Sunday, January 06, 2008

Pagi. Roti canai dan teh tarik mamak membawa hari minggu ini dengan aroma khayal. Keliling masih racau. Dunia tidak khali. Hari minggu ini adalah ecstasy. Esok manusia akan jadi mesin.

Friday, January 04, 2008

4 januari 2008 baru ada entri. mental block kot. tapi itu yang aku takut. bukan malas nak menaip atau tiada idea tapi mungkin masa yang kian sempit pada awal-awal tahun ini. tambah lagi dengan kerja-kerja di kantor yang tak putus-putus datang. tambah sesak halkum ini menelan air liur. baru masuk bulan pertama 2008 ini sudah kedengaran berita-berita sumbang dan tak senonoh. menteri kitapun dah pandai jadi pornstar. Dah bikin video DIY. ingat budak-budak sekolah saja yang banyak bikin video DIY. nampaknya dah melarat hingga ke putrajaya. isu moral bukan isu kedai kopi pak tam atau warung mamak tepi jalan. ia melibatkan integreti suatu badan terutamanya mereka yang jadi pemimpin. jika pemimpin itu rendah moralnya, yang dipimpinnya apatah lagi. tinggalkan isu Dr chua. dia dah naik kereta meninggalkan pejabatnya diputrajaya.
"Saya sudah mendedahkan kehidupan peribadi saya kepada semua 26 juta rakyat Malaysia. Apa yang nak disedihkan. Saya juga sudah meletakkan jawatan daripada semua jawatan kerajaan dan jawatan parti... apa lagi yang mereka mahu?.

Sunday, December 30, 2007

2008



Tahun 2008 bakal menjelang tiba. Gerabak 2007 bakal kita tinggalkan. Dengan pelbagai cerita suka-duka yang berlaku seputar kehidupan kita. Sejarah selalu menoleh kesetiap sisi kehidupan, apa iktibar yang kita dapat setahun yang lalu. Namun adakalanya sejarah itu kita lupakan begitu sahaja.
2007 penuh dengan tragedi. Bayang-bayang Osama yang menghantui masyarakat dunia, Iraq yang sudah lelah kita impikan sebuah arca keamanan, palestin yang selamanya jadi mainan yahudi dan amerika, isu nuklear Iran dan korea utara, krisis Darfur yang meruncing, Politik Pakistan yang bergolak pasca kematian Benazir,. Pastinya 2008 depan, momen-momen ini akan ada kesinambungannya. Sejarah yang kita lupakan.
Aku.
Resolusi tahun baru 2008?. Blog ini rasanya sudah wujud lebih 2 tahun. Memuatkan tulisan-tulisan yang sebahagian besarnya bersifat peribadi, puisi-puisi tentang nyalarasa, rebiu filem-filem seusai ditonton. Entri mungkin telah bertambah. Namun rasa aku masih ada yang kurang. Macam mi segera tanpa perencah. Ada ruang-ruang yang perlu diperbaiki.
Yang lain.
Aku mahu tukar kerja (harap bos aku tak baca entri ini). Bertukar angin. Angin di sini nampaknya sudah tak serasi lagi. Semacam sudah jadi siklon. Nak cari angin yang sepoi-sepoi bahasa pula.
Lagi.
Kahwin. Kahwin? Dengan siapa? Ada. Tunggu sahaja. Akan ada bunga yang akan aku sunting nanti.
Ada lagi?
Ada. Nak kumpul duit. Bukan untuk kaya. Tapi untuk hidup senang. Tambah pelaburan dalam tabung amanah dan perbagaikan portfolio pelaburan. Minat dengan bisnes internet tapi tiada kaki. Ada siapa-siapa yang nak berkongsi?
Akhir
Dekatkan diri dengan Khaliq. Hendak kembalikan semula zaman-zaman masa di ehya’ dan ma’ahad dulu.

