Monday, June 23, 2008

'Dia' menjadi insan yang amat sebuk sejak akhir-akhir ini. Memilih warna dan tema. Vintaj atau moden. Segalanya aku serahkan pada kebijaksanaannya. Kekadang tingkahnya buatku tersenyum. Betapa 'dia' gembira menanti saat itu nanti. Dan aku ikut serta tersenyum.

Thursday, June 19, 2008

Improvisasi

Di kantor suasana masih suram dan sunyi. Yang hingar cuma suara-suara kami yang seramai tujuh orang yang baru melapor diri ke sini. Masih belum ada bilik dan tugasan melainkan mengisi sejumlah borang yang perlu dihantar kepada bahagian khidmat pengurusan jabatan.

Noktah .

LHDN. Setiap graduan perakuanan pasti mengimpikan posisi sebagai pegawai gred 7 di sini. Mana mungkin peroleh gaji yang tinggi berbanding di jabatan-jabatan kerajaan yang lain. Hari ini di dalam suratkhabar nusa tersiar berita kemasukan seramai lebih 40 ribu orang calon ke IPTA. 40 ribu orang ini akan bergelumang dengan segala macam rencam alam universiti. Tempat memupuk daya tahan mental fizikal. Menggali seberapa banyak ilmu yang kelak bakal menyuluh masa depan. 5-6 tahun kemudian mereka akan keluar (atau mungkin juga keluar awal lantaran kandas di tengah jalan). Suasana ekonomi, sosial dan politik nusa kita mungkin akan berubah. Saat mencari kerja adalah saat yang paling ruwet sekali selepas bergelar graduan. Tidak cukup sekadar segulung ijazah yang digenggam. Di luar cabarannya lebih besar dan realis. Bukan utopia di bilik kuliah atau berlingkar dengan teori-teori kalkulus maupun keluk-keluk naik turun pasaran. Saingan kian luas dan empirikal. Dunia luar sana bergerak cukup pantas. Perlu ada nilai tambah lain.

Noktah

Laut fikir aku mengimbas 5 tahun sudah. Waktu kerja firma audit. Gaji RM600. Tinggal lembah klang. Alhamdulillah boleh bertahan. Dari situ aku menimba pengalaman. Sedikit-sedikit. Hingga saat ini. Memang perit jika mengimbau kembali waktu itu. Zaman-zaman susah dahulu. Kini aku tidak lagi menoleh kebelakang. Di depan masih ada lompong-lompong yang perlu di isi.

Noktah

Dunia kian berubah. Etos dan patos. Begitu jua isinya. Manusia seputar sedang mencari eskapisme sendiri. Sebahagian menjadi narsisis. Dan aku. Di atas sfera bumi. Cuma mencari damai hakiki.


Wednesday, June 18, 2008

pinjamkan aku nafasmu
untuk lengkapi diriku
dalam gita puja sang pencinta
kaulah hatiku
kaulah jantungku
menghapus segala sesal
sungguh
tak dapat ku bayangkan
hidup tanpamu

Tuesday, June 17, 2008

Hati

Memang benar Allah yang memiliki hati-hati manusia. Dia bisa membolak-balikkannya. Persis arus sungai yang mengalir tanpa ada yang menhempangnya. Sungguh ya Tuhan aku tidak persoalkan tentang hati yang menjadi milik-Mu itu. Kerana aku yakin masih ada siraman kasih sayang yang menyuburkan hati ini. hujan iman nantinya akan turun untuk menumbuhkan budi penyiram kasih ini. Tuhan. Hati-hati ini telah sama-sama bertaut diranting kasih-Mu. Perjalanannya kadangkala berliku-liku, namun Kau lebih mengetahui susurnya.

Saturday, June 14, 2008

selamat tinggal

Memang susah untuk menjangka apa yang terjadi dalam sisi-sisi kehidupan kita yang mendatang. Masa takkan berjeda waimapun sebentar. Ia akan terus berjalan. Berjalan menyelusuri setiap perjalanan hidup ini yang tak terhempang arusnya. Pastinya kita memilih untuk yang lebih baik dalam kehidupan kita dan yang baik-baik itu bukan selalunya datang.
Noktah.

