatnya membesar di hadapan mataku. Sekali pandang dia seperti gadis tipikal lain yang seusia dengannya. Mulai ghairah dengan kehidupan moden, ada artis yang jadi idolanya, ada genre muzik yang jadi halwa kokleanya, atau mungkin juga sudah punyai pacar untuk berutusan surat atau mel elektronik. Namun saidah bukan gadis seperti itu. Dia bercita-cita untuk menjadi hafizah takkala orang lain yang seusia dengannya memilih untuk menjadi doktor, peguam, jurutera, akauntan atau artis program realiti. Dan ini buat anak buah aku begitu istimewa pada pandangan mataku.

Semalam dia pulang ke sebuah ma’ahad tahfiz di pantai timur. Kelananya untuk mendalami wahyu Ilahi. Tanpa jemu. Tanpa waham. Doaku tidak putus untuk anak buahku yang seorang ini. Dan airmata ku mengalir dari ego retinaku sebagai lelaki. Memang susah untuk buat aku menangis. Namun tangisan ini umpama satu refleksi tanpa sedar. Aku doakan setiap langkah perjalanan hidupnya, setiap kayuhan cita-citanya akan sentiasa dipayungi rahmat, di terangkan jiwa dengan nur Tuhan. Amin.

Sunday, March 16, 2008

Siang tadi ke Pekan, Pahang. Daerah yang dimenangi oleh Dato’ Sri Najib dalam pilihanraya lepas. Ada walimah teman sepejabat di sana tadi. Perjalanan membelah banjaran Titiwangsa. Menaiki bas kementerian. Kiri dan kanan dilitupi hutan hujan khatulistiwa. Pahang kaya dengan hasil hutan, balak utamanya. Sungainya terpanjang di semenanjung. Itulah Pahang dari susuk geografinya. Cuma nuansa politiknya tidak sama dengan negeri-negeri jirannya, Selangor, Perak, Kelantan yang mana rakyat negeri-negeri ini memilih improvisasi dalam politik. Mungkin suatu hari nanti, lima tahun dari sekarang, kita dapat menghirup nafas baru di negeri ini. Persis hutannya yang menghijau.

Saturday, March 15, 2008

Syabas IR Nizar Jamaluddin - MB baru Perak

MENGENALI Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak.

Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.

Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.

Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.

Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.

Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta.

Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.

Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini).

Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).

Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat.

Antaranya kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program-program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat.

Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon.

Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.

Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya.

"Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul.

"Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.

Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).

Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan surau-surau. Malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah korban termasuk penyembelihan bintang korban.

Di samping itu Ir Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, ia juga boleh berbahasa Cina dan Tamil.

Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh berkhutbah Jumaat.

Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak

Dipetik dari www.sanggahtoksago.blogspot.com

Thursday, March 13, 2008

3rd ASEAN Education Ministers Meeting & 43rd SEAMEO Council Conference

4 hari di impiana hotel klcc. Bermula dari 10 mac 2008 hingga 13 mac 2008. Bertugas sebagai secretariat akomodasi untuk persidangan menteri-menteri pelajaran ASEAN dan SEAMEO Council Conference. Tugas ini memang tiada kena-mengena dengan skop kerja aku di kantor. Tambahan lagi tiada apa sangat kerja yang aku buat di sini. kendatipun dapat juga aku berkenalan dengan teman-teman baru di kementerian pengajian tinggi. Makanan di hotel inipun biasa-biasa saja. Cuma yang seronoknya waktu bangun pagi, buka saja jendela sudah tersergam KLCC. Dalam hati ini tertanya-tanya hala-tuju metro raya kuala lumpur ini seusai eleksi. Bukankah wilayah ini sudah ditawan oposisi. Eleksi baru seminggu berakhir. Semuanya masih awal untuk meneka apatah lagi untuk membuat spekulasi. Waimapun, kuala lumpur, macam lagu abang nasir; sesat di kuala lumpur, dosa dan pahala bercampur, aku ingin terus hidup, aku ingin terus hidup.

Monday, March 10, 2008

Kata Tun....

Di bawah adalah respon spontan mantan PM Tun Dr Mahathir mengenai kekalahan besar Be End di bawah pemerintahan Datuk Seri Abdullah yang dipetik dari akhbar The Sun edisi percuma di 7-E bertarikh 10 mac 2008:


“I think he should accept responsibility for this, just as in 2004, the huge victory was reportedly due to him, 100%, and that was said by the then secretary-general of Umno,”


But now also he should accept 100 percent responsibility. He has destroyed Umno, he has destroyed BN, and he should be responsible of this massive defeat.”


“I think the Japanese would have committed harakiri. But I think Malays are not up to this yet. I think he should consider stepping down,”


“Four years after the last election, he has done so many things which were wrong but these people(media) keep on reporting how the people loved him,”he said.


