noktah.
Saturday, May 03, 2008
merah
noktah.
katakan bahawa cinta itu datang dan pergi
Bila kematian saling menghambat kehidupan. Cinta takkan selamanya ikut mati. Cinta akan sentiasa subur untuk mereka yang mempercayai magisnya. Kematian itu bukannya pemutus. Bukan ketakutan yang amat. Ajal hanya kejam buat yang takut padanya. Namun cinta akan terus hidup.
Noktah.
Sebuah cerita. Tanpa sanad. Rakaman sebuah kehidupan walang.
…….
Ada seorang gadis. (boleh namakan siapa sahaja gadis itu). Punya impian indah, macam gadis-gadis lain. Dan setiap hari ia mencari kata-kata muluk untuk hiburkan hatinya. Di taman, dalam tren, di tengah hiruk-pikuk manusia urban, di mana sahaja yang mungkin boleh buatnya tersenyum. Namun sebenarnya dia sekadar mahu lari dari derita yang mengejarnya. Sakit yang kadangkala tidak memahami dirinya. Betul. Kanser ini yang memakan suku dari usianya. Ia memakan kewanitaannya dan senyumnya pada matahari dan bulan.
Namun tuhan maha adil. Saat menunggu ajalnya tiba. Dia ditemukan dengan seseorang lelaki. Bukan malaikat. Tapi seseorang yang memberikannya getar cinta, waima dia sedar hidupnya kini Cuma membilang hari. Benar. Cinta bukan sekadar bercerita tentang kemulukan, tapi cinta adalah cerita tentang kemanusiaan. Cinta memanusiakan manusia dari kepongahan.
Hari itu. Hari disuratkan ajal mautnya. Sungguh. Kanser ini ibarat gangrel yang memakan sedikit demi sedikit tubuhnya. Sakitnya yang amat sangat. dan waktu menempuh saat-saat akhir hidupnya, lelaki itu tetap setia di birai usianya. Menemaninya dengan senyuman yang bersulam dengan air mata. Retinanya merah. Nafasnya tersekat antara peparu dan treakeanya. Syukur tuhan aku tidak keseorangan waktu menemui-Mu.
Noktah.
……
Sepotong awan di atas. Suram di tembok langit. Matahari, bulan dan bintang – akhirnya aku pergi.
Thursday, May 01, 2008
hari pekerja di perut metrokota
noktah.
.....
noktah.
Wednesday, April 30, 2008
menebarkan mimpi-mimpi indah
derita yang gugur dari kolong langit
segera hapuskan air mata itu
dari lirih bisikan syahdu
mengbungkam di dalam hati
yang tak terhempang arusnya
lukalara ini dibebat rindu
Tuhan
doaku terapung kelangit-Mu
menitip maksud maknawi
tulus dan suci
IPN - Sg lang, Sabak Bernam
14/04/2008
Monday, April 28, 2008
Saturday, April 26, 2008
p/s: sore 24/04/08, 160 peserta induksi khusus dan umum di institut perakaunan negara pulang ke destinasi masing-masing. ke utara, ke selatan, ke timur, ke barat. berkhimat untuk bangsa dan negara.
Friday, April 18, 2008
Langit 2
Bergelombang awannya
Pawana berlalu
Masa yang berjeda
Hati yang sepi kasmaran
Melayah memenuhi batini
Tanpa ragu
Mengalun seloka rindu
Mengbungkam dijiwa
Masihkah ada manisnya?