Buat seantero warga Jabatan Pendidikan Jasmani dan Sukan, khusus buat unit kewangan. Tiada kata dapat ditutur di tubir bibir. Seloka-tawa yang menguntum buak-buak ceria, kadangkala juga nargis datang bertiup kencang. Namun itu yang menjadikan perjalanan kita di sini ada manisnya. Dan rasa manis ini akan sentiasa melekat dibibir aku selamanya. Masa akan terus berjalan. Jarum panjang dan pendek akan sentiasa berkejaran. Namun segala kenangan di sini akan sentiasa terkapuk kukuh di hati.
Noktah.

Friday, June 13, 2008

Sungguh kita alpa

Dalam satu serangan udara oleh tentera Israel di perkampungan Beit Lahiya di utara Semenanjung Gaza yang dikuasai pergerakan Hamas, tiga orang awam terbunuh manakala 40 yang lain cedera. Bangunan pula musnah. -Utusan 13/06/08
noktah
Sungguh kita alpa. Emas hitam buat kita larut dalam sengsara yang kita cipta sendiri. Dan tanpa sedar, ada lagi yang lebih sengsara. Insan-insan dura yang satu akidah, yang berkongsi tauhid dan syahadah dengan kita.
Sungguh kita alpa.

Thursday, June 12, 2008

Jimat?

hari ini aku memandu mobil ke kantor. perjalanan dari shah alam - putrajaya menyelusuri lebuhraya elite sejauh 30 km terasa amat jauh. 'dia' beritahu aku untuk menjimatkan petrol kelajuan hendaklah di bawah 100kmsj. aku cuba bereksperimen dengan teori si 'dia'. semalam aku isi RM20 = 7.4L. aku nak tengok berapa lama boleh bertahan.

Tuesday, June 10, 2008

hujan...

ironinya waktu-waktu hujan begini di bawah jambatan pasti meriah dengan penunggang-penunggang motosikal. mencari teduh daripada basah. di sini seakan berada di sebuah mandala yang jauh dari hipokrasi manusia. tiada strata feudal di sini, semuanya sama tanpa mengira ras dan agama. biasanya penunggang ini akan bertegur-sapa, dan mulut menghisap nikotin. sambil bersembang mengenai susu anak, tambang bas sekolah, beras, gula, tepung yang mencanak naik. semuanya kesan kenaikan harga petrol. tapi bagi golongan kapitalis dan borjouis yang tak habis beromong dengan teori permintaan vs penawaran ini menganggap ia adalah sekadar kitaran ekonomi. banyak kisah marhean terpinggir dapat aku dengar di sini. aku bertanya kepada seorang abang yang berulang alik dari seksyen 24 shah alam ke putrajaya. 'nape tak drive kete bang hujan-hujan macam ni?'. dari wajahnya yang sugul dia menjawab. 'macam nak bawak dik, petrol dah naik, anak abang baru masuk 3 bulan, tak campur lagi yang tengah sekolah lagi, nak tak nak bawak jelah moto dik'.
noktah.

Sunday, June 08, 2008

'dia'

Aku menjumpai ‘dia’ tanpa kutahui mana asalnya. Dalam sisi kehidupan aku yang kini beranjak beberapa takah kehadapan, ‘dia’ datang dengan membawa getar yang sukar untukku tolak. Macam yang sentiasa aku titipkan pada ‘dia’. Kerja Tuhan, siapa yang tahu. Betapa Tuhan menyusun naratif pertemuan ini dengan cukup indah dan cantik sekali.

Wednesday, June 04, 2008

orang minyak.

Minyak naik 78 sen. naik 40%. Masihkah ada mekanisme lain. Marhean makin tersepit. Dan parlimen terus bersidang.

p/s: Trafik menuju ke setiap stesen minyak macet teruk. Ada yang memaki-hamun. Minyak bikin orang hilang timbangtara. salah siapa?