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati Kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya. (Ali Imran:8)

Saturday, December 29, 2007

Balasungsawa Benazir













Mungkin si pengebom berani mati itu menyangka bidadari syurga sedang menunggunya di pintu syurga. Dan tuhan meredhoi pengorbanannya, dari setiap cebisan-cebisan daging yang hancur dari tubuhnya. saya bukan pengkagum benazir. Tapi cara benazir dibunuh itu amat kejam dan tuhan sama sekali tidak merestuinya. Eksrimis agama ada merata-rata yang membunuh atas nama tuhan.
Bapa benazir, zulfikar yang dihukum mati oleh kerajaan Jeneral Zia ul-Haq atas tuduhan membunuh pada 1979, adik lelaki Benazir, Murtaza dan Shahnawaz yang juga terkorban akibat keganasan.
Dan berkata-katalah penyokong benazir "Bunuhlah berapa banyak Bhutto yang kamu mahu bunuh, seorang Bhutto akan muncul dari setiap rumah."

Wednesday, December 26, 2007

Basah

Langit bagai sudah ditebuk. Lalu segala apa yang dikantungnya mulai turun mencurah-curah. Hujan petang ini luar biasa lebatnya. Jarak penglihatan 100 metar dihadapan kian kabur. Mobil dan motorsikal memperlahankan kelajuan masing-masing, dan ia buat keadaan trafik jadi macet. Lopak-lopak ditakungi air, aliran sungai mengalir deras dan mulai mencecah tebing. Ibu kota kuala lumpur aku tak tahu keadaannya sekarang ini. Mungkin terowong smart bertukar fungsi jadi longkang besar. Shah alam, terutamanya kawasan TTDI dan batu 3 entah apa keadaannya pula. Basah seusai pulang dari kantor memang jadi kebiasaan. Alang-alang sudah hujan, redah saja. Basah tetap basah. Jangan kena tangkap basah sudah. Itu cerita lain pula.

Tuesday, December 25, 2007

bunga-bunga musim rontok
dihembus pawana yang nyaring
saat jiwa rasa mengelus lembut
dan jemari dalam erat meramas
ruang-ruang ini
jauhnya beribu batu
dekatnya dipangkal halkum

ada arah yang menunjuk
ada sepi yang menghurung
ada rindu yang mengbungkam
ada cinta yang menyambut
ada kata yang menunggu

Sunday, December 23, 2007

Kata-kata terpilih

Kata-kata ini yang aku pilih
Dari sekalian banyak aksara
Yang terupam dari pangkal lidah
Terus berlingkar memenuhi ruang batini
Untuk menyatakan dengan keindahan

Benarkah engkau?
Atau bermimpikah aku?
Sukarnya kuberitahu
Mimpi dari kebenaran
Dalam rajuk yang panjang
Ratib setiap malam
Yang ada cuma kesunyian panjang

Kata-kata ini yang aku pilih
Hanya aku seorang
Yang mengerti bait2nya

Saturday, December 22, 2007

dapat gaji. bayar hutang mobil, hutang kad, hutang ptptn, sewa rumah, bla.bla.bla. yang tinggal?

Friday, December 21, 2007

Jatuh

Perlahan-lahan ia jatuh
menyembah ke lantai
menyapu saat-saat purba

terlalu banyak cerita
waktu ia jatuh
ada mata yang merenung
redup
dan gerimis mulai jatuh
bersama melodi
berlagu sendu
menyanyi rindu

Thursday, December 20, 2007

Salam Iduladha

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. iduladha datang lagi dan kemudian nanti akan pergi. ketika ini umat islam yang berpegian kemakkah sedang menunaikan rukun islam ke 5. Dan buat umat islam yang lainnya ada yang melakukan amalan berkorban selepas solat sunat iduladha. selamat hari raya buat seluruh umat islam serata dunia. hari ini aku masih di shah alam. Tak balik kampung. Semalam ada temuduga spa. apapun selamat menyambut iduladha. dan selamat menjalankan ibadah korban.

