Saturday, June 05, 2010

Marmara

Misi Mari Marmara telah berakhir. Kegagalan bukan noktah pada perjuangan yang berterusan. Menentang rejim zionis adalah pejuangan hingga keakhir dunia. Peluru zionis tidak pernah mengenal antara misi bantuan atas nama kemanusiaan dengan pengganas. Akhirnya 16 orang syahid dalam misi tersebut. Dunia hanya mampu mengutuk. Dan suara-suara keji ini didengari israel dengan gelak-tawa. Mesir pula lebih dekat kepada firaun daripada sebuah negara Islam. Hosni Mubarak pula ibarat ramses yang menghalau Musa ke laut merah. Tiada harap lagi bagi umat islam dari mesir yang kini sedang asyik memeluk piramid-piramidnya yang kaku.
Noktah.
MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza yang dikepong Israel, bersama sekumpulan aktivis damai termasuk enam dari Malaysia, telah dirampas oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) hari ini - Malaysiakini-

Saturday, May 29, 2010

China.

China. Negara pengeluar segala macam barang-barang tiruan, imitasi dan replika. Namun tanpa sedar China juga punya atlet-atlet sukan yang boleh diekspot ke negara-negara lain. Stok atlet-atlet ini terlampau ramai dan tidak mampu bersaing sesama mereka. Jadi cara mudah untuk mengembangkan bakat dan rangsangan kewangan peribadi, atlet-atlet china akan bermain atas tiket negara yang menganugerahkan kerakyatan tetap kepada mereka. Singapura contohnya. Boleh katakan semua atlet ping-pong singapura punya asal dari republik rakyat China. Di negara kita persatuan-persatuan sukan masih bergelut. Sedangkan di China persatuan mereka sudah jadi kilang mengeluarkan atlet-atlet muda yang punya bakat besar.

Friday, May 28, 2010

Subsidi

Subsidi untuk rakyat akan ditarik secara berperingkat. Persatuan-persatuan penggunapun ada yang setuju. Kata yang punya kuasa dalam negara, negara akan bangkrap jika kerajaan terus -menerus memberikan subsidi kepada rakyat.
Noktah.
Tuk wan, opah, pakcik, makcik yang saban hari membanting tulang, kesawah bendang, ke estet, kebun dan dusun, bergelumang lumpur, nelayan yang melayan mentari yang meremang. Mereka marhaen yang tidak mengerti naik turun indeks pasaran saham, bailout, sukuk, borang BE, dan kadar tukaran mata wang. Mereka akan mengeluh waktu mahu membeli gula, tepung, petrol, setelah diberitahu taukeh kedai bahawa barang-barang ini naik harga. Oo....dah naik rupanya. Mereka tidak tahu berdemo mengangkat sepanduk. Cuma waktu pilihanraya sahaja mereka mendengar gegak gempita calon berjanji begitu-begini. Usai pilihanraya setelah disogok dengan rasuah pembangunan, mereka pulang ke rumah seperti biasa. Meneruskan sisa-sisa kehidupan yang tinggal sisa-sisa sahaja.
Noktah
Kata kepala negara, mahu jadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Tinggikanlah dulu pendapatan isi rumah sebelum ditarik subsidi-subsidi ini. Mereka marhaen yang tidak mengerti naik turun indeks pasaran saham, bailout, sukuk, borang BE, dan kadar tukaran mata wang.

LOST : FINAL CHAPTER


6 tahun penuh teka-teki sudah dihujung. Namun tidak semuanya terjawab. Masih bersarang lagi persoalan. Itulah penangan ‘lost’. Selama 6 musim siri tv ‘lost’, telah menarik jutaan penonton serata dunia. Membawa penonton mengikuti pengembaraan para penumpang Oceanic 815 dengan penuh persona dan tandatanya. Lost telah melabuhkan sauhnya. Bersama naratif yang pasti diingati. Kita pasti merindui watak-watak tegar dalamnya. Dr jack shepherd dan kate austen, hugo, sawyer dan sayid, sun dan jin, john locke, ben linus dan desmond, Charlie dan Claire, Juliet, miles, Richard, Lapidus, Charles widmore, Jacob, Daniel faraday etc.

