Wednesday, October 06, 2010

Epilog

Semahunya saya mencari peluang untuk berwisata jauh dari kehidupan seharian yang semi ruwet ini. Membawa suri dan sekecil menikmati setiap helai nafas dengan bibit ceria dan ukiran senyuman. Entah. Serasa susah mahu mencarinya. Bumbu kehidupan ini kadangkala membawa saya jadi manusia materialisme. Laut fikir yang sentiasa berkelintar dengan kehendak duniawi. 30 tahun mungkin, sebelum pencen. Itupun jika nafas masih berombak. Duduk berteleku di meja. Menguliti setiap rinci tanggungjawab. Untuk upah di anjung bulan. Titik noktah masih jauh. Masih ada koma, tanda soal dan seru diantaranya.  

Tuesday, October 05, 2010

Di anjung syawal 1431H

Hari-hari terakhir bulan syawal 1431 hijrah. Di pejabat sambutannya masih terasa. Jamuan demi jamuan diadakan. Dari satu unit ke satu unit. Ada juga yang mengira puasa sunat enam hari yang masih berbaki sebelum syawal melabuhkan tirai, atau melangsungkan walimah mengutip berkat bulan mulia. Apa jua interprestasi kita, rangkuman aktiviti sepanjang bulan ini terangkum kemeriahan yang tersendiri. 
Noktah.

Senja

Sunday, September 19, 2010

Gambar


Untuk menyampaikan sesuatu maksud tidak semestinya dengan tutur perkataan. Ia boleh saja dizahirkan melalui apa saja medium samaada secara visual, sentuhan, isyarat, dan bunyi-bunyi. Gambar contohnya.
Sudah lama tidak menukilkan aksara demi aksara di laman ini. Mungkin fikiran sudah buntu. Ataupun mungkin juga sebab kekangan masa. Jika tiada apa yang mahu dikongsikan dengan perkataan, laman ini akan dipenuhi foto-foto dari pelbagai sisi kehidupan saya dan apa sahaja seputar saya. Mereka yang menemani saya saban waktu. Suri dan si kecil terutamanya. Biar gambar menukilkan maksud yang tersirat dan tersurat. Bebas berintepretasi, dan bereksperimen.     

Sunday, September 05, 2010

Rumah

Ini merupakan fasa berikutnya dalam kehidupan kami sekeluarga. Memiliki rumah sendiri adalah saat yang paling bermakna. Ia bukan keputusan dalam masa satu hari. Perlu timbangtara sewajarnya, terutamanya soal kemampuan kewangan keluarga. Disamping pemilihan lokasi, harga dan fasiliti, teres ataupun apartmen, baru ataupun lama. Alhamdulillah. Tuhan tunjukkan jalannya. Akhirnya kami memilih rumah teres 2 tingkat di Puchong. Tidaklah terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Insyaallah. Dalam penghujung tahun ini ataupun awal tahun hadapan dijangka akan siap. Moga Allah permudahkan urusan kami, dan permurahkan rezeki kami. Amin.

Thursday, August 26, 2010

Ramadhan dipertengahan

Ramadhan dipertengahan. Rasa alhamdulillah mengukir di tubir bibir. Masih diberi peluang meneguk madu kasih ramadhan besar ini. Nikmat yang tidak terhingga. Namun dalam rasa syukur yang tidak terhempang ini, gelojak nafsu kadang juga sukar dimengerti. Bayi kecil tiada dosa dibuang bagai sampah, anak kecil  dan isteri jadi sembelihan si ayah, ada yang meneguk alkohol tanpa silu, kata maki politikus tanpa hujung dan aneka gejala yang berselimutkan nafsu. 
Nun jauh di asia timur, di Pakistan sana, saudara kita dalam bencana tanpa tanda duga. Kehidupan yang sudah cukup payah, ditambah dengan tragedi ini. Apa lagi yang tinggal. Kita di sini hanya berdoa, sedang di sana tidak cukup sekadar titipan doa. Tapi bantuan untuk kelangsungan kehidupan. Pun begitu di Gaza, Baitumaqdis, Lubnan, yang masih dahagakan segala macam bantuan. Harapan bantuan dari umat islam yang simpati. Biarpun sedikit yang diberi, namun besar di sisi tuhan. Usahlah mengharapkan secupak beras dan gandum dari saudagar-saudagar arab yang melimpahkan dinar dan darhamnya untuk sepasukan bolasepak yang bukan dari leluhur bangsanya atau agamanya. Biarlah mereka lena di Palm Island, dubai, atau London, atau Paris, atau zurich, atau Manhantan, atau dimana-manapun. Bawalah kemana saja kunci gudang harta karun mu.
Ramadhan dipertengahan. Rasa alhamdulillah mengukir di tubir bibir. Masih diberi peluang meneguk madu kasih ramadhan besar ini.