Sunday, December 16, 2007

Setiap kota besar dunia pasti ada sisi gelapnya. Ada gelandangan berpelesiran, sang cacat yang meminta, pelacur mencari teman berahi dan wang, politisi yang rakus kuasa. Setiap kota besar dunia punya corak dan warnanya sendiri. Mencipta grafik dan CGInya sendiri. Animator-animator ini sesetengahnya bukan orang besar, bukan aristocrat, bukan korporat, eksekutif atau CEO. Mereka adalah marhean kota yang memang asal dari kota ini ataupun datang entah dari mana, yang mahu mencari rezeki. Halal atau haram. Noktah.
Filem anak halal menelanjangkan setiap kebobrokan anak muda ibu kota yang hidup di tengah kosmopolitan yang berbau hanyir, hamis, kotor dan jijik. Status ibukota bukan lambang kemulukan dengan terang lampu neonnya. Susuk gelap ini membuatkan penghuninya lapar dalam berahi, dan anak-anak muda membesar dalam nanar. Noktah.
Filem ini ialah cerita tentang anak muda dengan keghairahanya. Kegilaan merempit, khayal dengan dadah, gaduh sampai berbunuhan, lintah darat. Plot-plot ini digarap oleh sutradara Osman Ali dengan baik. Dengan mengambil latar kawasan flat murah ditengah ibukota, membelakangkan KLCC dan Times Square anak-anak muda ini membesar dan mencari rezeki. Memang semua anak muda ini gila, tapi mereka juga ada otak. Dan kadangkala ia buat mereka jadi lebih kretif. Noktah

Kenapa perlu tonton:

1. Farid kamil memang pelakon yang bagus cuma lepas ni dia perlu bijak memilih watak. Watak adiputra menyerlahkan bakatnya berbanding filem 7 perhentian dan filem2 komedi mentah lakonannya. Zulhuzaimi, Fauzi Nawawi, watak antagonis mereka memang menjadi. Betul2 jahanam. Maya Karin tanpa make up tapi lebih menyerlahkan keberkesanan lakonannya. Begitu juga pelakon2 lain. Masing2 memberikan impak yang tersendiri. Cuma fasha sandha. Macam ada yang tak kena. Mungkin susah nak buang imej natasyanya.

2. Kerja kemera yang cantik, suntingan yang kemas, dialog yang bersahaja menjadikan filem ini menarik untuk ditonton. Latar di atas bumbung flat persis dalam filem ungu violet.

3. Pernah nonton transporting? Ini filem trainspoting versi melayu. Cuma ia tak ada adegan ranjang.

4. Masih ada filem Malaysia yang bagus untuk anjung tahun ini. Tahun lepas ditutup dengan filem cinta sebagai filem terbaik. Siapa kata pengarah kita tak boleh buat filem komersial yang bagus?

5. Akhir sekali. Mungkin penonton lain tak perasan. Tapi aku perasan. Aku perasan ada novel faisal tehrani ‘perempuan politikus melayu’ atas bangku dalam rumah Erzan(adi putra) dan Milya(raja farah). Apa motif osman agaknya? Ataupun memang dah ada kat rumah tu?

Sunday, December 09, 2007

Rasional

Ramai yang hilang pertimbangan akhir-akhir ini. Dengan berbagai isu yang berputar-putar keliling kita. Dari isu pemanasan global di sidang kemuncak alam sekitar bali, perseteruan iran-as yang tanpa sudah, suara lantang hindraf yang masih bergaung di dinding koklea kita hingga aksi membosankan skuad bola kita di korat.
Rasional. Kata Nietzsche yang ethis itu, 'tuhan sudah mati.Dan kita telah membunuhnya'. Rasional nietzsche? Penolakan kepada hukum moral, lantaran tuhan tidak lagi mampu untuk sebagai peran kepada sumber dari semua aturan moral. Jawapannya ialah membentuk pemikiran nihilisme yang lebih idealistik dan menemukan titik moral manusia yang menolak sistem nilai yang sedia ada.
Rasional kita. Apa jawapan kepada permasalahan yang menebak dunia hari ini. Tuhan sudah mati kata nietzsche? Biarkan dia. dia sudah mati bersama tuhannya. Tuhan itu Baqa' sifatnya. Yang mati adalah kita. Tuhan sudah mati dalam hati kita.
Mencari rasional dalam setiap isu yang bersawang seputar kita. Jawapan ada. Ada dalam Kitab suci. Dan dalam sunnah nabawi. Baca dan ambil intinya, praktik apa yang ada di dalamnya.

