Taruhkan bibirmu di tubir langit
Kalungkannya di jantung malam
Biar tersenyum ujana alam
Mendengar rentak irama mendayu-dayu
Memujuk dan memeluk daku
Dari nyala api rindu
Tuesday, September 04, 2007
Saturday, August 25, 2007
Bukan mahu mencorak mimpi. Mencagar impian. Merenung masa depan atau masa lalu. Tidak semestinya semua itu hadir dalam hiruk-pikuk dunia atau apa sahaja yang datang menyelimuti ruang-ruang batini. Waima betapa hebatnya gelora sukma. Terbang melayang mengikut arah pawana, paksina maupun daksina. Ilusi dan realiti, dunia bawah sedar. Saling bersambung…..kemudiannya….
Thursday, August 23, 2007
Buku Nota
Sebuah buku nota. Tertulis beberapa aksara. Tempat memutus sepi. Kala malam gelap dan terang siang. Juga terangkum sejuta puisi. Rasa yang canggung. Berpusar dilubuk nyali. Apa itu? Secangkir kopi, sepinggan nasi goreng kampung, semangkuk salad mayonis. Rona yang mengisi tembolok. Duduk di atas bangku konsumer sesat. Bersebelah perempuan berambut koyang. Menyambut dengan senyuman goda. Catatan nota hari ini. Sepanggung di laman metro. Wayang gambar. Cerita tembak-tembak. Dicatat lagi. Hujan lebat di luar. Angin bertiup kencang. Tanah jadi lecah. Terperangkap. Mujur disisi ada buku nota. Dan perempuan berambut koyang.
Wednesday, August 15, 2007
Kemalangan

Nahas jalan raya terburuk dalam sejarah negara itu sekali gus menimbulkan semula persoalan berhubung isu pemandu yang mempunyai kesalahan trafik berulang, tetapi masih ‘bebas’ memandu kenderaan awam.
i Balasungkawa buat keluarga mangsa tragedi kemalangan maut bas ekspres pada dinahari 13 ogos lalu. Biarpun apapun polemik yang timbul ekoran kemalangan tersebut, kuasa takdir melebihi dari segala apa yang kita fikirkan. 20 mangsa tersebut telah dipanggil Tuhan. Tuhan yang mereka dan kita percaya tidak kira apa jua agama yang dianuti. Hingga kini kesalahan mahu di cari. pemandu bas yang punya saman trafik dan waran tangkap (juga salah seorang dari 20 mangsa yang terkorban), atau kelemahan pihak berkuasa, atau kegagalan syarikat bas itu sendiri. Yang pastinya kemalangan adalah lumrah di jalanraya waima betapa canggihnya sistem aliran transit kita. Ibarat kubur yang bergerak tanpa nesan. Kemalangan akan terus berlaku, terutamanya apabila tiba musim-musim perayaan, semacam sudah jadi virus yang bersarang di dalam tubuh pengguna jalanraya. Tragedi ini pasti bukan yang terakhir. virus ini pasti kan menyerang lagi, cuma masanya yang tiada dalam jadual perjalanan kita. Kemalangan adalah kerja takdir. Bila ia datang kita tidak dapat mengelakkannya kendati betapa bersopan santunnya kita dijalanraya. Tapi dengan kewaspadaan kita boleh mengurangkan risiko kemalangan terutamanya yang mengakibatkan kematian.
ii Aku kemalangan pagi semalam waktu ke kantor. Alhamdulillah tuhan masih sayangkan aku, untuk aku mengkoreksi diri, melihat jauh-jauh kesukma betapa saban waktu diri ini berkelintar dengan dosa-dosa, dan mahu hamba yang hina-dina ini menadah tangan kelangit memohon segunung ampun. Doktor bagi cuti dua hari. Dua hari untuk menginsafi diri. Dua hari untuk muhasabah diri. Syukur Tuhan aku masih diberi peluang oleh-Mu. Mengecap nikmat nafas yang diberi-Mu.
Sunday, August 12, 2007
The Simpsons

kisah keluarga simpsons (bukan samsons!). homer, marge, bart, lisa, dan meggie serta seputar kehidupan penduduk di springfield. kisah bermula apabila homer menjadikan seekor babi sebagai haiwan peliharaannya dan tindakannya membuang najis babi ke dalam tasik takkala orang ramai dilarang mencemarkan tasik tersebut mengundang petaka yang dahsyat. springfield di kuarantin pihak berkuasa di dalam kubah kaca, dan dari sini terpampang betapa jeliknya politisi menggunakan isu ini untuk kepentingan sendiri. bagi menebus kesalahannya, homer perlu menyelamatkan springfield daripada bencana yang dibuatnya sendiri.
nyatanya kisah ini buat aku letih. bukan sebab durasinya atau plotnya. tapi aku letih sebab dari awal montaj 20 century fox hingga ke penghujung cerita aku ketawa terbahak-bahak. simpson adalah satira yang menghiburkan waima tidak selancang south park. takkala banyak filem animasi di 3dkan, simpsons datang dengan gaya klasik dan ia nyata berjaya.
