Monday, June 18, 2012

Senyum



Saat terukir senyuman dari tubir bibir mungilnya mengundang bahagia yang tidak terucap. Jadi penawar kala lelah seharian menyapa diri. Mungkin hanya nyalarasa seorang ayah saja yang mampu menyelami erti perasaan ini. Mana mungkin secangkir senyuman dari bibir seorang bayi kecil hadir dengan nafsu kepuraan, berbanding manusia dewasa yang bergelumang dengan kemunafikan, kesumat dan dengki. 
Senyumlah anak sementara kamu belum dewasa untuk mengenal ranjau dunia. Senyumlah anak sebelum kamu ketemu maksud sebenar kelahiran insan. Senyumlah anak sebelum namanu tertulis pada nisan.

Sunday, June 10, 2012

Mencari Cinta





Putih yang suci, apatah lagi di balik telekung ini. Sirna cinta. Khusyuk dalam kasih sayang. Antara sekalian banyaknya saya memilih cinta ini. Cinta pada Allah pastinya. Nyala kasih kurniaan Rabbuljalil. Mana mungkin dapat diperoleh dalam dunia yang gelap. Hitam dan putih tidakkan bersemi. Lalu aku rakamkan momen ini. Di atas sejadah. Di balik telekung putih. Bersulam cinta. Maka nikmat Allah yang mana satu engkau dustakan!.

Monday, May 28, 2012

Nur Irdina Raudhah | bulan ke-5



Irnida sudah melewati 5 bulan. Kian hari kian banyak telatah dan ragamnya. Benar melihat anak-anak membesar di depan mata ini mengudang rasa nikmat, waima kadangkala menguji kesabaran diri. Tiap ibubapa mahukan yang terbaik untuk anaknya, dan begitulah juga saya. Setiap hari saya memohon kepada tuhan agar diberi kekuatan. Kekuatan untuk mendidik anak-anak saya dengan baik. Mengenal diri dan penciptanya.

Sunday, May 27, 2012

Folding Bike






Saya belum perolehi apa-apa keuntungan dari pelaburan ini. Sebuah 'folding bike' untuk gaya hidup sihat kononnya. Kenapa 'folding bike'? jawapannya ialah ia sebuah basikal mudah alih, tidak perlukan ruang yang besar untuk menyimpannya, sementelah rumah saya amat limitasi storannya. Lipat saja selepas guna kemudian boleh simpan dalam stor ataupun bonet kereta. Namun apa yang lebih utama ialah samada ini pelaburan yang berbaloi buat saya ataupun sebaliknya.
Noktah

Monday, May 21, 2012

Tasik Prima #1




Hampir sahaja kawasan perumahan kami kian sesak. Perumahan baru ini, yang mengadap laguna sudah kian siap. Ada pemilik mulai melengkapinya dengan lengkapan dan lekapan. Ada yang giat membuat renovasi. Papan tanda untuk dijual dan disewa menghiasi pagar dan tingkap, di sebahagian besar dari rumah-rumah ini. Ini semua kerja broker yang ingin untung besar. Akhirnya harga rumah melampung hingga ketahap tidak munasabah. 
Sore ini saya memerhatikan dari ruas pandang saya. Lagun yang sudah kurang birunya. Tiang dan konkrit kian meninggi. Debu-debu berterbangan. Kami telah memilih yang ini. Masih samar-samar jalannya.

Sunday, May 13, 2012

Kami 1 Famili






Sukar mencari waktu untuk merakam foto bersama-sama. Cuaca di luar amat pijar. Kesian pula buat sikecil Dina. Namun dengan sedikit kelapangan hari ini kami merakam saat-saat indah ini. Tidak di luar. Cukup di teratak kami saja. 

Thursday, May 03, 2012

Majlis akikah Nur Irdina raudhah | 29.04.2012






Majlis akikah puteri bongsu saya Irdina Raudhah. Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah berikan ini.

Thursday, April 12, 2012

The CRAYONS



Di pinggiran Tasik





Cuti pertabalan yang dipertuan agong yag baharu 11.04.2012, saya membawa si kakak ke tepian tasik, tasik prima. Tidak berapa jauh dari kediaman kami, sementelah rumah saya sememangnya di tepian tasik, Taman Tasik Prima. Kami berdua saja. 'Photoshoot' si kakak. Si kakak bukan jenis duduk diam. Jadi gambar banyak yang senget sana, senget sini. Adalah beberapa foto yang saya kira ok.

Monday, April 09, 2012

Bunga April | Irdina Raudhah





Melihat telatah si kecil saya ini, menerbitkan rasa indah di zulmat. Terasa amat pantas masa berlalu. Siang dan malamnya. Segala menimbulkan bibit syukur. Menikmati hidup ini dengan senyuman. Sungguh, kekayaan tidak dapat memberi keindahan ini. Tidak ia dijual dimana-mana. Segalanya datang dari Rabbuljalil. Suatu hari nanti, saat ini pasti jadi kenangan dan imejan yang akan senantiasa terakam di kotak fikiran. Memutar semula memori, yang pastinya berbaloi untuk dikenang. Permata hati ini memberikan saya makna kehidupan. Memberi sebab untuk saya terus kuat meredah setiap ranjau dan denai. Lihat dia membesar di ruang retina saya. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...