Saturday, May 31, 2008

Bila durian luruh 2 - finale

80an. Zaman ini tiada lagi measat dan soyuz. Yang ada Cuma buruj-buruj dan bulan di langit. Bersawang di waktu malam. Itulah neon kami waktu itu.

Noktah

Dulu bila mak suruh meloceh isi durian untuk dibuat tempoyak aku selalu lari. Bagi aku kerja meloceh isi durian bukan kerja orang lelaki dan mencabar kemaskulinan aku. Kakak-kakak aku bising ya amat. Dulu gerakan feminis masih belum muncul (yang ada cuma kumpulan penyanyi wanita feminin) menuntut emansipasi gender. Tapi realitinya aku memang suka tempoyak. Terutamanya gulai tempoyak ikan tongsan dari hasil tangan mak. Memang cukup-cukup berahi. Macam makan sup ekor. Kakak-kakak aku bukannya reti masak. hahahaha. Sori ya nyah, kak ina, kak ani.

Noktah

Gemulah bapak dulu ada selaras senapang patah. Bila dia tak ada aku selalu curi-curi main senapangnya. Berlagak macam dalam cerita combat kat tivi tengah lawan nazi jerman. Senapang tu gunanya nak tembak biawak hidup atau tupai. Biawak hidup selalu makan telur ayam kampung mak kat reban belakang rumah dan tupai suka robek buah durian kat baruh. Aku dulu selalu ikut gemulah bapak pergi menembak kat dusun baruh. Kadang-kadang usop limbah ada, lan botak ada, mail sepatpun ada. Gemulah bapak tak bagi ramai-ramai takut tupai lari. Aku pernah melahirkan hasrat aku nak belajar menembak dari gemulah bapak. Apa yang aku dapat. Dia halakan muncung senapang tu kekepala aku. Selepas tu aku tak berani minta permisi lagi. Yang aku anginnya abang sulung aku dibaginya pula. Mungkin abang dah besar, dan aku kecil bocah lagi.

Noktah

Zaman millennium. Masa bergerak cukup pantas. Pokok-pokok durian kesayangan kami masih terpacak lagi di situ. Daunnya yang kekuningan masih merimbun. Masih retro. Macam kereta vintaj. Tapi ya. Usianya sudah renta. Dan semenjak gemulah bapak, gemulah tuk, gemulah pak usop, gemulah pak din, serta gemulah-gemulah yang seangkatan dengan bapak pergi meninggalkan kami, pokok-pokok durian itu seakan bersedih. Tidak banyak buah-buah yang bergentayangan. Kalau adapun tidak sebesar dahulu. Dunia sudah berengsot. Makin maju. Makin canggih. Dan kita larut dalam semua itu. Kenangan itu masih berbalam-balam dalam ingatan aku. Pada dusun baruh, pada Honda c70 dan senapang patah gemulah bapak, pada pawang malik, usop limbah.

Friday, May 30, 2008

Bila Durian Luruh.....

Padang changkat, bota kanan

80-an. Zaman ini tiada lagi playstation, i-pod dan kuali astro. apa yang jadi kemegahan di kampung aku cuma pokok-pokok durian yang melatari kampung aku. Tingginya melangit, batangnya sebesar dua pemeluk. Kata gemulah bapak, pokok durian di dusun baruh kami sudah wujud beratus tahun dahulu. Legasi moyang-poyang kami. Ada sebatang pokok durian tembaga yang gemulah bapak cukup sayang. Terpacak di sempadan antara dusun kami dan dusun pak usop (sudah gemulah juga). Buahnya sebesar helmet Apollo, isinya tebal dan baunya…walla!!!memang stim mengalahkan bau asap nikotin.

Noktah.

