Sunday, December 02, 2012

Spoiler: Ini bukan Wardina





Nur Irdina punya rambut yang cantik. Lurus panjang. Hitam dan lebat. Namun saya didik Nur Alya seawal usia mudanya tentang kewajipan menutup aurat. Tidak dibungkus. Tidak saya paksa secara keras. Sedikit-sedikit saya bukakan hatinya agar seikhlas mungkin kewajipan bagi seorang muslimah tentang aurat. Insya Allah mohon diberikan kekuatan hati dan jiwa. Tegas bersulam hikmah. 

Tuesday, November 27, 2012

Kembali


Syukur Alhamdulillah. Dengan tips dari rakan blogger lensanurrkasih saya akhirnya berjaya selesaikan masalah storan picasa saya yang sudah penuh sebelum ini. Ruang ini akan saya manfaatkan sepenuhnya untuk berkongsi rakaman lensa saya yang tidak seberapa. gapuradiri akhirnya kembali bernafas semula. 

Sunday, November 25, 2012

Kuota


8 tahun saya bersiaran di ruang kecil ini. Waima tanpa pengunjung yang ramai. Namun ia adalah satu eskapisme buat saya. Ruang untuk saya cuba keluar dari segala macam rencam duniawi. Sejak saya mula berjinak-jinak dengan dunia fotografi, sebahagian besar 'content' di sini adalah dari gambar-gambar yang saya rakamkan (dan sebahagian besarnya pula adalah potret anak-anak saya). Namun hari ini ruang itu sudah tiada. Rupanya storan picasa saya sudah penuh, dan untuk menambah storan perlu membayar mengikut pakej yang ditawarkan. Tidak berbaloi rasa saya. Jadi inilah perjalanan akhirnya. Ataupun mengorak langkah dengan mulakan langkah baru dengan wordpress. Entahlah. Saya rasa perlu ambil cuti sabatikal dalam mem'blog'.

Tuesday, November 13, 2012

Alya meniti usia 3 tahun


Seminggu sudah berlalu hari lahir si putri sulung saya. 3 tahun sudah usianya. Tahun hadapan dia bakal memasuki pra-sekolah. Semangatnya untuk kesekolah kian membuak-buak. Mungkin di laut fikirnya ke sekolah adalah untuk mengisi keseronokan meniti usia kanak-kanak. Melihat dia membesar di hadapan mata, sihat dan bijak, adalah nikmat Allah yang maha besar. Inilah juga perasaan setiap ibubapa. Membuhul sejuta keindahan. Kadangkala habis juga idea meledani rasa ingin tahu dia. Namun saya jawab jua setiap persoalannya dengan gaya bahasa yang sesuai dengan level dirinya. 
Selamat membesar putriku. Selamat hari lahir ke-3. Depani dunia dengan berani, penuh ilmu dan hikmah.
  

Sunday, November 04, 2012

Merenung Cinta


Merenung cinta yang hampir ini.
Mengugah nyala hati.
Kedepannya mengirim kepastian
Yang belum tentu lagi untuk hadir

Merenung cinta yang hampir ini
Tiada kata yang terucap

Wednesday, October 17, 2012

Konvo Cikgu Rohani








Hadir ke majlis konvokesyen saudara perempuan saya di UPM 15 Oktober 2012. Menerima 'master'nya, 'master pendidikan bahasa melayu sebagai bahasa pertama'. Cuaca mulanya pijar, kemudian beransur mendung. Lewat petang baru majlis di dewan usai. Saya dan suri menunggu di khemah luar, menonton dari layar besar yang dipasang. Tahniah buat cikgu Rohani. Sudah boleh kumpul input-input untuk sambung ijazah kedoktoran pula lepas ini.
Melihat wajah-wajah ceria ini, mengingatkan saya di tahun-tahun akhir bergelar graduan dahulu. Cukup jerih untuk mendapatkan segulung ijazah. Kekangan wang ringgit, perlu berjimat cermat sebelum sampai cuti semester. Untuk menyambung semula ke peringkat master belum ada dalam kotak fikiran saya. Saya masih belum betah untuk membahagikan masa sebagai seorang suami dan ayah, pekerja dan pelajar. Sungguh saya belum diberikan kekuatan untuk itu. Ada orang kata, mahu mudah ambil MBA, daripada kursus-kursus 'super' susah. Mahu sambung sarjana perakaunan? Amat berat bagi saya. Mungkin saya perlu cari kursus yang di luar kotak bidang kerja saya. Sejarah peradaban dan tamadun contohnya, sains sosial lainnya, atau pun sastera. Subjek-subjek yang ramai orang kata tiada masa depan dan susah cari makan. Paling-paling pun keluar nanti jadi cikgu, atau terkehadapan sikit jadi pensyarah. Tak perlulah saya berceramah soal sistem pendidikan pula. Pokoknya kita perlu ada kuasa untuk memilih antara yang terbaik buat diri kita. Tidak orang lain yang menentukan tatacara hidup kita.
Saya lihat sekarang jumlah pelajar master kian bertambah. Beberapa tahun akan datang statusnya mungkin sama dengan bachelor sekarang. Ada yang langsung sambung master usai sahaja bachelor. Setiapnya ada alasan masing-masing. Ada yang ditawarkan oleh pihak 'Uni', atau atas pilihan sendiri lantaran sukarnya memasuki pasaran kerja. Suatu hari nanti mungkin master akan jadi syarat utama dan bukan kelebihan.
Noktah. 

