Monday, May 16, 2011

Walimah Ida + Nik | 14-15.05.2011 | Part 1



Kami sekeluarga menghadiri walimah sepupu saya Ida, dan pasangannya Nik. Orang 'kelate' ini menjadi suaminya. Segak bergaya berkaca mata 'ray ben' hitam.Suasana panas tanpa hujan buat majlis berlangsung dengan lancar. Kami doakan Ida serta pasangan dipayungi rahmat sebagai suami isteri, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, dan tautan kasih kekal sepanjang hayat. Dunia di akhir zaman. Eloklah sangat untuk mendirikan rumahtangga. Takut-takut tidak sempat merasa nikmat sebagai suami isteri.

Monday, May 02, 2011

Hari Buruh 2011

Aktiviti 1 mei diisi dengan melawati gedung dan pasaraya. Biasanya pada tarikh ini akan ada saja gedung dan pasaraya yang menawarkan harga-harga yang menarik. Harga susu dan lampin pakai buang pada hari ini lebih murah dari hari-hari biasa. Begitu juga dengan barang-barang dapur yang lain. Mungkin ini tindakan yang bijak pada kami.
KOMA
Usai membari belah langsung pula kami membawa si kecil ke taman bersebelahan masjid Sultan Zainal Abidin Putrajaya. Di sini kami biarkan alya bebas berlari, kami biarkan dia jatuh, kemudian bangkit bangun semula. Begitulah kehidupan yang akan dia hadapi kemudian hari nanti. 
KOMA
Di bawah sempat saya rakamkan beberapa gambar dari lensa kemera saya.

Thursday, April 21, 2011

April yang sebuk

April bagaikan perayaan besar di pejabat saya. Meriah dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang datang dengan rasa tanggungjawab pada negara, ada juga yang datang lantaran terpaksa dan mengharapkan april tidak akan muncul pada tahun ini. April juga waktu saya ketemu semula dengan rakan-rakan lama saya. Ada yang menelefon, ada juga yang terus bersua muka menemui saya di kantor. Pastinya mereka datang dengan niat yang satu. Semuanya berkenaan dengan cukai. Jika dikenakan 'fees' mungkin saya dah boleh buat duit muka civic hibrid atau prius. 'boleh tolong dapatkan no-pin tak', 'tolong resetkan password', 'checkkan  refund aku bila boleh dapat', 'check nombor cukai', 'buatkan e-filling', ecetra ecetra. Namun kadangkala melayan mereka-meraka ini, menguntum senyuman di tubir bibir saya. Sudah memang kerja saya memberikan perkhidmatan dengan sedaya yang termampu. Ada rakan di tempat kerja lama saya dahulu menelefon saya bertanyakan berkenaan status cukainya. Ujarnya pada saya dia amat takut berurusan dengan jabatan kerajaan, tambah-tambah lagi dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Stigma bahawa orang-orang kerajaan ini garang-garang. Saya tersenyum digagang apabila dikatakan kami-kami ini garang-garang orangnya. Saya katakan padanya, datang saja ke mana-mana cawangan mesti ada pegawai yang sedia membantu dengan senyuman. Saya katakan pada rakan saya itu kebiasaan yang berlaku adalah sebaliknya, selalu kami yang kena marah, sindir dan maki hamun. Pengarah saya ada berpesan, bawa pensil apabila bertemu dengan pelanggan. Sekiranya dimarahi, lepaskan saja geram pada pensil tersebut. Namun tips tersebut belum saya amalkan lagi. 
Koma.
Tinggal cuma 8 hari. Jangan tunggu hingga di saat-saat akhir. Namun dari pengalaman tahun-tahun sebelum ini. Makin suntuk waktu, makin ramai yang berkunjung ke kaunter atau kiosk e-filing. Mungkin ada yang suka menghantar di hujung-hujung waktu. Makin ramai makin meriah, makin bersemangat. Itu pelangan, petugas pula macam mana. Lenguh segala sendi, tekak pula kering. Jika mahu juga datang di saat-saat akhir, datanglah. Tidak pula kami menghalau. Tunaikanlah tanggungjawab pada negara. Kami sedia membantu.
Noktah




Monday, April 11, 2011

Menuju Senja


Menuju senja dari anjung flat tempat saya tinggal. Sebahagian besar kawasan ini penuh dengan binaan-binaan kediaman yang tinggi. Tempat tinggal penghuni metrokota dari kelas pertengahan dan bawahan. Nun di jalanan sana trafik sesak dengan manusia mahu pulang. Senja menuju malam. Pulang kedestinasi hati. Melepas lelah selepas seharian mencari rezeki.