Suatu yang aku cukup menyesal sampai sekarang ialah aku tak berkesempatan ikut gemulah bapak tidur di dangau baruh menunggu durian luruh waktu dinihari. Mak aku tak bagi. Mak takutkan aku dengan naratif hantu penanggal dan hantu susu. Waktu itu depan rumah pawang malik ada bangkai kepala kerbau . Mail limbah , kawan baik aku cakap pawang malik ada bela benda. Entah mana mail limbah dapat cerita aku tak tahu. Seusai subuh baru gemulah bapak balik dengan Honda kapcai c70nya. Raga belakangnya penuh dengan durian perbagai saiz. Selalunya aku orang pertama yang menurunkannya dari dalam raga. Kemudian cuci daun-daun yang terlekat pada durinya dengan lidi. Diasingkan ikut saiz. Kalau saiz sebesar helmet Apollo dulu mahunya dekat-dekat RM10. Biasanya gemulah bapak akan jual sendiri depan rumah, yang kecil-kecil ditolak pada said pisang. Gemulah bapak cakap said pisang ambil murah sebab itu yang besar-besar gemulah bapak jual sendiri.

Noktah.

Bersambung…..

Tuesday, May 27, 2008

LIGA

EPL dah habis. Begitu juga dengan liga-liga lain serata eropah. La liga, Serie A,ligue 1, Eradivisie. Sekarang sementara menunggu EURO 2008 bolehlah beralih sebentar menonton liga Apertura Argentina dan liga brazil. Pilihlah pasukan pilihan anda. Flamengo, River plate, boca juniors, estudiantes ecetra. Sambil–sambil menari samba tanpa baju. Dan berangan-angan yang gisele bundchen duduk bersebelahan anda.

Sunday, May 25, 2008

Saturday, May 24, 2008

Mencari Makna

mencari makna
yang menitip dari belahan hati ini
dan sungguh itu bukan milikku
sebelum di patri kata-kata
melukiskan bahawa itulah cinta

dan waktu ketika aku berdoa
agar iman ini jadi benteng
tidak disaluti sesal pada-Mu

sungguh ya Tuhan
aku sedang mencari makna
cinta yang amat merindu

Wednesday, May 21, 2008

Naziran (awas!! ini bukan nama seorang gadis cantik tapi ia datang dengan tujuan memporakperandakan hidup anda)

Esok odit naziran nak datang kantor. Saja datang nak sembang-sembang pasal perlawanan bola man u vs Chelsea malam ni atau yang berat sikit cerita pasal Tun M keluar amno. Ish…ade ke pulak. Naziran datang nak buat oditla woi….tengok-tengokkan baucar mana yang tak ikut tatacara kewangan.

Jadi. Hari ini bilik aku dah jadi macam royal London circus. Ada beruang, rimau, gajah, dan badut hidung merah.

Tuesday, May 20, 2008

BOS

Aku duduk dimeja aku. Baca berita internet. Sambil mencicip teh o yang dah hilang suamnya. Di sisi ada repot yang nak dilunaskan. Tak banyak. Kena buat perlahan-lahan. Nanti tak ada kerja pula. Esok ada meeting kat bahagian kewangan kementerian. Aku minta anak buah aku siapkan apa yang aku nak bawak esok. Settle.

‘sham macam mana hang dapat figure ini. Hang kira dulu pastu masuk bilik aku explain kat aku. Nanti dapatkan aku baki list waran bawah OS42000 yang kita dah turun kat sekolah-sekolah sekali, aku nak tengok’.

Hari ini tahap kerajinan bos aku di luar kebiasaan. Cukup misteri.

Memang luar biasa. Jam pukul 10. Sekarang masa minum. Awat dia kalut sangat. aku settlekan apa yang dia nak. Benda kecik beb. Lebih kurang 5 minit aku masuk ke biliknya dengan semua maklumat yang dia kehendaki

Aku masuk bilik dia. Wacha! Patutlah dia ini rajin semacam pagi ini. Ada awek yang memang boleh tahan dalam bilik dia. Berbusana hitam tak cukup butang dan berskirt atas lutut. Walla…patutlah sengal sikit perangai bos aku pagi ini. Memang sivaji the bos betullah….