Tercari-cari di tubir bibir
Kata-kata terindah
Waktu bayangmu hilang
Diujana mata
IPN
Sg. Lang, Sabak Bernam
18/04/2008
Langit 1
Biru nilakandi
Berarak awan putih
Panasnya mentari siang
Bumipun subur
Hujan menyemai bumi
Dan benih mulai bertunas
IPN
Sg. Lang, Sabak Bernam
14/04/2008
Wednesday, April 09, 2008
Sunday, March 30, 2008
muffin dan teh O kurang manis
ii. cakap-cakap tentang pilihanraya lepas masih belum sejuk rupanya. masih panas lagi. itulah yang aku dan teman-teman perdebatkan takkala berjumpa di hari minggu. tsunami politik nusa ini masih belum reda. prahara tampaknya makin tak menentu. aku dan rakan-rakan adalah golongan muda yang celik melihat suasana politik negara secara makro dan mikro. politik negara ini perlu dirawat. ada yang tidak kena dalam sistem yang kita perhambakan selama 50 tahun ini. media arus perdana gagal memberikan laporan yang seimbang, ditambah lagi dengan bahan berita yang memualkan. anak muda seperti kami tak mudah disogokkan dengan corak berita yang sengal dan berat sebelah itu. dunia sudah beranjak jauh. dan jalur semakin melebar.
iii. mulai esok aku akan berpergian ke Sabak Bernam, Selangor sehingga 24 april 2008 untuk menghadirkan diri ke kursus induksi di institut perakaunan negara. Mungkin dalam tempoh itu aku tidak akan mengemasknikan blog ini. ah! tanpa jalur lebar ini aku rasa macam terputus hubungan dengan dunia luar.
iv. cuma satu. aku punya seorang teman yang bakal menyambut hari lahirnya yang ke-28 pada 6 april depan. dan jika tergerak hatinya untuk melayan blog kecil ini, aku ucapkan selamat hari lahir buatnya. moga Tuhan sentiasa bersamanya di setiap langkahan kakinya, yang kini, aku rasakan langkahannya semakin menjauh. sejauh perjalanannya mengharungi lautan pasifik. lama sudah dia menghilang tanpa berita. kendati, aku yakin dia sedang gembira kala ini. dan aku doakan kegembiraannya akan berterusan.
Thursday, March 27, 2008

Dahulu bila orang tanya saya mana asal saya. Saya akan menjawab dengan spontan yang saya berasal dari negeri Perak. Dan jawapan itu diluahkan tanpa ada apa-apa sentimen kenegerian.
Tapi hari ini bila orang tanya mana asal saya. Saya dengan rasa bangga, berbaur takbur yang tak melampui batas, memberitahu yang saya ini orang Perak, negeri bertuah dengan 9 daerah yang subur, Sultannya yang cendikia, rakyatnya yang bijak memilih dan Menteri Besarnya seorang IR yang warak. Itulah yang berlaku dalam pilihanraya lepas.
Aku anak Perak. Rakyat paduka Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Waima patik berkelana mencari rezeki di tempat orang, tumpah setia patik tetap pada Tuanku. Di bawah lembayung paduka Tuanku.
Tuesday, March 25, 2008
Bahasa Seorang Rafik
Dalam jagaku saban hari
Siang yang bersinar rahmah
Malam yang membuhul marghfirah
Sujudku hanya pada-Mu
Barakah yang mengiringi langkahanku
Tanpa ragu
Ikhlas dan redho
Berjalan mencari maksud hakiki
Hikmah untuk jadi dian
Syukur
Waktu lenaku saban hari
Setelah mengharung angin resah
Goda yang bergelombang
Dinding jiwa yang kadang rontok
Membaca dunia dari sisi gelapnya
Lalu ku tutup mataku ini
Dengan secangkir doa
Untuk kufahami cumbu-Mu
Untuk kurangkul qiam tahajjud-Mu
JPJS-Putrajaya
25/03/2008
Selamanya
Yang tak terungkap
Di tubir hari
Mencari sisa-sisa
Hingga terbenam sore
Dan langit kirmizi
Mengait bait-bait rindu
Terapung bersamanya
Sepi yang melayah
Mengikut arah pawana
JPJS-Putrajaya
25/03/2008
Saturday, March 22, 2008
MUSE!!!!