Sunday, April 10, 2011

Siri bangun pagi : Nur Alya



Bangun pagi dengan lafaz alhamdulillah. Syukur tuhan masih segar menghirup setiap helaian nafas anugerah-Nya. Lebih indah lagi kala kita bangun dari tidur, di sisi kita hadir insan yang amat-amat kita sayang.
KOMA
Untuk gambar kali ini, saya cuba bereksperimen dengan ISO yang tinggi untuk menghasilkan kesan 'noise'. Kemudiannya saya berikan sentuhan 'photoshop' dengan tambahan perencah dari 'topaz filter'.

Sunday, April 03, 2011

Menanti penuh sabar


Kami masih menanti dengan penuh sabar. Memiliki sebuah kediaman milik sendiri ternyatanya bukan semudah yang disangka. Sungguh banyak perkara perlu diambil kira, diperhalusi sebelum keputusan terakhir yang harus dibuat. Moga Allah mempermudahkan segala urusan. InsyaAllah disinilah tempat saya dan suri mendidik anak-anak kami, yang kini baru sikecil Alya mengisi jantung hati kami. Mahukan sebuah kehidupan yang sederhana namun membuhul berakah Tuhan. Itu yang lebih utama. Memang jika dibuat kira-kira, belanja bulanan kami kian mengecil tapi masih terkawal. Tidak boleh boros atas benda-benda yang tidak beberapa penting, D7000 contohnya.Itupun bergantung pada kerajaan yang memerintah bagaimana mengawal inflasi dan kenaikan harga barang. Marhaen macam kami ini cuma boleh berjimat, waima ada yang di atas sana wewenang menghabiskan wang pembayar cukai.

Tuesday, March 29, 2011

Walimah Ahmad Rizal dan teman-teman lama



20 Mac yang lalu saya, suri dan alya berkesempatan berkunjung ke walimah rakan baik saya sdr Ahmad Rizal dan surinya Naz, juga rakan sekampus saya dahulu. Waktu ini adalah waktu yang terbaik untuk ketemu dengan teman-teman lama yang sekian lama tidak bersua muka. Membuka cerita-cerita lama. Disamping lembaran-lembaran baru dalam hidup. Kebanyakkan daripada kami telah berumahtangga, juga sudah beranak-pinak. Mungkin suatu hari nanti, bila semua kami-kami ini sekaliannya sudah berumahtangga, tiada lagi walimah tempat kami ketemu. Zaman berubah, musim bertukar. Kehidupan terus berjalan. Masing-masing sudah memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Wednesday, March 23, 2011

Mencari 'mood'




Sudah hampir di hujung bulan mac 2011. Baru muncul entri pertama bulan ini. Desakan kerja buat rangsangan untuk mem'blog' kian terbatas. Kursus, mesyuarat, tugas-tugas di kantor yang penuh ruwet. Pelbagai karenah. Aneka masalah. Belum dicampur dengan urusan rumah yang masih belum selesai di pihak peguam, bahagian pinjaman perumahan dan jabatan penilaian harta. Lelah juga rasanya waktu didera fizikal mental ini. Namun alhamdulillah, waktu sulit begini juga kita hampir dengan pencipta. Memohon dipermudahkan segala urusan. Percayalah setiap yang datang pasti turut serta bersamanya hikmah yang tersembunyi.
Noktah.
Bulan ini juga jepun dilanggar tsunami besar. Angka korban mencecah ribuan. Namun tiada siapa yang dapat melawan takdir Tuhan. Alam yang sentiasa patuh kepada penciptanya. Betapa kita ini kerdil disisi-Nya. Di nusa, tsunami politik tak pernah surut. Drama politik ini makin panjang plotnya, sudah jadi telenovela. Muncul pula video seks terbaru dikaitkan dengan Dato' Sri Anwar. Politik nusa kita kian menjijikkan dan memualkan. Tidak berani berlawan secara berdepan, berhujah dengan berlapang dada. Jalan kotor yang dipilih. Rakyat sudah pandai menilai. 

