Sunday, February 28, 2010

Di laman kata

Bertukang di laman kata

Dengan alas pengalaman lampau

Maksud yang tersurat dan tersirat

Gapuranya luas terbentang

Ujana mata

Tak tertampan indahnya

Tak tertahan rindunya


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Ranting

Tika pawana berdesir dengan kalam mujarad

Tungkas menyirat nirmala ke luar jendela

Nilam yang bersinar kirana

Kaku dipasak banir

Lalu daun-daun rontok menikam

Andai itu takdirnya

Kembara ini akhirnya

Menyimpan ranting-ranting hidup

Penyambung kehidupan

Waima dalam rona yang rusuh

Menggugah jiwa

Teguh dalam bicara yang kelu

Sungguh

Ranting ini bicara tentangnya

Bukan yang pertama


Sungai Besi, Kuala Lumpur

Monday, February 22, 2010

Waktu panas membahang

Waktu panas membahang, kita pasti merindui dinginnya hujan. Sore ini hujan turun membasahi bumi. Mengisi sungai dan sawah yang kering. Dan bumi menyambutnya riang. Tanda kasihnya Tuhan. Waima setiap detak jantung kita selalu lupa. Mengucap kata syukur dari nafas yang selalu tersasar dari jalan-Nya.

Sunday, February 21, 2010

Artis bukan idola?


Mengakui yang akhlak dirinya dahulu adalah umpama Britney Spears, Wardina meminta sahabat artis yang tidak bersetuju dengan tanggapannya agar tidak cuba menafikan sesuatu yang menjadi realiti sebenar kehidupan kelompok itu.

"Tak payah nak menegakkan benang yang basah, kerana saya tahu macam mana keadaannya dalam dunia artis itu. Jadi pada saya tak payahlah nak jadikan artis-artis ini idola anda semua, tak payah, tak payah.

"Nak ambil yang ciri-ciri positif sahaja boleh, tapi tak perlulah nak dijadikan idola," katanya kepada hadirin dan pengunjung pusat beli belah yang sebahagian besarnya terdiri daripada para remaja.

-utusan malaysia-

Komen: Tiada sebab untuk artis (sebut: artis hiburan) menjadi idola rakyat. Diangkat dan dijulang di mata masyarakat sebagai idola. Memang ada artis yang bagus. Namun ia bukan neraca untuk di nobat setinggi itu. Kita ada negarawan yang boleh dijadikan ikutan. Dunia artis (sekali lagi sebut: artis hiburan) adalah dunia hibur semata, fantasi di peti tivi dan corong radio.


Jemari kecil

Jemari kecil ini

Sedang mengira-ngira rahsia hati

Yang bersimpuh malu di pangkuan diri

Sedang layarnya dielus pawana rindu

Lalu seulas senyuman terukir indah

Dari gerak jemari menari

Menukil bait-bait cinta

Serta segumpal mega yang berbaring di dada langit

Saat senja menoleh keseberang zat yang tak terhitung

Menuju samudera luas

Mencari salasilah diri


Jemari kecil ini

Nantinya akan membelah zaman

Diatur takdir

Dengan nafas bahagia

Thursday, February 18, 2010

cuti tahun baru harimau

Menyambung cuti tahun baru cina hingga satu minggu memberi peluang buat saya, suri dan alya untuk pulang ke kampung halaman. Kampung saya dan suri sekali. Tiada masalah untuk pulang ke dua-dua kampung. Cuma kampung suri terletak ke utara sikit. Trafik sedikit macet melalui lebuhraya. Namun masih terkawal dan lancar. Cuaca pula meremang panas. Kulit si kecil kami pula sensitif dengan cuaca yang sebegini rupa. Aktiviti luar kadangala terpaksa meninggalkan si kecil dengan opahnya di rumah. Dijangka cuaca panas ini berlarutan hingga ke anjung mac nanti. Berehat di kampung meninggalkan kesesakan trafik, rencamnya kerja-kerja dikantor serta kelelahan laut fikir, sambil menonton keletah si kecil alya yang mulai mencipta ragamya sendiri, kian bistari, banyak akalnya, betul-betul amat berharga. Memang payah untuk kami dapat bercuti lama seperti ini. Saat-saat berharga ini kami hargai sepenuhnya. Ditambah lagi dengan orang tua kami yang kian hari kian renta di mamah usia. Menjenguk mereka waktu mereka meniti usia renta adalah ibadah sebenarnya. Memohon didoakan keberkatan dan keluasan rezeki dari Tuhan sekalian alam.


13-19 Februari 2010

Monday, February 08, 2010

Doa Nabi s.a.w, “Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani).

Sunday, February 07, 2010

"Barangsiapa yang ALLAH mahukan kebaikan untuknya, nescaya DIA akan mengujinya dengan kesusahan" (Hadith Riwayat Al-Bukhari)

Lama

Agak lama tidak muncul diruang ini. Bukan tidak ada idea. Namun desakan kerja dunia yang ruwet cukup membataskan masa untuk menukil apa jua yang bersarang di laut fikir. Kerja dunia tidak pernah habis. Dan kadangkala (bahkan selalu) dalam ketompokan kerja yang rencam ini buat kita lupa pada tuhan. Solatpun kian jauh dari waktunya. Lalai dengan kerja. Tuhan. Sungguh aku alpa dalam mengejar nikmat dunia yang sementara ini. Janganlah kau jauhkan aku dari mengingati-Mu ya Allah.
Koma
Alya sudah pandai mengekek-ngekek ketawa. Dan selalu mengajak ayah dan bondanya bersembang dalam bahasanya. Makin ceria kehidupan kami bertiga ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...