Monday, December 25, 2006

Satu lagi filem adaptasi novel seputar dunia magis, seperti juga trilogi lord of the rings, siri-siri harry porter dan narnia. Yang menariknya christopher paolini, penulis novel ini, menulisnya waktu berumur 15 tahun, diterbitkan secara bebas oleh ibu ayahnya, langsung jadi ‘New york times bestseller’.

Eragon, seorang budak ladang yang cuma berumur 15 tahun ketika itu, dan takdir membawanya kepada sebiji telor naga. Dan bermulalah pengembaraannya bersama sang naga bernama saphira menentang kuasa jahat, raja galbatorix bersama juaknya durza, seorang ahli sihir hitam.

Eragon mungkin tak terlawan peter jackson dengan lord of the ringsnya, namun lebih baik dari narnia yang tak lebih daripada kisah pari-pari disney.

Wednesday, December 20, 2006

Awan

Awan yang tak bertepi

Berarak tenang

Dan mentari bersinar di kolong langit

Menyelimuti pekat malam

Memuntahkan segala kesepian

Keindahan maha luarbiasa

Tuhan

Pagi yang tenang

Membuhul rahmat-Mu

Membalut pusar hati

Agar penuh rasa syukur

Thursday, December 14, 2006

Cinta Lagi

Jika ada manisnya pengorbanan, maka adalah Cinta,
Jika ada kasih yang tulus, maka lahirlah Cinta,
Jika sayang itu perlu diungkapkan luas, maka terucaplah Cinta,
Jika kasih itu bisa layu dan pudar, masihkah ada Cinta?
Jika benar kasih itu jujur, adakah ia melahirkan sucinya Cinta

Monday, December 11, 2006

Doa

Tuhanku, gemintang langit-Mu telah tenggelam. Semua mata makhluk-Mu telah tertidur, tapi pintu-Mu terbuka lebar, buat pemohon kasihmu. Aku datang menghadap-Mu memohon ampunan-Mu, kasihilah daku, perlihatkan padaku wajah datukku Muhammad SAW pada mahkamah hari kiamat (kemudian ia menangis). Demi kemuliaan dan kebesaran-Mu, maksiatku tidaklah untuk menentang-Mu. Kala aku lakukan maksiat aku lakukan bukan kerana meragukan-Mu, bukan kerana mengabaikan siksa-Mu, bukan kerana menentang hukum-Mu. Aku lakukan kerana pengaruh hawa nafsuku dan kerana Kau hulurkan tirai untuk menutub aibku. Kini siapakah yang akan menyelamatkan aku dari azab-Mu. Kepada tali siapa aku akan bergantung. kalau Kau putuskan tali-Mu malang nian daku kelak ketika bersimpuh di hadapan-Mu. Kala si ringan dosa dipanggil: jalanlah! Kala si berat dosa dipanggil: berangkatlah! Aku tak tahu apakah aku berjalan dengan si ringan atau dengan si berat. Duhai celakalah aku bertambah umurku dan bertumpuk dosaku tak sempat aku bertaubat kepada-Mu. Sekarang aku malu menghadap pada-Mu (ia menangis lagi). Akankah Kau bakar aku dengan api-Mu, wahai Tujuan segala kedambaan lalu. Ke mana harapku ke mana cintaku. Aku menemui-Mu dengan memikul amal buruk dan hina di antara segenap makhluk-Mu. Tidak ada orang sejahat aku (ia menangis lagi). Mahasuci Engkau! Engkau dilawan seakan-akan engkau tiada. Engkau tetap pemurah seakan-akan Engkau tak pernah dilawan. Engkau curahkan kasih-Mu kepada makhluk-Mu seakan-akan Engkau memerlukan mereka, padahal Engkau wahai Junjunganku tak memerlukan semua itu.”

P/S: Doa Imam Ali Zainal Abidin seperti diceritakan oleh Thawus Al-Yamani. Imam dari Ahli Bait Al-Mushtafa ini begitu terkenal sebagai As-Sajjad, yang banyak bersujud. Doa-doanya dikumpulkan dalam Ash-Shahifah As-Sajjadiyah; berisi kalimah-kalimah yang indah dan mengharukan.

