Sunday, April 19, 2009

E-Filling

2 minggu terakhir bulan april. Suasana di kantor amat rencam sama sekali. Terutamanya di kaunter setempat. Sesak dengan manusia menunaikan tanggungjawab menghantar borang nyata cukai pendapatan secara manual ataupun e-filling. Suasananya mungkin berbeza dengan kaunter zakat. Kadangkala kita lebih takut berhadapan dengan kesalahan tidak melaporkan pendapatan ke LHDNM dari tuntutan untuk mengeluarkan zakat. Sedangkan zakat itu menyuci segala hasil yang kita terima, agar segala muamalat kita tidak bercampur dengan unsur-unsur syubhah.
noktah
sabtu. Bertugas dianjung minggu. Melayani telatah manusia yang sesak di kaunter. Minggu-minggu akhir ini bagai satu pesta. Kami petugas-petugas begitu juga. Cukup meriah. Dalam kelelahan ini menguntum juga senyuman di tubir bibir.

Sunday, April 12, 2009

Aku ke ibukota. Ada PC fair di KL convention centre. Aku memilih untuk menggunakan tren ke sana. Sesak rasanya jika mahu memandu sendiri. Tren penuh sesak dengan manusia. Terutamanya waktu transit di masjid jamek, menukar tren ke KLCC. Semua mahu berpusu-pusu untuk memasuki tren. Tiada lagi langgam sopan dalam budaya kita. Cukup berbeza sekali dengan slogan berbudi-bahasa yang pernah dimasukkan dalam pakej pelancongan melawat malaysia. Kononnya rakyat Malaysia cukup terkenal dengan lembut bahasa dan tingkahnya. Timbul rasa sangsi untuk menerima kesopanan yang jadi budaya bangsa kita adalah satu fakta ataupun satu mitos. Budaya melayu memang terkenal dengan sopan santun. Tapi kita juga perlu tahu yang orang melayu juga hebat carut-marutnya. Politikus melayu contohnya. Sebenarnya sopan atau budi-bahasa itu bukan milik sesuatu bangsa atau negara. Ia milik semua. Datang dari dalam diri.
noktah
...........


Friday, April 10, 2009

masa yang berdesir. bagai angin yang melayah dingin. bagai samudera yang ujana luas. ku sahut panggilan-Mu dengan rasa syukur. Tuhan yang menghantar aku ke rahim suci bondaku. Tiada cacat-celanya. qada' dan qadar itu benar arah tujunya. tanpa waham dan ragu-ragu.

Thursday, April 02, 2009

Setiap hari mualnya semakin rencam. Mabuknya kian nanar. Ada sahaja halangan yang membatasi sisi berahi yang mengocak dinding nafsu ini. Namun aku tetap sabar. Melayan karenahnya yang tak menentu saban hari. Waktu subuh hingga sore, melangkau ke dinihari. Sabar. Ini ujian. Pakaian para nabi rasul. Doa sahaja yang aku panjangkan untuknya. Agar diberi kekuatan rohani jasmani. Sihat dan segar. Mengusung benih yang terkapuk kukuh dirahimnya.

Tuesday, March 31, 2009

Hari ini suria memancar indah.
Awan gemawan tersusun indah.
Dan aku tinggalkan kamu dengan jiwa yang kekar.

Saturday, March 14, 2009

akademik dan ilmu

keputusan spm dan stpm telah menyusul keluar. diberitakan jumlah pelajar yang mendapat sejumlah A's telah meningkat. begitu juga yang menjawab kertas sains dan matematik dalam bahasa inggeris terut mengalami peningkatan. pelajar kita semakin bijak. betulkah? 10 A's, 15 A's, hingga ada yang mendapat 20 A's. dan aku yakin jika ada yang mengambil semua subjek dalam sukatan pelajaran malaysia pasti ada yang dapat A's semua. statistik mengaburi kita semua. memandang pada sejumlah A's tidak meningkatkan upaya pelajar kita. bagaimana kualitinya jika grafnya diturunkan hinggakan yang mendapat markah 30% dianggap boleh lulus. pada zaman aku dahulu untuk mendapat aggregat 6 dan pangkat 1 memang payah. dan alhamdulillah aku lulus juga dengan aggregat yang baik, langsung masuk Uni, keluar dan memperolehi pekerjaan yang cocok dengan kelayakan akademik aku. dewasa ini pelajar perlu sekali ganda mempersiapkan diri untuk kemudian hari nanti. pencapaian akademik bukan kunci utama. ilmu dan akedemik adalah sisi yang berbeza. ilmu perlu digerak bersama dengan intelektual. perlu ada keseimbangan antara akademik dan intelektual. tahap imperikal dan menaakul yang tinggi. dapat menyelami setiap isu-isu dengan roh bebas dan daya akal yang tinggi.

