Sunday, January 18, 2009

perkahwinan adalah perkongsian hidup.
antara dua jiwa.
saling memerlukan.
saling melengkapi.
bada subuh esok
ada malaikat turun
bawa cemeti
bawa pesan
merengkuh gebar malam
dan neon kian malap

Friday, January 16, 2009

menanti ababil

langit palestin tidak pernah merasa tenang. hujan peluru dan bom silih berganti. suara tangis pilu anak-anak kecil memecah dinding-dinding al-aqsa. perjanjian yang termeterai dengan rejim bangsat itu sudah jadi lelucon. negara arab seputar palestin masih bertelagah mencari jalan selesai yang retorik. mereka patut mencontohi venuzuela dan bolivia yang lantas memutuskan hubungan diplomatik dengan negara laknat itu. israel harus saja di bom macam hiroshima dan nagasaki. tiada lagi ayat-ayat damai yang muluk untuk israel. dunia sudah bosan dengan resolusi damai PBB yang acapkali diveto oleh amerika. PBB sudah jadi alat kuasa besar itu membenarkan kekejaman yang berlaku di palestin. dan saranan iran untuk mewujudkan organisasi baru persis PBB ada kewajarannya. genocide ini mesti dihentikan segera. ribuan jiwa telah terkorban. peluru israel tidak pernah memilih siapa. anak-anak kecil tanpa noda jadi mangsa.
palestin adalah tanggungjawab kita. milik kita bersama. bumi tempat mikraj nabi bertemu Allah. mereka saudara kita. berkongsi syahadah dan tauhid yang satu. boikot produk amerika dan israel mungkin tidak banyak memberi kesan. namun ia antara cara yang termampu kita lakukan. panjangkan doa dan nazilah kita untuk mereka. mohon abibil tuhan datang membantu.

Wednesday, December 17, 2008

Teringat pada arwah bapak. Jika arwah masih hidup, dan rumah renta di kampung masih teguh, tentu senyum tawanya, tegas tingkahnya, membibit buak-buak ceria.
Teringat pada arwah bapak. Waktu membilang saat-saat bahagia. Waima ujananya masih panjang. Ingin aku kongsi rasa bahagia ini. Dengan arwah di dunia seberang sana. Dengan titipan doa. Ikhlas dan kudus.

Monday, December 15, 2008

offline

Sejak talian telefon dan internet dipotong di rumah masa untuk mem’blog’ kian terhad. Waima berahinya masih kekar. Entah masih ada yang mengunjunginya atau tidak. Tapi itu tidak penting. Yang penting nyalarasa perlu di luahkan. Banyak yang berlaku. Semalam, kelmarin, hari ini, esok. Sukar untuk diramal. Macam model telefon sel. Boleh jadi baik. Boleh juga buruk. Keadaan ekonomi dunia yang suram. Harga minyak dunia menjunam di bawah USD 50 setong. Keadaan ini memaksa Negara pengeluar minyak OPEC menghadkan pengeluaran minyak. Inflasi pula mencanak naik. Sedang pengangguran diparas membimbangkan. Ditambah dengan ideolog sesat yang meragut kemanusiaan. tragedi Mumbai contohnya. Juga lanun-lanun jack sparow yang merajalela di teluk edan. Partikel-partikel ini akhirnya akan membarah. Elok saja dicampak dalam lubang hitam, jauh di luar galaksi.

Noktah

Sebelum ini membilang tahun. Kemudian bulan. Kini hari-hari itu kian mampir. Persiapan masih berjalan. Bahkan kian sebuk. Tema dan busana sudah dipilih. Rumah, lengkapan dan lekapan hampir sepenuhnya lengkap. Yang tinggal hanya untuk menjalani kehidupan selepas majlis nanti. Perkahwinan adalah proses kehidupan. Transisi yang perlu kita tempoh. Kondisinya tentu berbeda. Ada tanggungjawab di situ. Ada yang takut memikulnya. Material contohnya. Tunggu stabil dulu. Belum bersedia. Kejar kerjaya. Persepsi setengah orang berbeda.

Sunday, November 09, 2008

tawa

ada tawa di tubir bibirku. aku menyukai lelucon dan gelak tawa. menghilang getar dan bingit di kotak fikiran. keliling sudah jadi badut. berita sudah jadi satira yang memualkan. iya. 3 orang pengebom bali itu telah ditembak mati, dan obama 'hussein' barrack menang besar pada pilihanraya amerika. politik nusa kita tak kering dengan buletin yang rencam. raja petra telah bebas, razak baginda pun sama.(hantu altantunya pasti bangkit dari serpihan tulang-tulang yang berselerakan), koran tak sudah-sudah bicara soal koata pencalonan umno tahun depan. harga minyak dunia jatuh jatuh di bawah USD 60, sedang harga barang semakin mencanak naik.
noktah
rumah. ada.
perabut. ada.
barang letrik. sen q ada
apa lagi hah...

