Sunday, September 23, 2007

Melihat wajah ibu adalah nikmat terbesar kurniaan Ilahi. Ibu adalah anugerah tak terhingga. Jika Allah menyuruh kita menyembah kepada makhluk ciptaan-Nya pasti kita disuruh untuk menyembah insan yang bernama ibu ini.

Aku pulang ke kampung jumaat lepas untuk sama-sama meraikan ramadhan dengan keluarga dan yang paling aula ketemu dengan ibu. Wajah renta ibu bercahaya menyambutku. Wanita ini kutahu amat kuat semangatnya, tak padan dengan tubuhnya yang kecil. Setelah pelbagai badai yang melanda keluarga kami, segalanya dihadapi oleh ibu dengan tabah. Ibu tahu setiap yang berlaku ada hikmahnya, ada ujian yang tersirat yang tidak jelas dimata kasar.

Makanan berbuka dan sahur disediakan ibu, tanpa ada buku resepi yang menguliti setiap masakan. Namun hasil tangan ibu amat menyelerakan anak-anak dan cucu-cucunya.

Di waktu malamnya, seusai solat Margrib suara klasik ibu indah mengalunkan ayat-ayat suci Al-quran. Cukup dengan tajwid dan tartilnya. Aku tahu setiap bacaan ayat-ayat suci itu disedekahkan buat gemulah bapak dan datuk yang telah lama meninggalkan kami, menuju alam keabadian.

Melihat wajah ibu terasa cukup tenang dan bahagia. Sementelah pula kala ramadhan ini yang datang menyengguk umat Islam dengan barakah tak terhingga. Aku pulang hari ini dengan memohon kemaafan dari ibu, meminta restu agar diluruskan setiap perjalanan ini dengan rahmat dan petunjuk Ilahi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...