Friday, August 20, 2010

Di fasa ke dua

Ramadhan memasuki fasa ke dua. Dimana diri kita waktu ini. Adakah masih lagi berwalah-walahan. Seperti bulan-bulan lain sebelum ini. 

Friday, August 13, 2010

Ramadhan

Ramadhan mengusung rahmat yang tidak terhempang. Kedatangannya menyimpul barakah. Buat umat Islam, ramadhan adalah hadiah Allah buat hamba yang bertaqwa.  

Monday, August 09, 2010

Suara

Hari ini suaranya masih sama. Seperti hari-hari sebelumnya. Gelak-tawa penuh ceria memecah setiap sisi yang sentiasa mahu berdamping dengannya. Hilang rasa asa yang amat. Seringkali merengkuh dirinya. Mendakap penuh mesra. Membangkitkan nyala rindu kala berjauhan. Dan itulah kuasa cinta.  

Thursday, August 05, 2010

Saturday, July 31, 2010

Misi mustahil


Sedang selongkar dalam poket seluar-seluar lama, kotak-kotak lama, bawah tilam, celah-celah bantal, bawah tikar, bawah peti ais, dalam bekas CD, rak buku, rak kasut, dasboard kereta, buku akaun bank lama-lama, tepi tong gas, dalam almari baju. Ecetra-ecetra. Takut-takut terjumpa 2-3 ribu RM. Dapat juga beli material di atas. Obsesi.

Wednesday, July 28, 2010

Sejak beberapa malam ini ada mimpi-mimpi yang menganggu dengkurku. Entah dari mana datangnya.

Sunday, July 18, 2010

Hari-hari tipikal

Hari-hari tipikal berlangsung seperti biasa. Kerja dikantor yang rigid. Politik nusa masih lagi memualkan. 5 item bersubsidi diselaraskan, seperti yang dilaporkan kerajaan dilidah-lidah media(baca: itu maknanya harga barang nak naiklah bodoh!!!). Rakyat sudah lali dengan kenaikan itu dan ini. Ini dapatlah dilihat stesen-stesen minyak masih lagi 'cool' seperti biasa. Tiada yang beratur panjang. Jadi tiada apa yang baru dalam hidup saya sekarang ini.  Cuma yang bertransformasi dalam kehidupan saya hanya sikecil alya yang kian hantap (dalam loghat perak bermaksud berisi). Hatta opahnya sudah tidak larat mendukungnya dalam tempoh yang lama. Tingkahnya mula pelbagai. Matanya melihat setiap sisi dunia dengan rasa kuiri yang amat. Waima masih belum boleh menutur butir-butir perkataan. Reseptor-reseptornya cukup laju menyentuh apa sahaja yang baru muncul di bebola retinanya. Kini segala barang penting dan bahaya saya letakkan di tempat yang tidak mampu dijangkaunya. Kadangkala lelah juga menjaganya. Namun nyalahati saya tetap merasakan kepuasan dan keseronokan. Ya. Anak kecil yang innocent ini sudah cukup buat hati saya girang. Perasaan seorang ayah amat seni untuk dimengertikan. Itulah yang saya rasai kini. Mungkin lain ayah lain konsepnya. Arwah bapak dulu tegas dan garang orangnya. Arwah adalah pesara polis. Jadi tidaklah jadi kehairanan jika anak-anaknya dididik seperti merekrut pegawai polis. Susah mahu melihat arwah tersenyum. Namun jauh disudut hatinya, kami adik-beradik sedar yang arwah amat menyayangi kami sekeluarga. Tak pernah kami keputusan makanan, belanja sekolah, buku-buku, pakaian. Segalanya cukup dalam kesederhanan. Gaji pegawai polis pangkat rendah berapalah sangat waktu itu berbanding sekarang yang bermacam-macam elaun (tak termasuk elaun kopi saman). Pistolpun berkarat sebab jarang guna. Sekarang ini polis boleh juga main tembak-tembak dengan budak-budak sekolah yang memandu tanpa lesen. Itu cara didikan arwah untuk kami. Berkesan untuk kami, tapi mungkin tidak untuk alya dan adik-adik alya nanti. Mendidik anak di zaman blog, twitter dan facebook ini penuh dengan cabaran. Ditambah lagi seperti saya yang tinggal di metrokota. Sebab itu ramai pakar-pakar motivasi yang muncul untuk merawat penyakit-penyakit sosial yang bercambah. Alya memang masih kecil. Tapi mekanisme didikan yang bagaimana mahu saya terapkan? Kiri atau kanan. Liberal atau pluralis. Mungkin dalam dengkur saya malam ini akan saya perolehi ilham. Ah! kantuk menyerang biji mata saya. Jika tiada ilham dalam dengkur saya, esok seusai solat subuh akan saya fikirkan kembali.