Friday, November 07, 2008

impian

impian
iya
aku punya impian
yang kadang tak tercapai
tanpa warna
kusam
hitam putih
noir
iya
aku punya impiam
yang kadang tak tercapai

Sunday, November 02, 2008

MASKARA Shorties

semalam. kali pertama ke maskara. bertempat di rumah PENA. program anjuran para blogger yang menggelarkan diri mereka sindiket sol-jah. parkir sesak. libang-libu cari parkir. ramai betul manusia. hidangan pada malam ini ialah tayangan filem-filem pendek. ada abg mamat khalid, dan sebahagian besarnya d.i.y. para blogger. semalam aku seret sekali 'dia' menemani aku ke maskara. tak semuanya yang aku tonton. kesian tengok 'dia' yang polos, rasa macam terpaksa ikut aku tengok benda-benda pelik macam ni. kami balik awal. tapi aku akan datang lagi nanti. untuk maskara yang akan datang.

Friday, October 31, 2008

Muara Kata

di muara kata
mencari makna
sungguh takkan bisa
menikmati rahimNya
yang tulus di hati
tanpa hasrat
di hadapanMu
menyentuh sumur cinta
ikhlas membuhul
syukur meniup kencang
di syurga hati
ku seru
kekasihku
dalam doa yang tulus

di muara kata
khusyuk hati ini
memahat luhurnya kasih
aku hambaMu
sungguh tuhan
tanpa ragu

Monday, October 27, 2008

sore

sore ini menitis rintik-rintik hujan
penuh merimbun
ngeletar dalam gebar rasa
rentan jiwa direngkuh pujangga
suara yang membisik
melankolik bunyinya mengusik dinding kalbu

sore berengsot senja
namun sang hujan masih merembes
dan penghuninya larut dalam sepi

Sunday, October 19, 2008

sore ini tanpa hujan. masuk hari kedua berturut-turut, sore tanpa hujan. di ufuk barat mentari memerah. indah. cantik. dan yang indah dan cantik itu milik tuhan. kita cuma menatapnya. sementara ia masih indah, cantik.

sepetang bersama matahari

petang tanpa hujan. ambil peluang yang jarang-jarang kita dapat waktu musim-musim hujan sebegini. keluar lihat matahari sore, minum petang di kafe bersama teman, atau apa jua kegiatan luar rumah. sebelum petang basah. kilat yang buat kita berkurung di kamar. sambil berkhayalkan punya teman mesra persis pelakon sinetron indonesia.

Saturday, October 18, 2008

Kami


dunia remaja penuh berontak. ikut kepala sendiri. bukan mudah jadi remaja sekarang. remaja yang hidup dalam milieu yang serba racau ini. jangan salahkan remaja. remaja bukan pihak yang mencipta sistem/doktrin/falsafah/fikrah dan pelbagai istilah-istilah murba. suara anak muda ini kadang kala gelap. dan ada juga yang cerah. sisi-sisi ini menjadikan mereka lebih kreatif dan bervariasi. remaja adalah proses transisi, lalu mencipta momen-momen yang serba ruwet untuk dimengertikan. semua kita pernah merasa. tapi tiap zaman punya kondisi yang berbeda. ini zaman mereka. biarkan mereka bebas berekspresi. yang veteran cubalah memandu. bukannya acapkali menyalahkan mereka.
noktah
p/s: usai menonton kami, bersama penonton-penonton yang tidak sampaipun sepuluh orang. memang selesa. boleh pilih penjuru mana mahu duduk. cuma kondisinya saja yang sejuk. ditambah dengan hujan yang turun di luar. kami. kisah remaja urban. yang membesar di metro yang menjanjikan impian, sedikit harapan, ideologi, dan kekeliruan, transisi sebelum menempuh alam dewasa. ini zaman indie, bukan lagi zaman isabella maupun mimpi syakila.

hilang

remang hari-hari ini membuka ruas pandang yang berjela. waima masa berjeda. musim-musim yang penuh resah. membilang saat dan jam. cicirnya entah ke mana. harapan, dan mimpi. bertingkah menjadi satu. garisan horizontal dan vertikal menyambung nafas. dan nyawa yang tersekat. di celah-celah rindu. entah kenapa lenyapnya nyalarasa. yang kian menjauh ini. hilang. dan terus hilang.

Sunday, October 12, 2008

singapura: ekonomi asia pertama gawat. bursa malaysia terus jatuh. bursa ditutup rendah kesan kemelesatan ekonomi. ini antara tajuk berita ekonomi. nuansa ekonomi dunia kian ruwet dan rumit. gergasi ekonomi eropah, german, mulai merasai wabaknya. melarat ke UK, iceland. dan lain-lain. ketidaktentuan ekonomi global meresahkan dunia. masyarakat dunia kian dihimpit dengan kenaikan harga barang. inilah kitaran ekonomi bebas yang dipelopori barat. ada ketikanya kitaran itu akan merudum ke bawah. entah. aku bukan penganalisis ekonomi. aku, antara ramai marhaen yang di vakum sama sekali dalam sistem ekonomi yang tidak melibatkan kami secara total. parahnya sistem ini menjarah ke urat nadi kami. barang asas yang mencanak tinggi. di tambah lagi dengan isu melamin bagai menjerut anak-anak kecil yang lapar susu. bahana ekonomi kapitalis yang menghambakan dengan penyata untung rugi.
noktah
hari ni bertolak ke IKRAM. kursus 6 minggu di sana. semalam melilau seputar sri kembangan, serdang, sg besi, sri petaling, bukit jalil, bandar tasik selatan, taman bukit cheras, bandar tun razak. cari rumah sewa. hasilnya. nol. bahu ini pula yang sengal-sengal. matahari mencanak tinggi. dan peluh menitik deras. waima ia melelahkan, namun ini tanggungjawab aku.

