Saturday, December 28, 2013

[ Untitled ]


2013 bakal ke penghujung. Ya, tahun masihi. Walaupun Muharam itu lebih layak diberi sambutan penting, namun bohonglah jika tahun masihi tiada signifikannya dalam setiap ruang kehidupan melenia ini. Saban tahun, tahun masihi datang, dan kita sambutnya, langsung atau tidak langsung. Noktah.
2014 mulai jelik kelihatannya. Kelabu warnanya. Entah. Jika pergi lebih jauh, tak banyak pun sedikit, pasti berbaur politik didalamnya. Di tanah malaysia ini tidaklah menjadi satu kepelikan jika sepanjang hari orang-orang di dalamnya akan bicara soal politik, dan politik, dan politik. Isu bantuan banjir; politik; isu utilti air; politik; nuri terhempas; politik; kalah bola; politik. Tapi malangnya kita masih belum celik-celik politik. Masih sempit dengan taksub parti; hidup dan mati atas parti aku. Parti aku masuk syurga; kau punya ke jahanam. Ini aku anggap jenis politik tangki septik. Busuk lagi membusukkan. Noktah.
2014. Orang kata tahun Barang Naik. Ramai yang merungut itu dan ini. Di 'facebook' dah macam-macam cerita. Ramai yang perit mendengarnya. Ah! kalau tak suka barang naik sila bungkus pakaian keluar Malaysia. Itu jawapan singkat, dari otak yang singkat. Sedang perut mereka yang buncit itu bertambah buncit. Bukan mereka sahaja, bahkan anak, isteri, saudara, sepupu sepapat turut membusung membawa perut yang kekenyangan. Melahap dan melapah isi serangka marhaen yang berkais-kais siang malam. Noktah.
2014. Sudah sediakah kita. Dengan nilai RM kita yang makin mengecil. Cuba kita cari ruang-ruang itu berfikiran positif. Ingat! fikir positif. Mereka jerut leher kita separuh tercekik, tapi kena positif. Mungkin kita malas, sebab itu tak kaya-kaya. Orang kaya itu rajin, (dan bijak) sebab itu boleh kaya. Nak jadi kaya kena rajin. Kalau sehari kita kerja 8 jam, kena tambah beberapa jam lagi. Sejam dua untuk tidur cukup. Selebihnya cari duit tambahan. Noktah.  

Wednesday, December 25, 2013

[ Raudhah di hati Ku - 2 tahun berlalu ]


Di hari natal ini 2 tahun yang lalu lahir dirimu. Jadi peneman kedua kami. 
Ingatlah pesan ayah
'Cinta perlu diperbaharui.
Baharuilah cinta itu dengan kata-kata yang baik.
Jangan bisu dan jangan tuli.
Sentiasalah jadikan lidah
menuturkan kata yang baik
dan telinga sentiasa terbuka untuk mendengar.
Kita akan diuji.
Melalui apa yang kita sayangi.
dan oleh apa yang selalu kita katakan.
Ingatlah, hati yang tidak mencintai Allah
akan sangat mencintai dunia dan takut mati.
Cinta Allah itu tujuan,
Cinta Rasulullah itu jalan.'

Selamat Hari Lahir jantung hati kami. Barakallahufiki....

Sunday, December 22, 2013

[ untitled ]



Lurus belum tentu lulus. 
Berapa ramai orang yang tidak lurus ketika berjalan di jalan yang lurus...

-Ust Pahrol Mohamad Juoi-

Tuesday, December 10, 2013

[Sobahan Khair]


Selamat pagi hari yang baru. Pagi yang cerah. Butir-butir cahaya yang menembusi celah-celah hari yang indah. Hari ini bersendiri. Suri ke kantor. Anak-anak di rumah pengasuh. Saya pulang lewat malam semalam. Ada majlis makan malam di hotel Concorde Shah Alam. Sengal-sengal rasanya tangan ini memetik 'shutter' kamera. Namun saya masih gagahkan jua. Tugas saya berada di belakang kemera, tanpa satupun gambar untuk diri. Gambar kenangan saya dalam wajah orang lain, bukan wajah sendiri. Namun begitu saya puas dengan apa yang saya lakukan. 
Pagi ini ada beberapa urusan mau dilakukan. 

Sunday, December 01, 2013

[ Senyumlah ]


Jika kita senyum hanya apabila berasa gembira, hidup kita akan penuh nestapa.
Tetapi senyumlah untuk menggembirakan orang lain.
Nescaya hidup kita akan ceria!