Musim pilihanraya sudah berlalu. Kabinet sudah dilantik. Lalu apa lagi? Aku cuba lari dari cakap-cakap orang politik. Hiruk pikuk dan haru birunya. Seminggu ini. Aku mencari eskapisme. Bisa mengetuk dinding koklea aku. Lantas aku membelek cd-cd lama yang kian berhabuk di rak.Muse. Ya muse. Tak kenal dengan muse? Kugiran asal Devon, England ini pernah jadi kegilaan aku zaman studi dahulu. Hampir semua albumnya aku miliki sama ada yang aku beli dari lanun cd (masa tu kat wangsa maju, memang jadi syurga pengemar cd-cd cetak rompak) atau yang aku muat turun dari internet. Citarasa modern rock dari Muse sememangnya tersendiri; synth arpeggios yang berlambak, bassline dua note, efek-efek futuristik dan yang paling nyata gaya nyanyian falsetto ala Thom Yorke, radiohead (Nurul Izzahpun meminati kugiran alternatif rock ini) . Bila semua ini digabungkan, ia membentuk satu sound arena rock paling besar dikalangan kugiran rock masa kini.
Sekarang mendengar muse sudah biasa-biasa saja. Namun kadangkala petikan piano dan gitar Matthew Ballamy buat ia humming seketika dikepala aku. Dan dalam seminggu ini habis konsertnya aku tonton dari youtube. Lagu-lagu mereka seperti bliss, new born, hysteria, blackout, plug in, assassin, absulution etc mengingatkan pada aku kembali zaman-zaman rebel dahulu, persis lirik-liriknya yang kadangtu gelap, berontak dan penuh protes.
Itu dahulu. Dan muse singgah dalam minggu ini hanya sekadar eskapisme. Bukan lagi fanatik maupun lunatik. Singgah sebentar untuk hidangan halwa telinga yang bosan dengan lagu-lagu yang berputar di corong radio tempatan ataupun kerenah farah fauzana dan faizal ismail di hot fm yang tak sudah dengan gimik murahnya.
Monday, March 17, 2008
SMS
Semalam aku terima sistem pesanan ringkas dari anak buah aku saidah. 'angah nak blk esok. doakan angah slmt N b'jaya hafaz quran bye3 assalamualaikum'.
Pendek pesanannya. Entah kenapa. Aku berasa begitu terkesan dengan pesanan yang aku terima itu. Betul. Manusia punya impian. Manusia yang tidak punya impian umpama pohon tanpa buah. Cuma mengugurkan daunan kering ke lantai bumi. Dan setiap impian seseorang berlainan dari yang lainnya.
Saidah baru 13 tahun. Dia dalam proses transisi menjadi seorang gadis sunti. Seorang pelajar cemerlang di sekolahnya dahulu. Cantik dan santun akhlaknya. Aku lihatnya membesar di hadapan mataku. Sekali pandang dia seperti gadis tipikal lain yang seusia dengannya. Mulai ghairah dengan kehidupan moden, ada artis yang jadi idolanya, ada genre muzik yang jadi halwa kokleanya, atau mungkin juga sudah punyai pacar untuk berutusan surat atau mel elektronik. Namun saidah bukan gadis seperti itu. Dia bercita-cita untuk menjadi hafizah takkala orang lain yang seusia dengannya memilih untuk menjadi doktor, peguam, jurutera, akauntan atau artis program realiti. Dan ini buat anak buah aku begitu istimewa pada pandangan mataku.
Semalam dia pulang ke sebuah ma’ahad tahfiz di pantai timur. Kelananya untuk mendalami wahyu Ilahi. Tanpa jemu. Tanpa waham. Doaku tidak putus untuk anak buahku yang seorang ini. Dan airmata ku mengalir dari ego retinaku sebagai lelaki. Memang susah untuk buat aku menangis. Namun tangisan ini umpama satu refleksi tanpa sedar. Aku doakan setiap langkah perjalanan hidupnya, setiap kayuhan cita-citanya akan sentiasa dipayungi rahmat, di terangkan jiwa dengan nur Tuhan. Amin.