Noktah

Monday, May 19, 2008

Mencari Katarsis

*****

Di sini aku bicara soal nyalarasa. Dengan segala macam jentaka yang turun dari langit. Dan jiwa ini kian rentan. Dunia yang berkelintar dalam puja gita sang pencinta. Membunuh dalam rusuh jiwa tak keruan. Aku bukan narsisis. Namun masa buat aku renta. Mungkin masa telah berjeda. Meninggalkan sesawang dalam nyali ini. Yang acapkali merengkuh batin ke mandala pura. Atau aku sedang mencari ruang-ruang katarsis. Yang entah kemana cicirnya.

Tasik

Taman tasik shah alam. Tempat rekreasi utama di anjung minggu. Air tasiknya membuak busa-busa ceria. Pohonan yang rimbun. Angin yang melayah dingin. Panorama indah. Juga tempat dua sejoli bermadu asmara. Di sini, di hari minggu utamanya sabtu ahad adalah tempat melampiaskan lelah seminggu. Penuh dengan aneka manusia. Lokal maupun internasional (indon, bangla, Myanmar). Jika berkesempatan terdapat juga aktiviti seni di laman budaya yang biasanya diadakan pada hari ahad minggu pertama setiap bulan. Boleh nonton tarian, musik dan lagu-lagu tradisi, ecetra.

Noktah

Agak lama rasanya aku tidak datang ke sini. Mungkin sebuk atau bertembung dengan aktiviti sosial lain. Sekali-sekala duduk membaca buku, sambil lihat keletah anak-anak kecil bermain boleh juga merehatkan minda yang lelah. Di sebelah duduk sepasang kekasih. Bercik-cok sambil bersandiwara yang agak menjengkelkan. Mungkin aku rasa meluat, atau mungkin juga ada sekelumit rasa iri dalam hati aku. Dan melihat kondisi itu semacam ada pertembungan dalam diri ini yang kadangtu sukar untuk aku tafsirkan.

Noktah.

Langit kirmizi memerah di ufuk barat. Sore berengsot senja. Sayup-sayup kedengaran bacaan ayat-ayat suci dari masjid sultan salahuddin. Sebentar lagi akan kedengaran suara azan menyeru yang leka. Kubahnya tegak menanti kehadiran manusia. Aku khatamkan ayat terakhir langsung menuju ke mobil. Sempat lagi rasanya untuk berjamaah margrib.

Saturday, May 17, 2008

Pijar

Panas. Pijarnya hingga keubun-ubun kepala. Entah bila kali terakhir hujan turun aku sudah lupa. tanah kian kering. Waktu panas macam ini kadangkala hatipun ikut panas. Ramai yang meraban tak tentu hala.

Noktah.

Aku pergi tinted myvi aku tadi di seksyen 23 shah alam. Rabak juga dalam RM200. Lantaran tiada tunai di tangan aku sapu guna kad kredit. Hutang kad kredit aku tak nampak macam nak surut. Bulan demi bulan amaunnya kian bertambah tapi masih lagi terkawal. Sesak-sesak kena juga pakai. Sementara menunggu myvi aku di tinted aku duduk sambil baca gangguan teksual dan minum kickappo. Air cond kedai haram aku tak rasa. Dalam tempoh menunggu tu datang seorang perempuan aka melayu yang baya-baya anak buah aku. Retina seakan terrefleksi memandangnya. Renungnya galak, tingkahnya yang ranggi, kain tak cukup ela. Alahai…waktu panas macam ni bukan badan saja yang berpeluh. Pakaianpun dah makin kecut ujarku dalam hati. Aku tersenyum sendirian dan menyambung kembali bacaan aku. Air tin kickappo dah separuh aku togak. Dahaga masih belum hilang. Sedang cina kedai tu sebuk menyiapkan kereta aku. Dan sore kian berengsot.

Noktah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...