Sunday, February 27, 2011

Siri foto jalanan | KL 23.02.2011 bhgn 3

Ketika ramai yang terdampar di jalanraya, ada setengah mereka melintasi trafik dengan enak dan mudah tanpa gusar kesesakan di depan. Diiringi dengan sepasukan penguatkuasa yang bingit membunyikan siren.
Pakcik gelandangan ini enak lena di kerusi awam. Waktu pagi yang sebuk, di tengah-tengah metrokota, si pakcik beradu tapan segan. Yang penting rasa kantuk matanya perlu dilunaskan.

Tiada hinanya makcik ini dengan kerjanya. Daripada mereka yang punya pangkat, bisnes besar namun ringgitnya hasil dari sumber yang meragukan.

Pakcik buta. Sedang memerhatikan seputar dengan mata hatinya.

Merehatkan mata sebelum sampai kedestinasi hati. Mungkin itu ubatnya.

Bahagian akhir foto jalanan kuala lumpur 23.02.2011 yang lalu. Alhamdulillah telefon bimbit saya kembali berfungsi seperti sediakala (lihat entri sebelum ini). Ini sebahagian foto-foto yang saya sempat rakamkan. Masih belum lagi mahir. Tapi cukup sekadar suka-suka. Inilah hasilnya yang tidak seberapa.

Siri foto jalanan | KL 23.02.2011 bhgn 2







Siri foto jalanan | KL 23.02.2011




Tuesday, February 22, 2011

Misi baik pulih


Misi baik pulih esok pagi. Entah kenapa imej di atas ini tiba-tiba pula tidak berfungsi. Nol. Ikutkan belum sampai dua tahun saya memilikinya. Ujian tuhan. Tuhan kadangkala uji kita dengan sesuatu yang kita sayang. Harap-harap esok imej di atas ini akan berfungsi seperti sediakala. Namun untuk buat imej di atas ini berfungsi semula, ada harga yang perlu dibayar. Mana ada yang percuma dalam zaman 1 malaysia ini.
Esok juga misi solo foto jalanan saya. Saya akan menaiki tren awam dari stesen elarti bandar tasik selatan menuju ke ibukota. Nanti akan ada gambar-gambar baru yang akan saya rakamkan.


Tuesday, February 15, 2011

Pancur



Taman KLCC | 12.02.2011




Selepas banjir di selatan dan timur tanahair mulai surut, cuaca kian memijar. Panas dan kering pula menerima baton dari musim tengkujuh. Namun begitu dalam keadaan cuaca sebegini bermacam aktiviti boleh dilakukan. Bagi yang berkeluarga dengan aktiviti keluarganya. Yang bujang pula dengan cara mereka. 
Kami bertiga menjengah ke taman KLCC usai dari berkunjung ke aquaria. Niat dihati mahu membawa si kecil mandi kolam di sini. Namun kami batalkan saja niat itu. Cuaca terlampau panas. Takut-takut demam pula nanti. Jadi kami biarkan se kecil alya berlarian di bawah redup rimbunan pohon-pohon dan hamparan rumput-rumput hijau.

Sunday, February 13, 2011

Aquaria KLCC | 12.02.2011




Sebahagian dari rakaman lensa saya ketika berkunjung ke aquaria KLCC. Membawa suri dan sikecil meneroka hidupan marin yang perbagai. Riak sikecil alya membutir rasa gembira. Retinanya yang  kadangkala tidak berkelip menikmati panorama yang terhidang  buat pertama kali dalam hidupnya. Subhanallah, Maha suci Allah. Sungguh kerdil kita di sisi Khaliq apabila menikmati ciptaanNya yang pelbagai, mengundang juga rasa kagum, dan syukur. Di sini kami cuma menikmati sebahagian kecil sahaja dari sekalian makhluk Allah dari perut lautan. Masin airnya. namun disitulah kita jamah ikan yang manis isinya,  yang datang dari perutnya yang maha luas. Subhanallah. maha suci Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...