Sunday, September 23, 2012

Rehlah Port Dickson







Dengan bajet yang ala kadar saya dan suri membawa dua orang puteri ber'rehlah' ke Port Dickson. Dua jam perjalanan dari rumah kami. Menginap di 'Thistle Hotel'. Hotel yang agak 'ok'. Kolam renang yang besar, dan kawasan pantai yang cuma esklusif untuk penginap. Melihat anak-anak menzahir rasa gembira pada wajah mereka adalah satu nikmat yang tidak terhingga.
Dari bilik hotel tingkat 4 ini, pantai dan kolam seakan memanggil kami. Adrenelin si kakak Alya sudah tidak boleh dikawal lagi. Terhidang ujana mata, mana dapat ditahan-tahan.

Tuesday, September 18, 2012

Permulaan untuk satu perjalanan


Suatu yang tipikal, ibubapa akan sentiasa memilih yang terbaik untuk anak-anak. Ekspetasi anak-anak zaman ini cukup tinggi. Kami punya beberapa pilihan sebenarnya untuk Nur Alya. Kemudian disenarai pendek, dan akhirnya kami memilih Children Islamic Centre. Setelah melihat sendiri tempatnya, modul dan silibus, serta guru-gurunya kami rasa ini yang terbaik. Lokasinya pula hampir dengan kediaman kami. Kos yuran bulanan agak mahal untuk sesi pagi sampai petang (pakej zamrud). Namun bukanlah duit soalnya jika mahu berikan yang terbaik. Anak-anak bukan bebanan, bukan juga aset untuk mengaut keuntungan, dengan alasan boleh beri ibubapa kekayaan jika berjaya kemudian hari nanti. Anak adalah tanggungjawab. Anak adalah pencen kubur kita. Kami mahu, seperti kata Dr Muhaya mendidik anak supaya jadi  ahli syurga. Matlamat hidup untuk mendapat redho Allah, bukan redho manusia.
Noktah
Tanpa sedar, betapa pantas masa berjalan. Alya kian membesar, kami pula kian dikunyah usia. Alya akan meniti usia seperti kami. Pergilah berkelana atas nama Allah. Cuma pesan kami, jangan lupa titipkan secangkir doa buat kami kelak.

Friday, September 14, 2012

Biru langit sore



Rakaman ini cuma dari telefon pintar milik saya. Terpana dan terpesona dengan langit sore nan biru selepas hujan merintih. Saya cari sudut yang sesuai untuk merakam suatu yang cantik dari mata amatur saya.
Biru warnanya.

Monday, September 10, 2012

Figura | doraemon


malam ini kita buka cerita. cerita anak-anak lipurlara. tanpa dendam dan iri. segalanya indah. lalu cerita di buka. menagih dari bab demi bab. untuk tahu akhirnya. dari poket ini riak riangnya, tepuk tangannya. menadah untuk melupa saat genting.
malam ini kita buka cerita. hingga dengkur yang terakhir.

Monday, September 03, 2012

Majlis Pernikahan | 23.08.12 | 5 Syawal 1433h










Syukur segalanya berjalan lancar. Ringkas saja majlisnya. Namun bagi saya majlis ini sudah bertaraf epik. Pasangan yang jika dicampur usia kedua-duanya adalah melebihi 100 tahun. Tanya suri kepada saya 'apa perasaan pasangan sudah berusia yang berkahwin buat pertama kali dalam hidup sama seperti pasangan muda-mudi?'. Saya diam, tapi saya jawab pertanyaan suri dengan senyuman. Kepada pakcik Leman, selamat melayari kehidupan suami isteri. Moga berbahagia. Hargai setiap saat yang datang. Kami anak-anak buah dan cucu-cucu tumpang gembira. 