“Datuk Seri Najib has scored an amazing victory, more than the 2004 result when it was the best year for BN. His majority increased while Abdullah’s decreased quite significantly,”


Tun sudah tua. Mungkin kata-katanya cuma sekadar dipinggiran. Tak perlu sangat ambil pusing. Tapi perlu ingat Tun dah perintah Malaysia lebih 20 tahun. Dalam tempoh 20 tahun itu banyak situasi-situasi yang kadangkala menggugat kedudukannya sebagai PM. Macam isu mamali dan pemecatan mantan TPMnya pada 1998 dahulu. Mungkin itu pandangan peribadi Tun. Cuma pandangannya itu memerlukan bacaan politik yang rasional. Pola warna politik nusa kita sudah berubah. Dan rakyat sudahpun bersuara.

Sunday, March 09, 2008

siapa sangka

siapa sangka kedah dan perak, kubu kuat be end ini boleh tumbang di tangan BA. siapa sangka pulau pinang buat kali keduanya boleh tumbang ditangan pembangkang (pulau pinang dahulu diperintah oleh parti gerakan sebagai parti pembangkang sebelum menyertai perikatan). siapa sangka negeri yang terkaya di malaysia iaitu selangor turut dirampas pembangkang. semuanya ini berlaku tanpa kita sangka.
langskap politik malaysia sama sekali berubah setelah 50 tahun kemerdekaan negara. segalanya cuma berlaku dalam satu hari. rakyat akhirnya telah bersuara. suara yang ditakuti oleh sang oportunis, dan politikus-politikus kotor. sekali air bah sekali pantai berubah.
negara memasuki dimensi baru pasca PRU12. 2/3 majoroti telah dipecahkan. harapan rakyat agar segala janji dilunaskan segera. tunggu dan lihat nanti.

Saturday, March 08, 2008

langit sore bersulam awan mendung yang memayungi gugusan ini. hujan diramal akan turun. syukur tuhan, tanggungjawab telah dilaksana. sek keb padang changkat, tempat awal kembara ilmuku, menjadi lokasi membuang undi di daerahku. pesan mak sebelum mengundi, selawat dahulu sebelum memangkah. keadaan ditempat mengundi nampak tenang sore ini. tiada yang beratur panjang membuang undi. aku dan mak tidak menunggu lama. siapa yang mahu dipangkah sudah berada difikiran.
keputusan malam ini amat aula bagi kita seantero negara. kita nantikan debarannya dengan rantaian doa-doa suci. insyaAllah. angin perubahan bakal bertiup dinusa ini.

Thursday, March 06, 2008

Pilihlah yang terbaik untuk masa depan negara. Pilihlah yang dapat menunaikan aspirasi negara. Pilihlah calon yang amanah, adil dan bersih. PRU12 adalah masa untuk berubah.
Di bawah ialah senarai calon-calon yang bertanding di mandala saya:


P16 Parit
Jumlah Pengundi: 28,859
Peratusan Kaum: M: 92.95% C: 3.22% I: 3.79% L: 0.04%
1. Dr. Najihatussalehah Ahmad (Pas)
2. Mohd. Nizar Zakaria (BN)

Penyandang: Nasarudin Hashim (BN)
(Majoriti: 4,696 undi)

N38 Belanja
Jumlah Pengundi: 14,470
Peratusan Kaum: M: 87.14% C: 6.15% I: 6.67% L: 0.04%
1. Datuk Mohd. Zaim Abu Hasan (BN)
2. Muhammad Ismi Mat Taib (Pas)

Penyandang: Datuk Mohd. Zaim Abu Hassan (BN)
(Majoriti: 3,143 undi)

N39 Bota
Jumlah Pengundi: 14,389
Peratusan Kaum: M: 98.79% C: 0.28% I: 0.9% L: 0.03%
1. Datuk Nasaruddin Hashim (BN)
2. Usaili Alias (PKR)

Penyandang:
Che Ri Md. Daud (BN)
(Majoriti: 1,729 undi)


Wednesday, March 05, 2008

Aku terima segalanya ini
Atas nama Tuhan
Yang Maha Pengasih
Yang Maha Penyayang

Dan setiap helaian nafasku ini
Waktu sunyi menjadi akrab
Cuma bertemankan surah-surah suci
Pasrahku akan segalanya
Tersurat dalam langkahku

Dan aku terima segalanya ini
Atas nama Tuhan
Yang Maha Pengasih
Yang Maha Penyayang

Tuesday, March 04, 2008

dan ku berhenti berharap
akan cintamu yang dulu ada dihati
dan ku coba untuk bertahan
walau berat
kini ku berhenti berharap

Sunday, March 02, 2008

Ke Jengka dan Kuantan. Ada projek kat sana. Dan projek ini tak ada unsur-unsur politik kepartian atau kempen pilihanraya pada 8 mac ini.