Sunday, February 15, 2009

untuk bermimpi
apa saja
biar ada akhirnya
biar ada segalanya

Malam

Di hujung minggu saya dan isteri keluar menikmati angin malam ibukota. Malam di metro ini masih hingar dengan deru mobil dan motosikal. Tiada lagi istilah malam untuk merehatkan sengal-sengal tubuh selepas 5 hari berkerja mencari rezeki. Malam di hujung minggu tempat manusia pelbagai status mencari libur. Kenderaan tetap macet. Kami singgah di downtown cheras. Kondisinya tetap sama. Masih sesak dengan manusia. mencari parkir menjadi masalah besar. Akhirnya mood di malam minggu hilang. Dalam suasana ekonomi sekarang, kuasa beli massa masih tetap sama. Ada penjual, ada pembeli.
Pulang dari downtown melepasi stadium bolasepak cheras. Kenderaan masih sesak di kiri kanan jalan. Ada perlawanan bolasepak rupanya. Masih ada yang meminati bolasepak tempatan. Waima bolasepak malaysia hari ini sudah tiada apa-apa yag hendak dibanggakan lagi.

Friday, February 13, 2009

Jalanraya

Trafik di lembah klang sentiasa sesak. penuh dengan kenderaan bersimpang-siur. Ditambah dengan kaunter-kaunter tol yang merata dengan bermacam-macam nama. Tanpa rela, pengguna terpaksa membayarnya waima trafik tetap macet. Pengguna boleh saja menggunakan kenderaan awam. Namun ia bukan menyelesaikan masalah trafik secara total. Jalanraya masih sesak. Lebih cepat adalah dengan menggunakan motosikal. Ada laluan sikal disediakan yang mungkin boleh meminimakan kita berada lebih lama di atas jalanraya. Penunggang motosikal ini makin hari makin bertambah. Bahkan eksekutif-eksekutifpun sudah mula menggunakan motosikal sebagai jalan keluar dari huru-hara di jalanraya. Tanpa tol. dan lebih pantas pulang ke rumah.
Pulang dari pejabat biasanya saya akan susur keluar dari lebuhraya persekutuan masuk ke lebuhraya NPE. Berhampiran dengan kampung dato harun terpacak kaunter-kaunter tol. RM 1.60 ditukar ganti untuk melaluinya. Lebih kurang 10 km akan ada tol lagi untuk susur masuk ke pusat bandar/bangsar dan cheras/seremban. Ini laluan utama untuk ke jalan klang lama dan templer. bahkan taman dato harun adalah kawasan kediaman yang padat penduduknya. Memacakkan kaunter-kaunter tol di mandala ini memeritkan penduduk yang saban hari berulang-alik menggunakannya. Sore tadi tiada lagi kutipan tol di sini. Kenderaan melepasi kaunter tanpa membayarnya. Berhampiran dengan tol beberapa orang yang mengibarkan bendera parti pemerintah negeri selangor berkibar. Mungkin ia sementara. Atau memang ia ditutup terus. Siapa tahu.
Esok sore, saya seperti biasa adalah pengguna biasa jalanraya ini untuk pulang ke rumah. Entah bagaimana situasinya. Mungkin keadaan masih sediakala. Dan syarikat -syarikat konsesi tol ini masih merajalela. Sedang marhean makin tersepit. Di antara pembangunan material dan tanggungjawab sosial.

Monday, February 09, 2009

Perak yang mencair

Februari ini terhimpun cerita aneh. Cerita lompat-melompat. Cerita dua pemimpin berkecamuk dipuncak kuasa. Dalam arus dunia yang berkrisis. Gaza yang dirobek zionis. Ditambah lagi gelora ekonomi yang mengocak-ngocak dinding jantung kapitalis. Lantas marhaen pula merasa desahnya.
Februari ini. Musim panas siasah nusa bagai menyiat-nyiat nyali rakyat jelata. Perak. Akhirnya mencair dalam panas ini. Dikri yang dicanai juga mencair. - Aku kini hanya melihat sebahagian dari sandiwara politikus sekarang.

Thursday, January 29, 2009

Sunday, January 18, 2009

perkahwinan adalah perkongsian hidup.
antara dua jiwa.
saling memerlukan.
saling melengkapi.
bada subuh esok
ada malaikat turun
bawa cemeti
bawa pesan
merengkuh gebar malam
dan neon kian malap

Friday, January 16, 2009

menanti ababil

langit palestin tidak pernah merasa tenang. hujan peluru dan bom silih berganti. suara tangis pilu anak-anak kecil memecah dinding-dinding al-aqsa. perjanjian yang termeterai dengan rejim bangsat itu sudah jadi lelucon. negara arab seputar palestin masih bertelagah mencari jalan selesai yang retorik. mereka patut mencontohi venuzuela dan bolivia yang lantas memutuskan hubungan diplomatik dengan negara laknat itu. israel harus saja di bom macam hiroshima dan nagasaki. tiada lagi ayat-ayat damai yang muluk untuk israel. dunia sudah bosan dengan resolusi damai PBB yang acapkali diveto oleh amerika. PBB sudah jadi alat kuasa besar itu membenarkan kekejaman yang berlaku di palestin. dan saranan iran untuk mewujudkan organisasi baru persis PBB ada kewajarannya. genocide ini mesti dihentikan segera. ribuan jiwa telah terkorban. peluru israel tidak pernah memilih siapa. anak-anak kecil tanpa noda jadi mangsa.
palestin adalah tanggungjawab kita. milik kita bersama. bumi tempat mikraj nabi bertemu Allah. mereka saudara kita. berkongsi syahadah dan tauhid yang satu. boikot produk amerika dan israel mungkin tidak banyak memberi kesan. namun ia antara cara yang termampu kita lakukan. panjangkan doa dan nazilah kita untuk mereka. mohon abibil tuhan datang membantu.