Wednesday, October 10, 2012

Lilin merah dengan nyala hati


Lilin merah 
dengan nyala hati
menyimpan gelap
dengan api kuning
nanti sampai waktunya 
cuma tinggal sumbu 
gelita memburu

ingat dengan nama cinta
cinta yang tidak cair
dalam bekas nurani

Saturday, September 29, 2012

Rehlah Port Dickson - bahagian 4




Bersantai dalam bilik. Kuatkan penghawa dingin. Buka 'sliding door' biar pawana masuk menyapa. Bersejuk-sejuk sekali sekala. Siang tadi alya bergaya ala-ala pandalela renong di kolam. Malam, badan mula terasa letih, mata kian kuyu. Alya bersandar di tepi tingkap, sebelum lena datang menjemput.

Rehlah Port Dickson - Bahagian 3


Tingkat 4 bilik 460. Lifnya sedikit lewat. Satu pula tu. Bilik tiadalah istimewa sangat. Tak macam ketika menginap di le meridien Kota Kinabalu dahulu. Bilik cuma taraf 'ok', berapa bintang aku tak tahu. Cuma ia ada balkoni, dan berhadapan dengan laut. Jadi permandangan indah ini meluputkan segala kekurangan yang ada.




Suasana ketika malam. Sunyi. Cuma ada sedikit suara-suara bising dari program 'team building' sebuah syarikat. Selain itu damai sahaja. Saya bersendiri malam itu mengambil angin malam. Sejuk bayu memukul tubuh. 

Wednesday, September 26, 2012

Rehlah Port Dickson - bahagian 2


Sama-sama merenung lautan biru. Pawana pula dingin memukul pipi. Terasa sedikit privasi di sini, lantaran ia bukan pantai awam. Pantainya khusus untuk yang menginap di Thistle Hotel. Ini kali kedua saya membawa alya, yang kini sudah jadi kakak, ke pantai. Namun dari pengamatan saya, kawasan pantai di belahan timur lebih cantik dari di barat. Butiran pasir di pantai timur lebih halus. Kendatipun, halus atau kasar tidak akan menghilangkan airnya yang masin.





Mandi kolam. Aktiviti tipikal untuk anak-anak. Si Alya memang teruja bila dapat mandi kolam. Kali ini si mata bulat Dina buat pertama kalinya dapat berendam dalam air. Seronok tak terkata mereka berdua ini.

Sunday, September 23, 2012

Rehlah Port Dickson







Dengan bajet yang ala kadar saya dan suri membawa dua orang puteri ber'rehlah' ke Port Dickson. Dua jam perjalanan dari rumah kami. Menginap di 'Thistle Hotel'. Hotel yang agak 'ok'. Kolam renang yang besar, dan kawasan pantai yang cuma esklusif untuk penginap. Melihat anak-anak menzahir rasa gembira pada wajah mereka adalah satu nikmat yang tidak terhingga.
Dari bilik hotel tingkat 4 ini, pantai dan kolam seakan memanggil kami. Adrenelin si kakak Alya sudah tidak boleh dikawal lagi. Terhidang ujana mata, mana dapat ditahan-tahan.

Tuesday, September 18, 2012

Permulaan untuk satu perjalanan


Suatu yang tipikal, ibubapa akan sentiasa memilih yang terbaik untuk anak-anak. Ekspetasi anak-anak zaman ini cukup tinggi. Kami punya beberapa pilihan sebenarnya untuk Nur Alya. Kemudian disenarai pendek, dan akhirnya kami memilih Children Islamic Centre. Setelah melihat sendiri tempatnya, modul dan silibus, serta guru-gurunya kami rasa ini yang terbaik. Lokasinya pula hampir dengan kediaman kami. Kos yuran bulanan agak mahal untuk sesi pagi sampai petang (pakej zamrud). Namun bukanlah duit soalnya jika mahu berikan yang terbaik. Anak-anak bukan bebanan, bukan juga aset untuk mengaut keuntungan, dengan alasan boleh beri ibubapa kekayaan jika berjaya kemudian hari nanti. Anak adalah tanggungjawab. Anak adalah pencen kubur kita. Kami mahu, seperti kata Dr Muhaya mendidik anak supaya jadi  ahli syurga. Matlamat hidup untuk mendapat redho Allah, bukan redho manusia.
Noktah
Tanpa sedar, betapa pantas masa berjalan. Alya kian membesar, kami pula kian dikunyah usia. Alya akan meniti usia seperti kami. Pergilah berkelana atas nama Allah. Cuma pesan kami, jangan lupa titipkan secangkir doa buat kami kelak.

Friday, September 14, 2012

Biru langit sore



Rakaman ini cuma dari telefon pintar milik saya. Terpana dan terpesona dengan langit sore nan biru selepas hujan merintih. Saya cari sudut yang sesuai untuk merakam suatu yang cantik dari mata amatur saya.
Biru warnanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...