Saturday, November 24, 2007

Beowulf

Robert Zemeckis kembali bikin filem. aku cukup teruja dengan filem2 arahannya dahulu, back to the future, forrest gump, cast away. selepas eksperimentasinya dengan polar express, zemeckis menjadikan beowulf sebagai kesinambungan teknologi motion capture dalam filem. memang tak terasa kesan animasi dalam filem ini, kerana segalanya seakan-akan hidup. beowulf adalah mitos dari belah dunia scandinavia. di ceritakan turun-temurun dalam medium puisi (persis perang troy dalam puisi panjang homer, the illiad).
beowulf. seorang pahlawan dari geta datang kesebuah kerajaan untuk membunuh seekor raksasa bernama grandel. grandel berjaya di bunuh beowulf dengan aksi2 akrobat yang hanya boleh ditonton dalam bentuk animasi. seakan sudah disuratkan atau rahsia yang tersimpan kemas sejak raja hrothgar memerintah. beowulf berhadapan dengan si ibu grandel dengan niat untuk membunuh. dan si ibu grandel bukanlah seekor raksasa hodoh seperti grandel tetapi seorang perempuan cantik yang penuh tipu muslihat. biarpun segagah mana beowulf, akhirnya beowulf tersungkur dalam keghairahan si ibu grandel. si ibu grandel menjanjikan sebuah kekayaan dan kekuasaan yang tak termimpikan oleh beowulf. dan dari hubungan dengan si ibu grandel lahir seorang anak yang kemudiannya menjadi seteru beowulf. sama sepertinya perseteruan raja hrothgar dengan grandel. setelah beberapa tahun berlalu. setelah beowulf di angkat menjadi raja menggantikan raja hrothgar yang telah mangkat. seekor naga datang dengan onar. memusnahkan kerajaannya. peristiwa lampau berulang. beowulf sudah tua, namun kegagahannya tidak pernah luput. beowulf sendiri mengangkat pedang untuk membunuh si naga. membetulkan kesilapan silamnya. dan naga yang dibunuhnya adalah anak lelakinya sendiri, hasil hubungan dengan si ibu grandel dahulu.
kisah beowulf, adalah adaptasi dari puisi kuno anglo-saxon. segagah manapun, sekuat manapun,beowulf tetap seorang lelaki.

Monday, November 19, 2007

Suara ini

Suara ini
Gemersiknya bersambut kelembutan
Singgah bertamu
Memenuhi setiap inci batini
Menyimpan setiap sendu murba
Memecah rindu dalam setiap getar kata
Dan hujan jadi lagu
Dari bumbung kehidupan
Tempat teduh sebuah perjalanan

Suara ini
Yang bertingkah dengan senyuman
Menyahut cinta kasmaran
Memenuhi bejana penuh air mata
Dan tawa yang diukir
Dengan setiap pengharapan panjang

Hari ini dan semalam
Tetap sama
Matahari masih bercumbu dengan siang
Langit masih mengomoli rinci buana

Dan suara ini
Luluh menanti pelangi
Yang kadang-kadang muncul.

Thursday, November 15, 2007

Nanti dulu. Tak habis lagi. Anak buah aku, Idah dapat 5A's dalam UPSR. Kalau dah pak saudaranya bijak anak buahnya tentu pandai. Tahniah. Tahniah kerana meneruskan kecemerlangan keluarga kita.
Aku belum habis lagi!!!!Bilakah habis adalah habis!!!! Adakah malaikat di samping aku. Mengingatkan tentang diri-MU. Setanpun di samping aku. Melalaikan aku untuk dekat dengan-MU.
Aku mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerja di kantor. Tapi tumpuan itu pecah kepada beberapa bahagian. Mata berpinau mengadap komputer. Di luar hujan melebat, dan di dalam penghawa dingin menggigit hingga ketulang.

Sunday, November 11, 2007

"katakanlah wahai Allah tuhanku yang memiliki kerajaan, mengurniakan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau rampas dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, ditangan kekuasaan Engkau sahajalah wahai tuhan segala kebaikan dan Engkau maha berkuasa di atas segala-gakanya".

