Tuesday, May 13, 2008

Di sini menyemai semangat, membuhul harapan, memetik rindu, menguntum kasih

Stigma sentiasa menyelubungi takkala berkunjung ke biro tata Negara. Laksana awan gelap yang mengiringi hingga ke pintu masuk kem. Mungkin itu tentatifnya masa ia diwujudkan dahulu. Menanamkan semangat patriotik pada para peserta, khususnya penjawat awam yang masih baru di mandala ini. Susah mahu ditafsirkan objektifnya, dan juga kadangkala buat diri keliru. Adakah ia sebuah program yang berbau politik cauvinis ataupun satu usaha murni menyemai benih cintakan tanahair yang tercinta ini? aku tidak seratus persen konformis dengan isi, modul, isu, yang terdapat dalam kursus ini. ia memerlukan satu cerakinan idea, sumbangseran, penilaian dari pihak kedua, untuk menilai setiap perkara yang dibangkitkan. Ia mesti berbentuk emperikal, bukan sekadar cuba-cuba.
Noktah
Bangsa melayu adalah bangsa yang besar, bangsa pelayar, bangsa pengembara. Bahasa melayu pernah jadi lingua franca di nusaraya ini, namun kenapa bahasa melayu hari ini tidak mampu berdiri sendiri. Lebih molek kita mengkoreksi diri kita dari menyalahkan orang lain. Maju atau mundurnya melayu bukannya atas frasa melayu itu. Jika nama melayu yang menjadi alasan kemunduran melayu hari ini maka tidaklah Melaka yang disebut oleh tom pires sebagai jelmaan kota venice di timur.
Noktah
Cubalah merenung kembali pada sejarah. Melaka. Suvarnabumi ini suatu ketika dahulu dicemburui oleh bangsat-bangsat dari portugis, inggeris dan belanda. Melaka lebih maju dari Malaysia kita hari ini. Melaka dahulu satu dominasi yang kuat dari segi ekonomi dan politik. Apa kekuatan Melaka suatu ketika dahulu?. Aku percaya kekuatan ini datang dari Islam. Islam membawa kemakmuran ke Melaka sebagai ‘baldatun toiyibah’. Islamlah yang memangkin kegemilangan Melaka. Dipayungi dengan rahmat tuhan yang tak terhempang. Namun apabila islam terpinggir di Melaka, maka saat itulah gerhana mulai muncul dan akhirnya lenyap ditelan kuasa barat. Maka sekali-sekala kita kena menoleh sebelakang. Melihat sejarah yang kini telah jadi sesawang.
Noktah
Usai sudah 5 hari. Macam yang aku beritahu tadi bahawa aku bukan seratus persen konformis. Tapi aku melihat dari sisi yang molek. Ada ilmu dan pengalaman yang bercambah di sini. Juga menambah koleksi-koleksi teman di peti e-mail (entah mereka mengenali aku atau tidak). Dan yang pentingnya aku kena buka dan menelaah perlembagaan Malaysia lepas ini. Banyak yang kena di perhatikan.
Noktah
Waima fikrah aku kadangakala kontradik dengan manusia seputar aku, namun tak perlulah pertikaikan rasa patriotik aku pada Malaysia yang satu ini. Cuma aku memilih ideologi yang ruas pandangnya lebih jagat. Dan tiada yang lebih adil dari keadilan Islam. Dan tiada perlembagaan yang lengkap selain dari al-quran dan hadis. Itulah dustur Ilahi.
Noktah
Aku rangkumkan segala kenangan ini melalui gambar dan puisi di bawah. Ia segugus memori terindah yang tak terucap di tubir bibir.

Usai waktu berlalu
Setelah kita lakar memori
Yang jadi buak-buak ceria
Akhirnya hati bertaut di sini
Rindu menguntum di sini
Kasih terbentur di sini
Lalu mesra kian bertaut
Dan kita mula bina seloka tawa
Akhirnya menguntum bunga cinta
Yang mengayam di tubir bibir

Dan kembara ini di anjung akhirnya
Pada semua
Diam-diam kusyukuri pertemuan ini
Tak terbayar olehku
Ku serahkan kembali pada yang Esa

Moga-moga ketemu lagi


Kursus Kenegaraan
Biro Tatanegara
Kem Bumi Jati Shah Alam
08-12 Mei 2008

Thursday, May 08, 2008

irrawadi masih terus mengalir

22,000 orang terkorban, manakala 41,000 orang masih hilang dalam tragedi taufan nargis (bencana alam yang terburuk selepas tsunami yang melanda acheh) di Myanmar. Wabak penyakit menular, kebuluran melanda. Mata dunia memandang Myanmar dengan sayu. Selepas demokrasi dimamah pihak junta. Apa lagi yang tinggal? Nargis. Entah dari mana datangnya istilah itu. Namun datangnya membawa jentaka dan raungan pilu. Irrawadi masih terus mengalir mengikut sunnahnya. Tetap dingin. Waima ramai manusia seputarnya kian haus.