Friday, February 29, 2008

Tadi dia terlanggar bendera warna biru pekat gambar kepala dacing masa pulang dari kantor. 'Sori pak tak sengaja ya'.
Sekarang ini musim hujan. Kalau nak gantung bendera tu kasi ikat kuat sikit. Sebab nanti bersepah atas jalan bila ditiup angin. Takut menganggu pengguna jalan raya pula.


Pesanan khidmat masyarakat ini di taja oleh pak li kopitiam seksyen 7 shah alam.
Pilihan

Kita memilih kali ini
Siapa sahaja
Asal boleh buat kerja
Bukan janji yang berterabur
Pilih untuk beranjak
Lama kepada baru
Cuba dahulu
Jangan takut
Sebab kita yang pilih
Kalau tak pilih
Nanti kita pilih yang lain
Tapi pilihlah yang lain itu
Kali ini sahaja.
Tinggal
Selamanya
Kenangan ini
Yang tak terungkap
Di pangkal hari
Mencari sisa-sisa
Hingga terbenam senja
Dan langit
Mengait bait-bait rindu
Terapung
Bersama sepi
Tak terucap.

Wednesday, February 27, 2008

Rumah gua banjir lagi bro. Gua dah hilang akal skrg ni. Lu pikir sendiri. Gua duduk apartment tingkat atas pun boleh banjir beb. Lantai gua bumbung orang. Gua rasa sok pagi gua nk sound tuan rumah ni. gua dan bebudak rumah ni dh temper ngan tuan rumah ni. Ikut hati panas gua, gua nak blah aje dari rumah ni bro. Habis barang-barang gua dan memember gua. Internet router haram tak boleh pakai bro. Gua panas ni bro. Bro boleh coolkn gua tak?
oklah bro. gua nak rehat, mundian gua nak mandi dan solat. Gua letih sangat hari ni. Thanx bro coz sudi dengar gua punya rintihan hati.

Monday, February 25, 2008

Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan Kementerian Pelajaran Malaysia. Hari pertama dia di sini sebagai penjawat awam. Mengetuai bahagian kewangan di sini bukan kerja yang mudah. Ada tanggungjawab besar yang perlu digalas di bahunya. Namun segala susah senang ini akan dia hadapi jua waima sekuat mana prahara yang memukul.
Esok dan hari seterusnya adalah perjalanan baru buatnya. Moga jalannya ini dipandu tuhan.

Sunday, February 24, 2008

Hari ini hari penamaan calon. Kempen sudah bermula. Demokrasi yang kita canangkan 4 tahun sekali. Mari bersama rasai panasnya. Ini masa untuk kita berubah. Undi untuk satu anjakan paradigma. Undi untuk satu improvisasi.

Saturday, February 23, 2008

Cinta kepada Allah itu laksana api, dan apa pun yang dilewatinya akan terbakar. Cinta kepada Allah itu laksana cahaya, dan apa pun yang dikenainya akan bersinar. Cinta kepada Allah itu langit, dan apapun yang dibawahnya akan ditutupnya. Cinta kepada Allah itu laksana angin, dan apapun yang ditiupnya akan digerakkannya. Cinta kepada Allah itu laksana air, dan dengannya Allah menghidupkan segalanya. Cinta kepada Allah itu laksana bumi, dan dari situ Allah menumbuhkan segalanya.

Thursday, February 21, 2008

Terima Kasih Segalanya

Dua setengah tahun dia di situ. Segala pahit manis yang pernah dilaluinya sepanjang tempuh itu kini tinggal kenangan. Esok adalah hari baru buatnya. Perjalanannya masih samar-samar. Namun itu adalah pilihannya. Maybank auto finance jalan klang lama. Tempat di mana tumbuhnya segala impian yang pernah dicanai. Ada suka tawa di baliknya. Ada gelora yang kadangtu datang menghempas. Cuacanya tidak selalunya cerah, kadangkala mendung, dan langsung membawa hujan. Dia bersyukur dapat bertemu segolongan manusia yang begitu komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Terima kasih dia ucapkan. Entah bila akan ketemu kembali, Allah maha mengetahui.

Sunday, February 17, 2008

Sungguh kita lupa



mengapa acapkali kali dalam hidup ini kita lebih mengutamakan kehidupan dunia kita, berbanding kehidupan akhirat yang kekal abadi. kita lebih enak mencari kebahagiaan duniawi yang fana. lebih enak bicara tentang kerja kita, makan pakai kita. berapa kali dalam sehari kita dekat dengan kitabullah. untuk kita baca, untuk kita selami maksudnya. mengambil pengajaran berlimpah di dalamnya. sungguh kita lupa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...