Tahlil | 22.08.12 | 4 Syawal 1433h





Cerita malam syawal ke-4. Tahlil kecil-kecilan sempena pernikahan bapa saudara kami yang tercinta, pakcik Leman. Tak sangka juga adik lelaki emak ini bakal menamatkan zaman bujang takkala sudah berpangkat tuk 'Yang' pada cucu-cucu saudaranya. Kerja Allah penuh rahsia. Raut wajahnya bersimpul dengan debaran menunggu hari esok.

Monday, August 27, 2012

Syawal 1433h | Irdina si mata bulat



Si mata bulat menyambut syawal pertamanya. Senyuman yang penuh. Memenuhi piala hati. Sekeping hati tulus. Tulus ikhlas. Ikhlas merekah jiwa. Jiwa yang tenang. Tenang air di kali. Air yang dingin. Dingin yang asyik.

Syawal 1433h




Ramadhan akhirnya melabuhkan tirai. Syawal pula mengambil tempat. Seperti biasa ada rakaman lensa dari kami. Tahun ini sudah bertambah seorang lagi. Tahun depan siapa tahu.

Saturday, August 04, 2012

Dari Kuala Lumpur ke bumi Mesir

Sebelum berangkat

Mak dan Zaki

Lorong yang memisahkan kami

Selamat tinggal

Dari raut wajahnya saya yakin dia bakal jadi seorang da'i. Sungguh saya yakin sepenuh hati. Seluruh al-Quran sudah di hati. Cuma kini mahu dimantapkan lagi. Bumi Mesir yang diberkati tuhan. Bumi Musa dan Yusuf. Bumi lahirnya Ikhwanul Muslimin. Bumi revolusi Tahrir. Kocak Nil dan puing-puing piramid. Tinta tidakkan cukup jika mahu ditulis sejarahnya satu-persatu. 
Allah, berkatilah anak ini, seperti Engkau berkati bumi mesir sekian lama dahulu.

Monday, July 30, 2012

Ini kalam Allah


Tahun ini tiada entri awal menyambut Ramadhan Kareem. Namun tiada langsung niat dihati ini menidakkan kedatangannya. Nyatanya Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan. Alhamdulillah esok masuk hari yang ke-11 berpuasa. Syukur masih lagi diberi peluang meneguk sumur segar penuh barakah dibulan mulia ini. Amal sepatutnya sudah kian cergas, bukan bermalasan lagi. 
Tahun pertama ramadhan di Tasik Prima. Alhamdulillah surau untuk ahli karyah di sini sempat juga merasa menunaikan solat fardu  dan tarawih, waima pembinaannya masih lagi berjalan, manakala kosnya pula masih lagi kurang. 
Ramadhan kali ini dihidangkan dengan santapan ujian sukan olimpik. Manakala pasukan dari liga inggeris sebuk pula nak adakan perlawanan persahabatan dengan tim negara. Namun saya cuba bersangka baik pada peminat sukan tanahair. Puasa dan terawih harap tidak dilupakan. Amin..
Ramadhan kali ini saya cuba istiqmahkan diri mentaddabbur al-Quran, bukan setakat khatamkannya. Membaca beberapa helai mukasurat sehari berserta terjemahan. Mengambil ibrah daripada-Nya. Moga Allah membantu. Amin.
Syukur Allah atas nikmat ini. Nikmat Ramadhan yang tidak terhempang arus rahmatnya. Telah banyak Allah mengabulkan doa-doa insan kerdil ini. Waima sebahagian besar doa-doa yang dititipkan telah dilupai. Maha besar Allah. Hamba-Mu ini tunduk malu pada-Mu. Ya rabbil a'lamin.

Saturday, July 14, 2012

selamat malam 14 julai 2012


Gambar penutup malam ini. Dingin saja cuacanya. Siang tadi jenuh dengan aktiviti luar. Dua puteri telah pun beradu. Esok masih banyak sisi dunia untuk mereka teroka. Moga segalanya dapat mencerna akal fikir. 

Thursday, July 12, 2012

Belon


Tiada 'posting' yang mencerna minda. Cukuplah belon-belon ini jadi peneman malam jumaat.

Wednesday, July 11, 2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...