Sunday, December 02, 2007

Disember

Disember ini penuh dengan harapan membuhul. Langkah akhir perjalanan untuk satu permulaan baru. Disember ini bulan penuh rencam. Terlorong sisi yang entah sekian kali banyaknya datang, untuk membuka atau menutup lubang-lubang binasa dari setiap rona-rona yang berjalan siang dan malam. 31 hari bermula dari semalam adalah satu pertandingan. Pemenang ditentukan dihari terakhir. Kepura-puraan dan hipokrasi. Dan masa depan yang tak pasti. Meneroka makna Disember ini yang kemaruk dengan pesta dan keraian yang berahi, adalah perjalanan yang ruwet. Namun harapan tetap di situ. Masih di situ. Sebelum kotak Pandora dibuka. Dan segala rahsia januari akan terungkai.

Tuesday, November 27, 2007

Betulkah DBP sudah impoten?

Parlimen bersidang. Seorang wali rakyat menyelar DBP sedang mengalami kemandulan minda. DBP sudah impoten (meminjam istilah inggeris). Maka riuhlah negara perihal kemandulan DBP di mata rakyat. Kalau mandul mungkin ada ubatnya kecuali sudah monopous. Boleh telan viagra, atau boleh cuba tongkat ali bagi lelaki dan kacip fatimah bagi perempuan.
Teringat pula dengan Gunawan Mohamad. Bila seseorang mengikuti majalah tempo, selalu ada kolum catatan pinggir. Dan kolum pak Gunawan ini telah dibukukan hingga jilid ke4. (boleh juga diakses ke blog beliau www.caping.wordpress.com). Dari pemerhatian peribadi, Pak gunawan banyak menggunakan istilah asing yang di indonesiakan (yakni dimelayukan) dalam tulisannya, namun ramai yang terpesona dengan gaya bahasa, gaya penuturan dan makna setiap esei-esei beliau. Dan orang masih faham dengan tulisannya. Dengan istilah yang dipakainya waima sudah diindonesiakan.
Ironinya sekarangpun sains dan matematik diajar dalam bahasa inggeris di sekolah. Mengapa bising mengenai istilah. Mengapa pak-pak menteri masih bertutur dengan bahasa inggeris di depan penutur berbahasa melayu. Ah! bahasa inggeris pun banyak meminjam istilah dari bahasa-bahasa lain terutamanya bahasa arab. (dan fakta. Di eropah penutur bahasa jerman lebih ramai dari bahasa inggeris)
Istilah bukan satu isu. Soal pemantapan bahasa melayu dari peringkat akar umbi itu lebih aula. Kendati namanya bahasa melayu namun ia adalah hakmilik setiap warga malaysia tanpa mengira ras. Alangkah bagusnya bahasa melayu dapat diperdengarkan di sidang bangsa-bangsa bersatu seperti dilakukan Suharto dahulu.

p/s: ini adalah pandangan peribadi penulis tanpa ada rasa prejudis dengan mana-mana pihak, tapi atas dasar sayangkan lingua franca ini.

Sunday, November 25, 2007

Hitman

cerita lelaki botak dengan kod bar di belakang kepala. siapa kata lelaki botak tak menawan. agen 47 ada lesen membunuh persis james bond. dia direkrut sejak kecil untuk menjadi pembunuh upahan, oleh sebuah organisasi bawahtanah yang misteri. menjalankan kerja2 jahat CIA. Hitman adalah adaptasi baru dari permainan komputer popular keluaran Eidos. Aku tak berapa minat dengan francis lara croft atau resident evil. tapi hitman oklah. heronya ini tak pernah lupa dengan kot hitamnya, kemaja putih bertai merah. mengarut, tapi kool. pegilah nonton. sekarang tengah dipanggung.