Noktah

p/s: Ketika ramai yang masih ternanti musim terakhir siri tivi lost di kaca tivi Malaysia, aku sudahpun usai menontonnya.

Thursday, May 27, 2010

Rumah

Siang tadi aku dan suri ke pejabat peguam di puchong untuk tandatangan ‘SNP Agreement’ rumah kami yang akan kami beli. Serasa kami, sudah sampai masanya untuk kami tinggal di rumah sendiri. Punya rumah sendiri adalah impian sesebuah keluarga. Untuk hidup lebih selesa, waima kewangan kami sekarang ini tidaklah semewah mana. Tapi insyaAllah selepas 3-4 tahun keadaan kami akan stabil. Itu jangkaan kami, selebihnya kami serahkan pada Azzawajalla. Memang banyak masalah yang timbul. Kadangkala memeningkan kepala. Bicara soal wang ringgit yang tak cukup. Mujur ada sedikit tabungan dan bantuan dari keluarga. Dapat juga menampung mana yang kurang. Namun keputusan telah kami ambil. Mungkin tidak akan berpatah balik. Kami melihat semuanya untuk jangka masa panjang setelah menilai pro dan kontra. Segalanya belum selesai. Urusan pinjaman belum berjalan lagi. Kemudahan pinjaman perumahan untuk kakitangan kerajaan memang banyak karenah birokrasinya. Sudah sinonim denagn tanggapan masyarakat bahawa berurusan dengan jabatan kerajaan adalah sangat lembab dan memakan masa yang panjang. Mentaliti yang masih berlarutan.
Noktah.
Segalanya masih belum selesai. Masih banyak yang perlu diuruskan. Cuma kami memohon dari Allah agar dipermudahkan segala urusan kami. Amin…..

Belum juga ku katakan pergi

Saat memugar cinta dengan rindu yang amat
Tidak ku katakan pergi
Selain kata jujur penuh pengharapan
Mengharap yang sempurna
Walaupun tidak seindah syurga
Cukuplah kau tahu
Bahawa cinta ini berbalas rindu
Menguntum di pinggir bibir
Mekar di anjung nurani

Belum juga ku katakan pergi
Selagi jiwaku bersamamu
Menghilang segala resah dan lelah
Ke akhir hayat ini
Tetap teguh dibajai kasih

Saat memugar cinta dengan rindu yang amat
Belum juga kukatakan pergi

Kerongsong

Dalam sendirian ini seringkali aku berfikir hal diri yang acapkali dipagut dengan kerongsong masalah yang berkelintar. Mendepani diri. Datang juga rasa putus-asa serta segala macam sesal. Tuhan menguji hambanya dengan pelbagai cara. Kadangkala lama aku berteleku di atas sejadah mencari kekuatan. Istighfar sebanyak mungkin. Moga Allah berikan penyelesaian kepada setiap rona masalah yang menyelubungi diri. Mungkin ada hikmah yang bersembunyi dari pandangan yang mujarrad.

Sunday, May 23, 2010

Daripada duit haram judi ini terbang kepada kongsi-kongsi gelap, maupun cerah, baik dihalalkan dengan diberi lesen kepada taukeh judi berlesen. Itu kata mereka. Firman Allah:

“Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219)

Saturday, May 22, 2010

“Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani)

Friday, May 21, 2010

Teknologi

Kadangkala rimas bermain dengan teknologi. Telefon bimbit, komputer, PDA, internet, blog, facebook, twitter, youtube. Ah! teknologi sentiasa tidak berhenti bergerak. Segalanya pantas. Serasa mahu meninggalkan segalanya ini sekelip mata. Namun apalah kehidupan moden tanpa i phone dan facebook. Modenisme memakan sedikit demi sedikit rasa kita pada dunia sebenar. Mereka akan bilang yang kita terperosok jauh ke hutan amazon. Bermain dengan lumpur dan anakonda. Menulis begini adalah satu eskapisme. Namun teknologi menghalang kita menulis tanpa kehadiran komputer. Mahu lari atau tidak kita sudah bersenggama dengannya. Tanpa ada tanda Noktah.