Sore 10 Nov 2007 Sejarah Yang Diingati




aku menonton berita di teli hari ni dan semalam namun tiada langsung berita seputar perhimpunan 100 ribu rakyat di dataran merdeka, waima aku memang sudah jangkakan perhimpunan ini tidak akan mendapat tempat dalam siaran berita lokal. cuma nak lihat kalau2 ada stesen2 tv selain rtm yang membuat liputan mengenai perhimpunan tersebut. tapi nampaknya al jazeera yang lebih berminat. mingguan malaysia hari ini menyatakan: Sekitar 4,000 orang telah berhimpun secara haram di sekitar perkarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek hari ini dan polis telah menahan 245 orang. memang melucukan. sedang dunia menyaksikan puluhan ribu manusia yang berhimpun di perkarangan istana negara, belum lagi dicampur yang masih dalam perjalanan dari tempat himpunan masing2, yang terkandas di jalan raja laut, yang tersekat di jalan masjid jamek, di pasar seni, yang terkurung di sogo, dan beberapa lagi tempat di metro kota.
sore 10 november 20007 membuktikan yang rakyat juga pantang dicabar. rakyat jelata berjaya melakukan perhimpunan secara aman dan mahu sebuah demokrasi yang bersih. tembok berlin sudah runtuh, kesatuan soviet sudah lebur, yang tinggal adalah demokrasi. kepalsuan cuma ibarat kunang-kunang yang hilang waktu cahaya di jamah kegelapan.

Saturday, November 10, 2007

Malam Minggu

malam minggu tanpa aktiviti rasa amat bosan. menonton buletin utama di tv3 terasa memualkan. separuh dari berita seputar soal persidangan agung amno di pwtc. aku lebih gemar menonton berita global di astro awani. perlawanan EPL minggu ni pula tiada yang menarik, tiada perlawanan2 besar. aku menghabiskan sisa malam minggu ini menonton filem hong kong di astro kirana bertajuk undercover lakonan eric tsang, si katik gempal, namun kalau nak dibandingkan dengan farid kamil atau adam af, aku rasa jauh panggang dari api. ini filem tentang gangster. gangster yang lawannya polis dan selamanya polis akan jadi musuh utama bagi gangster. polis hong kong mahu merekrut 1000 anggotanya untuk menjadi perisik dalam kumpulan2 gangster di hong kong hingga keperingkat akar umbi dan program ini berlangsung selama 2 tahun. kalau sudah namanya gangster memang wataknya jahat. pukul orang, tikam orang. tapi salah satu dialog kai sing (lakonan eric) 'tiada langsungkah orang baik di kalangan orang2 jahat?' kai sing lantas membuat analogi, sepapan telur yang jatuh, tak semuanya akan pecah, mungkin ada 1 atau 2 atau 3 yang elok'. mungkin betul, mungkin tidak. menilai sudut kemanusian dari aspek baik atau jahat seseorng itu adalah subjektif. kadangkala kita nampak orang itu baik di biji mata kita, tapi belakang kita tak tahu. macam penjawat2 awam yang ditangkap rasuah. di kantor kerjanya bagus, orang hormat. namun kita tak tahu dia rasuah hinggalah dia ditangkap. manusia itu makhluk subjektif. boleh jadi orang, boleh jadi orang2.
penamat cerita, kai sing mati di bunuh oleh dau su, orang kepercayaannya sendiri, dan harapannya yang terakhir agar dia tidak di bunuh di hadapan kekasihnya. dan kejadian itu langsung tidak di sedari kekasihnya. cuma sejambak mawar yang tinggal.
filem2 hong kong dalam genre ini kebanyakannya anti klimaks. macam filem sewaktu dengannya seperti exile, the election, internal affairs, kadangtu watak antagonis protagonis ditiadakan. yang ada cuma cerita. ya, aku mahu menonton cerita. bukan setakat tembak-menambak ala die hard dari awal sampai habis.

p/s: utusan malaysia melaporkan. orang kuat kumpulan gangster sarawak ditahan di kawasan perumahan tabuan jaya kira2 3.30 petang semalam.

Thursday, November 08, 2007

Minyak

Harga minyak mentah global telah mencecah AS$ 98 setong. Dijangka harga komoditi itu akan melambung melepasi paras AS$100 setong. Dan tempoh itu mungkin semakin singkat memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu, ekonomi AS yang terjejas dan ketegangan di Asia Barat.
Minyak adalah bahan mentah aula bagi penduduk dunia. Sanggup berbunuhan untuk menguasai emas hitam ini. Apa alternatif kita selain menggunakan minyak? Sanggupkah kita berkelana menggunakan basikal?