Saturday, November 24, 2007

Beowulf

Robert Zemeckis kembali bikin filem. aku cukup teruja dengan filem2 arahannya dahulu, back to the future, forrest gump, cast away. selepas eksperimentasinya dengan polar express, zemeckis menjadikan beowulf sebagai kesinambungan teknologi motion capture dalam filem. memang tak terasa kesan animasi dalam filem ini, kerana segalanya seakan-akan hidup. beowulf adalah mitos dari belah dunia scandinavia. di ceritakan turun-temurun dalam medium puisi (persis perang troy dalam puisi panjang homer, the illiad).
beowulf. seorang pahlawan dari geta datang kesebuah kerajaan untuk membunuh seekor raksasa bernama grandel. grandel berjaya di bunuh beowulf dengan aksi2 akrobat yang hanya boleh ditonton dalam bentuk animasi. seakan sudah disuratkan atau rahsia yang tersimpan kemas sejak raja hrothgar memerintah. beowulf berhadapan dengan si ibu grandel dengan niat untuk membunuh. dan si ibu grandel bukanlah seekor raksasa hodoh seperti grandel tetapi seorang perempuan cantik yang penuh tipu muslihat. biarpun segagah mana beowulf, akhirnya beowulf tersungkur dalam keghairahan si ibu grandel. si ibu grandel menjanjikan sebuah kekayaan dan kekuasaan yang tak termimpikan oleh beowulf. dan dari hubungan dengan si ibu grandel lahir seorang anak yang kemudiannya menjadi seteru beowulf. sama sepertinya perseteruan raja hrothgar dengan grandel. setelah beberapa tahun berlalu. setelah beowulf di angkat menjadi raja menggantikan raja hrothgar yang telah mangkat. seekor naga datang dengan onar. memusnahkan kerajaannya. peristiwa lampau berulang. beowulf sudah tua, namun kegagahannya tidak pernah luput. beowulf sendiri mengangkat pedang untuk membunuh si naga. membetulkan kesilapan silamnya. dan naga yang dibunuhnya adalah anak lelakinya sendiri, hasil hubungan dengan si ibu grandel dahulu.
kisah beowulf, adalah adaptasi dari puisi kuno anglo-saxon. segagah manapun, sekuat manapun,beowulf tetap seorang lelaki.

Monday, November 19, 2007

Suara ini

Suara ini
Gemersiknya bersambut kelembutan
Singgah bertamu
Memenuhi setiap inci batini
Menyimpan setiap sendu murba
Memecah rindu dalam setiap getar kata
Dan hujan jadi lagu
Dari bumbung kehidupan
Tempat teduh sebuah perjalanan

Suara ini
Yang bertingkah dengan senyuman
Menyahut cinta kasmaran
Memenuhi bejana penuh air mata
Dan tawa yang diukir
Dengan setiap pengharapan panjang

Hari ini dan semalam
Tetap sama
Matahari masih bercumbu dengan siang
Langit masih mengomoli rinci buana

Dan suara ini
Luluh menanti pelangi
Yang kadang-kadang muncul.

Thursday, November 15, 2007

Nanti dulu. Tak habis lagi. Anak buah aku, Idah dapat 5A's dalam UPSR. Kalau dah pak saudaranya bijak anak buahnya tentu pandai. Tahniah. Tahniah kerana meneruskan kecemerlangan keluarga kita.
Aku belum habis lagi!!!!Bilakah habis adalah habis!!!! Adakah malaikat di samping aku. Mengingatkan tentang diri-MU. Setanpun di samping aku. Melalaikan aku untuk dekat dengan-MU.
Aku mahu menumpukan sepenuh perhatian pada kerja di kantor. Tapi tumpuan itu pecah kepada beberapa bahagian. Mata berpinau mengadap komputer. Di luar hujan melebat, dan di dalam penghawa dingin menggigit hingga ketulang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...