Wednesday, June 27, 2012

ASUS


Sesuatu yang punya nilai sentimental amat sukar untuk cuba dilupakan. Apatah lagi memilikinya waktu-waktu sukar kala mula-mula membina kehidupan selepas graduasi. Komputer riba model ASUS ini antara beberapa cerita yang menjadi kelangsungan kehidupan saya secara peribadi. Antaranya menjadi sebab saya memiliki kad kredit. Kebetulan antara kerjaya awal saya kala itu adalah sebagai pegawai kecil di institusi perbankan riba tersohor tanahair. Lantas di situ ada sedikit keistimewaan yang diberikan pihak bank untuk pekerjanya memiliki kad kredit secara mudah. Hidup dan mencari rezeki di metro kota mana mungkin dapat mengumpul tunai yang banyak sekali gus untuk memiliki barang idaman. Jalan mudah adalah dengan cara berhutang. Makan tahun juga untuk melangsaikannya. Apatah lagi harganya agaklah mahal, dengan spesifkasi yang terbaik waktu itu. Akhirnya sudah hampir 7 tahun. Sudah beberapa kali dihantar kedai untuk baik pulih dan 'upgrade'.  Masih boleh berfungsi dengan baik waima sudah tidak seiring dengan perkembangan teknologi terkini. ASUS saya ini menggunakan prosesor Intel Pentium M. Sekarang mungkin tiada lagi yang menggunakan prosesor ini yang sudah beralih kepada Intel i3, i5, i7 dengan turbo booast. Malahan telefon pintarpun lebih kedepan teknologinya. 
Seperti yang saya katakan awal tadi, nilai sentimental ini melangkaui zaman. Zaman berubah, teknologi berevolusi. Namun ingatan pada sesuatu yang kita amat hargai akan kekal selamanya. Biarpun seberapa besarnya cakera keras, dan seberapa lajunya RAM dan prosesornya.
Entah kenapalah malam ini saya beremosi fasal komputer riba pula.
P/s: catatan ini saya taip menggunakan komputer riba yang sama sejak 7 tahun lepas di blog yang sama.
Noktah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...