Platfom 3. Shah alam - kl sentral - mid valley - kl sentral - shah alam
Hari ini dia menunggu. Tren masih belum muncul. Manusia kian macet memenuhi stesen. Hari minggu adalah momen-momen indah untuk berlibur. Tren ke metrokata menjadi pengangkutan penting buat manusia-manusia ini, ada yang bersama pacar, maupun teman, ada yang sendiri sambil mengendong beg galas pelbagai saiz, atau leka dengan i pod yang terlekap di kuping telinga.
Hari ini dia menunggu. Tren tak kunjung lagi. Matahari kian meninggi. Angin panas mendesah ke udara. Langsung meragut kesabarannya. Hari ini dia ada pertemuan penting. Sepenting mana pertemuan dia pada hari ini tidak dipastikan.
Bunyi tren sayup 500 meter dari landasan. Ibarat ular yang menjalar. Menunggu mangsa untuk diisikan penuh dalam perutnya. Di stesen, manusia-manusia pelbagai jenis itu mula mengambil tempat. Dan mulai tidak keruan keadaannya. Sesak. Berebut-rebut. Tipikal Malaysia.
Shah alam - kl sentral - mid valley - kl sentral - shah alam. Hari ini perjalanannya membuka ruas kehidupannya untuk satu lagi episod. Dia mahu fikirkan yang muluk-muluk sahaja. Kehidupannya adalah miliknya. Dan keputusan yang diambil olehnya pada hari ini adalah antara beberapa perjalanan-perjalanan yang perlu ditempuh olehnya.
Dalam perut tren yang makin melaju. Selaju degup jantung dan helaian nafasnya. Dan dia menempuh hari ini dengan senyuman. Senyuman yang diarca untuk pertemuannya pada hari ini.
No comments:
Post a Comment