Monday, May 17, 2010

Sukar untuk memuaskan hati seseorang yang selalu tidak puas dengan nikmat yang diberikan tuhan. Akhirnya ada yang melencong kesisi yang lain.

Sunday, May 16, 2010

Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219) Dan juga larangan selanjutnya: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji, termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu supaya kamu mendapat keberuntungan.” (al-Maidah: 90)

Wednesday, May 12, 2010

Pertengahan Mei

Mei sudah dipertengahan. Banyak yang berlaku seputar dunia. Gordon Brown dan parti cap buruhnya tewas. Konservatif pimpinan David Cameron bersekutu dengan parti liberal demokrat pimpinan Nick Clegg membentuk kerajaan campuran. Waima ramai penganalisa politik berpendapat kerajaan campuran tersebut amat rapuh dan goncang.
noktah.
Chelsea menjuarai trofi liga perdana inggeris dengan penuh bergaya setelah membelasah wigan 8-0. Jauh di Itali, Inter Milan terpaksa menunggu sehingga ke perlawanan terakhir siri A untuk menjuarainya buat musim kedua berturut-turut, sambil diekori rapat oleh pesaing terdekat AS Roma. Pun begitu di La Liga sepanyol, Barca dan Real madrid juga terpaksa menunggu sehingga ke perlawanan terakhir liga bagi menentukan siapa juara .
noktah.
Semalam skuad badminton Malaysia tewas kepada jepun 2-3 dalam kejohanan piala thomas ditempat sendiri. Memalukan!!!!
noktah.
Perbicaraan kes liwat Dato Sri Anwar - Saiful. Lucah sekali, dan berbaur lelucon. Saiful. Daripada entah siapa-siapa orangnya sudah jadi selebriti. Hugh Hefner patut ambil Saiful jadi penghias muka depan playboy, sambil diapit Kendra Wilkinson dan Pamela.

Sunday, April 18, 2010

Zee Avi mengecewakan


Zee Avi


Apa maknanya kalau rakyat Malaysia masih tidak fasih dan mendaulatkan bahasa rasmi negara? Walaupun berjaya di luar negara dan mencipta nama, tiada kebanggaan terhadap negara seperti mana yang berlaku pada Zee Avi.

Walaupun bahasa Inggeris dikatakan bahasa sejagat dan bahasa dunia, itu bukan sebab kita nak memperlekeh bahasa kebangsaan. Kena belajar bahasa rasmi negara sekiranya kita rasa taat setia pada negara dan selain daripada itu mengetahui bahasa lain adalah satu kelebihan.

Tak ada maknanya konsep 1Malaysia sekiranya rakyat kita masih lemah dan tak fasih bahasa kebangsaan. Kita faham bahawa persekitaran membentuk seseorang itu. Tanggungjawab setiap ibu bapa yang menjadi warganegara Malaysia untuk mendidik dan mengajar anak mereka menggunakan bahasa kebangsaan selain menggunakan bahasa ibunda mereka.

Tiada siapa pun menghalang mereka malah menggalakkan setiap warganegara menguasai lebih daripada satu bahasa tapi bahasa kebangsaan adalah wajib dikuasai terlebih dahulu selepas bahasa ibunda masing-masing.

Sehebat mana artis atau pengkarya seni yang dapat mengharumkan nama di peringkat dunia, kita harus berasa malu sekiranya bahasa rasmi negara tidak dapat dikuasai malah mereka membanggakan bahasa lain yang dikatakan bahasa dunia.

-Utasan Malaysia Online-

Pemenang hadiah nobel sastera Gabriel Garcia Marquez menulis adikaryanya Cien años de soledad (One Hundred Years of Solitude) dalam bahasa ibundanya sendiri. Julio Iglesias tenar serata dunia sebagai penyanyi tersohor, juga menyanyi dalam bahasanya sendiri. Negara kita juga telah melahirkan penyanyi yang hebat, Siti Nurhaliza yang sudahpun membawa lagu-lagu melayu ke Royal Albert Hall, dan diakui sebagai artis yang berjaya sepanjang zaman di nusantara. Jadi, apa sangat yang kita mahu banggakan dengan Zee Avi ini.