Noktah

……

Kita sini cukup makan, cukup serba-serbi. Tak cukup-cukup lagikah?

mesyuarat dan waran

Perhimpunan bulanan jabatan. Sangap betul. Kalau tak sebab ada jamuan memang aku tak naik aras tujuh. Atas meja kerja membukit. Banyak waran perlu di siapkan. Duit peruntukan kena diturunkan ke sekolah dengan kadar segera. Kalau tidak setiap kali mesyuarat cerita waran tak turun ini pasti tak habis-habis dibangkitkan. Di bawah pemerintahan rejim dasar dan pembangunan ini, kami di bahagian khidmat pengurusan diperintah secara anarki terpimpin.

Noktah

Wednesday, May 07, 2008

honda citi nurhaliza tarudin

yang: nanti kalau orang bank telefon minta jadi 'reference' kau layan ok
aku: awatnya.
yang: aku dah 'booking' honda city. aku bagi nama kau jadi 'referance'. ford putih aku tu aku 'trade in'. dapat tolak dalam enam ribu. kau tolong aku ok.
aku: no hal 'bro'. cuma nanti gua balik gua nak pinjam bawak pusing-pusing satu kampung.

p/s: 'yang' panggilan untuk abang sulung aku. bukan singkatan perkataan 'sayang'. harap pembaca tidak keliru.

Sunday, May 04, 2008

malam minggu dalam elarti koc ke-2

Carmen. Gadis tiong hua. Tinggal di dada kota. Malam itu dia menaiki elarti, koc ke-2, pukul 11 ke kelana jaya. Duduk di bangku anjung. Seorang diri. Mekapnya mencair. Maskaranya hampir tertanggal. Mulutnya berbau heineken. Dadanya nyaris tak terburai. Rantai salibnya berjuntai ke bawah. Dipakainya agar dia sentiasa dekat dengan jesus, waima dia rasa dirinya sudah semakin atheis. Malam itu malam gelap bagi dirinya. Nafasnya berombak. Kecewa. Patah hati, ecetra. Teman lelakinya buat bangsat lagi. Dia sudah mati tujuh kali malam itu. Waktu pintu elarti terbuka. Dia memilih untuk dihumban kesalah satu dari tujuh pintu neraka.
…..
Mabuknya masih belum hilang. Carmen tertidur di birai katil. Dengan mekapnya yang mencair. Maskara yang hampir tertanggal. Mulutnya berbau heineken. Dan dadanya yang hampir terburai.

Noktah.

Saturday, May 03, 2008

merah

malam itu ada majlis koktel di rumah si polan. cameron datang dengan busana merah paras dada. dan setiap mata asyik memandangnya.
noktah.

katakan bahawa cinta itu datang dan pergi

Bila kematian saling menghambat kehidupan. Cinta takkan selamanya ikut mati. Cinta akan sentiasa subur untuk mereka yang mempercayai magisnya. Kematian itu bukannya pemutus. Bukan ketakutan yang amat. Ajal hanya kejam buat yang takut padanya. Namun cinta akan terus hidup.

Noktah.

Sebuah cerita. Tanpa sanad. Rakaman sebuah kehidupan walang.

…….

Ada seorang gadis. (boleh namakan siapa sahaja gadis itu). Punya impian indah, macam gadis-gadis lain. Dan setiap hari ia mencari kata-kata muluk untuk hiburkan hatinya. Di taman, dalam tren, di tengah hiruk-pikuk manusia urban, di mana sahaja yang mungkin boleh buatnya tersenyum. Namun sebenarnya dia sekadar mahu lari dari derita yang mengejarnya. Sakit yang kadangkala tidak memahami dirinya. Betul. Kanser ini yang memakan suku dari usianya. Ia memakan kewanitaannya dan senyumnya pada matahari dan bulan.