Saturday, November 23, 2013

[Bayang-bayang dirinya]


"Bayang-bayang dirinya seakan-akan dapat kuraih
Kuulurkan lengan ini agar dapat menggenggam tangannya
Hingga aku mampu berlari bersama dirinya"

Saturday, November 16, 2013

[ Paku ]


Hujan saban turun tanpa kira masa; siang maupun malam hari. Kadang waktu cuaca terik memanah bumi, ia turun melebat memenuhi segala lopak dan kolam. Rahmah dan ujian. Ujian sepanjang mana gebar akan ditarik waktu dinihari diakhir malam, menuju subuh hari. Lekanya kita, si pencinta dunia. 

Tuesday, November 12, 2013

[ Zoo Negara - 10.11.13 ]








Anjung minggu membawa putri-putri ini ke dunia haiwan. Pertama kali jejakkan kaki ke zoo negara ini. Waima sudah sedekad berada di lembah klang ini. Si kakak sudah besar. Jadi sudah banyak  nama-nama haiwan sudah fasih di lidahnya. Si adik masih lagi tergagap-gagap menyebut satu persatu. Kebanyakan haiwan yang umum diketahui; burung contohnya. 

Thursday, November 07, 2013

[ Usang ]


Tiada penghuni. Dindingnya terkopak sana-sini. Keping demi keping atap gentingnya satu persatu menyembah bumi. Begitu juga lantainya. Suatu ketika dahulu...Entah. Segalanya puput dari ingatan.

[ Selamat Hari Lahir ]

Bismillah. Hari ini 4 tahun lepas. Waktu itu kehidupan kami amat sederhana. Kemudian hadir Alya. Dalam kekurangan serba-serbi itu Alya hadir memberi sedikit sinar ceria. Itu cerita dahulu. 4 tahun berlalu. Alya sudah punya adik, Raudhah si mata bulat, dan juga sudah ke sekolah. Ragamnya kian perbagai. Intuisinya kadang sukar dimengerti. Becok mulutnya berkata-kata. Lari ke sana-sini. Minta itu dan ini. Subhanallah. Tanpa sedar ini rupanya nikmat ALLAH yang tak terhempang arusnya. Selamat hari lahir Alya Insyirah.


Tuesday, November 05, 2013

[ Pasar Borong Selangor ]








Dari bedikan fuji X100s saya. Untuk rakaman seperti ini kemera kompak patut ada dalam senarai 'gear' saya. Manakan tidak, sebelah tangan dukung anak, sebelah pegang kemera. Memang nampak janggal jika guna DSLR.
Kompak X100s ini sedikit premium dari kamera-kemera lain yang biasa, tapi tidaklah setara dengan Leica M9 yang sudah jadi legenda itu. Namun kualiti gambar memang berada dalam kelasnya yang tersendiri. Kadang kualitinya melebihi bedikan D7000 saya. Nah! ini sedikit hasilnya untuk tatapan.

[ Empat Belas Tiga Lima Hijrah ]


Selamat Tahun Baru Hijrah. Waima Muharram bagi kebanyakan ulama sirah menyatakan bukanlah bulan hijrah pertama Rasulullah. 

"Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166)."

Amalan membaca doa akhir dan awal tahun juga bukan sabit dari Nabi. Bukannya satu kesalahan pula untuk membacanya. Doa pada asasnya semuanya baik selagi ia tidak meletakkan ia satu amalan yang langsung dari Rasulullah s.a.w. Baca atau tidak jangan pula jadi perbalahan umat. Namun yang sahih dari Rasulullah adalah digalakkan untuk berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Itu kemuliaan Muharram di sisi Islam. Wallahualam.

Wednesday, October 16, 2013

[ Allahuakbar! ]


[ CIC's Sporty Fruity Day ]







Sabtu 12.10.2013
Aktiviti sukan pertama buat Alya Insyirah
Bertempat di stadium taman tasik titiwangsa
Ada buak-buak ceria membutir
Menguntum senyuman dari bibirnya
Waima Alya Insyirah asyik mengadu pada kami yang matanya mengantuk
Resam si bocah. Tenaga yang datang entah dari mana.

Sunday, October 13, 2013

[ Dialah Suri ]


Dialah suri, dialah sandaranku, tempat bersandar kala rentan jiwaku. Tempat berkongsi segala ceritera suka dan duka. Dia terbaik di lensa, retina jua di hati. Selamat buatmu, selamat buat kita, selamat buat 2 bocah si putri kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...