P/S: kami merancang untuk ke i city malam tadi. Bawa alya jalan-jalan tengok lampu lip-lap. Namun apa yang dirancang tidak kesampaian. Suri pula tidak berapa sihat badannya. Jadi program ke i city bertukar kepada program membawa suri ke klinik. Suami mana yang tak sayang isteri. Badrul Muhayat saja yang sanggup pukul bini. 

Friday, July 09, 2010

30 sekadar angka

30 sekadar angka. Simplisitik. Saya mencuba untuk lupakan signifikannya. Apatah lagi menyambutnya macam orang lain. Menyalakan lilin dan menghembuskannya semula. Azam atau matlamat boleh saja kita perbaharui setiap hari. Memang kita hidup dalam zon masa. Namun tidak pada Tuhan. Hanya tuhan sahaja yang boleh bersumpah dengan masa. Hargailah kehidupan. Waima di zon masa mana kita berada. Disemai dengan rasa syukur pada khaliq. 
30 sekadar angka. Simplisitik. Jadi mana signifikannya? 

Tuesday, July 06, 2010

Wanita itu

Dia wanita tegar. Hati dan jiwanya. Sekaligus. Memang kehidupan kadangkala amat sukar. Sukar diterka. Mendidik anak-anak dengan bertemankan kudrat yang ada. Bersendiri cuma. Sekeliling ada yang memandang sinis. Mulut-mulut manusia yang tidak pernah puas mengata itu dan ini.

Dia wanita tegar. Bukan srikandi. Cuma wanita biasa. Macam wanita lain. Inginkan yang terbaik dalam keperitan. Bukan mudah. Namun nyalahatinya tetap kuat. Selagi langit masih biru. Dan matahari masih bersinar.

Thursday, July 01, 2010

Marah

Marah akan buat timbangtara akal di luar kawalan. Syaitan mudah meresapi. Lantas yang jadi mangsa adalah orang lain. Marah, dan teguran punya konotasi yang berbeza. Mungkin saja ia datang dengan keletihan, kala O2 tidak masuk ke otak secara teratur. Tersekat di celah-celah treakea. Marah ini kadangkala datang tanpa bersebab.

Julai?

Julai kembali menyergah. Dengan tanda duga. Apa istimewanya?

Tuesday, June 29, 2010

Esok 30 Jun

Esok 30 Jun. Perancis, Itali, England sudah kembali membawa parut ke negara masing-masing. Di tanahair ini berita 40 ulama' muda masuk UMNO. Harap mereka ini bukan dikalangan ulama yang mengangkat jubahnya dihadapan pemimpin. 

Sunday, June 20, 2010

Dalam kenangan. '2007-2010'

Naratif pendek: Malar malam

Malam itu di hujung kota. Sebuah dunia libur tercipta. Penuh gelora nafsu yang memasung jiwa. Bisik-bisik mungkar meresapi jiwa. Camilla Belle berpakaian ghairah merah, pasti buat si pemandang mahu bersenggama dengannya. Terhoyong-hayang berjalan. Dibawah panahan neon suram. Menuju ke mobil. Seorang diri. Tanpa teman. Ecstesy buat dia nanar. Ada lelaki kaukasia mengajaknya bermukah dikamar mewah tadi. Di kelab. Namun ditolak . Waras akalnya masih berbaki. Malam kian larut. Tiba di mobil ada seekor anak anjing. Buta mata sebelah kirinya. Kaki yang terhinjut-hinjut. Menggasel pada mobilnya. Lalu timbul nyala simpati. Teringat Camilla Belle ada sisa roti dalam mobilnya. Diambil dan diberi pada haiwan malang itu. Diletakkan ketepi anak anjing itu. Sebelum Camilla Belle gegas menghidupkan injin untuk pulang. Meluncur meredah malam. 

Tuesday, June 15, 2010

Naratif pendek

Hari ini perjalanannya seperti biasa. Seperti hari-hari sebelumnya. Lembaran yang sama. Tanpa tanda duga. Di dinding penuh dengan conteng-conteng. Garis-garis halus yang berselerak. Langsung tidak menarik.  Dia masih terbaring di situ. Di kaki lima tempat lalu-lalang. Menunggu jika ada siapa sudi memberinya sarapan pagi. Pengemis pasti dipandang pada sisi hina. Sepertinya. Namun dia masih tersenyum. 
Hari ini perjalanannya seperti biasa. Tanpa tanda duga.