Tuesday, November 06, 2007

Rasuah

rasuah adalah gangrel dalam masyarakat. kesannya nanti akan memakan sebuah negara, meruntuhkan peradaban sebuah bangsa. kita perlu mengkoreksi sejarah. melaka musnah kerana kegiatan rasuah yang berleluasa dikalangan pembesar melayu. dan semestinya dalam kemeriahan kita menyambut 50 tahun kemerdekaan negara dan keghairahan negara menghantar orang ke angkasa, tentunya kita tidak mahu penyakit ini melarat hingga perlu sebelah kaki terpaksa dipotong, macam orang kena diabetis. dato ramli dah kena tangkap waima dia tak mengaku salah atas dakwaan memiliki aset RM27 juta! (kalau gaji RM10k sebulan, sampai pencenpun takkan dapat kumpul harta banyak tu). itu cerita rasuah orang atas. orang bawah yang jadi balaci orang atas kita tak tahu. kadangkala tak perlu wang ringgit sebagai sogokan. teh tarik mamplerpun dah cukup kalau memang jiwa rasuah tu dah bersarang dalam diri. tutup cerita dato ramli, orang no 3 di PDRM. biarlah dia pergi umrah, berdoa di hadapan Baitullah. minta ampun, @ apa sahaja. Tuhan maha mendengar. dan Tuhan itu maha adil.

P/S: pilihanraya nak dekat. baik BPR pergi siasat orang-orang politik pula.

Thursday, November 01, 2007

Payung....

dunia aku tunggang-langgang kebelakangan ini. kepala serabut. di kantor kondisi tidak menyakinkan. semacam ada batu besar yang menghempap.
mujur dalam keserabutan ini aku ketemu dengan seorang minah cun di youtube. dengan bekalan gitar kapok, rias wajah yang cun, dia menyanyi.'ela...ela...ela...under umbrella ela...ela...ela....dunia sekarang nampaknya tak perlu lagi rancangan realiti untuk cari bakat baru kerana dunia sudah ada internet. audiennya seantero dunia. hitsnya di youtube sudah melebihi 2 juta. nama marie digby sudah tenar. sensasi yang lahir dari youtube, di luar dunia glamor american idol. dan gadis cun kacukan jepun dan irish-american ini buat aku khayal sebentar. berjalan berdua di NY times square sambil memegang payung hitam. hujan mulai turun rintik-rintik.

Tuesday, October 30, 2007

Wednesday, October 24, 2007

Malas

selepas raya ni segala macam kemalasan yang timbul. malas nak pergi kerja, malas nak update blog, malas nak baca buku, malas nak basuh kereta, malas itu, malas ini. puasa 6 haripun tak sempat nak buat, malas, waima aku tahu puasa aku yang lepaspun masih banyak part-part yang koyak, yang aku rasa perlu ditampal dengan puasa 6 hari bulan syawal.
hujan. monsun kali ini lain macam pula. dah seminggu bumi basah ditimpa hujan. pegi kantor hujan, balikpun hujan. bila suhu keliling dah turun mulailah mata ni macam digam dengan gam kasut. inikah yang buat aku malas. ah! orang malas memang banyak alasan......

Saturday, October 20, 2007

Semalam aku jumpa kawan lama.
Tunjuk kat aku awek baru.
Dan kereta proton wira baru.

Tuesday, October 16, 2007

Indahnya Syawal

i. Indahnya syawal ini dapat berkumpul bersama keluarga. Bermaafaan sesama keluarga, dan yang paling indah ialah dapat mencium tangan dan wajah ibu. Ibu orang yang paling sebuk takkala mahu menyambut hari raya, terutamanya sehari sebelum syawal tiba. Kadangtu tak terlawan kudratku dengan kudrat ibu yang entah datang dari mana, waima kami adik-beradik sedar ibu kian hari kian renta. Tangannya tetap ligat menyiapkan segala yang perlu di aidil fitri. Kasih sayang ibu tidak setakat takkala kami masih kecil bocah, tapi melawati batas usia kami yang semuanya sudah besar-besar belaka. Ibu adalah anugerah syawal yang tak terhingga.

ii. Cutiku cuma sampai 3 syawal. Maka 3 syawal ini aku mulai pulang ke daerah tempat aku mencari rezki. Perjalanan ke shah alam dari teluk intan memang memeritkan, lantaran keadaan trafik yang macet. Akhirnya perjalanan pulang yang cuma 2 jam melarat ke 3 jam. Nah! sampai kejang kaki menekan brake dan menukar gear.

iii. Syawal ke 4. Motivasi untuk masuk kerja boleh dikatakan langsung tiada. Tapi mujurlah trafik hari ini berjalan lancar. Tidak seperti selalunya waktu pagi hari berkerja. Di kantor tak sampai separuh orang yang berkerja. Separuh lagi mungkin masih beraya dikampung. kaunterpun lengang.Tak ramai yang datang. Aku pula tak sudah-sudah melihat jam, bilalah nak balik ni....