Hakikat Cinta

Cinta kepada Allah itu laksana api, dan apa pun yang dilewatinya akan terbakar. Cinta kepada Allah itu laksana cahaya, dan apa pun yang dikenainya akan bersinar. Cinta kepada Allah itu langit, dan apapun yang dibawahnya akan ditutupnya. Cinta kepada Allah itu laksana angin, dan apapun yang ditiupnya akan digerakkannya. Cinta kepada Allah itu laksana air, dan dengannya Allah menghidupkan segalanya. Cinta kepada Allah itu laksana bumi, dan dari situ Allah menumbuhkan segalanya.

Sunday, December 10, 2006

Last Minute

Orang kitakan selalu buat kerja 'last minute'. Memang selalu macam ni. Bukan setakat daftar prabayar saja, daftar mengundi, daftar itu daftar ini selalunya 'last minute'. Masa kat kampus dulupun 'assignment' selalu buat 'last minute'. Esok nak hantar mulalah kelam-kabut cari bahan. Pergi 'lab', masuk 'library' ciplak 'assignment' senior sem lepas. Bak kata member aku kalau tak 'last minute' tak malaysianlah......

Sunday, December 03, 2006

Kisah Cinta

Lima kisah cinta, satu cerita - mengenai Harris dengan isterinya Airin; hubungan Dyan dengan adiknya, Dhani; cinta Elyas seorang pesara guru dengan pemilik gerai, Rubiah; hubungan Azlan & Azura, dan hubungan Arianna & Taufiq - di mana semuanya saling berkait dan berlatar kota metropolitan Kuala Lumpur.

Lama sudah tidak menonton sebuah cerita berbahasa melayu yang cantik pada layar retina aku. Sebuah resepi baru untuk filem malaysia dalam mileau ini. Terima kasih buat pengarah Kabir Bhatia, skrip yang matang dan hampir sempurna dari Mira Mustafa dan Abdul Rahman Ahmad, sinematografi yang indah dari Madnoor Kassim dan runut bunyi yang sedap dari Pacai.

Lupakan saja kisah tarik rambut Rita Rudaini dengan Lisdawati, mahupun ungkapan ‘i’m look stupid when i speak in malay’ Sharifah Amani masa FFM lalu. Dalam filem ini Dato’ Rahim Razali bukan pengulas sukan olimpik, Fatimah Abu Bakar bukan cikgu bahasa inggeris bebudak AF, dan Rashidee dah lama keluar dari kugiran 'Dead Mushroom'. Cinta datang dalam lanskap sebuah strata masyarakat Malaysia yang datang dalam pelbagai kelas sosial. Dari kisah pelukis jalanan dan buskers di central market, seorang bekas guru yang menghidap Alzheimer di Abdullah Hukum hingga kisah ego seorang penerbit majalah tersohor di metro kl.

Kuala lumpur menjadi latar filem cinta, seperti kita tahu yang menara berkembar Petronas itu terpacak di Kuala Lumpur dan tidak di tempat2 lain di dunia ini. Namun susuk menara itu cuma sayup dari jauh, dari Kampung Baru, dari Abdullah Hukum, dan entah mana-mana lagi mandala seputar pinggir kotaraya (rasa macam mengunjungi deretan kedai-kedai lama di Ipoh). Lokasinya sekitar kuala lumpur. Mungkin tempat2 yang biasa kita kunjungi, yang hampir dengan kita, tapi kita tak ambil kisahpun. Namun figura dan latarnya seakan dekat dan begitu mesra dengan kita.

Filem ini memang ada persamaan dengan filem barat Love actually atau magnolia. Hanya persamaan saja, bukan latar cerita. Jika filem ini bagus, peduli apa sama ada sama atau tidak. Yang penting bila keluar panggung penonton rasa puas. Dan itulah yang aku rasa usai durasi sejam setengah menonton cinta. Cinta sebuah cerita tentang manusia, tentang kita, waima kita sedar atau tidak. Segalanya berjalan menelusuri arus dunia yang penuh kemajuan dan serba pantas ini. Cinta sebuah filem kita yang hampir sempurna sebagai menutup tirai untuk tahun ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...