Sunday, June 13, 2010

Gula


Masih terpakaikah hukum permintaan lawan penawaran waktu stok gula dipasaran sedang meruncing. Gula adalah barang kawalan. Harganya masih tetap sama, dan selagi subsidi masih ditanggung kerajaan, rakyat seluruh pasti menikmatinya. Bagi marhaen, susah mahu mengcongak gerak-tari dan keluk-keluk pasaran.  Mungkin rakyat kena berubah selari dengan kempen kerajaan, 'satu sudu sudah cukup'. Atau lebih baik tak payah bergula langsung. Kalau mahu teh dan kopi ada manis-manis gula, boleh cuba mencari alternatif lain dengan menggantikannya dengan gula icing, gula batu, gula merah atau gula kabung.
Koma.
Sore ini hampir setiap kedai berhampiran saya lewati. Bertanyakan gula barang sekampit dua. Namun apa yang saya dapat hanya peluh yang menitik. Bagus juga bagi yang kurang bersenam macam saya ini. Akhirnya saya gantikan sekampit gula dengan setin susu pekat manis kesukaan ramai, susu f & n.

p/s: gambar di atas sekadar hiasan.

Saturday, June 05, 2010

Marmara

Misi Mari Marmara telah berakhir. Kegagalan bukan noktah pada perjuangan yang berterusan. Menentang rejim zionis adalah pejuangan hingga keakhir dunia. Peluru zionis tidak pernah mengenal antara misi bantuan atas nama kemanusiaan dengan pengganas. Akhirnya 16 orang syahid dalam misi tersebut. Dunia hanya mampu mengutuk. Dan suara-suara keji ini didengari israel dengan gelak-tawa. Mesir pula lebih dekat kepada firaun daripada sebuah negara Islam. Hosni Mubarak pula ibarat ramses yang menghalau Musa ke laut merah. Tiada harap lagi bagi umat islam dari mesir yang kini sedang asyik memeluk piramid-piramidnya yang kaku.
Noktah.
MV Rachel Corrie, kapal terakhir yang membawa bantuan kemanusiaan ke kawasan Gaza yang dikepong Israel, bersama sekumpulan aktivis damai termasuk enam dari Malaysia, telah dirampas oleh Pasukan Pertahanan Israel pada kira-kira 2.45 petang (waktu Malaysia) hari ini - Malaysiakini-

Saturday, May 29, 2010

China.

China. Negara pengeluar segala macam barang-barang tiruan, imitasi dan replika. Namun tanpa sedar China juga punya atlet-atlet sukan yang boleh diekspot ke negara-negara lain. Stok atlet-atlet ini terlampau ramai dan tidak mampu bersaing sesama mereka. Jadi cara mudah untuk mengembangkan bakat dan rangsangan kewangan peribadi, atlet-atlet china akan bermain atas tiket negara yang menganugerahkan kerakyatan tetap kepada mereka. Singapura contohnya. Boleh katakan semua atlet ping-pong singapura punya asal dari republik rakyat China. Di negara kita persatuan-persatuan sukan masih bergelut. Sedangkan di China persatuan mereka sudah jadi kilang mengeluarkan atlet-atlet muda yang punya bakat besar.

Friday, May 28, 2010

Subsidi

Subsidi untuk rakyat akan ditarik secara berperingkat. Persatuan-persatuan penggunapun ada yang setuju. Kata yang punya kuasa dalam negara, negara akan bangkrap jika kerajaan terus -menerus memberikan subsidi kepada rakyat.
Noktah.
Tuk wan, opah, pakcik, makcik yang saban hari membanting tulang, kesawah bendang, ke estet, kebun dan dusun, bergelumang lumpur, nelayan yang melayan mentari yang meremang. Mereka marhaen yang tidak mengerti naik turun indeks pasaran saham, bailout, sukuk, borang BE, dan kadar tukaran mata wang. Mereka akan mengeluh waktu mahu membeli gula, tepung, petrol, setelah diberitahu taukeh kedai bahawa barang-barang ini naik harga. Oo....dah naik rupanya. Mereka tidak tahu berdemo mengangkat sepanduk. Cuma waktu pilihanraya sahaja mereka mendengar gegak gempita calon berjanji begitu-begini. Usai pilihanraya setelah disogok dengan rasuah pembangunan, mereka pulang ke rumah seperti biasa. Meneruskan sisa-sisa kehidupan yang tinggal sisa-sisa sahaja.
Noktah
Kata kepala negara, mahu jadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi. Tinggikanlah dulu pendapatan isi rumah sebelum ditarik subsidi-subsidi ini. Mereka marhaen yang tidak mengerti naik turun indeks pasaran saham, bailout, sukuk, borang BE, dan kadar tukaran mata wang.

