Monday, May 19, 2008

Mencari Katarsis

*****

Di sini aku bicara soal nyalarasa. Dengan segala macam jentaka yang turun dari langit. Dan jiwa ini kian rentan. Dunia yang berkelintar dalam puja gita sang pencinta. Membunuh dalam rusuh jiwa tak keruan. Aku bukan narsisis. Namun masa buat aku renta. Mungkin masa telah berjeda. Meninggalkan sesawang dalam nyali ini. Yang acapkali merengkuh batin ke mandala pura. Atau aku sedang mencari ruang-ruang katarsis. Yang entah kemana cicirnya.

Tasik

Taman tasik shah alam. Tempat rekreasi utama di anjung minggu. Air tasiknya membuak busa-busa ceria. Pohonan yang rimbun. Angin yang melayah dingin. Panorama indah. Juga tempat dua sejoli bermadu asmara. Di sini, di hari minggu utamanya sabtu ahad adalah tempat melampiaskan lelah seminggu. Penuh dengan aneka manusia. Lokal maupun internasional (indon, bangla, Myanmar). Jika berkesempatan terdapat juga aktiviti seni di laman budaya yang biasanya diadakan pada hari ahad minggu pertama setiap bulan. Boleh nonton tarian, musik dan lagu-lagu tradisi, ecetra.

Noktah

Agak lama rasanya aku tidak datang ke sini. Mungkin sebuk atau bertembung dengan aktiviti sosial lain. Sekali-sekala duduk membaca buku, sambil lihat keletah anak-anak kecil bermain boleh juga merehatkan minda yang lelah. Di sebelah duduk sepasang kekasih. Bercik-cok sambil bersandiwara yang agak menjengkelkan. Mungkin aku rasa meluat, atau mungkin juga ada sekelumit rasa iri dalam hati aku. Dan melihat kondisi itu semacam ada pertembungan dalam diri ini yang kadangtu sukar untuk aku tafsirkan.

Noktah.

Langit kirmizi memerah di ufuk barat. Sore berengsot senja. Sayup-sayup kedengaran bacaan ayat-ayat suci dari masjid sultan salahuddin. Sebentar lagi akan kedengaran suara azan menyeru yang leka. Kubahnya tegak menanti kehadiran manusia. Aku khatamkan ayat terakhir langsung menuju ke mobil. Sempat lagi rasanya untuk berjamaah margrib.

Saturday, May 17, 2008

Pijar

Panas. Pijarnya hingga keubun-ubun kepala. Entah bila kali terakhir hujan turun aku sudah lupa. tanah kian kering. Waktu panas macam ini kadangkala hatipun ikut panas. Ramai yang meraban tak tentu hala.

Noktah.

Aku pergi tinted myvi aku tadi di seksyen 23 shah alam. Rabak juga dalam RM200. Lantaran tiada tunai di tangan aku sapu guna kad kredit. Hutang kad kredit aku tak nampak macam nak surut. Bulan demi bulan amaunnya kian bertambah tapi masih lagi terkawal. Sesak-sesak kena juga pakai. Sementara menunggu myvi aku di tinted aku duduk sambil baca gangguan teksual dan minum kickappo. Air cond kedai haram aku tak rasa. Dalam tempoh menunggu tu datang seorang perempuan aka melayu yang baya-baya anak buah aku. Retina seakan terrefleksi memandangnya. Renungnya galak, tingkahnya yang ranggi, kain tak cukup ela. Alahai…waktu panas macam ni bukan badan saja yang berpeluh. Pakaianpun dah makin kecut ujarku dalam hati. Aku tersenyum sendirian dan menyambung kembali bacaan aku. Air tin kickappo dah separuh aku togak. Dahaga masih belum hilang. Sedang cina kedai tu sebuk menyiapkan kereta aku. Dan sore kian berengsot.

Noktah.

Thursday, May 15, 2008

Rumah

Suami isteri bertengkar. Tiba-tiba isteri terus kemas beg.

Suami: "Kenapa?"

Isteri: "Dah kahwin 10 tahun, rumah ni tak pernah aman. Saya dah tak tahan. Saya nak tinggalkan rumah ni!"

Suami kemudian masuk bilik dan keluarkan satu lagi beg.

Suami: "Betul jugak cakap awak. Saya pun fed-up dengan rumah ini. Saya ikut sama, boleh?!"