Namun tuhan maha adil. Saat menunggu ajalnya tiba. Dia ditemukan dengan seseorang lelaki. Bukan malaikat. Tapi seseorang yang memberikannya getar cinta, waima dia sedar hidupnya kini Cuma membilang hari. Benar. Cinta bukan sekadar bercerita tentang kemulukan, tapi cinta adalah cerita tentang kemanusiaan. Cinta memanusiakan manusia dari kepongahan.

Hari itu. Hari disuratkan ajal mautnya. Sungguh. Kanser ini ibarat gangrel yang memakan sedikit demi sedikit tubuhnya. Sakitnya yang amat sangat. dan waktu menempuh saat-saat akhir hidupnya, lelaki itu tetap setia di birai usianya. Menemaninya dengan senyuman yang bersulam dengan air mata. Retinanya merah. Nafasnya tersekat antara peparu dan treakeanya. Syukur tuhan aku tidak keseorangan waktu menemui-Mu.

Noktah.

……

Sepotong awan di atas. Suram di tembok langit. Matahari, bulan dan bintang – akhirnya aku pergi.

SLOGAN HARI PEKERJA
.....
JOBS
.....
JUSTICE
.....
FOOD
.....
FREEDOM
.....

Thursday, May 01, 2008

hari pekerja di perut metrokota

cuti hari pekerja 1 mei. turki pertama kali menyambutnya di jalanan selepas 20 tahun. di moskow para pekerja berdemo minta kerajaan menaikkan tangga gaji selaras dengan kenaikan harga barang.
noktah.
.....
cuti hari pekerja 1 mei. kami tersangkut di lebuhraya persekutuan. trafik macet. kenderaan berpusu-pusu ke 'key hell'. tiada demo. cuma kenderaan kami berarak perlahan-lahan atas jalan. di sebelah seorang lelaki separuh umur, memandu toyota alphard, berplat nombor wilayah, beromong seorang diri dengan bluetooth.
noktah.
.....
cuti hari pekerja 1 mei. masa berjeda. entah mana cicirnya.

Wednesday, April 30, 2008

aku kata padanya yang aku sudah berubah. namun dia tidak percaya. dia kata aku lelaki tipikal dan apa yang keluar dari treakea aku cuma klise.
.....
.....
.....
aku kata sudah. aku sudah berubah.
sudah.....
hari ini di sisi segala keindahan
menebarkan mimpi-mimpi indah
derita yang gugur dari kolong langit
segera hapuskan air mata itu
dari lirih bisikan syahdu
mengbungkam di dalam hati
yang tak terhempang arusnya
lukalara ini dibebat rindu
Tuhan
doaku terapung kelangit-Mu
menitip maksud maknawi
tulus dan suci

IPN - Sg lang, Sabak Bernam
14/04/2008

Monday, April 28, 2008

luar semakin pudar
malam semakin larut
hari itu. seorang tua menyeka air matanya. duduk di birai usia. merenung jauh. saban hari matahari jadi teman. mata yang kian bundar. sungguh hari ini bukan sempurna. ada seribu kekesalan. kehidupannya yang biasa. mimpi tanpa naratif. dan dia tidur di bangku usia.

Saturday, April 26, 2008

sore itu yang indah. gelombang bayu tak terhempang dinginnya. daerah ini, tempat bermukim jauh dari hiruk-pikuk metrokota penuh gemerlap lampu neon. perjalanan ini telah berada di anjung. perjalanan penuh pesona nan indah. 30 hari mencari seribu pengertian, dan ukhwah yang terkapuk kukuh di hati. ini memori kami. kenangan kami. cerita kami yang pelbagai watak. akan sentiasa disemat di nubari.

p/s: sore 24/04/08, 160 peserta induksi khusus dan umum di institut perakaunan negara pulang ke destinasi masing-masing. ke utara, ke selatan, ke timur, ke barat. berkhimat untuk bangsa dan negara.

Friday, April 18, 2008

Langit 2

Langit dunia
Bergelombang awannya
Pawana berlalu
Masa yang berjeda
Hati yang sepi kasmaran
Melayah memenuhi batini
Tanpa ragu
Mengalun seloka rindu
Mengbungkam dijiwa

Masihkah ada manisnya?
Tercari-cari di tubir bibir
Kata-kata terindah
Waktu bayangmu hilang
Diujana mata

IPN
Sg. Lang, Sabak Bernam
18/04/2008

Langit 1

Langit
Biru nilakandi
Berarak awan putih
Panasnya mentari siang
Bumipun subur
Hujan menyemai bumi
Dan benih mulai bertunas

IPN
Sg. Lang, Sabak Bernam
14/04/2008

Wednesday, April 09, 2008

Minggu demi minggu mencoret setiap rinci kehidupan walang ini.