Tuesday, August 07, 2007
Derita Dalia
Dalia Hussein hanya seorang kanak-kanak tipikal di selatan lubnan. Usianya baru menyergah tujuh 6 tahun. Cerdik budaknya. Jika di Malaysia, anak kecil ini mungkin sedang seronok menikmati kehidupan alam kanak2nya. Ke sekolah, ke taman, mungkin juga punya harapan menggunung untuk masuk universiti atau jadi atlit sukan. Malangnya lubnan tidak seperti kita di sini, dan bom israel tidak pernah menanya berapa usia anak ini. tiada siren amaran. Bom tetap dengan sifatnya. Merobek setiap jiwa yang tidak bersalah. Syukur Dalia masih hidup. Syukur jurugambar media, Mahmud Zayat mendapati Dalia masih bernafas di rumah sakit. “Dia dibaringkan di atas pengusung. Kain yang menutup seluruh tubuhnya kelihatan bergerak lemah. Dia masih bernafas,” katanya sambil mengingati kejadian itu. “Saya mengambil gambar dan memanggil doktor, untuk memberitahu Dalia masih hidup.”Kini sudah hampir setahun tragedi itu berlaku. Bangun dari kematian bukan mimpi muluk untuk dikenang. Dalia kembali kerumahnya di perkampungan kecil Bazuriya setelah menerima rawatan berterusan di Itali. 6 pembedahan dilalui dalia di bergamo itali, namun dalia tidak sembuh sepenuhnya. Dalia cacat, dan kecacatan itu mungkin kekal sepanjang hayat. Syukur Dalia masih sedar dan boleh mengenali ibu bapanya, kakak dan abang kembar yang kini berusia 13 tahun.
Dalia cuma secebis kisah malang kekejaman israel. Tangisan ini bukan cerita baru. Ia cerita lama yang entah bila akan berakhir. Dan adik kecil Dalia bukan insan terakhir yang menjadi mangsa peluru dan bom israel berhati batu.
Mengenang Dalia Hussein terasa runtun perasaan ini, sebak dada ini. Mungkinkah kita di sini begitu jua.
Sunday, August 05, 2007
Aku Ini Binatang Jalang
Kalau sampai waktuku
Kumau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi.
Chairil Anwar
Sisi Sebuah Perjuangan
Titis perjuangan yang bergulir desingan mesiu
Lalu gegak gempita alam menyulam langit hitam dan merah darah
Bertahun-tahun bersandar di bangku kebenaran
Maka apa yang bisa dipertahankan
Atau dalam rela melepaskan
Sedang tirani mengenggam nyali
Dan muncung benet hampir menusuk halkum
Apalah lagi yang tinggal
Dalam kesia-siaan ini
Di bawah langit nirmala
Tanpa gusar
Di sisi perjuangan
Tanpa noktah
Menyeru sukma merdeka
Friday, August 03, 2007
Camar
Wednesday, August 01, 2007
10 Steps to Becoming a Better Writer
- Write.
- Write more.
- Write even more.
- Write even more than that.
- Write when you don’t want to.
- Write when you do.
- Write when you have something to say.
- Write when you don’t.
- Write every day.
- Keep writing.
by Brian Clark
Sunday, July 29, 2007
Haru-Biru
Memang filem ini haru-biru. Mainan kamera yang amatur, kelam, murung, goyang sana goyang sini. macam filem murah tak cukup bajet. Gambar pula ala-ala filem-filem awal 80-an, taxi driver, raging bull, azura, ali setan etc. Rasa aku kualiti drama swasta tv seribu kali bagus dari ini. Ah! nama filempun dah haru-biru.
Cuma aku rasa filem jujur. watak-wataknya cuma orang-orang biasa seputar kehidupan kita. Dan cerita melayu ini juga dah pandai sebut f**k.!!!Waima perkataan itu dipotong (alah macamlah penonton ni dungu) waktu adegen si ariana sedang marah dengan kid 'kau cuma nak f**k aku, f**k dia dan f**k semua orang. Lagi satu aku suka lakonan que sebagai kid, mat dadah yang haru-biru, intonasi suara laloknya memang menjadi.
Haru-biru memaparkan sisi gelap kehidupan remaja metrokota; dadah, arak dan seks, mencipta syurga kosmetik. Siapa mahu jadi malaikat ditengah syaitan dan nafsu merajalela?.
p/s: aku haru-biru dengan minah belakang aku tadi. mengomel bosan itu, bosan ini. macam badut kuning dalam iklan digitu. kalau tak suka blahlah!!!pegi tengok budak magik naik penyapu terbang atau robot tukar-tukar.
Sungguh
Kalau dahulu aku bersungguh mungkin keadaan tidak seperti sekarang. Rasa sesalpun ada.Tapi apa hendak buat. Perkara lama jangan diungkit lagi. Mulai sekarang kena bersungguh. Peluang kadangtu datang sekali. Tak mahu main-main lagi. Kejar sampai dapat. Itupun kalau tak mahu sesal lagi.
Sunday, July 22, 2007
Diet?