LOST : FINAL CHAPTER


6 tahun penuh teka-teki sudah dihujung. Namun tidak semuanya terjawab. Masih bersarang lagi persoalan. Itulah penangan ‘lost’. Selama 6 musim siri tv ‘lost’, telah menarik jutaan penonton serata dunia. Membawa penonton mengikuti pengembaraan para penumpang Oceanic 815 dengan penuh persona dan tandatanya. Lost telah melabuhkan sauhnya. Bersama naratif yang pasti diingati. Kita pasti merindui watak-watak tegar dalamnya. Dr jack shepherd dan kate austen, hugo, sawyer dan sayid, sun dan jin, john locke, ben linus dan desmond, Charlie dan Claire, Juliet, miles, Richard, Lapidus, Charles widmore, Jacob, Daniel faraday etc.

Noktah

p/s: Ketika ramai yang masih ternanti musim terakhir siri tivi lost di kaca tivi Malaysia, aku sudahpun usai menontonnya.

Thursday, May 27, 2010

Rumah

Siang tadi aku dan suri ke pejabat peguam di puchong untuk tandatangan ‘SNP Agreement’ rumah kami yang akan kami beli. Serasa kami, sudah sampai masanya untuk kami tinggal di rumah sendiri. Punya rumah sendiri adalah impian sesebuah keluarga. Untuk hidup lebih selesa, waima kewangan kami sekarang ini tidaklah semewah mana. Tapi insyaAllah selepas 3-4 tahun keadaan kami akan stabil. Itu jangkaan kami, selebihnya kami serahkan pada Azzawajalla. Memang banyak masalah yang timbul. Kadangkala memeningkan kepala. Bicara soal wang ringgit yang tak cukup. Mujur ada sedikit tabungan dan bantuan dari keluarga. Dapat juga menampung mana yang kurang. Namun keputusan telah kami ambil. Mungkin tidak akan berpatah balik. Kami melihat semuanya untuk jangka masa panjang setelah menilai pro dan kontra. Segalanya belum selesai. Urusan pinjaman belum berjalan lagi. Kemudahan pinjaman perumahan untuk kakitangan kerajaan memang banyak karenah birokrasinya. Sudah sinonim denagn tanggapan masyarakat bahawa berurusan dengan jabatan kerajaan adalah sangat lembab dan memakan masa yang panjang. Mentaliti yang masih berlarutan.
Noktah.
Segalanya masih belum selesai. Masih banyak yang perlu diuruskan. Cuma kami memohon dari Allah agar dipermudahkan segala urusan kami. Amin…..

Belum juga ku katakan pergi

Saat memugar cinta dengan rindu yang amat
Tidak ku katakan pergi
Selain kata jujur penuh pengharapan
Mengharap yang sempurna
Walaupun tidak seindah syurga
Cukuplah kau tahu
Bahawa cinta ini berbalas rindu
Menguntum di pinggir bibir
Mekar di anjung nurani

Belum juga ku katakan pergi
Selagi jiwaku bersamamu
Menghilang segala resah dan lelah
Ke akhir hayat ini
Tetap teguh dibajai kasih

Saat memugar cinta dengan rindu yang amat
Belum juga kukatakan pergi

Kerongsong

Dalam sendirian ini seringkali aku berfikir hal diri yang acapkali dipagut dengan kerongsong masalah yang berkelintar. Mendepani diri. Datang juga rasa putus-asa serta segala macam sesal. Tuhan menguji hambanya dengan pelbagai cara. Kadangkala lama aku berteleku di atas sejadah mencari kekuatan. Istighfar sebanyak mungkin. Moga Allah berikan penyelesaian kepada setiap rona masalah yang menyelubungi diri. Mungkin ada hikmah yang bersembunyi dari pandangan yang mujarrad.

Sunday, May 23, 2010

Daripada duit haram judi ini terbang kepada kongsi-kongsi gelap, maupun cerah, baik dihalalkan dengan diberi lesen kepada taukeh judi berlesen. Itu kata mereka. Firman Allah:

“Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada kedua-duanya itu ada dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya.” (al-Baqarah: 219)

Saturday, May 22, 2010

“Ya Haiyyum, Ya Qayyum, dengan rahmatMu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata” (Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...