Sunday, February 25, 2007

hidupku akan kosong tanpa mereka-mereka ini


Posted by Picasa

Aku Belum Tentu Datang

Belum tentu lagi aku datang
Untuk memungut ranjang-ranjang cinta kita dahulu
Yang terperangkap dalam sangkar kasmaran
Membuhul rindu yang membungkam jiwa
Saat kucuba menepis hembusan pawana paksina
Membawaku larut dalam bejana penuh air mata
Ini mungkin helahku
Atau rusuh atmaku
Yang berombak memukul tenggara lautan

Dan aku belum tentu lagi untuk datang
Melawati mekar ros merah
Yang gugur kelopaknya persatu
Dilaman nurani

Saturday, February 24, 2007

......dan kita masih berdiskusi

FORT CAMPBELL, Amerika Syarikat (AS) 23 Feb. – Mahkamah tentera di sini menjatuhkan hukuman 100 tahun penjara ke atas seorang askar yang didapati bersalah merogol seorang gadis Iraq dan membunuh gadis itu serta ahli keluarganya, tahun lalu.

i.
Sampai bila umat Islam asyik berdiskusi di meja bulat. Sampai bila kita mahu menunggu keputusan kuartet mengekang keganasan ke atas umat Islam. Dan benarlah sabda Nabi.....Umat Islam ibarat buih di lautan, yang hilang apabila dihempas ombak........

Tuesday, February 20, 2007

Info Trafik

Trafik bergerak perlahan dari persimpangan Rawang ke lebuhraya utara selatan dan susur keluar ke plaza tol Tanjung Malim dan plaza tol Jelapang. Pasukan peronda PLUS melaporkan terdapat kemalangan di kilometer 20 berhampiran plaza tol Jelapang antara sebuah lori trailer dan sebuah kereta kancil. Kedua-dua kenderaan tersebut telah di alihkan ke bahu jalan. Para pengguna lebuhraya dinasihati agar meneruskan perjalanan dan tidak berhenti di bahu jalan.

Di ibu kota Kuala Lumpur trafik bergerak lancar di kedua-dua arah antara jalan Raja Laut menuju ke Dataran Merdeka, jalan Tun Razak ke Bulatan Pahang, Jalan Imbi ke Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tampler ke susur keluar Jalan Klang lama. Kenderaan bergerak perlahan di plaza tol Sungai Besi ke Seremban namun trafik dilaporkan masih terkawal.

Info trafik akan keudara setengah jam dari sekarang. Para pemandu di nasihati agar berhati-hati ketika memandu dan awasi jarak kenderaan anda. Selamat tahun baru cina.

Info trafik ini di bawa oleh Syarikat Logistic Ah- Beng dan rakan-rakan. Segalanya pasti sampai dengan Ah-Beng logistik.


Friday, February 16, 2007

Di Kota Sejarah Ini













Di kota sejarah ini
Di kota yang setiap pasir dan batunya
Adalah sirah agung
Samawi yang menampung Arasy mulia
Serta mahsul bumi yang membuhul barakah

Di kota sejarah ini
Tercatat di setiap dinding-dindingnya
Momen-momen indah
Saat kiblat kearahmu
Sujud memandang setiap rinci kota
Namun dirempuh prahara jua
Segerombolan penjarah mampir menodai kota suci ini
Akhirnya tinggal cuma puing-puing sengsara


Setiap kali memandang kota sejarah ini
Hati tersentuh
Melihat kubahmu
Yang terkopek satu-persatu
Bersama-sama maruah yang tercalar


Kota ini yang tinggal sejarah
Bersama selembar cinta yang terpotong
Mendepani rohmu ke rahang langit
Betapa pijarnya sengsara
Merah darah yang takkan kering
Dan kepongahan manusiawi yang luluh

Nun di sudut kota sana
Al-aqsa melihat jauh-jauh
Pada setiap pasir dan batunya
Sambil meneguk selautan airmata
Dengan mata yang kian bundar
Yang lelah dan kewalahan

Palestina
Kota suci yang tinggal sejarah

Wednesday, February 07, 2007

Panas


Panas
Meremang
Pagi hingga petang
Peluh pijar yang menitik
Dari liang-liang roma

Begitupun ada orang kata
Ini Panas dunia
Neraka lagi panas

Memang ini panas dunia
Ciptaan Tuhan
Untuk kita insafi
Bukan buat perbandingan
Panas dunia dan neraka



p/s: puisi ni di tulis di restoran Ahamed, belakang hotel vistana jalan ipoh. waktu itu matahari tengah panas meremang. waktu-waktu panas begini akak kat ofis aku mintak tolong pergi kutip duit hutang kereta 'customer' yang sudah 4 bulan tak bayar.