Tuesday, May 13, 2008

Di sini menyemai semangat, membuhul harapan, memetik rindu, menguntum kasih

Stigma sentiasa menyelubungi takkala berkunjung ke biro tata Negara. Laksana awan gelap yang mengiringi hingga ke pintu masuk kem. Mungkin itu tentatifnya masa ia diwujudkan dahulu. Menanamkan semangat patriotik pada para peserta, khususnya penjawat awam yang masih baru di mandala ini. Susah mahu ditafsirkan objektifnya, dan juga kadangkala buat diri keliru. Adakah ia sebuah program yang berbau politik cauvinis ataupun satu usaha murni menyemai benih cintakan tanahair yang tercinta ini? aku tidak seratus persen konformis dengan isi, modul, isu, yang terdapat dalam kursus ini. ia memerlukan satu cerakinan idea, sumbangseran, penilaian dari pihak kedua, untuk menilai setiap perkara yang dibangkitkan. Ia mesti berbentuk emperikal, bukan sekadar cuba-cuba.
Noktah
Bangsa melayu adalah bangsa yang besar, bangsa pelayar, bangsa pengembara. Bahasa melayu pernah jadi lingua franca di nusaraya ini, namun kenapa bahasa melayu hari ini tidak mampu berdiri sendiri. Lebih molek kita mengkoreksi diri kita dari menyalahkan orang lain. Maju atau mundurnya melayu bukannya atas frasa melayu itu. Jika nama melayu yang menjadi alasan kemunduran melayu hari ini maka tidaklah Melaka yang disebut oleh tom pires sebagai jelmaan kota venice di timur.
Noktah
Cubalah merenung kembali pada sejarah. Melaka. Suvarnabumi ini suatu ketika dahulu dicemburui oleh bangsat-bangsat dari portugis, inggeris dan belanda. Melaka lebih maju dari Malaysia kita hari ini. Melaka dahulu satu dominasi yang kuat dari segi ekonomi dan politik. Apa kekuatan Melaka suatu ketika dahulu?. Aku percaya kekuatan ini datang dari Islam. Islam membawa kemakmuran ke Melaka sebagai ‘baldatun toiyibah’. Islamlah yang memangkin kegemilangan Melaka. Dipayungi dengan rahmat tuhan yang tak terhempang. Namun apabila islam terpinggir di Melaka, maka saat itulah gerhana mulai muncul dan akhirnya lenyap ditelan kuasa barat. Maka sekali-sekala kita kena menoleh sebelakang. Melihat sejarah yang kini telah jadi sesawang.
Noktah
Usai sudah 5 hari. Macam yang aku beritahu tadi bahawa aku bukan seratus persen konformis. Tapi aku melihat dari sisi yang molek. Ada ilmu dan pengalaman yang bercambah di sini. Juga menambah koleksi-koleksi teman di peti e-mail (entah mereka mengenali aku atau tidak). Dan yang pentingnya aku kena buka dan menelaah perlembagaan Malaysia lepas ini. Banyak yang kena di perhatikan.
Noktah
Waima fikrah aku kadangakala kontradik dengan manusia seputar aku, namun tak perlulah pertikaikan rasa patriotik aku pada Malaysia yang satu ini. Cuma aku memilih ideologi yang ruas pandangnya lebih jagat. Dan tiada yang lebih adil dari keadilan Islam. Dan tiada perlembagaan yang lengkap selain dari al-quran dan hadis. Itulah dustur Ilahi.
Noktah
Aku rangkumkan segala kenangan ini melalui gambar dan puisi di bawah. Ia segugus memori terindah yang tak terucap di tubir bibir.

Usai waktu berlalu
Setelah kita lakar memori
Yang jadi buak-buak ceria
Akhirnya hati bertaut di sini
Rindu menguntum di sini
Kasih terbentur di sini
Lalu mesra kian bertaut
Dan kita mula bina seloka tawa
Akhirnya menguntum bunga cinta
Yang mengayam di tubir bibir

Dan kembara ini di anjung akhirnya
Pada semua
Diam-diam kusyukuri pertemuan ini
Tak terbayar olehku
Ku serahkan kembali pada yang Esa

Moga-moga ketemu lagi


Kursus Kenegaraan
Biro Tatanegara
Kem Bumi Jati Shah Alam
08-12 Mei 2008

Thursday, May 08, 2008

irrawadi masih terus mengalir

22,000 orang terkorban, manakala 41,000 orang masih hilang dalam tragedi taufan nargis (bencana alam yang terburuk selepas tsunami yang melanda acheh) di Myanmar. Wabak penyakit menular, kebuluran melanda. Mata dunia memandang Myanmar dengan sayu. Selepas demokrasi dimamah pihak junta. Apa lagi yang tinggal? Nargis. Entah dari mana datangnya istilah itu. Namun datangnya membawa jentaka dan raungan pilu. Irrawadi masih terus mengalir mengikut sunnahnya. Tetap dingin. Waima ramai manusia seputarnya kian haus.