Friday, April 16, 2010

Allah turunkan kesulitan sebagai tanda kasih sayang-Nya....redholah atas ujian dari-Nya....namun setiap ujian yang diberi akan ada jalan keluar...kadangkala dari jalan yang kita tidak sangka-sangka...Syukur Allah Engkau ingatkan aku dalam kealpaan ini....

Monday, April 12, 2010

System of a down

Sepanjang hari di kantor tanpa menguliti fail demi fail yang membukit. Bermakna kerja esok harinya makin bertambah. Sistem offline, server down. Begitulah jika mengikut kata penyelaras komputer. Entah. Aku bukan arif berkenaan server-server ni.
Noktah.
Disebelah ada yang bersembang. Ada yang susun-susun fail. Studi untuk peperiksaan PJJ. Main Solitaire ecetra-ecetra. Aku pula duduk menyandar di kerusi yang empuk sambil dengar toxicity dan chop suey dari system of down. Kumpul tenaga untuk hari esok.

Saturday, April 10, 2010

KLINIK

Hari ini saya dan suri membawa sikecil ke klinik. Selsema dan batuk berselang. Suhu badan yang tidak menentu panasnya. Segalanya buat kami risau. Pagi ini hujan menemani kami sepanjang perjalanan ke klinik pediatrik bandar baru bangi. Trafik macet dari susur masuk ke sri kembangan hampir 10 km jauhnya hingga susur masuk ke lebuhraya untuk ke selatan tanahair. Lenguh rasanya menekan klac dan menukar gear. Dari dulu lagi saya sudah dinasihati keluarga untuk membeli mobil dengan tranmisi otomatik. Namun itulah yang saya mampu sahaja masa itu. Disebelah saya sikecil lena tidur. Mungkin kesan ubat batuk dan selsema yang bondanya berikan.
Noktah
Usai membawa si kecil alya ke klinik. Kendati hujan masih lagi belum puas memandikan bumi. Menyapa kami dengan kedinginan.

Tuesday, April 06, 2010

Sampai satu masa kita kena berubah. Ikut zaman, keadaan, dan kemudian kehidupan kita akan naik satu takah lagi. Namun perubahan macam mana yang kita inginkan. Tentunya yang baik-baik, yang indah-indah, yang cantik-cantik. Kalangkala ada perubahan yang perlukan pengorbanan. Waima apa corak sekalipun. Atau diposisi mana kita sekalipun.

Wednesday, March 31, 2010

Siapa hipokrit? Manusia mana yang kemaruk kuasa? Dimana hujah? Atas landas apa?

Sunday, March 21, 2010

Demam

Suri saya tidak berapa sihat hari ini. Demam dan sengal-sengal badan. Jadi tugas menjaga sikecil kini dibahu saya sepenuhnya. Memandikan, menidurkan, makan, pakai diuruskan saya. Saya laksanakan tanggungjawab ini dengan seikhlas hati. Bangun lewat malam membancuh susu, menukar lampin mungkin jarang-jarang sekali buat saya. Selama ini diuruskan suri tanpa ada rungutan. Namun kehidupan menjadi seorang ayah dan bonda adalah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bersama. Kompromi dalam urusan rumah tangga, waima kadangkala ada telingkah yang sesekali hadir. Namun bak kata P Ramlee, 'sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri'. Kehidupan berkeluarga buat kita lebih matang dan dewasa. Bijak merangcang dan merencana masa depan. Ada perut lain yang perlu di isi selain perut kita. Ini jadikan kita lebih bertanggungjawab dan berkerja keras. Semua ayah dan bonda mahukan yang terbaik untuk keluarga. Namun untuk dapatkan yang terbaik ada harga yang perlu dibayar.
Koma.
Sekecil saya lena diulit mimpi. Malam ini kami tidur berdua. Bondanya dikuarantin di dalam bilik. Takut-takut sakitnya menyerang ketubuh sekecil kami pula. InsyaAllah bonda akan segera sembuh.
Noktah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...