Tuesday, February 06, 2007

Gebar Putih

Gebar putih

Yang menyelimuti susuk tubuh

Waktu angin dingin menerpa dari paksina

Langsung menusuk ke liang-liang roma

Musim sejuk bulan disember

Menukar alpa ini

Menjadi banjir resah

Hanyut di bawa derita seabad


Gebar putih

Tempat pemanas badan

Dari sejuk yang menyucuk

Saturday, February 03, 2007

Akulah Perang Itu

Akulah perang itu

Yang mengembangkan sayap dendam

Memancung setiap jiwa yang bebas

Membawa berbondong-bondong sengsara nestapa


Akulah perang itu

Nafasku tegar

Bercampur amarah yang merah

Anjing serigala bersahutan

Memanggil malaikatul maut ke sini!


Akulah perang itu

Cabut segala akar yang terpasak

Datanglah jentaka dari langit meragut nirmala

Lalu bersiponggang yang hidup

Mencari teduh

Sedang keliling cuma puing-puing saja


Akulah perang itu

Termaktub dalam kitab-kitab sejarah

Berjilid-jilid tersusun

Di kutub khannah sengsara

Tinggal namaku

Terlipat dalam salah satu bab

Bahwa aku takkan mati!


Setiap hari yang datang

Aku hadir dengan darah merah

Tidak mengenal siapa

Di muncung mesiu itu

Friday, February 02, 2007

Perang Trojan

Troy. Filem ini mungkin telah basi. Ditayangkan kalau tidak silap aku dua tiga tahun lepas. Namun baru semalam pertama kali aku menonton filem ini, pastinya dari DVD lanun cetak rompak yang aku beli di Summit USJ.(baca: persetankan dengan slogan beli yang original).

Troy ialah kisah perang. Itulah yang didendangkan oleh penyair buta Homer, merentas masa beribu tahun dahulu. Homer si penyair melagukan syair perang ini bersama watak-watak adiwiranya, Archilles, Hector, Agamemon, Oddysseus, Menelaus dan sebagainya. Sejak dahulu perang berkisar soal kekuasaan, keagungan, maruah bangsa, dan juga seputar soal cinta. Dan segalanya terangkum menjadi satu oleh Homer dalam The Illiad.

Cinta memerlukan pengorbanan. Pengorbanan yang menuntut jiwa sebagai galang gantinya. Cinta Paris putera Priam dari Troy, dan Helen, perempuan tercantik yang berkahwin dengan raja Menelaus dari Sparta. Cinta yang akhirnya bertukar perang, setelah Paris melarikan Helen dengan rela hati ke Troy. Maka dari itu bermulanya perang trojan, perang antara Greek dan Troy. Menelaus bukan setakat mahu mengembalikan maruah yang tercalar oleh tindakan Paris putera Priam melarikan permasurinya, tetapi menjadikan alasan untuk menakluk Troy yang sekian lama diidamnya. Troy memang cukup ampuh dengan kotanya, dengan pasukan pemanahnya yang diberkati dewa Apollo. Dan itu Menelaus memerlukan Archilles wira separa dewa untuk memenuhi cita-citanya

Archilles putera Peleus. Namanya cukup tenar serata Greek. Manusia separa dewa ini tidak pernah tumpas dalam apa-apa perang sekalipun. Archillis memang dilahirkan untuk berperang. Namun tidak dibawah telunjuk raja-raja Greek yang gila kuasa. Archilles berperang untuk Greek, bukan untuk raja-rajanya. Archilles mahu diingati sebagai pahlawan agung, dan perginya ke troy bukan setelah dibujuk Oddysseus tetapi untuk diingati sebagai pahlawan agung dalam sejarah. Ibunya dewi thetis mengingatkan archillis, dia boleh tinggal di greek, berkahwin dan beranak-cucu di sini, atau ke troy dan mati sebagai pahlawan agung.

Setelah Archilles membunuh Hektor, sang wira dan jeneral troy, pertahanan kota menjadi lemah. Lalu dalam satu malam kota troy habis dilanggar bala tentera Greek. Troy ditawan Sparta. Namun takkala perang sudah di penghujung, putera Paris mencabut busurnya lalu memanah tepat ke tumit Achilles. Archilles gugur di situ. Memang benar namanya tidak akan putus disebut orang. Hingga kini.

p/s: setelah Arcilles dilahirkan ibunya, dewi Thetis, mencelupkannya ke dalam sungai Styx. Kerana takut Archilles hanyut di bawa arus, Thetis memegang tumit dan pergelangan kaki takkala membenam archilles ke dalam sungai. Seluruh tubuh Archilles yang dibasahi air sungai Styx akan menjadi kebal, melainkan tumit Archilles.

Thursday, February 01, 2007

Insaf

Keinsafan itu lahir dari hati. Iya. Hati yang penuh penyesalan. Keinsafan dapat diasosiasikan dengan taubat. Rasa insaf membuatkan diri dipanggil untuk bertaubat. Insaf datang dari rasa bersalah (baca: Dosa). Dosa. cuma 4 aksara. Pendek. Tetapi makna dosa bukan sekadar 4 aksara tersebut. Dosa satu esei yang panjang. Perjalanan yang punya sejarahnya sendiri dalam ketamadunan manusia. Qabil sanggup memutuskan jiwa saudaranya Habil lantaran rasa iri dalam hati. Itu dosa kedua manusia selepas Adam memakan Khuldi terlarang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...