Sunday, October 07, 2007

Hadiah Ramadhan Buat Adik Hui Yi

Ramadhan bulan rahmat. Bulan penuh berakah. Keberkatannya meliputi setiap manusia waima berlainan ras dan agama. Semuanya adalah kuasa Allah azzawajalla. Adik hui yi, insyaalah, akan kembali merasa degup jantung dari dadanya. Kasih sayang sesama manusia. Nyatalah perbezaan agama bukanlah halangan.

Thursday, October 04, 2007

Meski

meski takdirku berselimut gebar silam
musim-musim rontok menjelma
dalam urat nadiku

langam bicaraku dengan jerih masa
bergulir liar meniliti gubuk kesepian
ah, sejauh mana dakapan erat itu
yang masih hangat di bawah seberkas mimpi
mimpi yang menjadi ilalang
usang
usai mengabdi diri
khali dilaut malam

itu demi kesempurnaan
penuh kepedihan
selama surut gelombang jiwa

Saturday, September 29, 2007

Pertengahan Ramadhan Ini

pertengahan ramadhan ini
perbanyakkanlah ibadah rohani
basahkan tubir bibir dengan alunan al-Quran
selami intinya
hingga meresap keubun-ubun kepala
selangkan antaranya dengan zikirullah
penuhkan malam-malamnya dengan qiam al-lail
Mohonlah margfirah
sesungguhnya ramadhan akan datang
tiada jaminan untuk kita
entah ketemu lagi atau tidak

Seusai Menguliti Tuhan Manusia

Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama.

Usai membaca tuhan manusia. Novel ini tak seperti novel-novel faisal yang pernah aku baca. Novel-novelnya seperti perempuan politikus melayu penuh dengan imej berontak, Tunggu teduh dulu dengan wacana feminis, 1515 pula sebuah amnesia sejarah (antara beberapa contoh novelnya).

Tuhan manusia memberikan sisi baru pembacaan yang segar. Persoalan pluralisme dan gejala murtad yang kian membarah dalam masyarakat kita. Ia seperti ngembara ke sebuah daerah yang penuh dengan inti-inti falsafah, dan mengutarakan bentuk pemikiran islam yang dinamis, sesuai dengan perkembangan zaman.

Novel yang baik bagi saya ialah novel yang ada unsur-unsur ilmiah didalamnya, yang disampaikan dengan cara bercerita, langsung mendidik jiwa kearah kebaikkan. ironisnya genre novel seperti ini kurang diminati remaja yang lebih gemarkan gaya cerita yang ringan dan ‘simple’. Seputar soal cinta, rindu, sayang, kasih etc. (boleh semak tajuk-tajuk novel ini di toko-toko buku berdekatan)

Tak banyak novel-novel seperti ini yang berbahasa melayu (baca melayu bukan Malaysia) di Negara kita. Kalau adapun novel-novel yang ditulis oleh penulis yang bertaraf sasterawan Negara. Bila ramai yang nak jadi penulis maka berlambaklah novel-novel remaja yang mentah. Kemudian kita mulai bercakap ini novel popular, yang itu novel sastera. Sudah jadi polemik pula.

Novel sastera tak popularkah? Bagi aku untuk mempopularkan novel-novel sastera ini adalah dengan melambakkannya dipasaran. Jangan beri peluang pada novel-novel mentah atau separuh mentah. Bila sudah melambak dipasaran, pembaca tiada pilihan lain selain membeli dan membaca novel sastera. Nampak macam utopia. Tapi bukan mustahil. Penerbit kena ambil bahagian, sasterawan kena terus menulis. Baru dunia sastera tanah air rancak semula.

Kita kena buat sesuatu untuk sastera kita. Jangan suatu hari nanti sastera kita mati, macam matinya Lahuma. Dan waktu itu novel seperti mona gersang dan siri bercakap dengan jin akan jadi teks wajib untuk pelajar-pelajar sekolah.

p/s: ini adalah pandangan peribadi. anda ada pandangan sendiri?



Thursday, September 27, 2007

cuma aku
rontok jiwa
kelam dan terputus
warna-warna yang ilalam
jika semuanya indah
tak perluku mencari
kata takdir
aku hidup cuma sekali
dan imanku
untuk di dunia yang satu lagi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...