Sunday, March 16, 2008
Siang tadi ke Pekan, Pahang. Daerah yang dimenangi oleh Dato’ Sri Najib dalam pilihanraya lepas. Ada walimah teman sepejabat di sana tadi. Perjalanan membelah banjaran Titiwangsa. Menaiki bas kementerian. Kiri dan kanan dilitupi hutan hujan khatulistiwa. Pahang kaya dengan hasil hutan, balak utamanya. Sungainya terpanjang di semenanjung. Itulah Pahang dari susuk geografinya. Cuma nuansa politiknya tidak sama dengan negeri-negeri jirannya, Selangor, Perak, Kelantan yang mana rakyat negeri-negeri ini memilih improvisasi dalam politik. Mungkin suatu hari nanti, lima tahun dari sekarang, kita dapat menghirup nafas baru di negeri ini. Persis hutannya yang menghijau.
Saturday, March 15, 2008
Syabas IR Nizar Jamaluddin - MB baru Perak
MENGENALI Menteri Besar Perak yang baru, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, beliau dilahirkan pada 17 Mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak.Beliau telah mendapat pendidikan awal di Kampar, kemudiaannya meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Anglo Chinese, Kampar.
Selepas itu menyambung pelajaranya di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh. Pada tahun 1972 beliau mengambil Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England.
Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.
Sekembalinya ke tanahair, beliau bekerja di beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kerja Raya bahagian bengkel dan kuari, Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA - Daya Urus), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.
Beliau berpengalaman luas dalam menjalankan beberapa projek besar negara. Antaranya Projek Dayabumi fasa 2 & 3 pada tahun 1983, projek Pusat Islam (BAHES, Jabatan Perdana Menteri (1984), projek Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu (1985), pengurusan bangunan-bangunan kerajaan dan swasta termasuk KOMTAR, Bangunan Persekutuan Gunasama, pusat membeli belah dan pengurusan semua lif di hospital Kerajaan Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis sehingga kini.
Sebelum dilantik menjadi Menteri Besar beliau merupakan Pengarah Urusan di beberapa firma swasta.
Di luar negara pula beliau banyak menjalankan beberapa projek di beberapa buah negara, antara di Birmingham, United Kingdom, Zug Switzerland, Miano Italy, Bangkok Thailand, Sdyney dan Goldcoast Australia, Doha Qatar dan Tehran, Iran.
Dalam bidang politik pula, beliau berkecimpung dengan PAS dengan memegang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan Kampar (1999 - 2001). Beliau menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasn Kampar (2001 hingga kini).
Di peringkat PAS Negeri Perak, beliau memegang jawatan Bendahari PAS Negeri (2001- 2006), Setiausaha PAS Negeri (sebelum menjadi Menteri Besar Perak).
Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat.
Antaranya kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khubah jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program-program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat.
Anaknya pertama merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mut'ah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mut'ah Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universisiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon.
Manakala anak yang ke empat hingga ke lapan sedang belajar di beberapa pelbagai institusi pendidikan dalam negeri.
Menurut Setiausaha Kerja PAS Perak, Khalilul Abdul Rahman, Nizar merupakan seorang yang pemurah dan mudah bergaul dengan masyarakat dan mengambil berat masalah kakitangan di bawahnya.
"Jika ada kakitangannya yang menghadapi masalah, beliau akan cepat menyekesaikan masalah temasuk masalah kewangan," jelas Khalilul.
"Sebagai ketua pejabat, beliau seorang yang peramah dengan orang ramai termasuk orang bawahannya dan beliau bersedia mendengar pandangan orang lain," ujar beliau.
Memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat menjadi agenda perjuangannya, kerana itu beliau bergiat cergas di dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO). Umpamanya Gabongan Pengguna Air Perak (GPAP).
Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan surau-surau. Malah beliau sendiri mampu mengelenggarakan ibadah korban termasuk penyembelihan bintang korban.
Di samping itu Ir Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, ia juga boleh berbahasa Cina dan Tamil.
Inilah Menteri Besar yang dikehendaki oleh rakyat, mampu mentadbir, berwibawa dan mempunyai pengetahuan agama dan boleh berkhutbah Jumaat.
Perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang memilih Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak memang tepat, oleh itu semua pihak perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh Sultan Perak
Dipetik dari www.sanggahtoksago.blogspot.com