Wednesday, December 17, 2008

Teringat pada arwah bapak. Jika arwah masih hidup, dan rumah renta di kampung masih teguh, tentu senyum tawanya, tegas tingkahnya, membibit buak-buak ceria.
Teringat pada arwah bapak. Waktu membilang saat-saat bahagia. Waima ujananya masih panjang. Ingin aku kongsi rasa bahagia ini. Dengan arwah di dunia seberang sana. Dengan titipan doa. Ikhlas dan kudus.

Monday, December 15, 2008

offline

Sejak talian telefon dan internet dipotong di rumah masa untuk mem’blog’ kian terhad. Waima berahinya masih kekar. Entah masih ada yang mengunjunginya atau tidak. Tapi itu tidak penting. Yang penting nyalarasa perlu di luahkan. Banyak yang berlaku. Semalam, kelmarin, hari ini, esok. Sukar untuk diramal. Macam model telefon sel. Boleh jadi baik. Boleh juga buruk. Keadaan ekonomi dunia yang suram. Harga minyak dunia menjunam di bawah USD 50 setong. Keadaan ini memaksa Negara pengeluar minyak OPEC menghadkan pengeluaran minyak. Inflasi pula mencanak naik. Sedang pengangguran diparas membimbangkan. Ditambah dengan ideolog sesat yang meragut kemanusiaan. tragedi Mumbai contohnya. Juga lanun-lanun jack sparow yang merajalela di teluk edan. Partikel-partikel ini akhirnya akan membarah. Elok saja dicampak dalam lubang hitam, jauh di luar galaksi.

Noktah

Sebelum ini membilang tahun. Kemudian bulan. Kini hari-hari itu kian mampir. Persiapan masih berjalan. Bahkan kian sebuk. Tema dan busana sudah dipilih. Rumah, lengkapan dan lekapan hampir sepenuhnya lengkap. Yang tinggal hanya untuk menjalani kehidupan selepas majlis nanti. Perkahwinan adalah proses kehidupan. Transisi yang perlu kita tempoh. Kondisinya tentu berbeda. Ada tanggungjawab di situ. Ada yang takut memikulnya. Material contohnya. Tunggu stabil dulu. Belum bersedia. Kejar kerjaya. Persepsi setengah orang berbeda.

Sunday, November 09, 2008

tawa

ada tawa di tubir bibirku. aku menyukai lelucon dan gelak tawa. menghilang getar dan bingit di kotak fikiran. keliling sudah jadi badut. berita sudah jadi satira yang memualkan. iya. 3 orang pengebom bali itu telah ditembak mati, dan obama 'hussein' barrack menang besar pada pilihanraya amerika. politik nusa kita tak kering dengan buletin yang rencam. raja petra telah bebas, razak baginda pun sama.(hantu altantunya pasti bangkit dari serpihan tulang-tulang yang berselerakan), koran tak sudah-sudah bicara soal koata pencalonan umno tahun depan. harga minyak dunia jatuh jatuh di bawah USD 60, sedang harga barang semakin mencanak naik.
noktah
rumah. ada.
perabut. ada.
barang letrik. sen q ada
apa lagi hah...

Friday, November 07, 2008

impian

impian
iya
aku punya impian
yang kadang tak tercapai
tanpa warna
kusam
hitam putih
noir
iya
aku punya impiam
yang kadang tak tercapai

Sunday, November 02, 2008

MASKARA Shorties

semalam. kali pertama ke maskara. bertempat di rumah PENA. program anjuran para blogger yang menggelarkan diri mereka sindiket sol-jah. parkir sesak. libang-libu cari parkir. ramai betul manusia. hidangan pada malam ini ialah tayangan filem-filem pendek. ada abg mamat khalid, dan sebahagian besarnya d.i.y. para blogger. semalam aku seret sekali 'dia' menemani aku ke maskara. tak semuanya yang aku tonton. kesian tengok 'dia' yang polos, rasa macam terpaksa ikut aku tengok benda-benda pelik macam ni. kami balik awal. tapi aku akan datang lagi nanti. untuk maskara yang akan datang.

Friday, October 31, 2008

Muara Kata

di muara kata
mencari makna
sungguh takkan bisa
menikmati rahimNya
yang tulus di hati
tanpa hasrat
di hadapanMu
menyentuh sumur cinta
ikhlas membuhul
syukur meniup kencang
di syurga hati
ku seru
kekasihku
dalam doa yang tulus

di muara kata
khusyuk hati ini
memahat luhurnya kasih
aku hambaMu
sungguh tuhan
tanpa ragu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...