Sunday, January 21, 2007

Berlian Berdarah

Afrika. Benua singa dan cheetah. Juga tanah leluhur mereka yang kita gelar sebagai negro, bangsa berkulit hitam. Begitu juga manusianya, benua ini juga penuh dengan sejarah hitam. Perang, kebuluran, pelarian, serta segala macam onar yang menggugat kemanusian.

Itulah yang digambarkan oleh Edward Zwick(Glory dan The Last Samurai) dalam lewat filem terbaru arahannya, ‘Blood Diamond’. Nyatanya filem ini penuh provokasi, membongkar dunia kapitalis yang sedaya mungkin mengaut keuntungan daripada perdagangan berlian di daerah konflik afrika, dengan mengambil latar perang sivil yang melanda Sierra Leone pada tahun 1999. Ribuan nyawa menjadi taruhan serta jutaan lagi menjadi pelarian, anak-anak yang masih bocah ditangkap dan dilatih menjadi tentera yang ganas.

Blood Diamond adalah sebuah fiksyen garapan penulisnya Charles Leavitt, mengenai seorang nelayan, Solomon Vandy (Djimon Hounsou) dan Danny Archer (DiCaprio), seorang bekas misioneri yang bergelandangan serata afrika menjadi penyeludup berlian untuk kelangsungan hidup. Solomon pada mulanya hidup bahagia bersama isteri dan anak-anaknya, hinggalah pemberontak militia RUF menceroboh kampungnya dan langsung ditangkap untuk dijadikan hamba di lombong berlian. Danny pula punya sejarah hitam dalam hidupnya. Lahir di Rhodesia (kini Zimbabwe). Ibunya dirogol militia dihadapan mata dan bapanya dipenggal dan digantung di bangsal rumahnya. Segalanya berlaku waktu Danny berumur 9 tahun.

Di lombong itu Solomon ditemukan dengan sebutir berlian berwarna merah muda sebesar telur burung, dan ia akhirnya menjadi tiket untuk mengembalikan semula keluarganya yang terpisah. Waktu lombong tersebut di serang tentera kerajaan, Solomon disumbat di penjara, dan di situ dia dipertemukan dengan Danny. Danny menawarkan diri untuk membawa Solomon kembali kepangkuan isteri dan anaknya, dengan berlian merah sebagai cagaran. Dengan bantuan daripada Maddy Bowen (Connelly), wartawan Amerika yang mahu merungkai kegiatan konflik berdarah di afrika, Solomon dipertemukan semula dengan isteri dan anaknya, tetapi malang anak lelakinya, Dia, telah ditangkap oleh pemberontak militia. Dan Danny tiada jalan lain selain terpaksa membantu Solomon mencari anaknya dahulu sebelum berlian bertukar tangan.

Konflik ini langsung sama mengheret Maddy. Namun Maddy juga punya misi sendiri. Menyelongkar kegiatan perdagangan haram berlian sebuah syarikat antarabangsa yang mengeksploitasi harga berlian dunia. Caranya adalah dengan mengumpul stok berlian yang diperolehi hasil dari kegiatan penyeludupan, dan Danny menjadi orang tengah dalam urusan penyeludupan tersebut. Maddy muak dengan menjaja berita-berita sedih penderitaan penduduk afrika untuk tujuan komesial. Bagi maddy informasi sudah bertukar menjadi informatalis. Tiada jalan lain melainkan dengan mencari bukti untuk membongkar aktiviti sindikit tersebut, dan Danny adalah kuncinya.

Blood Diamond memaparkan kisah kepongahan manusia yang tidak berkesudahan. Kerajaan yang korup, pemberontak yang ganas. Kemanusian sudah dimakamkan. Yang hidup adalah rasa haloba, nafsu kuasa yang tidak putus. Afrika akan sentiasa dirundung malang, dan dosa yang tak tertebus.

Dan akhirnya Danny Archer mati untuk menebus dosa silamnya. Sambil tersenyum buat kali terakhir menatap bumi malang afrika.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...