Tiada ungkapan.

Cuma khali yang jadi teman.

Dan masa berjeda sebentar.

Entah di mana cicirnya.


p/s: seminggu di Institut Perakaunan Negara Sabak Bernam. Baru sore ini ada ruang waktu melihat ruang ini.

Sunday, March 30, 2008

muffin dan teh O kurang manis

i. cuaca panas. sudah 2 hari hujan tidak turun di mandala ini. biarlah bumi kering sebentar setelah saban sore hujan turun mencurah-curah. panas itu anugerah Tuhan waima kita rimas dengan peluh yang merembes keluar dari liang-liang roma kita. esok pula mungkin hujan. kita tidak tahu. kita boleh buat ramalan. namun sejauh mana tepatnya ramalan itu kita tidak tahu. di sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan pula di tengah hari.

ii. cakap-cakap tentang pilihanraya lepas masih belum sejuk rupanya. masih panas lagi. itulah yang aku dan teman-teman perdebatkan takkala berjumpa di hari minggu. tsunami politik nusa ini masih belum reda. prahara tampaknya makin tak menentu. aku dan rakan-rakan adalah golongan muda yang celik melihat suasana politik negara secara makro dan mikro. politik negara ini perlu dirawat. ada yang tidak kena dalam sistem yang kita perhambakan selama 50 tahun ini. media arus perdana gagal memberikan laporan yang seimbang, ditambah lagi dengan bahan berita yang memualkan. anak muda seperti kami tak mudah disogokkan dengan corak berita yang sengal dan berat sebelah itu. dunia sudah beranjak jauh. dan jalur semakin melebar.

iii. mulai esok aku akan berpergian ke Sabak Bernam, Selangor sehingga 24 april 2008 untuk menghadirkan diri ke kursus induksi di institut perakaunan negara. Mungkin dalam tempoh itu aku tidak akan mengemasknikan blog ini. ah! tanpa jalur lebar ini aku rasa macam terputus hubungan dengan dunia luar.

iv. cuma satu. aku punya seorang teman yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-28 pada 6 april depan. dan jika tergerak hatinya untuk melayan blog kecil ini, aku ucapkan selamat hari lahir buatnya. moga Tuhan sentiasa bersamanya di setiap langkahan kakinya, yang kini, aku rasakan langkahannya semakin menjauh. sejauh perjalanannya mengharungi lautan pasifik. lama sudah dia menghilang tanpa berita. kendati, aku yakin dia sedang gembira kala ini. dan aku doakan kegembiraannya akan berterusan.

Thursday, March 27, 2008



Dahulu bila orang tanya saya mana asal saya. Saya akan menjawab dengan spontan yang saya berasal dari negeri Perak. Dan jawapan itu diluahkan tanpa ada apa-apa sentimen kenegerian.

Tapi hari ini bila orang tanya mana asal saya. Saya dengan rasa bangga, berbaur takbur yang tak melampui batas, memberitahu yang saya ini orang Perak, negeri bertuah dengan 9 daerah yang subur, Sultannya yang cendikia, rakyatnya yang bijak memilih dan Menteri Besarnya seorang IR yang warak. Itulah yang berlaku dalam pilihanraya lepas.

Aku anak Perak. Rakyat paduka Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Waima patik berkelana mencari rezeki di tempat orang, tumpah setia patik tetap pada Tuanku. Di bawah lembayung paduka Tuanku.

Tuesday, March 25, 2008

Bahasa Seorang Rafik

Syukur
Dalam jagaku saban hari
Siang yang bersinar rahmah
Malam yang membuhul marghfirah
Sujudku hanya pada-Mu
Barakah yang mengiringi langkahanku
Tanpa ragu
Ikhlas dan redho
Berjalan mencari maksud hakiki
Hikmah untuk jadi dian


Syukur
Waktu lenaku saban hari
Setelah mengharung angin resah
Goda yang bergelombang
Dinding jiwa yang kadang rontok
Membaca dunia dari sisi gelapnya
Lalu ku tutup mataku ini
Dengan secangkir doa
Untuk kufahami cumbu-Mu
Untuk kurangkul qiam tahajjud-Mu

JPJS-Putrajaya
25/03/2008

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...