Monday, July 16, 2007
Tuesday, July 10, 2007
Dalam usia ini
Menumpang hidup di bumi tuhan
Betapa pantas masa berlalu
Meninggalkan ingatan silam
yang berbalam-balam warnanya
Masa lalu yang bukan legasi
Tapi kasih cinta
Yang terukir di atas sahmura indah
Penuh renjana
Mencari hakikatnya maknawi
Dalam isthikarah yang panjang
Agar tidak lemas
Ke dasar lautan nafsu yang merenggus panjang
27 tahun perjalanan
Mencari redho Yang Esa
Dalam setiap rengkuhan nafas
Yang berombak mengikut alunan fitrah
Muda sebelum tua
Sihat sebelum sakit
Kaya sebelum papa
Hidup sebelum mati
Lapang sebelum sempit
Berilah kesempatan dalam usia ini
Untuk terus berada dalam lingkungan rahmat-Mu
Yang dikucup dari sumur kasmaran
Wahai Tuhan yang maha pengasih
Wahai Tuhan yang maha penyayang
Dalam Kesempatan Ini
Selama disebut kata sumpah dan setia
Dan demi keindahan ini
Yang tercabut satu-persatu
Dari pasak yang memegang nubari
Berilah kesempatan untuk melihat
Tidak dalam lara yang pusang
Berilah kesempatan untuk menafsir
Setiap juzuk-juzuk yang mujarad
Berilah kesempatan untuk merasa
Liang-liuk ilalang dipukul pawana
Mengertilah
Dalam setiap helaian nafas ini
Mengertilah
Hidup bukan sekadar mimpi
Sunday, July 08, 2007
Nyanyian Syahadah
Membuhul di sukma
Merekah di bibir
Bertaut di kolam kasih cinta
Sujud tafakur ini
Waktu renta malam
Membawa sepi jadi satu
Nyanyian syahadahku
Dalam teleku qiamulaili ini
Betapa metah jiwaku
Rapuhnya sukmaku
Mengadap-Mu
Mendakap pelukan rindu-Mu
Waktu aku Tersangkut
Dalam jaring berahi dunia
Tak terlawan olehku
Syahadah yang ku pegang ini
Tanda saksiku
Tanpa waham
Waima tujuh petala langit
Tujuh petala bumi
Jatuh menimpa aku
Kesaksian ku ini tiada duanya
Monday, July 02, 2007
Alasan
1. gaji tak masuk lagi
2. 'payment' tak dapat lagi @ tengah tunggu 'payment'. bisnes teruk sekarang ni
3. cek tak 'clear' lagi. baru 'bank in' tadi
4. cek dah 'prepare' tinggal tunggu 'signature' bos
5. dah masuk cek pagi@petang@malam tadi (bila minta faxkan resit tak pernahnya ada)
6. sekarang 'out station'. 'next week' baru balik
7. 'payment' husband @ wife yang buat
8. duit sikit lagi tak cukup. bayar separuh bolehke?
9. tadi dah pegi bank tapi mesin ATM rosak
10. alah! baru 2 bulan tertunggakpun nak 'call' ke!!!
11. 'due date i' lambat apa yang u kecoh sangat ni!!!
12. 'last month i' dah bayar 2 bulan apsal bulan ni u minta lagi!! (tak sedar diri sebelum ni akaun dah masuk 3 bulan)
13. ok-ok sekejap lagi i datang branch u buat 'payment'. bank tutup pukul berapa? (sampai bank nak tutup haram tak nampak muka)
kadangkala geram pun ada. tapi dalam kegeraman ini aku tersenyum sinis. macam-macam kerektor manusia hari ini. tambah lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tak menentu. aku faham bukan semua orang hidup senang. ada yang bertungkus-lumus mencari rezki buat menyambung nafas. namun ada juga segolongan manusia yang hidup senang atas kesusahan orang lain. kapitalis yang mencengkam, budaya konsumer yang membarah, strata sosial yang tidak seimbang. kerja aku saban purnama berhadapan dengan kerenah-karenah manusia ini yang pelbagai rencam. kadangkala dimaki dan dihamburkan dengan kata-kata kesat. aku tak salahkan mereka. mungkin mereka tertekan, dan kadangkala tekanan boleh buat mereka, bahkan aku juga hilang kesabaran. namun ini kerja aku. dibayar gaji untuk meladeni penghutang-penghutang ini. biarlah mereka marah. luahkan segalanya. aku tak pernah maki atau marah mereka-mereka ini. api tak boleh dilawan dengan minyak petrol. api boleh padam dengan air atau pasir.
Gelora
Dengusan sukma
Berpusar di laman nyali
Keringat yang tumpah
Pada tampang jidatnya
Keriuhan bersiponggang
Berkocak kesalan
Keharuan menatang mendung
Dari seberkas lukalara yang pijar
Gelora ini menikam jantung
Bertemali mengikat mimpi
Dan jaga tak keruan
Pada bisikan yang lirih
Agar doaku terapung kelangit tuhan
Menitip maksud maknawi