Thursday, October 09, 2008

ramai yang cerita fasal idul fitri. masih ada lagi rumah-rumah terbuka, juga rakan-rakan yang menjabat tangan mohon kemaafan. perjalanan selepas ramadhan berlangsung seperti biasa. macam sebelum-sebelum ini. kembut asap masih terapung di udara seusai menjamah makanan. setiap tahun ramadhan, syawal datang. dan kita masih sama.

Tuesday, September 30, 2008

malam sebelum lebaran diri ini memohon ampun atas kekhilafan diri

pagi sebelum lebaran. trafik sedikit macet. ramai warga kota yang telah pulang ke leluhur desa. sebuk mencari sesuatu untuk lebaran esok. daging, tulang, ayam, beras pulut, daun palas, lemang, serai, rempah-ratus, ikan keli, tongsan dan patin, santan, kordial, etc.
noktah
lebaran ini mungkin kali terakhir aku tiada masalah untuk membuat pilihan pulang ke kampung. insyaAllah tahu depan kena ikut giliran pula untuk memilih kampung mana mahu pulang dahulu. proses transisi yang berlaku dalam kehidupan aku dan mungkin anda juga. masa yang menentukan sahaja. sampai atau tidak. semua itu kerja Tuhan.
noktah
buat anda semua. aku memohon gapura kemaafan andai ada terkhilaf dalam mencoret setiap kata, mengguris setiap hati, dan tersasul setiap madah. yang baik itu semua datang dari Tuhan, dan yang lemah datang dari kelemahan diri.

Monday, September 29, 2008

balik kampung dari selatan menuju utara tanah air

trafik nampak tenang. perjalanan sejauh hampir 450 km dari selatan ke utara tanah air berjalan lancar. pulang ke kampung berhari raya adalah ritual warga malaysia berbilang bangsa. tidak kira apa jua perayaan yang disambut. kerajaan hadiahkan sebulan bonus kepada warga perkhimatan awam. juga penurunan 10 sen petrol. dalam keadaan inflasi mencanak sehingga 8 % ini entah sama ada dapat mengurangkan bebanan rakyat massa atau tidak. relung ekonomi kian menyempit. nafas yang sudah sekian sesak ini, makin menyesakkan peparu. 51 tahun kepercayaan sudah diberi. entah releven lagi, entah tidak. kita yang memilih. kita yang wajar menjawabnya. malam sebelum pulang kekampung aku dan teman keluar minum kopi. bersembang tentang resah kami, marhaen kota yang libang-libu dengan kondisi siasah dan ekonomi negara yang bingung dan ruwet ini. masalah sub prima di amerika menyebabkan beberapa institusi kewangan runtuh, merebak macam virus pada negara kecil seperti malaysia. syarikat2 gergasi ini telah wujud hampir seratus tahun. runtuh dalam jangka masa pendek. ini sistem kapitalis yang mendominasi ekonomi dunia sekian lama. entah. kami cuma marhaen kota. dan kami-kami ini majoritinya adalah kelas pengguna bukan pembekal. apa pilihan yang kami ada. kami makan nasi dan itulah makanan ruji kami turun-temurun. dan untuk menukar nasi kepada gandum adalah mustahil. sudahlah politik porak-peranda. penuh retorik.
noktah
di radio berputar lagu balik kampung nyanyia allahyarham sudirman. dia di sebelah sudah lama lena. mungkin bermimpi biskut raya cukup atau tidak dan baju yang mana dulu hendak di pakai di satu syawal.

Tuesday, September 23, 2008

ingat. pelajaran bukan menjamin kamu menjadi bijaksana.

apa yang kamu maksudkan....tidak menjadikan kamu bijaksana?

satu perkara biasa.

jadi apa yang jadikan kamu bijak?

kehidupan.....itulah yang sebenar

-petikan dari novel 'cancer ward' karya alexander solzhenitsyn-

Sunday, September 21, 2008

tempat: MPH bookstore mid valley
masa: 5 jam lagi menuju waktu berbuka

gadis 'twenty something' jalan bergeselan dengan teman lelaki 'twenty something'nya. "i dah lama tak baca novel melayu, tak urbanlah". ditangannya terkepit novel pop inggeris berilustrasi lelaki perempuan dengan 'pose' berahi sedang menuju ke kaunter. tak jauh dari kaunter seorang amoi sedang tekun menguliti adikarya harper lee, to kill a mockingbird. si gadis 'twenty something' singgah menempek sebelah si amoi. dia tersenyum lalu beredar pergi. si teman lelaki 'twenty something'nya jalan bersiulan keluar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...