

Ini merupakan fasa berikutnya dalam kehidupan kami sekeluarga. Memiliki rumah sendiri adalah saat yang paling bermakna. Ia bukan keputusan dalam masa satu hari. Perlu timbangtara sewajarnya, terutamanya soal kemampuan kewangan keluarga. Disamping pemilihan lokasi, harga dan fasiliti, teres ataupun apartmen, baru ataupun lama. Alhamdulillah. Tuhan tunjukkan jalannya. Akhirnya kami memilih rumah teres 2 tingkat di Puchong. Tidaklah terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Insyaallah. Dalam penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan dijangka akan siap. Moga Allah permudahkan urusan kami, dan permurahkan rezeki kami. Amin.
Dia wanita tegar. Hati dan jiwanya. Sekaligus. Memang kehidupan kadangkala amat sukar. Sukar diterka. Mendidik anak-anak dengan bertemankan kudrat yang ada. Bersendiri cuma. Sekeliling ada yang memandang sinis. Mulut-mulut manusia yang tidak pernah puas mengata itu dan ini.
Dia wanita tegar. Bukan srikandi. Cuma wanita biasa. Macam wanita lain. Inginkan yang terbaik dalam keperitan. Bukan mudah. Namun nyalahatinya tetap kuat. Selagi langit masih biru. Dan matahari masih bersinar.

6 tahun penuh teka-teki sudah dihujung. Namun tidak semuanya terjawab. Masih bersarang lagi persoalan. Itulah penangan ‘lost’. Selama 6 musim siri tv ‘lost’, telah menarik jutaan penonton serata dunia. Membawa penonton mengikuti pengembaraan para penumpang Oceanic 815 dengan penuh persona dan tandatanya. Lost telah melabuhkan sauhnya. Bersama naratif yang pasti diingati. Kita pasti merindui watak-watak tegar dalamnya. Dr jack shepherd dan kate austen, hugo, sawyer dan sayid, sun dan jin, john locke, ben linus dan desmond, Charlie dan Claire, Juliet, miles, Richard, Lapidus, Charles widmore, Jacob, Daniel faraday etc.
Noktah
p/s: Ketika ramai yang masih ternanti musim terakhir siri tivi lost di kaca tivi Malaysia, aku sudahpun usai menontonnya.
Dalam sendirian ini seringkali aku berfikir hal diri yang acapkali dipagut dengan kerongsong masalah yang berkelintar. Mendepani diri. Datang juga rasa putus-asa serta segala macam sesal. Tuhan menguji hambanya dengan pelbagai cara. Kadangkala lama aku berteleku di atas sejadah mencari kekuatan. Istighfar sebanyak mungkin. Moga Allah berikan penyelesaian kepada setiap rona masalah yang menyelubungi diri. Mungkin ada hikmah yang bersembunyi dari pandangan yang mujarrad.
![]() |
| Zee Avi |
Apa maknanya kalau rakyat Malaysia masih tidak fasih dan mendaulatkan bahasa rasmi negara? Walaupun berjaya di luar negara dan mencipta nama, tiada kebanggaan terhadap negara seperti mana yang berlaku pada Zee Avi.
Walaupun bahasa Inggeris dikatakan bahasa sejagat dan bahasa dunia, itu bukan sebab kita nak memperlekeh bahasa kebangsaan. Kena belajar bahasa rasmi negara sekiranya kita rasa taat setia pada negara dan selain daripada itu mengetahui bahasa lain adalah satu kelebihan.
Tak ada maknanya konsep 1Malaysia sekiranya rakyat kita masih lemah dan tak fasih bahasa kebangsaan. Kita faham bahawa persekitaran membentuk seseorang itu. Tanggungjawab setiap ibu bapa yang menjadi warganegara Malaysia untuk mendidik dan mengajar anak mereka menggunakan bahasa kebangsaan selain menggunakan bahasa ibunda mereka.
Tiada siapa pun menghalang mereka malah menggalakkan setiap warganegara menguasai lebih daripada satu bahasa tapi bahasa kebangsaan adalah wajib dikuasai terlebih dahulu selepas bahasa ibunda masing-masing.
Sehebat mana artis atau pengkarya seni yang dapat mengharumkan nama di peringkat dunia, kita harus berasa malu sekiranya bahasa rasmi negara tidak dapat dikuasai malah mereka membanggakan bahasa lain yang dikatakan bahasa dunia.
-Utasan Malaysia Online-
Pemenang hadiah nobel sastera Gabriel Garcia Marquez menulis adikaryanya Cien años de soledad (One Hundred Years of Solitude) dalam bahasa ibundanya sendiri. Julio Iglesias tenar serata dunia sebagai penyanyi tersohor, juga menyanyi dalam bahasanya sendiri. Negara kita juga telah melahirkan penyanyi yang hebat, Siti Nurhaliza yang sudahpun membawa lagu-lagu melayu ke Royal Albert Hall, dan diakui sebagai artis yang berjaya sepanjang zaman di nusantara. Jadi, apa sangat yang kita mahu banggakan dengan Zee Avi ini.