Noktah

……

Kita sini cukup makan, cukup serba-serbi. Tak cukup-cukup lagikah?

mesyuarat dan waran

Perhimpunan bulanan jabatan. Sangap betul. Kalau tak sebab ada jamuan memang aku tak naik aras tujuh. Atas meja kerja membukit. Banyak waran perlu di siapkan. Duit peruntukan kena diturunkan ke sekolah dengan kadar segera. Kalau tidak setiap kali mesyuarat cerita waran tak turun ini pasti tak habis-habis dibangkitkan. Di bawah pemerintahan rejim dasar dan pembangunan ini, kami di bahagian khidmat pengurusan diperintah secara anarki terpimpin.

Noktah

Wednesday, May 07, 2008

honda citi nurhaliza tarudin

yang: nanti kalau orang bank telefon minta jadi 'reference' kau layan ok
aku: awatnya.
yang: aku dah 'booking' honda city. aku bagi nama kau jadi 'referance'. ford putih aku tu aku 'trade in'. dapat tolak dalam enam ribu. kau tolong aku ok.
aku: no hal 'bro'. cuma nanti gua balik gua nak pinjam bawak pusing-pusing satu kampung.

p/s: 'yang' panggilan untuk abang sulung aku. bukan singkatan perkataan 'sayang'. harap pembaca tidak keliru.

Sunday, May 04, 2008

malam minggu dalam elarti koc ke-2

Carmen. Gadis tiong hua. Tinggal di dada kota. Malam itu dia menaiki elarti, koc ke-2, pukul 11 ke kelana jaya. Duduk di bangku anjung. Seorang diri. Mekapnya mencair. Maskaranya hampir tertanggal. Mulutnya berbau heineken. Dadanya nyaris tak terburai. Rantai salibnya berjuntai ke bawah. Dipakainya agar dia sentiasa dekat dengan jesus, waima dia rasa dirinya sudah semakin atheis. Malam itu malam gelap bagi dirinya. Nafasnya berombak. Kecewa. Patah hati, ecetra. Teman lelakinya buat bangsat lagi. Dia sudah mati tujuh kali malam itu. Waktu pintu elarti terbuka. Dia memilih untuk dihumban kesalah satu dari tujuh pintu neraka.
…..
Mabuknya masih belum hilang. Carmen tertidur di birai katil. Dengan mekapnya yang mencair. Maskara yang hampir tertanggal. Mulutnya berbau heineken. Dan dadanya yang hampir terburai.

Noktah.

Saturday, May 03, 2008

merah

malam itu ada majlis koktel di rumah si polan. cameron datang dengan busana merah paras dada. dan setiap mata asyik memandangnya.
noktah.

katakan bahawa cinta itu datang dan pergi

Bila kematian saling menghambat kehidupan. Cinta takkan selamanya ikut mati. Cinta akan sentiasa subur untuk mereka yang mempercayai magisnya. Kematian itu bukannya pemutus. Bukan ketakutan yang amat. Ajal hanya kejam buat yang takut padanya. Namun cinta akan terus hidup.

Noktah.

Sebuah cerita. Tanpa sanad. Rakaman sebuah kehidupan walang.

…….

Ada seorang gadis. (boleh namakan siapa sahaja gadis itu). Punya impian indah, macam gadis-gadis lain. Dan setiap hari ia mencari kata-kata muluk untuk hiburkan hatinya. Di taman, dalam tren, di tengah hiruk-pikuk manusia urban, di mana sahaja yang mungkin boleh buatnya tersenyum. Namun sebenarnya dia sekadar mahu lari dari derita yang mengejarnya. Sakit yang kadangkala tidak memahami dirinya. Betul. Kanser ini yang memakan suku dari usianya. Ia memakan kewanitaannya dan senyumnya pada matahari dan bulan.

Namun tuhan maha adil. Saat menunggu ajalnya tiba. Dia ditemukan dengan seseorang lelaki. Bukan malaikat. Tapi seseorang yang memberikannya getar cinta, waima dia sedar hidupnya kini Cuma membilang hari. Benar. Cinta bukan sekadar bercerita tentang kemulukan, tapi cinta adalah cerita tentang kemanusiaan. Cinta memanusiakan manusia dari kepongahan.

Hari itu. Hari disuratkan ajal mautnya. Sungguh. Kanser ini ibarat gangrel yang memakan sedikit demi sedikit tubuhnya. Sakitnya yang amat sangat. dan waktu menempuh saat-saat akhir hidupnya, lelaki itu tetap setia di birai usianya. Menemaninya dengan senyuman yang bersulam dengan air mata. Retinanya merah. Nafasnya tersekat antara peparu dan treakeanya. Syukur tuhan aku tidak keseorangan waktu menemui-Mu.

Noktah.

……

Sepotong awan di atas. Suram di tembok langit. Matahari, bulan dan bintang – akhirnya aku pergi.

SLOGAN HARI PEKERJA
.....
JOBS
.....
JUSTICE
.....
FOOD
.....
FREEDOM
.....

Thursday, May 01, 2008

hari pekerja di perut metrokota

cuti hari pekerja 1 mei. turki pertama kali menyambutnya di jalanan selepas 20 tahun. di moskow para pekerja berdemo minta kerajaan menaikkan tangga gaji selaras dengan kenaikan harga barang.
noktah.
.....
cuti hari pekerja 1 mei. kami tersangkut di lebuhraya persekutuan. trafik macet. kenderaan berpusu-pusu ke 'key hell'. tiada demo. cuma kenderaan kami berarak perlahan-lahan atas jalan. di sebelah seorang lelaki separuh umur, memandu toyota alphard, berplat nombor wilayah, beromong seorang diri dengan bluetooth.
noktah.
.....
cuti hari pekerja 1 mei. masa berjeda. entah mana cicirnya.

Wednesday, April 30, 2008

aku kata padanya yang aku sudah berubah. namun dia tidak percaya. dia kata aku lelaki tipikal dan apa yang keluar dari treakea aku cuma klise.
.....
.....
.....
aku kata sudah. aku sudah berubah.
sudah.....
hari ini di sisi segala keindahan
menebarkan mimpi-mimpi indah
derita yang gugur dari kolong langit
segera hapuskan air mata itu
dari lirih bisikan syahdu
mengbungkam di dalam hati
yang tak terhempang arusnya
lukalara ini dibebat rindu
Tuhan
doaku terapung kelangit-Mu
menitip maksud maknawi
tulus dan suci

IPN - Sg lang, Sabak Bernam
14/04/2008

Monday, April 28, 2008

luar semakin pudar
malam semakin larut
hari itu. seorang tua menyeka air matanya. duduk di birai usia. merenung jauh. saban hari matahari jadi teman. mata yang kian bundar. sungguh hari ini bukan sempurna. ada seribu kekesalan. kehidupannya yang biasa. mimpi tanpa naratif. dan dia tidur di bangku usia.

Saturday, April 26, 2008

sore itu yang indah. gelombang bayu tak terhempang dinginnya. daerah ini, tempat bermukim jauh dari hiruk-pikuk metrokota penuh gemerlap lampu neon. perjalanan ini telah berada di anjung. perjalanan penuh pesona nan indah. 30 hari mencari seribu pengertian, dan ukhwah yang terkapuk kukuh di hati. ini memori kami. kenangan kami. cerita kami yang pelbagai watak. akan sentiasa disemat di nubari.

p/s: sore 24/04/08, 160 peserta induksi khusus dan umum di institut perakaunan negara pulang ke destinasi masing-masing. ke utara, ke selatan, ke timur, ke barat. berkhimat untuk bangsa dan negara.

Friday, April 18, 2008

Langit 2

Langit dunia
Bergelombang awannya
Pawana berlalu
Masa yang berjeda
Hati yang sepi kasmaran
Melayah memenuhi batini
Tanpa ragu
Mengalun seloka rindu
Mengbungkam dijiwa

Masihkah ada manisnya?
Tercari-cari di tubir bibir
Kata-kata terindah
Waktu bayangmu hilang
Diujana mata

IPN
Sg. Lang, Sabak Bernam
18/04/2008

Langit 1

Langit
Biru nilakandi
Berarak awan putih
Panasnya mentari siang
Bumipun subur
Hujan menyemai bumi
Dan benih mulai bertunas

IPN
Sg. Lang, Sabak Bernam
14/04/2008
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...